Beberapa tahun yang lalu, ketika aku mula serius mendalami kisah serangan Ike Mese, Shi Bi dan Gaoxing, para panglima Dinasti Yuan ke atas Kerajaan Singosari yang berpusat di Tumapel, Jawa Timur, aku mula mencari pintu masuk sebenar ketumbukan tentera Kublai Khan ini.

Sungai Brantas dan Bedungan Rolak Songo di Mojokerto

Pada mulanya aku berhipotesis yang tentera Mongol menggunakan muara Kali Porong untuk menyerang Kahuripan dan seterusnya melancarkan serangan ke atas Daha, atau mungkin juga mereka menggunakan Kali Mas sebagai akses ke Sungai Brantas. Malah, tidak keterlaluan juga jika angkatan laut Mongol ini mendarat di Gresik dan beberapa lagi andaian.

Hampir kesemua hipotesis awalku ini tidak tepat kecuali Kali Mas!

Pedang Mongol yang ditemui di dasar laut berhadapan Hotel Purnama, Tuban

Tentera Mongol sebenarnya mengakses ke Daha melalui dua tempat, pertama melalui Kali Mas dan Sedayu berdekatan Surabaya dan yang kedua melalui Kambang Putih, sebuah kota pesisir pantai yang makmur dengan perdagangan antarabangsa dan ramai warganya terdiri daripada para pedagang Cina yang bermastautin di situ.

 

Klenteng Kwan Sing Bio di Tuban yang dikatakan dibina pada kurun ke-18 Masihi, antara klenteng yang terkenal di Indonesia

Setelah mengetahui hal ini, aku memasang cita-cita untuk melawat kota yang terkenal dengan dua buah makam, iaitu Makam Sunan Bonang dan Makam Asmaroqondi. Alhamdulillah, hajat besarku akhirnya tercapai juga sewaktu Kembara JatengTim (Jawa Tengah, Jawa Timur) 2017 baru-baru ini.

Makam Sunan Bonang. Pada hari kami berada di sini, dikatakan seramai 70,000 orang akan melawat makam wali ini dalam tempoh 24 jam

Jika disebut Kambang Putih mungkin ramai yang tidak tahu akan kewujudan kota ini, tetapi jika disebut nama modennya Tuban, mungkin juga masih ramai rakyat Malaysia yang tidak tahu di manakah letaknya kota ini. Artikel ini menceritakan tentang Kota Kambang Putih dan adiwira penjaganya yang bernama Ronggo Lawe.

Tuban bukanlah sebuah kota mainstream wisatawan atau pelancong asing di Pulau Jawa seperti mana terkenalnya Kota Jakarta, Yogyakarta, Surakarta, Bandung dan Surabaya.

Namun, suatu ketika dahulu, Tuban merupakan sebuah kota yang amat penting di Jawa Timur. Kapal-kapal besar boleh berlabuh berdekatan pantai, namun, tidak lagi kini. Ianya bukanlah suatu andaian yang melulu kerana di Rembang yang berjarak 88 km dari Tuban, telah ditemui sebuah perahu kuno yang dinamakan sebagai perahu kuno Punjulharjo. Perahu yang agak besar ini ditemui sekitar 400 meter dari pantai, iaitu jauh di daratan. Ini membuktikan suatu ketika dahulu pesisir pantai di Utara Jawa Timur sebenarnya digenangi air laut yang cukup dalam.

Perahu Kuno Punjulharjo yang terletak di Rembang

Menjadi nadi utama dan pusat ekonomi serantau, Tuban setanding dengan kota pelabuhan lainnya seperti Semarang dan Jepara. Malah, Tuban merupakan kota yang amat penting dalam ceritera penubuhan Kerajaan Majapahit yang masyhur. Armada Majapahit dikatakan berpusat di sini.

Tambak garam di situs perahu kuno di Rembang ini dahulunya merupakan sebahagian daripada lautan

Tahukah anda bahawa adiwira Kota Tuban yang bernama Ronggo Lawe memainkan peranan yang besar dalam membantu Raden Wijaya menakluk Kota Kediri, menghancurkan tentera penceroboh Mongol yang kemudiannya menyaksikan terdirinya Kerajaan Majapahit?

Ada beberapa fakta yang menyokong pendapat yang mengatakan bahawa Ronggo Lawe merupakan figura yang amat penting dalam pembentukan Kerajaan Majapahit.

Muzium Kambang Putih yang menyimpan 1,001 kisah kota ini

Fakta yang pertama, ayah Ronggo Lawe yang bernama Banyak Wide dan bergelar Arya Wiraraja merupakan penguasa Pulau Madura sebagai Adipati Sumenep yang dilantik oleh Kertanegara. Arya Wiraraja juga dikatakan mengutus surat kepada Jayakatwang untuk mengambil kesempatan menjatuhkan Kertanegara. Setelah rampasan kuasa itu berjaya, beliau kemudiannya meminta Jayakatwang agar melepaskan pula Raden Wijaya daripada dibunuh olehnya.

Lagi gambar tambak garam di Tuban yang memukau

Arya Wirarajalah yang memberi idea kepada Raden Wijaya untuk menyerah diri kepada Jayakatwang dan akhirnya, beliau dianugerahkan Hutan Tarik untuk dibuka. Sebenarnya, pembukaan Hutan Tarik hanyalah bertujuan untuk menjadi lokasi Jayakatwang berburu. Ronggo Lawe adalah antara pengikut Raden Wijaya yang membuka wilayah ini dan di Desa Majapahit inilah bermulanya penentangan secara diam Raden Wijaya terhadap Jayakatwang.

Fakta kedua, Ronggo Lawe sendiri memimpin angkatan tentera Raden Wijaya dan menyerang kota Kediri dari sebelah Timur dan mengambilalih bahagian Tmur kota ini setelah menumpaskan Sagara Winotan.

Fakta ketiga, Ronggo Lawe dan tenteranya mengejar dan menyerang saki baki tentera Mongol yang diserang hendap di Daha hingga ke Tuban. Tentera Mongol yang berjaya dikejar dibunuh, manakala yang berjaya melarikan diri, pulang Ke China dan tidak kembali lagi.

Aktiviti melawat makam memberi peluang kepada peniaga tempatan mencari rezeki

Fakta keempat, setelah Raden Wijaya menubuhkan Kerajaan Majapahit, Ronggo Lawe diangkat sebagai Adipati Tuban dan menurut Slamet Muljana beliau menggunakan gelaran Arya Adikara.

Tuban kemudiannya menjadi maju dan makmur sebagai pusat perdagangan pesisir pantai dan juga menjadi pusat ketenteraan maritim Kerajaan Majapahit.

Deretan beca yang membawa pengunjung ke Makam Sunan Bonang

Namun begitu, seperti setiap kerajaan gagah yang maju dan makmur, sudah pasti adanya elemen hasad dengki, pengkhianatan dan adu domba. Ronggo Lawe juga dianggap sebagai ‘pemberontak’ pertama Kerajaan Majapahit dan beliau dibunuh oleh Kebo Anabrang yang tidak kurang hebatnya di dalam sejarah Kerajaan Majapahit. Tidak semua sejarawan bersetuju dengan pernyataan ini. Ada peluang, akan aku coretkan kisah penentangan Ronggo Lawe ini di dalam coretan mendatang.

Begitulah pentingnya peranan Tuban dan Ronggo Lawe dalam kisah pencerobohan tentera Kublai Khan dan awal pembentukan Kerajaan Majapahit.

Persoalannya…

Adakah Kerajaan Majapahit akan tertubuh jika Ronggo Lawe dan ayahnya Arya Wiraraja tidak memberi bantuan dan bersekongkol dengan Raden Wijaya?

Padaku, Ronggo Lawe adalah unsung hero Majapahit yang jarang didendang.

Jika anda mahu ke Tuban, lapangan terbang yang paling dekat ialah Bandara Internasional Juanda, Surabaya.

Rujukan:

Pemikiran Militer 1: Sepanjang Masa Bangsa Indonesia, Hario Kecik, 2009, Yayasan Pustaka Obor Indonesia

Sosok Di Balik Perang, Ratna Rengganis, 2013, Raih Asa Sukses

Menuju Puncak Kemegahan: Sejarah Kerajaan Majapahit, Slamet Muljana, 2005, LKiS


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang pengembara warisan yang fokus kepada tinggalan sejarah dan budaya setempat. Gemar membaca dan menulis itu cara beliau mengekspresi diri dan dunia marcapada

Leave A Reply