Pada 20 Oktober 2015, Perdana Menteri Israel berucap dalam Kongres Zionis Sedunia Ke-37 di mana dalam ucapannya, beliau menyifatkan bekas Mufti Baitulmaqdis, Haj Amin al-Husseini sebagai individu bertanggungjawab memberi idea kepada Adolf Hitler tentang Final Solution. Ramai menolak kenyataan Netanyahu di mana kenyataan tersebut sama sekali menyimpang dari fakta sejarah bukan saja dari pihak Palestin tetapi juga dari pihak Israel. Kenyataan sebegini hanyalah secebis dari mitos Islamofascisme yang dikaitkan dengan al-Huseini, Hitler dan Nazi Jerman. Tetapi apakah kisah ini benar-benar berlaku seperti yang didakwa Netanyahu atau ada cerita lain yang di sebaliknya?

Figure 1: Netanyahu mendakwa al-Huseini dalang di sebalik The Final Solution tapi ditolak oleh kedua-dua pihak Israel dan Palestin.’

LATAR BELAKANG AL-HUSEINI

 

Lahir dari keluarga Baitulmaqdis terkenal semasa pemerintahan Turki Uthmaniyyah, beliau diambil oleh Britain sebagai perekrut individu-individu yang menentang pemerintahan Uthmaniyyah terutama sebagai pemberontak semasa Perang Dunia Pertama. Selepas kerajaan Uthmaniyyah tumbang, al-Huseini menyertai pergerakan penubuhan negara-negara Arab merdeka. Bagi individu-individu yang terlibat dalam pergerakan ini, mereka berharap pihak Barat terutama Britain mengotakan janji memberi mereka kemerdekaan sekiranya mereka membantu pihak Barat. Namun bak kata pepatah, telunjuk lurus, kelingking berkait. Pihak Barat sama sekali tidak berminat mengotakan janji mereka. Buktinya, tidak lama selepas Syria dan Lubnan mengisytiharkan kemerdekaan, Perancis segera mengebom kedua-dua negara tersebut sehingga hancur dan mengambil alih pemerintahan kedua-dua negara tersebut. Al-Huseini terpaksa melarikan diri dan mula fokus kepada usaha Palestin menubuhkan kerajaan sendiri yang merdeka.

Bagi Britain pula, menerusi mandat Liga Negara-Negara untuk menduduki Palestin. Dan menerusi Deklarasi Balfour, Britain menjanjikan sebuah tanah air, satu frasa di mana penjajah ini biarkan untuk intepretasi bagi orang Yahudi di Timur Tengah. Semasa pemerintahan mandat inilah, al-Huseini berusaha memerdekakan Palestin dengan menonjolkan dirinya sebagai tokoh politik sederhana dan mengetuai salah satu pergerakan kebangsaan Palestin. Adakalanya, beliau turut bekerjasama dengan pihak Britain untuk meredakan ketegangan antara penduduk Arab dengan penduduk Yahudi. Namun, pihak penjajah mengesyaki beliau antara individu bertanggungjawab memarakkan api ketegangan antara kedua-dua belah pihak. Itu tidak menghalang pihak mandat melantik al-Huseini sebagai Mufti Besar Baitulmaqdis.

Selepas gagal mendapatkan kemerdekaan Palestin melalui jalan konvensional, al-Huseini memilih perjuangan bersenjata di mana pada akhir 30-an, beliau mengetuai pemberontakan bersenjata ke atas mandat Palestin. Namun, pemberontakan tersebut berjaya dipatahkan dan al-Huseini terpaksa melarikan diri ke Lubnan. Beliau menanti peluang yang sesuai untuk meneruskan perjuangan dan ianya muncul pada tahun 1939, apabila Perang Dunia Kedua meletus antara Jerman dengan Britain. Al-Huseini berpindah ke Baghdad, Iraq dan mula menyebarkan propaganda anti-Britain di sana. Jerman membantu menyalurkan dana kepada beliau dan berjanji menyokong mana-mana tokoh politik yang menyebelahi al-Huseini dan Jerman pimpinan Hitler. Pada tahun 1941, beberapa jeneral dan tokoh politik Iraq bersama al-Huseini memutuskan untuk menggulingkan kerajaan Iraq yang pro-Britain dan menggantikannya dengan kerajaan yang mendapat sokongan rejim Nazi Jerman. Namun, plot tersebut berjaya dihidu lebih awal oleh unit-unit Tentera India British yang beragama Islam dan Jordan, di mana ketika itu Jordan bersekutu dengan Britain. Akibatnya, al-Huseini dan rakan-rakannya terpaksa melarikan diri ke Berlin.

