95 tahun dahulu, seorang saintis yang dianggap genius pada abad ke-20, Albert Einstein dijemput datang ke Jepun untuk memberi siri ceramah di negara Matahari Terbit itu. Pada ketika itu, pada usia 43 tahun, beliau diberitahu akan dianugerahkan anugerah berprestij dalam bidangnya iaitu fizik. Anugerah tersebut Hadiah Nobel dalam bidang Fizik. Berikutan itu, minat orang ramai terhadap Einstein meningkat. Bagi beliau sendiri, walaupun sedar anugerah tersebut merupakan satu penghormatan kepadanya tetapi ia turut mengundang ketidakselesaan berikutan orang ramai berpusu-pusu mahu berjumpa dengannya.

Atas sebab itu, Einstein mahu menyatakan perasaannya dari biliknya di Hotel Imperial, Tokyo. Pada suatu ketika, seorang penghantar menghantar barang ke bilik beliau. Sebagai penghargaan, Einstein menulis dua nota ringkas dan menyerahkan kedua-dua nota tersebut kepada penghantar tersebut. Mungkin sesiapa yang mendengar kisah ini merasakan beliau bersikap kedekut tetapi Einstein sebenarnya melihat faedah jangka panjang di sebalik nota tersebut. Baginya, keuntungan yang diraih si pemilik sekiranya menjual nota tersebut jauh lebih bernilai berbanding memberi penghantar tersebut sedikit wang sebagai tips.

Figure 1: Nota Einstein di Tokyo yang dilelong baru-baru ini. Sumber: http://www.smh.com.au/world/einsteins-theory-of-happiness-scribbled-on-notepaper-instead-of-a-tip-sells-for-23m-20171025-gz7tsg.html

Tak percaya? Dua nota yang dikatakan biasa-biasa ini dilelong pada harga berlipat kali ganda, menepati telahan Einstein sembilan dekad yang lalu. Nota pertama yang mengandungi mesej “A calm and modest life brings more happiness than the pursuit of success combined with constant restlessness.” dilelong di laman sesawang Winner’s Auctions and Exhibitions pada harga $1.56 juta. Bidaan bermula dari $2,000 dan berlangsung selama 25 minit. Nota kedua pula yang mengandungi mesej “Where there’s a will there’s a way.” pula dilelong pada harga $240,000.

Anda sangka pesanan ini bersifat biasa-biasa tetapi hakikatnya, ini teori Einstein tentang kegembiraan. Dan ini berkait dengan pengalaman beliau sendiri:

a) Pesanan pertama Einstein ini sebenarnya diinspirasikan daripada pengalaman hidupnya termasuk perkahwinan pertamanya dengan Mileva. Walaupun mempunyai kehidupan normal seperti orang lain tetapi Einstein hidup dalam dunianya sendiri, kadangkala sampai ke tahap mengabaikan isteri dan anak-anak. Ya, fokus sebegini pada idea dan konsep menyumbang kepada kejayaan dan penghormatan dalam bidangnya tetapi keluarganya terpaksa membayar harga mahal. Perkahwinan Einstein dengan Mileva berantakan gara-gara sikapnya yang mahu menjauhkan diri dan kecenderungannya mempunyai hubungan sulit dengan wanita-wanita lain.

Figure 2: Antara punca perceraian Albert Einstein dengan Mileva Maric ialah sikap beliau yang dingin dan suka menjauhkan diri serta mempunyai hubungan sulit dengan ramai wanita.

Bagi anak-anaknya pula, walaupun Einstein memberi perhatian mereka semasa kecil, ianya tidak berpanjangan terutama selepas perceraian dengan Mileva. Salah seorang anaknya, Eduard Einstein menderita penyakit mental dan pernah cuba membunuh diri, akhirnya mati di sebuah hospital psikiatri. Dan tambah menyedihkan, beliau tidak pernah melawat Eduard selama 30 tahun. Bagi seorang lagi anak Einstein, Hans Albert, beliau menyifatkan satu-satunya projek di mana bapanya menyerah kalah ialah dirinya sendiri.

