Pentingnya memelihara rekod-rekod lama adalah demi menjaga kelangsungan identiti dan memori kolektif sesuatu umat manusia. Kerana masa hadapan masyarakat itu dan masa kininya disandarkan kepada cerminan masa lalunya. Masyarakat, kebudayaan dan ketamadunan hanya dapat dibina melalui konstruktif relatif dengan suatu penanda aras masa lalu.

Darihal yang demikian ia serupa sahaja dengan sistem perekodan jabatan-jabatan kerajaan di negara kita. Tanpa sistem penyimpanan tersebut pentadbiran bakal menjadi lumpuh dan begitu jugalah yang akan berlaku kepada sesebuah bangsa bezanya rekod lebih menjurus kepada subjek-subjek ciri budaya agar masyarakat itu tidak hilang jejak daripada rujukan sistem tadbir kehidupan yang datang dalam bentuk adat dan istiadat, norma yang kadang-kadang sudah diamalkan sejak ribuan tahun lampau.

Hilangnya sejarah dan pengetahuan mengenai subjek-subjek ‘minute’ (halus) di dalamnya akan menimbulkan satu sela kosong yang membuatkan masyarakat yang dinisbahkan kepadanya dilanda masalah defisiensi data untuk mengatur latar dan persekitaran mereka. Ini kerana rekod sejarah adalah contoh terbaik bagaimana kebijaksanaan vernakular atau indigenis para lokal genius dapat diperturunkan untuk diamal oleh satu generasi ke generasi yang lain.

Jika kita merujuk naskhah-naskhah persuratan Melayu klasik, yang dibina atas naratif Melayu purba maka kita akan mendapati kefahaman sedemikian amat dititikberatkan oleh sarjana dan ahli tarikh Melayu masa lampau. Kita tidak perlu terperanjat sekiranya objektif dan metodologi penulisan hikayat dan sejarah Melayu lampau sebenarnya sudah mencapai tahap kematangan dengan pendekatan dialektik berbau sains kemanusiaan.

Misalannya kita petik Muqaddimah daripada kitab Tarikh Fathani kita akan dapati perkara tersebut telah dibincangkan sejak tahun 1811.

Berikut kata penyuntingnya, tuan syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani seorang ulama besar di tanah Jawi dan tanah Arab:

[…bahawasanya tarikh lama itu boleh kita tahu akan manusia zaman dahulu di negeri ini. Tarikh zaman lama itu tiada lagi dikarang di negeri Fathani melainkan susunan tuan syeikh yang mulia ini boleh terhimpunkan dengan sempurna.

Kefaedahannya ialah boleh tahu apakah perihal keadaan orang-orang zaman dahulu hingga sampai zaman kita.

Atau zaman jahil dengan zaman nur, dan hendaklah kita bandingkan bahawasanya zaman jahiliah di negeri Arab seperti qabilah-qabilah sebelum zahir Rasulullah sallallahu alaihi wasallam itu telah dikarang oleh ulama tarikh Arab.

Maka apakah faedah dan gunanya melainkan boleh kita kenal dan nampak bahawasanya orang Melayu zaman dahulu, apakah duduk dalam tanah bumi Fathani ini?

Maka tiap-tiap tarikh zaman dahulu payah tahu kebenaran yang sahih kerana zaman jahil tiada tahu menulis dan membaca, bahkan dengan riwayat sahaja, tetapi sesungguhnya mesti ada juga dalam riwayat itu yang betul dan yang bohong pun ada juga.

Maka janganlah kita jadi hairan akan mana yang bohong dan mana yang betul. Hanya kita boleh tahu sahaja banyak-banyak hendak mengenal asal-usul daripada masa zaman dahulu dan perkara sungguh atau bohong…]

– Syeikh Daud al-Fathani

Dalam selang jangka masa empat kurun sebelum tuan syeikh ini moyang beliau telah dipetik berkata-kata mengenai sebab beliau mula menulis satu fasal tentang genesis raja-raja Melayu purbakala Patani dan ini berlangsung menurut perkiraan sekitar tahun-tahun 1400-an masihi.

Kata tuan syeikh:

[…dititah oleh sultan banyak kali sudah supaya berikhtiar mengarang dan menyusun Tarikh Petani, kerana takut hilang riwayat kisah-kisah purbakala, dan perhamba pun ikhtiar mengikut titah sultan yang mulia…]

– Syeikh Faqih Ali bin Muhammad bin Safiuddin

Memperhitungkan tarikhnya yang sebegitu awal kita akan dapati ia sejalan dengan pandangan Prof. Madya Dr. Tee Boon Chuan bahawa tahap kematangan kesusasteraan Melayu ini dengan objektif sedemikian sudah bermula sejak zaman awal dan pra-Islam dalam persuratan zaman Hindu dan Buddha.

Apa yang pentingnya. Amat penting apabila kita mendapati dengan datangnya Islam, sejarah masih dilihat sebagai ilmu alat pencerahan bersifat ketuhanan dan kemanusiaan kerana ia mencakupi segala maklumat semesta. Sudut pandang ini diperbaharui dan ditambah baik dengan metodologi dan kefahaman sains Islam apabila tuan syeikh menyatakan bahawa penulisan sejarah Melayu ini sebenarnya dinilai harganya setaraf penulisan dan perbincangan di dalam kitab-kitab tarikh daulah-daulah nabawiyah dan islamiah di sebelah Barat.

Ia contoh terbaik bagaimana persuratan setiap masyarakat itu dianggap sebegitu penting sejak zaman kegemilangan Islam, hatta tatkala riwayat-riwayat bangsa dan kebangsaan Arab itu masih kekal berkitar dalam zaman Rasulullah dipelihara para sahabat ridhwanullah alaihim ajmain, dan dikembangkan dalam zaman khilafah rasyidah, bani Umayyah dan bani Abbasiyah.

Persuratan ini sebegitu penting, maka penyudahnya kita persoalkan mengapa harus kita dicop sebagai assabiyah dan perkauman apabila membicarakan perihal sejarah bangsa kita sendiri?

Allahua’lam


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nabil Nadri atau nama penanya Tuan Merbok merupakan pencinta sejarah, arkeologi dan budaya. Penulisannya yang banyak datang dalam bentuk artikel atau posting ringkas menyentuh pelbagai subjek menarik terutamanya berkaitan Alam Melayu dan Dunia Islam. Pencarian nasab dan salasilah diri menjadi obsesi yang mewarnai aktiviti beliau kebelakangan ini disamping usaha beliau menjejak ratusan artifak Batu Aceh yang terdapat di Tanah Melayu. Nabil Nadri merupakan graduan Sarjana Muda dari Jabatan Sejarah dan Ketamadunan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (2014-2016) dan kini sedang dalam peringkat melanjutkan pengajian Sarjana dalam bidang Sejarah di universiti yang sama

Leave A Reply