The World Of Us, ataupun ‘Woorideul’ merupakan sebuah filem Korea yang ditayangkan pada tahun 2016. Filem ini sekaligus pelakon utama telah berjaya merangkul beberapa anugerah seperti 10th Asia Pacific Screen Awards, 2016 Tokyo Filmex, 53rd Baeksang Arts Awards dan lain-lain.

Berkisarkan tentang persahabatan dan konflik di antara dua orang pelajar perempuan yang berumur lebih kurang 10 tahun, filem ini mungkin tidak lah begitu menarik bagi sesetengah penonton jika dibandingkan dengan filem-filem yang dilakonkan oleh pelakon-pelakon Korea lain yang popular lagi kacak seperti Song Joong Ki, Lee Jun Ki mahupun Gong Yoo. Woorideul juga tidak mempunyai tarikan dari segi cinematography, plot-plot hanya berkisar di sekitar kawasan tempat tinggal semi-bandar dan juga sekolah. Watak-watak dalam filem ini pula majoriti merupakan pelajar-pelajar perempuan sekolah rendah.

Lee Sun merupakan seorang pelajar perempuan darjah empat yang sering dibuli oleh rakan sekelasnya. Sebagai seorang yang tidak mempunyai kawan, Sun cuba untuk mendekati pelajar popular di kelasnya iaitu Bo-Ra namun seringkali dipulaukan dan diambil kesempatan. Bo-Ra ini wataknya lebih kurang seperti Regina George dalam filem Mean Girls, yang mempunyai 2 orang ‘side-kick’. Namun, pada cuti sekolah (summer break) Sun telah bertemu dengan seorang pelajar baru iaitu Han Ji-ah yang baru berpindah dan mendaftarkan diri ke sekolahnya. Sun dan Ji-ah kemudian menjadi rakan baik. Akan tetapi, setelah persekolahan bermula, Ji-ah mula menjauhkan diri daripada Sun setelah berkawan dengan Bo-ra. Lebih teruk lagi apabila Ji-ah juga turut sama membuli Sun.

Filem ini tidak mengetengahkan mesej yang berat. Jalan ceritanya juga ringan dan mudah difahami. Walaupun begitu, aku kira filem ini memainkan peranan yang penting dalam memperlihatkan isu buli di kalangan pelajar sekolah yang masih berusia lebih kurang setahun jagung.

Apa itu Buli?

Sebelum kita pergi lebih jauh, eloklah kita selami makna perkataan ‘buli’ yang sering kali disalah erti dan dipandang ringan oleh masyarakat. Buli ini merupakan perbuatan (act), percakapan (verbal) mahupun pemulauan (isolation) yang bersikap repetitif yang dilakukan oleh individu/kumpulan yang lebih berkuasa terhadap pihak yang lemah, dengan niat untuk mengganggu dan mencederakan mangsa secara fizikal, verbal mahupun psikologi (Boulton & Underwood, 1992; Nansel et al., 2001;Olweus, 1978; 1993b; Wolke et al., 2001). Buli secara fizikal termasuklah memukul, menendang, menolak dan merampas barang manakala mengejek dan mengecam pula termasuk dalam kategori buli secara verbal. ‘Psychological bully’ pula merangkumi perbuatan memulau dan menyebarkan fitnah/gossip rambang.

Menerusi filem Woorideul, Sun dibuli secara verbal dan psikologikal. Disebabkan latar belakang keluarganya yang dianggap tidak mewah di samping ayahnya seorang alkoholik, Sun dipulau oleh rakan sekelasnya. Bo-ra pula sering mengejeknya dengan mengatakan bahawa Sun berbau busuk dan memperlekehkannya hanya kerana kemiskinan keluarganya. Ketika kelas Pendidikan Jasmani pula, Sun sering dibuli dan dijadikan orang pertama yang dikeluarkan dari permainan (game) dengan alasan ‘melanggar peraturan permainan’ walaupun hakikatnya dia tidak melanggar apa-apa peraturan.

Pembuli (The Bully)

Kajian mengatakan bahawa si pembuli merupakan mereka yang bersifat agresif, anti-sosial, sukar bekerjasama dengan orang sekeliling serta kurang keyakinan diri. Oleh itu, melalui perbuatan buli, si pembuli akan berada dalam zon ‘in control’ di mana segala kekurangan diri dirasakan berada dalam kawalan. Namun begitu, kajian yang dilakukan di sekolah mendapati bahawa pembuli ini mudah membuat kawan dan mendapat sokongan daripada rakan sekelas. Menurut Boulton & Underwood (1992), pembuli yakin bahawa mereka membuli kerana diprovok atau kerana mereka tidak menyukai mangsa buli tersebut. Selain itu, pembuli juga dikatakan berpunca daripada latar belakang keluarga di mana ibu bapa menekankan disiplin fizikal, bersikap menolak (rejecting) dan tidak mengambil berat, sukar menyelesaikan masalah dan menggalakkan sikap agresif dalam perwatakan anak di samping mengajar mereka untuk melawan apabila diprovok.

Dalam filem Woorideul ini, watak yang menjadi pembuli merupakan Bo-ra dan Han Ji-ah. Kedua-dua mereka merupakan pelajar cemerlang di sekolah dan sentiasa mendapat markah tertinggi di dalam kelas. Disebabkan kepandaian mereka, mereka mendapat sokongan rakan sekelas. Menerusi filem ini, penonton akan mendapati bahawa Sun dibuli bukanlah kerana provokasi tetapi hanya kerana dia tidak disukai oleh Bo-ra. Dari segi latar belakang keluarga pula, Han Ji-ah diperkenalkan kepada penonton sebagai seorang anak yang kurang mendapat kasih sayang kedua ibu bapanya. Dia terpaksa berpindah dan tinggal bersama neneknya. Ibunya juga tidak pernah menelefon untuk bertanya khabar kerana terlalu sibuk bekerja. Menurut nenek Ji-ah sendiri, dia tidak mempunyai kawan di sekolah lamanya. Oleh itu, Ji-ah merasakan bahawa dengan berkawan dengan Bo-ra, pelajar popular, dia akan mendapat perhatian dan disukai oleh rakan-rakan yang lain. Namun begitu, Ji-ah lupa diri dan bertindak membuli Sun setelah mendapat rakan baru.

Mangsa (The Victim)

Kajian mendapati bahawa mangsa buli juga bersikap anti-sosial. Mangsa buli didapati suka menyendiri, pendiam, sering berada dalam kebimbangan (anxiety) dan juga kurang keyakinan diri (Schwartz, 2000). Mangsa buli melaporkan bahawa mereka tidak gembira di sekolah di samping tidak mempunyai ramai rakan berbanding rakan sekelas yang lain. Kebanyakan mangsa dibuli dengan alasan mangsa ‘did not fit in’ ataupun berbeza karakter dengan yang lain. Dalam masa yang sama, Nansel et al. (2001) menyatakan bahawa orang sekeliling akan menjauhkan diri dan tidak membantu mangsa kerana takut dibuli sama mahupun takut kehilangan status sosial di kalangan rakan-rakan.

Sun yang merupakan seorang pelajar yang pendiam, dijadikan ‘target’ buli oleh Bo-ra dan rakan-rakannya. Kemiskinan keluarga Sun juga menyebabkan Sun tidak mampu menggunakan telefon bimbit di samping tidak mampu mengikuti kelas tuisyen di luar seperti rakan-rakan seusianya yang lain. Jadi, apabila Sun cuba mendekati Bo-ra dengan niat ingin berkawan, Bo-ra menggunakan Sun, meninggalkan Sun keseorangan melakukan tugas-tugas pembersihan kelas. Ibarat terdesak menginginkan seorang rakan, Sun menurut sahaja dan tidak pernah membantah walaupun dia sedar dirinya sedang dibuli. Rakan-rakan sekelas Sun yang menyedari pembulian terhadapnya juga tidak berani membantah memandangkan Bo-ra merupakan pelajar yang bijak dan terkenal.

Pengajaran

1. Buli tetap buli.

Buli itu tetap dikira buli biarpun ia dianggap sebagai ejekan mahupun kecaman semata-mata kerana ejekan dan kecaman itu termasuk dalam kategori ’verbal bully’. Selagi mana ia mampu mengganggu mangsa dari segi fizikal, emosi dan psikologi, ia dikira sebagai buli.

Kita dapat lihat bahawa rata-rata masyarakat lebih prihatin terhadap kes-kes buli yang ‘berat’, kebanyakannya yang melibatkan kecederaan serius dan kematian. Itu pun apabila kes-kes buli tersebut tersebar di media sosial dan terpampang di akhbar dan televisyen. Realitinya, kes buli telah banyak berlaku, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Malangnya, kebanyakan kes-kes ‘berat’ sahaja yang mendapat liputan dan ditunjukkan di khayalak ramai. Lebih malang apabila kes-kes buli ini melarat sehingga menyebabkan kematian.

Bagaimana dengan kes-kes buli ‘ringan’ yang kita sebagai masyarakat cuma anggap:

‘Hekeleh, biasa lah tu kena ejek je pun’

‘Tak payah kawan dengan dia weh, dah la hitam berbau pulak tu’

Anda yakin kah ‘ejekan’, ‘kecaman’ dan pulauan yang dilakukan tersebut tidak menyebabkan gangguan ataupun kecederaan emosi dan psikologi mangsa? Bagaimana dengan kes-kes buli yang dianggap ‘ringan’ sehingga menyebabkan kemurungan dan lebih teruk, mampu menyebabkan mangsa buli membunuh diri?

2. Melawan atau memaafkan.

Antara mesej ‘Woorideul’ yang aku kira paling ‘significant’ dan boleh membuatkan penonton terkesan adalah menerusi salah satu babak yang membabitkan adik Sun iaitu, Yun. Yun merupakan adik lelakinya yang berumur lebih kurang 5 tahun dan mempunyai seorang rakan yang bernama Yun-ho. Yun dan Yun-ho sering bergaduh dan bergusti sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, namun ibu Yun-ho sering menyalahkan Yun walaupun ternyata kedua kanak-kanak tersebut sama-sama salah.

Suatu hari, mereka berdua bergaduh sehingga menyebabkan Yun terluka di bahagian lehernya. Sun yang kebetulan berada di tempat kejadian meleraikan pergaduhan tersebut dengan mempertahankan Yun. Apabila ibu Yun-ho menelefon dan memarahi ibu Yun, Sun telah meminta maaf namun ibunya mempertahankan tindakannya kerana bagi ibunya, memang patut seorang kakak mempertahankan adiknya apabila dicederakan orang lain.

Setelah itu, Sun memarahi adiknya kerana sering membiarkan dirinya dipukul oleh Yun-ho. Sun mempersoalkan tindakan adiknya, Yun yang masih ingin berkawan dengan Yun-ho walaupun sering disakiti apabila bergaduh. Seperti dialog mereka,

‘Apa yang korang buat sampai boleh cedera macam ni?’

‘Kami bergaduh. Yun-ho tumbuk aku.’

‘Habis tu apa yang kau buat?’

‘Kitorang sambung main’

‘Kau gila ke? Kalau dia tumbuk kau, kau kena la tumbuk dia balik.’

‘Kalau macam tu, bila baru kitorang boleh main?’

Soalan Yun menyebabkan Sun terus terdiam.

Babak ini merupakan babak yang paling penting kerana ia memberi impak kepada pengakhiran filem atau ending ‘Woorideul’ itu sendiri.

Babak ini juga mempamerkan ‘kematangan dalam kenaifan’ Yun yang mampu melupakan kesakitan yang disebabkan oleh Yun-ho kerana baginya, kegembiraan semasa bermain bersama itu jauh lebih penting. Seperti kita, yang sering hendak membalas balik segala kejahatan yang dilakukan ke atas diri kita sendiri, jikalau semua orang berprinsip dan berfikiran sebegitu, akan wujud kah dunia yang aman dan tenteram? Kita tidak perlu menjadi sama jahat hanya kerana orang lain berbuat jahat pada kita.

3. Salah siapa?

Bila timbul sahaja kes-kes buli di media sosial, masyarakat akan mula menuding jari menyalahkan pihak-pihak yang dianggap sepatutnya bertanggungjawab. Daripada guru sekolah, pihak Universiti, ibu bapa, adik-beradik sehingga la kawan-kawan mangsa. Semuanya dipersalahkan, kecuali diri sendiri.

Pernah kah kita tanya diri sendiri, jika kita sendiri pernah membuli tanpa sedar? Atau pernah kah kita menyokong mereka yang membuli? Pernah kah kita mempertahankan mangsa buli?

Tak perlu tuding jari salahkan sana sini, semuanya bermula dengan diri sendiri.

Sumber:

Schwartz, D. (2000). Subtypes of victims and aggressors in children’s peer groups. Journal of Abnormal Child Psychology, 28, 181–192.

Nansel, T. R., Overpeck, M., Pilla, R. S., Ruan, W. J., Simons-Morton, B., & Scheidt, P. (2001). Bullying behaviors among US youth: Prevalence and association with psychosocial adjustment. Journal of the American Medical Association, 285, 2094–2100.

Boulton, M. J., & Underwood, K. (1992). Bully/victim problems among middle school children. British Journal of Educational Psychology, 62, 73–87.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aku menulis kerana kalian membaca. And for that we compliment each other. Selamat membaca dan semoga terus setia; untuk aku yang bertemankan pena dan kalian yang gigih mendalami kata-kata.

Leave A Reply