Nota: Artikel ini sedikit panjang, tapi mohon beri kelapangan untuk membaca. Anda akan lebih memahami apa yang berlaku di balik tabir staf kesihatan.
Dua tahun lepas, media sosial telah ‘meletup’ dengan kehadiran satu gambar ‘screenshot’ yang menceritakan betapa teruknya keadaan, layanan serta rawatan yang diterima oleh seorang individu ‘anonymous’ ketika dia sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan di Zon Hijau di sebuah Jabatan Kemalangan dan Kecemasan hospital kerajaan.
Bahkan, terdapat juga beberapa isu yang hampir sama telah tercetus di media sosial ini, terutamanya di Facebook. Semuanya berkenaan isu yang sama : Keadaan, Layanan dan Rawatan.
Sebenarnya, bukan sahaja Jabatan A&E (Accident and Emergency Dept) yang mendapat kecaman sebegini, malah hampir setiap satu unit, klinik dan wad di Malaysia mendapat kritikan dan cemuhan yang serupa. Terutama sekali jika institusi tersebut adalah sebuah institusi dibawah bidang kuasa Kerajaan ataupun Separa Kerajaan.
(Kepada mereka yang terlibat dengan institusi kesihatan swasta, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, saya dahulukan artikel ini dengan ucapan maaf kerana bukanlah niat saya untuk membandingkan institusi swasta dengan kerajaan, namun keadaan telah mendesak saya untuk menceritakan apa yang sedang terjadi kini. Segala kesilapan saya dalam menggambarkan keadaan di institusi swasta, harap dimaafkan dan diperbetulkan. Terima kasih.)
– – – – – – – – – – – –
Antara perkara yang diadu oleh mereka (si pengadu) adalah seperti berikut :
1. Terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.
2. Layanan yang diberi oleh staf hospital tidak mesra.
3. Rawatan yang diterima bersifat ala kadar dan tidak khusus.
4. Sangsi terhadap ubatan yang dibekalkan.
5. Bayaran yang dikenakan dianggap mahal dan tidak setimpal.
6. Sakit yang melampau tetapi diabaikan.
Untuk itu, saya akan menerangkan satu persatu kepada anda supaya masyarakat lebih faham dengan sektor kesihatan di Malaysia, terutama sekali berkenaan dengan Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (Accident and Emergency Department).
– – – – – – – – – – – –
1. Terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.
Seperti yang anda sedia maklum, di setiap hospital besar seluruh negara terdapat sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Kemalangan dan Kecemasan. Disinilah tempat untuk segala kes-kes kemalangan dan kecemasan diberi intervensi (dah nama pun Jabatan Kemalangan dan Kecemasan). Ia beroperasi melalui sistem Triage, atau dalam kata mudah, sistem pengasingan mengikut kepentingan dan keperluan. Jabatan A&E (singkatan panggilan bagi staf kesihatan) mengendali pelbagai jenis kes, daripada kes bencana besar sehinggalah sekecil-kecil kes seperti cincin yang tersangkut pada jari.
Hampir semua kes akan diajukan kepada jabatan ini sebelum pesakit dibawa ke wad atau unit-unit tertentu. Ya, bayangkanlah betapa besarnya jurang kes yang dikendali mereka. Bahkan, jabatan ini juga bertanggungjawab dalam mengendalikan kes-kes diluar hospital seperti kemalangan jalan raya, kes bunuh diri, kes serangan jantung dan lain-lain. Malah, jabatan A&E ini juga bertanggungjawab untuk mempersiapsediakan peralatan dan kemahiran paramedik bagi acara-acara besar di seluruh negara seperti acara Sukan SEA, Komanwel dan banyak lagi.
Berkenaan dengan sistem triage yang saya sebutkan tadi, asasnya adalah untuk mengasingkan pesakit yang hadir di A&E mengikut keutamaan dan prognosis (peluang untuk selamat) setiap pesakit. Triage untuk kes bencana dan kes biasa adalah berbeza. Saya tidak mahu sebut tentang bencana kerana ia bukanlah sepenuhnya meliputi kes yang kita bincangkan sekarang ini. Kes bencana memerlukan sistem triage yang lebih kompleks dengan kerjasama organisasi lain seperti polis, bomba, JPA, askar atau jabatan yang lain.
Triage di hospital terbahagi kepada dua, primary triage untuk kes bencana atau on-site, atau secondary triage untuk kes di Jabatan A&E. Kita akan hanya fokus pada secondary triage, kerana isu yang membuatkan saya menulis artikel ini adalah berkenaan dengan secondary triage.