Figure 2: Rashid Ali al-Gaylani antara tokoh politik Iraq yang menyokong plot al-Huseini. Sumber: https://en.wikipedia.org/wiki/Rashid_Ali_al-Gaylani

Dari Berlin, al-Huseini berterusan menggalakkan umat Islam seluruh dunia untuk bangkit melawan pihak Bersekutu dan turut mengisytiharkan jihad ke atas mereka. Di sebalik gelaran beliau sebagai Mufti Besar Baitulmaqdis, al-Huseini tidak mempunyai kuasa untuk bertindak sedemikian dan tidak ada penyokong yang ramai. Bagi rejim Nazi Jerman, beliau hanyalah salah seorang dari ramai pemimpin Arab yang mahu diiktiraf Jerman pasca-WWII. Justeru, bagi menonjolkan prestij beliau sebagai pemimpin Arab, al-Huseini mula membuat dakwaan luar biasa tentang pengaruhnya dalam kalangan umat Islam, rasa hormat terhadap Hitler dan kebenciannya terhadap orang Yahudi. Atas sebab itu, pertemuan al-Huseini dengan Fuhrer pada tahun 1941 di mana ia diabadikan dalam satu gambar merupakan satu kejayaan bagi beliau.

Namun, usaha beliau masih belum mendatangkan hasil. Semasa kempen Nazi Jerman di Barisan Timur, al-Huseini cuba merekrut umat Islam di rantau Balkan untuk menyertai mereka tetapi gagal. Jika ada sekalipun, mereka masuk bukan saja atas sebab ideologi tetapi atas sebab mengelak kelaparan, mengelak dihantar ke kem tahanan atau insentif kewangan yang ditawarkan oleh pihak Wehrmacht dan Schutzstaffen (SS). Namun, ini tidak menghalang pemimpin-pemimpin Islam di rantau tersebut menyeru mereka mengelak diri mereka terlibat. Pada tahun 1944, al-Huseini berucap di radio dan menyeru orang Arab untuk bangkit dan bunuh mana-mana orang Yahudi yang mereka lihat.

MITOS ISLAMOFASCIME

Bagi orang-orang yang berfikiran seperti Netanyahu, gambar pertemuan al-Huseini dengan Hitler dan tindakan-tindakannya merupakan bukti kewujudan Islamofascisme. Hakikatnya, terma tersebut sama sekali satu penghinaan dan mengandungi unsur politik sempit. Menurut Rene Wildangel, terma Islamofascisme ini bersifat politik dan tidak disokong oleh fakta-fakta sejarah. Reinhard Schulze pula menyifatkan ia satu penghinaan kepada agama Islam itu sendiri dan memisahkan Islam dari dunia sebenar. Jika ada pun bukti, mungkin khutbah al-Huseini itu saja tetapi tidak ramai mengikut khutbah tersebut.

Di Timur Tengah, walaupun ada yang menyokong plot al-Huseini, ramai menolak melibatkan diri dengan plot tersebut kerana beranggapan campur tangan Britain tidaklah seteruk kekejaman Nazi Jerman dalam peperangan. Dan mereka berhujah sekiranya Britain tewas seperti mana Perancis dalam Pertempuran Perancis, maka tiada siapa akan dapat menghalang cita-cita Jerman mengembangkan agenda fascime di seluruh dunia. Di Mesir, di sebalik sokongan segelintir pihak terhadap Hitler, akhbar-akhbar utama Mesir menyiarkan kekejaman Nazi Jerman dan Mussolini di Afrika Utara. Akhbar pro-kebangsaan Palestin, Filastin sejak dari awal menyatakan pendirian anti-Nazi Jerman mereka. Di Britain, ramai pemimpin Islam termasuk Abdullah Yusuf Ali menyatakan Islam merupakan sekutu kepada demokrasi.