Dalam kesibukan kita mengejar impian atau cita-cita, pastikan orang-orang yang kita sayang tidak terabai. Ini kerana bila itu berlaku, kita sebenarnya menjerumuskan diri kita dan orang-orang tersayang ke lembah kebinasaan. Pengabaian sebenarnya merupakan pintu kepada pelbagai permasalahan terutama membabitkan institusi kekeluargaan. Dan sekiranya ini dilakukan secara berterusan, ia boleh membawa kepada keruntuhan institusi kekeluargaan dan generasi terkemudian mudah terdedah kepada pelbagai gejala sosial pada zaman ini.

Tidak berbaloi meraih sesebuah kejayaan tetapi harganya ialah kehilangan orang-orang yang kita cintai. Orang-orang yang kita sayang terutama keluarga merupakan satu ujian tetapi juga satu nikmat Allah s.w.t yang harus dihargai sebaik-baiknya. Firman Allah s.w.t dalam ayat 21, Surah Ar-Rum, “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” Begitu juga sabda Nabi Muhammad s.a.w, “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (Riwayat Tirmidzi)

b) Dalam pesanan sama, Einstein turut menekankan soal kehidupan yang tenang dan sederhana. Mungkin nampak remeh tetapi pada zaman ini, ianya amat bersesuaian sekali. Dan ini juga berkait dengan pengalaman hidup beliau sendiri. Sepanjang hidupnya, Einstein pernah melakukan beberapa pelaburan di Eropah dan Amerika Syarikat hasil dari wang kemenangan Hadiah Nobel Fizik tetapi semua pelaburannya berakhir dengan kegagalan.

Al-Quran secara jelas menceritakan perihal manusia yang suka berfoya-foya dan membazir apabila mereka dalam keadaan mewah. Firman Allah s.w.t dalam ayat 27, Surah Asy-Syuura, “Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi Melihat dengan nyata.” Dan Ali bin Abi Talib r.a menyifatkan antara penyakit harta ialah pembaziran.

Al-Quran secara jelas menceritakan kepentingan bersederhana termasuk perbuatan-perbuatan yang menyebabkan harta sebagai alat mengheret manusia ke arah kehancuran. Buktinya terlalu banyak seperti ayat 29, Surah Al-Isra’, “Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan.” Begitu juga ayat 26-27, surah yang sama, “Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Nabi s.a.w turut menekankan aspek ini dalam soal kehidupan. Ini kerana apabila manusia terlalu bermewah-mewah dalam kehidupan mereka dan enggan bersederhana, ia sebenarnya mengheret manusia ke arah kebinasaan. Dan jalan kebinasaan ini biasanya berlaku sama ada melalui pembaziran atau sikap kedekut. Atas sebab itu, sikap sebegini perlu dihindari berdasarkan firman Allah s.w.t dalam ayat 31, Surah Al-A’raf, “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” Nabi s.a.w turut menegaskan perkara ini dalam satu hadis, “Makanlah, bersedekahlah dan pakailah dalam keadaan tanpa membazirkan wang dan kesombongan.”

Manusia yang bersederhana bukan saja mampu memanfaatkan hartanya sebaik mungkin, bahkan dapat hidup tenang berikutan hidupnya diredhai Allah s.w.t. Firman-Nya dalam ayat 67, Surah Al-Furqan, “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” Bukan itu saja, manusia sebegini sentiasa mensyukuri dan menghargai setiap nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t terhadapnya. Menurut Sheikh as-Sa’adi rahimahullah, kesederhanaan merupakan kunci kepada kestabilan dan kesempurnaan harta.

c) Nota kedua Einstein menyentuh tentang soal kemahuan dan usaha untuk mencapainya. Dan ini juga ada kaitan dengan zaman kanak-kanak beliau. Semasa kecil, Einstein perlahan dalam belajar bercakap sehingga membimbangkan ibu bapanya akan keupayaan pembelajarannya. Di sebalik kebijaksanaannya dalam pelajaran, beliau bersikap memberontak dan berhenti sekolah pada usia 15 tahun. Dan apabila Einstein menduduki ujian kemasukan sebuah sekolah politeknik di Zurich, beliau gagal dalam mata pelajaran lain seperti botani dan bahasa walaupun lulus dalam ujian Matematik. Walaupun berjaya lulus pada tahun berikutnya, Einstein terus bergelut sehinggakan para pensyarahnya berpandangan pelajar pintar ini mungkin tidak akan menamatkan pengajiannya. Walaupun berhadapan dengan pelbagai ujian sepanjang hidupnya, ini tidak menghalang beliau untuk berusaha mencapai matlamat impiannya.

Figure 3: Semasa kecil, Einstein dianggap tidak cerdik kerana mengalami masalah komunikasi dan sukar belajar dalam suasana pembelajaran tradisional.

Kita nak berjaya dalam sesuatu bidang tetapi tanpa usaha, matlamat yang kita tetapkan itu hanyalah sekadar angan-angan Mat Jenin. Nak berjaya memerlukan usaha yang gigih dan pengorbanan. Dan ini ditegaskan Allah s.w.t dalam ayat 11, Surah Ar-Ra’d, “Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”

Dan sejarah adalah saksi kepada semua ini. Ini kerana jika anda perasan, sejarah diwarnai dan dipenuhi oleh orang-orang yang bersungguh-sungguh, bukan orang yang suka bersantai dan berangan-angan. Kesungguhan mereka ini dicapai kerana disokong dengan ketabahan dan berterusan dalam mencapai objektif yang ditetapkan. Hasil dari sikap mereka ini, mereka bukan saja membina tamadun yang maju tetapi juga menjadi inspirasi generasi terkemudian.

Contoh orang berjaya yang pernah gagal pada kali pertama:

– Walt Disney dipecat dari akhbar Kansas City Star kerana editornya berpandangan beliau tidak mempunyai imaginasi dan idea yang bernas.

– Pengasas Kentucky Fried Chicken (KFC), Kolonel Harland David Sanders dipecat dari 12 buah pekerjaan sebelum berjaya menubuhkan empayar ayam gorengnya.

– Walaupun memiliki 1000 paten dan mencipta pelbagai peralatan yang mengubah dunia, guru-guru Thomas Edison menganggap beliau terlalu bodoh untuk mempelajari apa-apa semasa kecilnya.

– Pelakon terkenal Hollywood, Harrison Ford (siri Star Wars, siri Indiana Jones) pernah diberitahu seorang penerbit bahawa beliau tidak akan berjaya dalam bidang perfileman.

– Sebelum mengasaskan syarikat permotoran Ford, Henry Ford pernah gagal dalam beberapa perusahaan permotorannya pada usia muda.

SUMBER:

  1. Sugar, Rachel, Feloni, Richard & Lutz, Ashley. (2015). Business Insider. Successful people who failed at first. http://www.businessinsider.com/successful-people-who-failed-at-first-2015-7/?IR=T/#nston-churchill-was-estranged-from-his-political-party-over-ideological-disagreements-during-the-wilderness-years-of-1929-to-1939-20
  2. Musthofa, Ashim. (2013). Al-Manhaj. Nikmatnya Hidup Sederhana. https://almanhaj.or.id/3510-nikmatnya-hidup-sederhana.html
  3. Barker, Eric. (2017). Business Insider. ‘I treat my wife as an employee whom I cannot fire’: How Albert Einstein’s family paid the price for his genius. http://www.businessinsider.com/how-albert-einsteins-family-paid-the-price-for-his-genius-2017-5/?IR=T

4. Oppenheim, Maya. (2017). The Independent. Albert Einstein’s theory of happiness sold for $1.5m. http://www.independent.co.uk/news/science/albert-einstein-theory-happiness-sold-auction-1-million-a8018961.html

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply