Kelakar bukan tajuk artikel ini? Ia ibarat menafikan kewujudan bangsa Melayu sebelum kurun ke-17M, dengan anggapan bahawa bahasa melayu adalah bahasa termuda dalam semua kelas bahasa Austronesia. Begitulah hujah seorang pejuang sejarah dari seberang kerana menurut anggapannya, bahasa melayu itu tidak wujud kerana tiada etimologi secara bertulis yang menyatakan wujudnya nama bahasa melayu.

Individu itu mengeluarkan hujah berdasarkan teks Lontara Sunda yang berjudul Sang Hyang Siksakandang Karesian, yang ditulis pada tahun 1518M. Dalam teks Sang Hyang Siksakandang Karesian, bab 20 jelas menulis nama-nama bahasa lain selain yang terdapat di Sunda. Bahasa-bahasa ditulis mengikut geografi asal bahasa seperti bahasa Pahang, bahasa Andalas, bahasa Minangkabau dan sebagainya. Jadi, untuk “downgrade”kan bahasa melayu, mereka terus-terusan menafikan kewujudan bahasa melayu sebagai bahasa pengantaraan kerana tidak disebut nama bahasa itu sebagai bahasa melayu dalam naskhah tersebut

Oleh itu, menurut pengomen itu lagi, bahasa melayu tidak wujud sebagai nama Melayu, tetapi dinamakan ikut nama geografi sesuatu tempat. Umum kita tahu bahawa penulisan melayu klasik tertua yang masih tersimpan rapi ialah dua helaian surat dari Sultan Hayat Ternate kepada Raja Portugal pada tahun 1521 dan 1522M. Namun begitu, isi surat yang tidak menulis bahasa apakah surat itu menyebabkan pengomen tersebut meyakini bahawa bahasa yang digunakan untuk menulis surat ialah Bahasa Ternate. Ia suatu yang pelik, kerana bahasa melayu bukanlah bahasa ibunda Ternate, dan Bahasa Ternate dikelaskan sebagai bahasa Papua Barat, bukan bahasa Melayu-Polinesia. Di zaman moden ini, Bahasa Ternate pula menjadi lingua franca di Utara Kepulauan Maluku, bukan bahasa melayu.

Apa yang menjadi asas kepada hujahnya ialah nama bahasa melayu tidak tercatat dalam mana-mana naskhah pada abad ke-15M atau lebih awal seperti naskhah SangHyang Siksakandang Karesian (masalahnya naskhah ini pula ditulis pada awal abad ke-16M). Bukankah ia suatu yang melucukan apabila kita jadikan hujah, tiada nama bahasa direkodkan, tidak wujud bahasa itu. Zaman dahulu orang tidak memanggil bahasa melayu Kelantan, tapi hanya bahasa Kelantan, mengikut hujah pengomen tersebut.

Manuskrip Melayu Atas Daun Nipah. Sumber: Utusan

Adakah benar nama bahasa melayu tidak pernah dicatatkan sebelum kurun ke-17M, iaitu sebelum ahli linguistik mengelaskan ia sebagai bahasa Melayu-Polinesia? Walaupun permulaan pengelasan ini dimulakan pada tahun 1706M (kurun ke-18M) oleh Adriaan Reland, pengkaji berbangsa Belanda.

Bahasa melayu sebenarnya telah tercatat sebagai sebuah bahasa di zaman dahulu. Bukan sekadar sebuah bahasa, malahan telah menjadi lingua franca sejak Srivijaya menjadi empayar melayu yang menaungi hampir semua kawasan kepulauan ini. Oleh itu, bahasa melayu digunakan secara meluas sejak dari zaman dahulu.

Prasasti Pengkalan Kempas: Sumber: Blog OrangNogori

Petunjuk pertama, surat-surat lama sejak awal abad ke-16M (Zaman Klasik) kepada tamadun luar, kebanyakannya menggunakan bahasa melayu. Bukan setakat sekitar kerajaan-kerajaan melayu di Semenanjung dan Sumatra, malahan seluruh Nusantara ini menggunakan bahasa melayu untuk berinteraksi dengan kerajaan luar atau berbeza bahasa dengan mereka. Surat terawal yang masih terperlihara ialah Surat Baginda Sultan Abu Hayat dari Kesultanan Ternate kepada Raja Portugal pada tahun 1521-1522 dengan menggunakan aksara jawi. Kemudian, Surat Raja Acheh kepada Harry Middleton (1602 M) dan Surat Emas Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Acheh kepada Raja England, King James 1 (1615M).