Pada tahun 1940, seorang penulis Arab Palestin bernama Muhammad Najati Sidqi menulis sebuah buku anti-Nazi bertajuk Islamic Traditions and The Nazi Principles: Can They Agree?. Dalam buku tersebut, Sidqi menerangkan asas kepada fascisme ialah perkauman di mana bangsa Aryan diletakkan lebih tinggi mengatasi semua bangsa lain di dunia termasuk bangsa Arab dan Yahudi. Menurut beliau, umat Islam seharusnya menyokong pihak Bersekutu kerana sekurang-kurangnya, mereka berkongsi asas kemanusiaan dan unsur pendewaan yang dibawa Nazi.

Buku ini berdasarkan pengalaman hidup Sidqi sendiri. Lahir di Baitulmaqdis, beliau bekerja dengan Mandat Palestin sebelum melanjutkan pelajaran ke Rusia sebagai ahli sosialis sebelum kembali ke Palestin sebagai wartawan berhaluan kiri. Sepanjang dekad 30-an, Sidqi membaca teks propaganda Nazi Jerman termasuk teks Hitler, Joseph Goebbels dan Alfred Rosenberg dan melihat sendiri kekejaman mereka apabila melawat Jerman pada tahun 1936. Apabila rakan-rakan seperjuangannya menyokong keputusan Stalin bersekutu dengan Hitler melalui Perjanjian Molotov-Ribbentrop pada tahun 1939, Sidqi yang berang memutuskan hubungan dengan pergerakan komunisme tempatan dan antarabangsa. Selain itu, buku ini turut menyentuh pengalaman Sidqi yang berjuang dalam Perang Saudara Sepanyol di mana beliau menyeru tentera Islam dari Maghribi untuk meninggalkan pasukan Franco dan menyokong pihak Republik.

Figure 3: Antara asas buku Najati Sidqi ialah pengalaman beliau semasa berkhidmat dalam Perang Saudara Sepanyol. Sumber: https://www.alaraby.co.uk/english/indepth/2016/9/1/arabs-on-both-sides-of-the-spanish-civil-war

Seperti di Amerika Syarikat, Eropah terutama Britain dan India, Timur Tengah turut menyaksikan kemunculan dua kelompok iaitu kelompok yang tertarik dengan fascisme dan kelompok yang sedar akan bahaya fahaman tersebut. Dan bukanlah satu kejutan pertembungan antara kelompok pro-demokrasi dan rejim anti-demokrasi di Timur Tengah masih berlaku sehingga kini.

SUMBER:

  1. Rudoren, Jodi. (2015). New York Times. Netanyahu Denounced for Saying Palestinian Inspired Holocaust. https://www.nytimes.com/2015/10/22/world/middleeast/netanyahu-saying-palestinian-mufti-inspired-holocaust-draws-broad-criticism.html
  2. Broich, John. (2017). Slate. Did the Muslim World Really Fall for Hitler? http://www.slate.com/articles/news_and_politics/fascism/2017/03/islamofascism_and_anti_fascism_in_the_arab_world_during_world_war_ii.html
  3. Video ucapan Benjamin Netanyahu pada Kongres Zionis Sedunia Ke-37. https://www.youtube.com/watch?v=XnXS146cxLE&feature=youtu.be&t=2m40s
  4. Teks ucapan Benjamin Netanyahu pada Kongres Zionis Sedunia Ke-37. http://www.pmo.gov.il/English/MediaCenter/Speeches/Pages/speechcongress201015.aspx
  5. Apocalypse: The Second World War. (2009). Episod: The Great Landing. https://www.youtube.com/watch?v=KKDR3wZkkuQ

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply