Pada 24 Disember 1969, pasukan tentera Israel telah melancarkan satu operasi untuk melarikan 5 buah bot penyerang laju jenis SAAR 3 dari pelabuhan Cherbourg, Perancis. Kos pembelian telah dijelaskan oleh kerajaan Israel, tetapi bot-bot ini telah ditahan di Perancis kerana kerajaan Perancis melaksanakan dasar embargo senjata keatas Israel. Operasi ini dirancang oleh Tentera Laut Israel dan dinamakan Operation Noa.

Latarbelakang

Pada tahun 1960an, pucuk pimpinan Tentera Laut Israel telah bersetuju untuk menggantikan kapal-kapal pemusnah dan korvet bekas Perang Dunia ke-2 milik mereka kepada kapal-kapal yang lebih moden. Syarikat dari Jerman, Lurssen telah diminta untuk melakukan ubahsuai kepada model bot torpedo jenis Jaguar untuk dijadikan bot peluru berpandu. Bagaimanapun, hasil tekanan dari Liga Arab, program ini dibatalkan dan Israel mencari jurubina kapal yang baru.

Setelah dilakukan penilaian, Tentera Laut Israel telah mencadangkan Felix Amiot, syarikat kejuruteraan dari Cherbourg untuk melakukan pembinaan (bot dan enjin) berdasarkan rekaan Jerman yang terdahulu. Krew telah mula dihantar ke Perancis pada awal tahun 1965, dan pasukan teknikal diketuai oleh Commander Haim Schachal. Bahagian pentadbiran dan operasi pula diketuai oleh Captain Binyamin Telem.

Kerjasama dengan kerajaan Perancis ini bagaimanapun terhalang apabila Presiden Perancis, Charles de Gaulle, mengarahkan eksport senjata ke Israel dihentikan setelah Israel terlibat dalam Perang Enam Hari dengan Mesir pada tahun 1966. Kemudian pada tahun 1968, pasukan komando payung terjun Israel yang dipimpin oleh Colonel Raphael Eitan melakukan serangan keatas Lapangan Terbang Beirut dalam satu operasi menentang PLO. Berikutan peristiwa ini, Presiden de Gaulle mengarahkan sekatan senjata dilakukan sepenuhnya keatas Israel, termasuklah senjata yang telah ditempah dan dibayar sepenuhnya menurut kontrak.

Walaupun lesen untuk mengeksport bot-bot tersebut telah dibatalkan, tetapi pembinaan diteruskan kerana Presiden de Gaulle khuatir akan berlaku rusuhan oleh pekerja-pekerja limbungan jika projek ini dihentikan, mentelah lagi Perancis sedang mengalami kemelesetan ekonomi dan masalah pengangguran. Selepas perletakan jawatan Presiden de Gaulle, Georges Pompidou telah terpilih sebagai Presiden baru. Israel mengharapkan kerajaan baru akan mengakhiri sekatan senjata, namun Pompidou tidak melakukan apa-apa perubahan keatas polisi tersebut.

Keadaan semakin mendesak buat Israel. Mesir telah membangunkan tentera lautnya dengan bantuan Soviet. Pembelian bot peluru berpandu jenis Osa dan Komar telah merubah keseimbangan kekuatan ketenteraan antara Mesir dan Israel. Tambah lagi pada 21 Oktober 1967, sebuah kapal pemusnah tentera laut Israel, K40 Eilat (bekas HMS Zealous kapal Perang Dunia ke-2) telah diserang oleh 4 buah peluru berpandu Styx yang dilancarkan dari bot penyerang jenis Komar milik Tentera Laut Mesir. Ketika itu, K40 Eilat berada 14 batu jauhnya dari Port Said. Kapal Eilat hampir terputus dua dan mengakibatkan 47 anak kapal terbunuh, 41 tercedera dan 152 berjaya diselamatkan. Apa yang menariknya, bot Tentera Laut Mesir itu masih berada di dalam pelabuhan Port Said semasa peluru berpandu dilancarkan.

Satu insiden yang berlaku lebih awal lagi, sebuah kapal selam Israel, INS Dakar (bekas HMS Totem) yang dalam perjalanan pulang ke Israel dari Britain pada 9 Januari 1968 telah hilang tanpa dikesan. (Pada tahun 1965, Israel telah membeli 3 buah kapal selam terpakai kelas “T” dari Britain, dan menjalani latihan di Scotland sebelum dibawa pulang). INS Dakar telah hilang bersama-sama anak kapal, dan sepanjang pencarian selama 3 dekad, ianya hanya ditemui pada tahun 1999 di lokasi antara Pulau Cyprus dan Pulau Crete. Punca kehilangannya masih lagi menjadi misteri. Kedua-dua insiden yang telah dinyatakan menyebabkan pucuk pimpinan Tentera Laut Israel mengambil keputusan untuk membawa pulang bot-bot di Cherbourg dengan apa cara sekalipun.

Operasi Sulit

Rencana melarikan bot-bot tersebut telah dibuat oleh Rear Admiral Mordechai Limon. Sebanyak 12 buah bot telah ditempah, dan pada tahun 1967, bot yang ke-7, INS Mivtach telah siap dan ketika menjalani “sea trials” ia telah diarahkan meninggalkan Perancis dan terus belayar ke Haifa, Israel. Arahan diberikan dari Israel terus kepada anak kapal yang sedang menjalani latihan di Cherbourg. Keputusan Israel ini benar-benar menimbulkan kemarahan Perancis, dan ke semua bot-bot yang masih ada diarahkan meninggalkan pelabuhan tentera Perancis dan sebaliknya ditempatkan di pelabuhan biasa.

Dengan idea Admiral Limon, bot-bot ini dijual oleh kerajaan Israel kepada sebuah syarikat yang dikenali sebagai Starboat (berdaftar di Panama) yang mana kakitangannya adalah anggota-anggota perisikan Israel, Mossad, diketuai oleh Benyamin Vered. Starboat bercadang membeli bot-bot tersebut kerana kononnya spesifikasi bot-bot itu menepati kehendak mereka sebagai kapal survey untuk operasi petroleum dan gas.Starboat menetapkan syarat yang direka – semasa proses pemindahan bot-bot tersebut mestilah menggunakan krew-krew Tentera Laut Israel, atas alasan mereka telah berpengalaman mengendalikannya. Bot-bot tersebut telah dijual secara sah kepada Starboat, dengan keizinan Menteri Pertahanan Perancis, Michel Debre. Proses jual beli ini adalah sebenarnya muslihat pertama Israel. Mari kita lihat muslihat mereka seterusnya.

Hari-hari berikutnya, krew-krew Israel melakukan aktiviti-aktiviti rutin yang tidak menimbulkan syak kepada Perancis. Bot-bot dibawa keluar dengan pelayaran singkat ke Atlantik. Pada masa yang sama, krew-krew kapal telah ditambah dengan didatangkan dari Israel. Mereka dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil (2 orang sekumpulan) dan sampai berasingan untuk mengelakkan perisikan Perancis mengesyaki kedatangan mereka dalam satu kumpulan besar. Mereka juga tidak tinggal dalam hotel yang sama, sebaliknya berpecah-pecah dan kerap bertukar hotel. Menjelang 23 Disember 1969, kesemua krew yang diperlukan telah berada di Perancis.

Perjalanan pulang dijangka memakan masa 8 hari, dengan itu pegawai lojistik terpaksa mendapatkan bekalan makanan segar yang mencukupi, juga untuk melindungi muslihat mereka, bahan bekalan yang dibeli dari kedai runcit berdekatan terpaksa dibeli sedikit demi sedikit untuk mengelakkan perhatian. Begitu juga bekalan bahan api diesel, terpaksa diisi berulangkali oleh sebuah trak 5 tan. Suku juta liter diesel dalam drum-drum telah disorokkan diperut kapal, dan menjelang 24 Disember 1969 kesemua bot-bot telah mempunyai bekalan yang cukup untuk belayar pulang ke Haifa.

Untuk mengaburi penduduk setempat, enjin kesemua bot-bot dihidupkan setiap malam, supaya menjadi kebiasaan kepada mereka dan tidak mencurigakan dalam situasi sebenar. Jika ini tidak dilakukan, mereka pasti akan terkejut mengapa kesemua bot-bot tersebut dihidupkan enjinnya secara serentak. Atas alasan teknikal, bot-bot tersebut mendapat kebenaran dari pihak Polis untuk mengoperasikan enjin pada waktu malam, walaupun terdapat aduan dari penduduk sekitar Cherbourg.

Selain itu 2 buah kapal, MV Lea akan digunakan untuk membekalkan bahan api setibanya bot-bot tersebut di Gibraltar, dan kapal MV Naharyah bertindak sebagai “back-up”.

Lari dari Cherbourg

Bot-bot tersebut direncanakan keluar dari Cherbourg pada malam 24 Dis 1969, ketika penduduk tempatan sibuk untuk menyambut perayaan Krismas. Pasukan Israel mempunyai pakar kajicuaca yang memantau laporan dari Britain, Perancis dan Sepanyol bagi memastikan keselamatan mereka semasa melalui Teluk Biscay. Walaupun cuaca diramalkan hujan, semua krew diarahkan belayar keluar pada jam 2030 (8:30 pm) tetapi ditunda kepada 2230 kerana berlakunya ribut dan cuaca semakin memburuk. Walaupun terdapat arahan dari Tel Aviv supaya mereka meninggalkan Cherbourg dengan segera, Captain Hadar Kimhi menunggu sehingga tengah malam setelah BBC melaporkan ribut akan reda dalam masa 2 jam lagi.

Mereka bergerak meninggalkan pelabuhan Cherbourg pada jam 2;30 pagi tanpa disedari oleh pihak Perancis. Kehilangan mereka hanya diketahui keesokkannya apabila seorang wartawan yang melawat pelabuhan itu mendapati bot-bot tersebut telah tiada. Dia kemudiannya melaporkan ke BBC, iaitu 12 jam setelah bot-bot tersebut berlepas, dan pihak Perancis mula menyedarinya setelah mendengar laporan dari BBC.

Semasa bot-bot tersebut melepasi Gibraltar, pihak British telah menghantar signal meminta mereka memperkenalkan identiti tetapi tiada jawapan balas. Sebuah helikopter dihantar untuk mengenalpasti mereka tetapi tiada bendera atau lain-lain tanda untuk dikenalpasti. Pihak British kemudiannya menghantar signal “bon voyage” dan Israel menganggap British telah mengenalpasti mereka dalam pelarian ke Haifa. Menteri Pertahanan Perancis, Michel Debre mengarahkan serangan udara dilakukan tetapi dibantah oleh Ketua Staf Tentera Perancis dan juga Perdana Menteri Jacques Chaban-Delmas.

Keseluruhannya, bot-bot Israel telah belayar sejauh 3,145 batu nautika (5,825 km) dan tiba di Haifa pada 31 Dis 1969. Semasa dibawah syarikat carigali Starboat, bot-bot ini dinamakan Starboat 1,2,3,4, dan 5. Kemudiannya ditukarkan kepada (setelah menyertai Tentera Laut Israel):
INS Sufa (Storm)
INS Ga’ash (Volcano)
INS Herev (Sword)
INS Hanit (Spear)
INS Hetz (Arrow)
Bot-bot ini masih tidak bersenjata semasa dilarikan dari Perancis. Ia kemudiannya dilengkapi dengan peluru berpandu Gabriel, sistem ECM dan EW.

Selepas insiden ini, Mordechai Limon telah dihalau keluar dari Perancis. Ejen-ejen Mossad pula akan dipantau oleh perisikan Perancis. Dalam banyak situasi, anggota-anggota PLO atau pejuang Palestin yang diburu Mossad akan terlepas lari selepas ejen perisikan Perancis yang pro-Arab membocorkan maklumat.

Israel seterusnya bergantung mendapatkan bekalan senjata dari Amerika Syarikat.

http://konflikdanmiliter.blogspot.com/2015/04/escape-from-cherbourg-1969.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

A Seaman is not only a Navigator, but also a Merchant and a Soldier. "Through the seas we are strong. Jalesveva Jayamahe." 1. Diploma Nautical Studies, ALAM (2009). 2. Combined Mate and Master, A1MC, ALAM (2014). 3. COC Class 3, MARDEP Malaysia.

Leave A Reply