Lagu nyanyian M. Nasir ini pertama kali singgah di telinga saya pada tahun 2011. Teman serumah yang sedang ‘menyumbangkan’ lagu ini dengan penuh perasaan, kelam-kabut merendahkan suara setelah saya masuk ke biliknya secara tiba-tiba. Sambil ketawa saya mengusiknya,

“Muka garang layan lagu jiwang.”

“Mana ada jiwang, bongok. Kau dengar betul-betul lirik dia.”

Rasa tercabar setelah dibongokkan begitu saja, saya cuba mendengar sendiri lagu tersebut. Akhirnya selepas menghayati liriknya, saya menyedari lagu tersebut memang jiwang.

Tetapi bukan jiwang dalam konteks yang lazim kita sangkakan.

Kepada-Mu Kekasih – M. Nasir

Kepada-Mu Kekasih sebenarnya berasal daripada sebuah sajak yang dikarang oleh penyair Singapura bernama Encik Eunos Asah pada tahun 1979. Dua tahun kemudian pada 1981, M. Nasir telah mengangkat bait sajak tersebut menjadi sebuah lagu.

Dalam sebuah forum di Pesta Penulis Singapura (SWF) 2016, Encik Eunos mengatakan sajak itu meninggalkan makna yang sangat mendalam kepada dirinya.

“Itu merupakan luahan hati apabila saya tertanya diri saya, bilakah masa saya akan berakhir? Bagaimanakah nanti kelakuan saya diperhitungkan, termasuk segala jasa dan bakti?” – Eunos Asah, Berita Harian Singapura, 13/11/2016.

Keindahan sesebuah karya sastera kadangkala dapat dihayati dengan lebih mendalam tatkala disulami irama muzik. Selain sudut penghayatan, ini juga dapat merakyatkan sastera untuk dinikmati khalayak yang lebih ramai.

Mari kita hayati beberapa makna yang tersirat dalam lagu ini :

Kepada-Mu Kekasih aku berserah
Kerana kutahu Kau lebih mengerti

Rangkap ini selari dengan mafhum sebuah hadis :

Rasulullah SAW bersabda : Doa orang dalam kesempitan ialah : “Ya Allah, rahmat-Mu kuharapkan. Jangan tinggalkan diriku ini kepadaku sendiri walau sekelip mata, tetapi letakkanlah segala urusanku dalam aturan yang baik.” (Hadis riwayat Abu Daud. Sanadnya dinilai Hasan oleh al-Albani).

Saat dada sempit menanggung beratnya ujian, kita perlu meyakini ujian itu ditimpakan paling kurang disebabkan dua tujuan.

Pertama, Allah Yang Maha Pengampun mahu mengampunkan dosa-dosa kita yang silam.

Atau kedua, Allah Yang Maha Pengasih mahu mengangkat darjat kita di sisi-Nya.

Saat bencana jatuh bertimpa-timpa bagai tiada lagi jalan keluar, kita perlu sedar kepada Tuhanlah sebaik-baiknya untuk kita minta pertolongan dan sandarkan harapan.

Tekanan dan suara sumbang dari sekeliling akan terus-menerus menekan perasaan dan meruntuhkan semangat kita, namun jika kita kembali mencari-Nya, rasa tenteram akan kembali hadir sebagai penyejuk jiwa.

Memetik kata-kata Buya Hamka,

“Di waktu segala jalan hubungan di bumi ditutup orang, hubungan ke langit lapang terluang.”

Apa yang terlukis dicermin wajahku ini
Apa yang tersirat dihati bersama amali

Dua baris ini selari dengan mahfum sebuah hadis :

Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasallam bersabda : “Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa bentuk dan harta kalian. Tetapi Allah hanyalah melihat pada hati dan amalan kalian.” (Hadis riwayat Muslim)

Manusia menghakimi berdasarkan gerak-geri dan perbuatan zahir. Kita mungkin berjaya mengekang jasad daripada melakukan kejahatan. Namun harus kita akui, berjuang memelihara hati yang bersih jauh lebih sukar.

Berhati-hatilah dengan penyakit hati seperti hasad dengki, sombong, takbur dan lain-lain kerana semua itu tanpa kita sedar akan membakar amal kebajikan yang telah kita lakukan selama ini.

Perihal wajah sebagai cerminan isi hati, Salim A. Fillah di dalam buku beliau Jalan Cinta Para Pejuang, menyebutkan sesuatu yang sedikit berbeza namun menarik untuk direnungi :

“Selama ini kita menganggap wajah sebagai jendela emosi. Mula-mula ada gejolak emosi dalam jiwa kita, kemudian kita boleh atau tidak perlu mengungkapkan emosi itu melalui wajah kita. Ternyata proses itu juga bisa bekerja dengan arah berlawanan. Ertinya, emosi juga bisa dimulai dari wajah. Jadi kita bukan hanya tersenyum kerana bahagia, melainkan juga bisa berbahagia kerana tersenyum. Wajah bukan hanya sebuah monitor penampil yang men-display perasaan dari CPU hati. Wajah adalah mitra yang sejajar dalam suatu proses emosi.”

Kepada-Mu Kekasih aku bertanya
Apakah Kau akan menerimaku kembali
Atau harus menghitung lagi segala jasa dan bakti
Atau harus mencampakku ke sisi tanpa harga diri

Hanya pada-Mu Kekasih aku tinggalkan
Jawapan yang belum ku temukan
Yang bakal aku nantikan
Bila malam menjemputku lena beradu

Kepada-Mu Kekasih aku serahkan
Jiwa dan raga jua segalanya
Apakah Kau akan menerima penyerahan ini
Apakah Kau akan menerimaku dalam keadaan ini

Tiga rangkap ini selari dengan mafhum ayat al-Quran :

“Katakanlah : Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan, pemelihara dan pentadbir sekalian alam.” [al-An’am : 162]

Pernah atau tidak, saat kita membaca sebuah buku atau menonton satu filem, kemudian tiba di suatu ayat, perenggan atau babak tertentu, kita berasa seolah-olah segala yang penulis cuba sampaikan sebenarnya terangkum di dalam ayat atau babak itu sahaja.

Di sinilah saya berpendapat tiga rangkap terakhir ini merupakan inti paling utama dalam lagu Kepada-Mu Kekasih. Tanpa syak lagi, lagu ini di antara lagu ketuhanan terbaik, satu karya yang begitu tinggi nilai seninya. Lagu yang merakamkan rintihan seorang hamba tentang kelemahan dan kekurangan dirinya.

Sembanglah selebat apa pun,
Belajarlah setinggi mana pun,
Kerjalah sebesar apa pun,
Buatlah amal sebanyak mana pun,

Di penghujung hari, kita hanya berharap dua perkara.

Mudah-mudahan Kekasih sudi memandang kita.
Mudah-mudahan Kekasih menerima segala amalan kita.

Penutup

Sebagai penutup, saya teringat satu babak dalam filem Kiamat Sudah Dekat. Dedy Mizwar dalam babak tersebut ada mengungkapkan satu kata-kata sinis kepada orang dilamun cinta,

“Cinta itu kan berhala yang Lu sembah-sembah!”

Benar, sembah itu satu bentuk tindakan.

Cinta kepada Kekasih bukan hanya kata-kata, bukan sekadar wacana.

Cinta kepada Kekasih, adalah pembuktian melalui tindakan.

“Sejauh mana pun puisi berlari, jadi senjata merdeka jadi peneroka angkasa, akan kembali jua jadi bahasa orang-orang bercinta.” – Shafiq Said

Rujukan

1. Terjemahan al-Quran Basmeih
2. Sunnah.com, Sunan Abi Daud, Sahih Muslim.
3. Wawancara Eunos Asah, Berita Harian Singapura 13 November 2016
4. Salim A. Fillah, Jalan Cinta Para Pejuang
5. Tv Tarekat, Lagu Puisi Sufi Halwa Telinga Atau Pengisian Jiwa

Nota Hujung

Salam perkenalan kepada komuniti pembaca The Patriots. Sekiranya anda ingin mencadangkan buku, lagu, atau filem yang bermanfaat untuk dibedah, boleh tinggalkan komen di bawah pautan artikel ini atau hantarkan emel ke haikalfansuri@gmail.com. Terima kasih.
Kepada-Mu Kekasih : Sajak Tentang Penerimaan
Kiriman : Haikal Fansuri


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Leave A Reply