Seterusnya, surat Pangeran Arya Upapati di Banten kepada Kapitan Belanda di Jayakarta (1619M) juga ditulis dalam Bahasa Melayu beraksara jawa, walaupun mereka berada di Pulau Jawa, menunjukkan Bahasa Melayu ialah Lingua Franca pada masa itu. Surat-surat lain berbahasa melayu ialah Surat La Patau Paduka Sri Sultan Idris Azim-ud-din dari Bone kepada Jenderal Willem van Outhoorn (1697M), Surat Sultan Kecil Anak Sungai dari Bangkahulu kepada Richard Farmer (1718M), Surat Raja Bendahara Paduka Seri Maharaja Permaisura dari Brunei kepada Kapten Inggeris di Jambi (Kurun ke-17 M), Surat Raja Muda Maguindanao kepada King George III dari Great Britain (1775M) dan Surat Pangeran Nata Negara dari Madura kepada Kapten James Clark 1815.

Selain surat-surat dari Negeri-negeri Melayu di Semenanjung yang sememangnya menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa ibunda, bahagian-bahagian lain di Kepulauan Melayu seperti di Tidore, Jawa dan Madura juga menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa persuratan dan menggunakan ayat-ayat yang indah dalam karangan persuratan mereka. Melalui bahasa melayu sebagai lingua franca, Stamford Raffles pada tahun 1809 menegaskan bahawa Melayu ialah sebuah konsep negara bangsa, seiring dengan perkembangan Pergerakan Zaman Romantisme Inggeris, selepas dia mengikuti ekspedisi ke Pagarruyung, di mana Raffles mengatakan bahawa di sana (Kerajaan Minangkabau) adalah punca kuasa kerajaan, asal-usul negara tersebut dan tersebar dengan meluasnya ke seluruh Kepulauan Timur. Dalam penulisan lainnya, Raffles menukar konsep Kerajaan kepada bangsa melayu. Oleh itu, konsep Kepulauan Melayu yang dikembangkan oleh Wallace bukanlah ciptaannya semata-mata, tetapi merujuk kepada hasil persuratan dalam bahasa melayu yang digunakan secara meluas di seluruh Kepulauan ini.

Petunjuk kedua, kitab-kitab berkenaan dengan agama Islam majoriti diterjemahkan daripada bahasa Arab ke bahasa melayu. Bukankah ia menunjukkan bahawa bahasa melayu sebagai lingua-franca yang penting? Kitab Aqa’id Al-Nasafi yang terdapat dalam simpanan Prof Diraja Ungku Aziz merupakan Kitab Berbahasa Melayu (diterjemahkan dari Bahasa Arab) yang dianggap tertua yang masih terperlihara iaitu karangan yang ditulis pada tahun 1509M.

Selain kitab-kitab, manuskrip melayu klasik berjumlah lebih 12,000 manuskrip di 14 buah negara yang ditulis di atas kulit kambing, gading, kertas, kain, ukiran kayu, buluh, lontar dan sebagainya dalam tulisan jawi juga menunjukkan kepentingan bahasa melayu sebagai bahasa persuratan dan bahasa ilmu. Selain itu, Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa ilmiah dan bahasa pengantara dalam penyebaran Agama Islam.

Kitab-kitab karangan ulama Nusantara seperti Al-Banjari, Al-Sumatrani, Al-Fothani, Al-Falimbani, Al-Raniri dan sebagainya ditulis dalam bahasa melayu. Ini membuktikan penyebaran islam itu menggunakan bahasa melayu sebagai medium bahasa yang berkesan, menunjukkan bahasa melayu sebagai Lingua Franca di seluruh Kepulauan Melayu ini. Sehinggakan St Xaveir Fernandes perlu terjemahkan kitab-kitab agama Kristian ke dalam bahasa melayu untuk menyampaikan dakwahnya kepada orang-orang di kepulauan Melayu walaupun dia menyampaikan ajarannya kepada orang-orang di Makassar dan Maluku.

Dengan petunjuk-petunjuk ini, jelaslah bahawa Bahasa Melayu merupakan bahasa perantaraan yang terpenting di Kepulauan Melayu ini dan penyebarannya yang meluas di seluruh Kepulauan Melayu menjadikan Bahasa Melayu Klasik (Kurun ke 15-19M) bukan hanya telah wujud, malahan ia menjadi bahasa terpenting dan lingua franca di seluruh kepulauan melayu.

Apa? Tiada nama Bahasa Melayu atau Bangsa Melayu sebelum itu menyebabkan ia tidak wujud, tetapi hanya menggunakan nama geografi sahaja seperti Bahasa Kelantan, Bahasa Pahang dan sebagainya merujuk kepada naskhah klasik berbahasa Sunda iaitu Sang Hyang Siksakandang Karesian (1518M), walaupun tiada rujukan silang dengan sumber lain?

Ia suatu yang pelik jika kita menulis surat dalam bahasa ibunda kita, tetapi menyatakan apakah bahasa yang digunakan. Contoh,

“Kehadapan kekasihku yang kucintai, aku menulis surat ini dalam Bahasa Melayu kerana aku sangat merinduimu.”

Adakah perkara itu logik? Bukankah ia menjadi suatu perkara yang sangat pelik?

Gambar Potret Antonio Pigafetta

Jadi, kita perlu mengkaji penulisan luar terhadap kita dalam mengenalpasti bahasa apa yang dipertuturkan oleh orang melayu pada masa itu? Sebenarnya, ada rekod nama bahasa melayu ini dalam penulisan di Tahun 1524M, merujuk kepada perjalanan di Tahun 1521M oleh Antonio Pigafetta. Etimologi Bahasa Melayu wujud di masa itu!

Dalam daftar perkataan dalam Vocaboli de Questi Popoli Mori, perkataan ke 334: Al Parlare de Malaca (maksudnya Apakah Bahasa Orang Melaka), Antonio Pigafetta merakamkan orang melayu menyebutnya sebagai chiara-malaiu! Chiara Malaiu boleh jadi Bicara Melayu. Jadi di zaman itu, orang-orang di Melaka dan sekitarnya bercakap chiara malaiu. Bukankah ia satu rekod yang menafikan dakwaan bahasa melayu tidak wujud pada masa itu?

Kemudian, dalam karya Emanuel Godinho De Eredia yang berjudul “Declaracam de Malaca e da India Meridional com Cathay” yang bermaksud Penerangan berkenaan Melaka dan Meridional India dan Cathay telah ditulis pada tahun 1613M dan menerangkan dengan selengkapnya berkenaan dengan Bangsa Malaio dari Hujung Salang ke Teluk Rumania di Selatan Johor (Ujong Tanah), Laut Melayu yang merangkumi Selat Melaka dan Laut Cina Selatan hari ini; dan Raja-raja Melayu dalam karya berkenaan dengan Malacca. Ini bermakna, Bangsa Melayu sememangnya telah direkodkan wujud sejak zaman dahulu lagi dan konsepnya telah dijelaskan oleh De Eredia pada tahun 1613M, lebih 100 tahun sebelum Johann Friedrich Blumenbach menjumpai konsep “The Malay Race”. De Eredia ialah penulis Portugis yang dikatakan lahir dan menetap di Melaka sebelum menjelajah lautan untuk menulis.

Jadi, sejarah bangsa kita bukanlah sewenang-wenangnya dimanipulasi, ia sebenarnya tercatat dalam pelbagai catatan dan kita masih tunggu ribuan manuskrip melayu untuk diterjemahkan. Sejarah kita tidak perlu direkayasa, ia telah wujud dengan gahnya, walaupun di zaman penjajahan kolonilisasi barat, ia tidak melenyapkan terus jatidiri bangsa kita. Bangsa Melayu terus kompeten dan wujud sehingga ke hari ini.

Sekian.

Rujukan:

1) Abdul Rashid Melebek, Amat Juhari Moain (2006), Sejarah Bahasa Melayu, Utusan Publications and Distributions Sdn Bhd
2) Anthony Reid (2001), Understanding Melayu (Malay) as a Source of Diverse Modern Identities, Journal of SEAS
3) Emanuel Godinho De Eredia (1613), Declaracam de Malaca e da India Meridional com Cathay (Translation by J.V. Mills)Dokumen dalam Sejarah Melayu Library sabrizain.org
4) Alessandro Bausani (1960),The First Italian-Malay Vocabulary by Antonio Pigafetta, Journal East and West.
5) Abdul Hamid Mahmood (2015), Mengangkat Bahasa Melayu dan Budaya Melayu ke Peringkat Antarabangsa, Jurnal Bahasa Melayu Dalam Konteks Budaya,
6.) Antonio Pigafetta (1524), Primo Viaggo Intorno Al Mondo (Cetakan 1999)

Laman Web

7.) http://www.orangnogori.com/batu-bersurat-di-pengkalan-kempas.html
8.  http://melayuonline.com/ind/article/read/701
9) http://ww1.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121207/ba_01/Kenali-Manuskrip-Melayu

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nornizam Jamal merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah yang mempunyai minat dalam menulis. Penulisan beliau lebih cenderung kepada Sejarah Melayu, Marcapada Dunia, Isu-isu pendidikan dan Sains

Leave A Reply