Aku mencoretkan artikel ringkas ini untuk membantu sahabat aku Ammar Akmal dalam berhujah membidas seorang pengguna facebook yang mengatakan bahawa seni bukanlah cerminan kepada sebuah tamadun. Ya, aku bersetuju dengan kenyataan itu.

Seni bukanlah cerminan sebuah tamadun TETAPI… SENI IALAH ASAS SEBUAH KETAMADUNAN! Ia adalah frasa yang lebih besar daripada cerminan sebuah ketamadunan. Ketahuilah para sahabat bahawa sebuah tamadun itu tidak akan berdiri tanpa sebuah seni.

Berikut aku senaraikan hujah-hujah untuk menyokong kenyataan aku:

1. Sistem Tulisan Tidak Akan Lahir Tanpa Seni

Dalam dunia, sarjana menggariskan lima tulisan ini sebagai tulisan paling asli di dunia. Tulisan Cuneiform dari Mesopotamia, tulisan Hieroglif dari Mesir Purba, Tulisan Cina dari Tamadun China, tulisan Indus yang penuh misteri itu yang sehingga hari ini tidak dapat diterjemahkan, dan sudah tentu bahawa tulisan Maya merupakan 5 tulisan paling asli dunia. Kalau wujud tulisan-tulisan selepas 5 tulisan ini, percayalah tulisan itu akan dapat dijejak asal-usulnya sehinggakan ke 5 tulisan paling asli di atas.

Hujah aku bergantung pada sejarah sistem tulisan di atas, juga tentang bagaimana sistem tulisan tersebut direkod dan dijumpai. Tulisan Cina misalnya ialah berasal daripada sejarah ritual peramalan yang menjadi asas kepercayaan purba masyarakat Cina. Mereka akan membakar tulang belulang di atas api, lalu membentuk kerak-kerak dan retak yang melambangkan sesuatu. Dari retak dan kerak yang membawa kepada gambaran yang membentuk logo seperti harimau, manusia, matahari, rumah, dan sebagainya. Dari situ, maka tulisan cina pun fungsinya dianggap sebagai sebuah tulisan berasaskan logogram, bukannya sebutan seperti tulisan latin yang menjadi asas penulisan Bahasa Melayu kita. Bukakah sejarah menggunakan retak-retak yang membentuk dan melambangkan sesuatu adalah sebahagian daripada seni itu tersendiri?

Kalau tidak bersetuju dengan pengenalan aku di atas, tidak mengapa, aku akan bawakan hujah baru, tetapi masih dalam ruang lingkup perbahasan tulisan lagi. Masih lagi berkisarkan tentang sejarah tulisan cina itu sendiri. Sebelum tulisan tulang oracle yang saya persembahkan di atas, Cina mengenali tulisan yang dipercayai wujud lebih awal daripada tulang oracle, yang mungkin boleh kita anggap sebagai proto tulisan tulang oracle.

Terdapat penemuan mengenai sistem-sistem tulisan zaman neolitik di wilayah seperti Xian, China. Tulisan neolitik ini dipahat, dilukis, dan diukir pada ARTIFAK-ARTIFAK SENI untuk industri tembikar. Sarjana masih berbeza pendapat tentang tulisan ini, tetapi tidak keterlaluan kita mengatakan bahawa ia adalah proto-tulisan yang membawa kepada perkembangan tulisan-tulisan yang wujud di wilayah China, terutama disekitar Sungai Kuning. Dan tahukah anda, tanpa seni, kita tidak akan mengenali sistem tulisan yang menjadi asas kepada ketamadunan ini? Kenapa? Mengukir.,, melukis… memahat… bukankah itu sebahagian daripada seni?

Tulisan Hieroglif itu sendiri tidak akan kita ketahui kalau tidak kemahiran seni orang Mesir Purba memahat pada dinding-dinding tebal makam-makam firaun-firaun agung mereka? Bahkan, tulisan yang menceritakan kita kepada keagungan peradaban Mesir Purba ini tidak akan wujud kalau tidak kerana amalan artistik mesir purba ketika zaman pra-tulisan ketika mereka masih belum mengenali huruf lagi. Lihatlah pada simbol-simbol yang dipahat tembikar kebudayaan Gerzean Mesir Purba yang menjadi proto kepada tulisan Hieroglif itu sendiri.

Dari hujah aku ini, aku ingin mengatakan bahawa tanpa seni, tamadun itu sendiri tidak akan wujud. Salah satu instrument paling diperlukan dalam asas sebuah peradaban iaitu tulisan tidak akan wujud tanpa kesedaran seni dalam diri manusia. Dan akhirnya, tidak mungkin aku akan menulis membahaskan tentang perkara ini.

2. Seni Bina Dan Bandar

Apakah asas kepada sebuah peradaban itu sendiri? Bandar. Apabila manusia mula hidup berkelompok dan bermasyarakat meninggalkan kehidupan sara diri, maka manusia mula meninggalkan kegiatan seperti memburu dan berpindah randah demi survival. Mereka membina ladang-ladang dan juga mula menternak haiwan-haiwan. Bekalan makanan yang mula mencurah-curah menarik pelbagai manusia ke komuniti yang mereka dirikan. Apabila kehidupan secara bermasyarakat wujud, maka manusia mula melantik ketua, mencipta undang-undang dan membina penempatan yang sistematik.

Di sini hujah aku adalah tentang pembinaan bandar. Apabila populasi manusia semakin bertambah, maka bandar pun wujud. Bandar kemudiannya menjadi pusat kepada sebuah peradaban. Menjadi tempat di mana asas-asas sebuah ketamadunan mula berdiri. Untuk para intelektual, disitu berdirinya sebuah sekolah dan universiti. Untuk para jeneral, disitu mungkin berdirinya barrack untuk melatih tentera, disitu juga tempat berdirinya para pandai besi (smith) yang menghasilkan senjata terbaik anak bangsa, atau disitu juga tempat para jeneral membincangkan untuk mempertahankan peradaban atau mencipta seorang penakluk agung. Untuk para pedagang, di situ berdirinya sebuah pelabuhan tempat kapal-kapal dari serata dunia berlabuh, berniaga dengan penduduk tempatan. Kekayaan selain dari sumber bumi, di sini juga lubuk emas sebuah peradaban.

Tetapi ketahuilah bahawa semua tidak akan wujud tanpa seni. Para perancang bandar tidak akan mampu mencipta sebuah bandar yang hebat tanpa memahami seni bina yang menjadi asas kepada setiap bangunan di dalamnya. Tanpa seorang pemahat, tidak mungkin akan berdiri tiang-tiang yang menampung batu-batu yang menjadi bumbung. Tanpa seorang pelukis yang melukiskan pelan sebuah bandar yang sistematik, tidak mungkin berdiri sebuah bandar. Tanpa kreativiti seorang perancang, sebuah bandar tidak akan berdiri. Tanpa seorang pengukir yang menghiasi setiap dinding-dinding bangunan yang menjadi pasak sebuah bandar. Uruk, sebagai bandar pertama yang wujud dalam sejarah dunia tidak mungkin akan menjadi realiti tanpa sebuah seni.

Dan untuk setiap bandar, kemuncaknya mereka ialah berdirinya sebuah monumen agung. Bandar Angkor Thom yang dikenali sebagai metropolis utama dunia yang pertama mencecah populasi sejuta penduduk selepas Baghdad tidak akan lengkap dengan kewujudan Angkor Wat dengan seni bina yang begitu menganggumkan. Betapa kota Rom yang kita kagumi itu, adalah sebuah bayangan tanpa keindahan kalau tidak berdirinya Colloseum yang hatta sebuah tempat para gladiator berbunuhan antara satu sama lain pun dibina dengan penuh keindahan seni. Dan betapa Borubudur yang dibangunkan Dinasti Melayu Sailendra tidak akan berdiri tanpa seni bina Melayu Sailendra yang dianggap sarjana sebagai lokal genius masyarakat Melayu itu sendiri, tanpa pengaruh dari mana-mana seni bina atau kebudayaan.

Cukuplah setakat ini aku senaraikan hujah-hujahnya. Semoga dua asas kepada peradaban yang dipengaruhi oleh seni ini akan menjadi pemangkin kepada kenyataan bahawa sesungguhnya, seni itu adalah asas kepada pembentukan sebuah peradaban!

Pada waktu yang mendatang, mungkin aku akan senaraikan hujah-hujah lain yang menyokong seni merupakan asas kepada sebuah peradaban! Lagipun sudah namanya artikel ringkas, maka aku akan ringkaskan seboleh mungkin perbahasan kali ini memandangkan Ammar Akmal sudah mengulas panjang. Aku hanya menyentuh topik yang belum disentuh oleh beliau.

-HE-


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Leave A Reply