Dalam secondary triage di Jabatan A&E, kes pesakit akan dibahagikan kepada 3 zon utama dan 2 zon tambahan.
a) Zon pertama adalah Zon Merah. Didalam Zon Merah, staf kesihatan akan mengendalikan kes-kes yang sangat-sangat-sangat-sangat kritikal. Kes dimana jika lambat diberi rawatan walaupun seminit, pesakit akan mati. Ya, lambat seminit, mati.
Contoh kes adalah seperti kemalangan MVA (motor vehicle accident) atau skidded accident yang mana menyebabkan kecederaan pada otak, jantung, paru-paru, tulang belakang, hati, ginjal, usus, tulang besar dan lain-lain bahagian yang menyebabkan pesakit itu mengalami pendarahan yang sangat banyak dan hilang kesedaran, kes keracunan dimana pesakit menelan racun secara sengaja atau tidak, yang menyebabkan racun itu menghakis perut, dan salur pernafasan, kes bunuh diri dan kes assault (serangan) seperti ditetak, ditikam dan dikelar dibahagian leher, dada, perut, kepala, atau dihentak dengan suatu objek keras sehingga pecah kepala dan terbelah tempurung kepala, kes bayi dan kanak-kanak yang sesak nafas, lemas, melecur seluruh badan, kes serangan jantung yang mana jantung pesakit boleh berhenti berfungsi pada bila-bila masa sahaja, kes putus tangan dan kaki, terkeluar biji mata, kes isi perut terburai, dan banyak lagi kes lain. Ya, bayangkan kes yang paling teruk anda mampu bayangkan, itulah yang dikendalikan oleh Zon Merah ini. Setiap seorang pesakit memerlukan perhatian rapi setiap minit, supaya nyawa mereka dapat diselamatkan. Keutamaan di zon ini adalah sangat tinggi. Bak kata rakan saya, Malaikat Maut menunggu disebelah.
b) Zon kedua adalah Zon Kuning. Zon kuning secara asasnya adalah kes separa kritikal. Namun, jangan anggap separa kritikal adalah suatu perkara yang kecil dan boleh diperlekeh. Zon Kuning mengendalikan kes-kes yang tidak terlalu teruk seperti kes di Zon Merah, tetapi pesakit yang dirawat masih diambang maut.
Contohnya adalah kes pesakit yang semakin stabil dari Zon Merah, pesakit yang mengalami kecederaan teruk tetapi tidak hilang kesedaran, pesakit yang mempunyai abnormaliti pada tanda vital (tekanan jantung, nadi, pernafasan, paras oksigen, suhu badan dan lain-lain), pesakit yang patah tulang-tulang besar yang mana boleh menyebabkan pendarahan yang banyak, kes keracunan yang masih boleh dikawal, kes masalah jantung dan paru-paru yang mengalami kegagalan, kes denggi yang teruk, kes yang memerlukan pembedahan segera, dan banyak lagi kes-kes lain. Pendek kata, kes yang teruk tetapi pesakit masih sedar dan masih dalam keadaan stabil dari segi haemodinamik. Inilah yang dikendalikan oleh staf di Zon Kuning. Selalunya di zon kuning ini terdapat suatu lagi zon tambahan iaitu zon asma dan pengsan / pitam. Zon ini, seperti namanya, mengendalikan kes asma dan gangguan pernafasan yang teruk serta kes-kes pengsan, pitam atau tidak sedarkan diri tanpa sebab. Disinilah kebanyakan kes asma dirawat, diberi keperluan oksigen dan nebulizer (wap air berubat).
Kesimpulannya, kes yang dirawat di Zon Kuning adalah kes 50-50, “Mati atau tidak”.
c) Kemudian, kita beralih ke Zon Hijau, zon yang paling dibenci ramai.
Zon Hijau mengendalikan kes yang tidak kritikal daripada kes kemalangan kecil, kepatahan yang tidak serius dan membahayakan diri pesakit, kes dehidrasi teruk, kes demam ‘low-grade’, kes putus jari, kes luka dalam yang memerlukan jahitan dan cucian, sehinggalah ke kes kecil contohnya kes digigit anjing atau kes cincin yang saya katakan tadi. Kebanyakan kes di Zon Hijau adalah untuk pesakit yang masih mampu berdiri dan melakukan beberapa aktiviti yang dilingkupkan didalam 14 Aktiviti Harian (ADL) contohnya bernafas, mendengar, melihat, makan, minum, tidur dan lain-lain. Untuk pengetahuan umum, kes yang dirawat di Zon Hijau adalah kes yang dikategorikan sebagai kes ‘YANG MAMPU MENUNGGU’. Maksudnya, dalam kata paling mudah, kes di Zon Hijau adalah kes yang dialami oleh seorang pesakit tetapi pesakit itu TIDAK AKAN MATI DISEBABKAN OLEH KEADAAN TERSEBUT. Ia bukan sesuatu kes yang boleh mengancam nyawa.
Jadi, jika anda pergi ke A&E atas apa jua sakit, kemudian ditempatkan di Zon Hijau, ini bermakna anda akan selamat, anda tidak akan mati (InsyaAllah) dan terdapat lebih ramai lagi orang, berpuluh-puluh lagi yang kini menunggu sama ada maut datang mengambil nyawanya atau peluang datang mengunjungnya. Fahamilah bahawa setiap saat anda menunggu di Zon Hijau, setiap saat itu dikurniakan kepada mereka yang tak cukup saat lagi untuk hidup di Zon Merah. Fahamilah bahawa setiap satu peluh anda menunggu di Zon Hijau akibat kepanasan tiada penghawa dingin adalah gantian bagi setiap titisan peluh staf kesihatan yang berhempas pulas melakukan CPR untuk menyelamatkan orang yang mereka sendiri tak kenal. Fahamilah bahawa, tak salah untuk anda luangkan sedikit masa menunggu supaya masa tersebut boleh menyelamatkan nyawa orang lain.
d) Dan akhir sekali, di dalam Zon Hijau juga terdapat satu zon tambahan, iaitu zon One Stop Crisis Centre (OSCC). Ia didirikan untuk kes-kes khas yang memerlukan kerahsiaan identiti pesakit dengan ketat seperti penderaan suami atau isteri atau kanak-kanak, kes rogol, kes buli dan lain-lain.
Segala kes yang dikendalikan oleh OSCC adalah bersifat ‘private and VERY confidential’ untuk menjaga nama baik pesakit / klien.
Jadi, walaupun anda datang lebih awal dari orang lain, walaupun andalah orang pertama yang datang ke A&E untuk mendapatkan rawatan, walaupun andalah yang memegang nombor giliran 0001 ditangan dan jari yang tersangkut cincin, kami tetap akan mendahulukan mereka yang hampir mati berbanding anda yang masih boleh berdiri dan duduk menyilang kaki di kerusi menunggu. Kami tetap akan mendahulukan mereka yang memegang nombor 1629 dengan tangan yang berlumuran darah dan isi daging yang telah pecah.
– – – – – – – – – – – –
2. Layanan yang diberi oleh staf hospital tidak mesra.
Dalam keheningan dan kesibukan Jabatan A&E, ada juga mereka yang masih membandingkan layanan antara hospital kerajaan dan hospital swasta. Kata mereka, “staf di hospital kerajaan tidak mesra, tiada senyuman, malah kasar bila berbahasa. Hospital swasta silap peluk dan belai lagi.”
Tak dinafikan. Saya langsung tak menafikan hal ini. Tapi saya teringin nak tanya, adakah anda tahu berapa banyak pesakit yang datang di A&E setiap hari? Menurut statistik di Hospital TAR Klang, kira-kira 200,000 orang yang hadir di A&E setiap tahun (statistik pada tahun 2012 = 220,575). Ini bermakna, lebih kurang 16,600 orang akan hadir di A&E dalam masa sebulan. Dan 500 orang, setiap hari. Seandainya anda berada di tempat kami, walaupun sekadar mengambil tugas menjaga kaunter, mampukah anda melayan 500 orang setiap hari dengan 500 jenis kerenah dan 500 jenis tahap kesabaran?
Saya berikan satu link petikan daripada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, YB Datuk Dr S. Jeyaindran. Ini linknya :
http://www.mstar.com.my/…/beri-laluan-kepada-kes-kecemasan…/
Namun sudah pasti anda tidak akan menekan link ini untuk meluangkan masa membacanya, sedangkan menunggu rawatan pun anda tak mampu untuk tunggu. Saya petik ulasan beliau dan beritanya disini;
“Kes yang tidak mengancam nyawa, seperti digigit anjing, menyumbang kira -kira 70 peratus daripada pesakit di unit kecemasan. Menurut statistik kementerian, sejumlah 2, 301, 355 pesakit dirawat di unit kecemasan di seluruh negara dari Januari hingga Jun tahun lepas. Ini menyumbang kepada purata 125, 785 pesakit dirawat di jabatan kecemasan setiap malam di 144 hospital awam di seluruh negara.”
Adakah anda juga mampu untuk senyum pada setiap satu individu daripada 500 orang ini pada setiap masa? 100 orang, mungkin. 200 orang, boleh jadi. Tapi 500 orang?
Bertimbang rasalah. Kami tahu anda stress dengan keadaan anda yang sedang menahan sakit dan keadaan hiruk pikuk di Jabatan A&E, namun bertimbang rasa lah pada staf yang bertungkus lumus memberikan anda rawatan yang diperlukan.
Sekadar tak senyum pada anda, biasalah.
Bercakap soal memberi senyuman, tahukah anda seorang dewasa hanya senyum sebanyak 20 kali sehari secara purata. Mampukah seorang staf kesihatan biasa senyum sebanyak 500 kali sehari? Dan tahukah anda bahawa senyuman mampu mengurangkan stress dan kesakitan seseorang? Jadi, alangkah baiknya jika mereka yang sakit cuba untuk senyum kepada individu yang bersusah payah merawat mereka? Mungkin ia mampu mengaktifkan mirror neurons si perawat untuk turut serta tersenyum. Jadi, jika kami staf kesihatan disini kelihatan penat dan letih untuk senyum dan melayan karenah anda yang mempunyai bilangan yang ramai ini, cubalah untuk senyum kepada kami semula. Mungkin kami akan senyum kepada anda. Bukankah itu lebih baik daripada anda menangkap gambar muka penat kami dan menyebarkannya di media sosial dengan quote “Staf kesihatan sombong dan kurang ajar”.
Dan lagi satu, kami tak boleh nak peluk dan belai pesakit.
Walaupun pesakit itu ahli keluarga kami ketika kami masih dalam waktu tugas. Ia bukan satu SOP kami. Ini adalah untuk mengelak sifat bias pada individu. Kami beri perawatan secara holistik tak kira individu. Anda miskin, anda kaya, selagi anda perlu dirawat, kami rawat.
Mungkin di hospital swasta, amalan peluk dan belai jadi suatu perkara yang perlu (mungkin). Ini adalah kerana hospital swasta dibayar mengikut kepuasan hati anda. Anda puas hati, caj yang tinggi pun tiada masalah. Tetapi tidak bagi hospital kerajaan. Etika dan profesionalisma diutamakan. Kami bukan nak bagi anda puas hati, tapi kami nak bagi anda hidup berkualiti.
Dan saya juga tidak menafikan bahawa terdapat sebilangan staf yang kurang ajar pada pesakit atau waris. Ya, ada yang menengking tanpa sebab. Tapi cuba lihat disebalik mengapa mereka mula kurang ajar. Mungkin kerana terlalu banyak pesakit yang mempunyai kerenah yang tak setimpal dengan keperluannya. Mungkin ada ahli keluarga pesakit yang tak mematuhi peraturan hospital. Mungkin ada yang berlagak pandai cuba untuk mengajar staf perkara yang mereka sendiri sudah fasih.
Terus terang saya katakan, kami staf kesihatan tahu apa yang kami lakukan. Semua prosedur ada dalam otak kami. Janganlah cuba untuk ajar kami bagaimana untuk memberi ubatan kepada pesakit. Janganlah cuba ajar kami bagaimana prosedur mengambil darah. Dan janganlah mengajar kami cara untuk melakukan tugas kami sendiri. Anda nak menemani pesakit, tiada masalah. Cuma jangan menjadi gangguan kepada staf kesihatan. Dan tolonglah, bila kami kata jangan tangkap gambar, tolong jangan tangkap gambar. Kalau nak sangat update Instagram, minta surat kebenaran daripada Pengarah Hospital dahulu.
– – – – – – – – – – – –
3. Rawatan yang diterima bersifat ala kadar dan tidak khusus.
Ada juga yang mengadu bahawa rawatan yang diberikan oleh doktor dan jururawat adalah bersifat teruk, tiada kualiti, ala kadar, dan tidak khusus.
Ada yang hadir ke A&E hanya kerana mengalami sakit kepala. Katanya, ia menyebabkan beliau insomnia (gangguan tidur). Jadi mereka meminta doktor untuk dilakukan CT Brain keatas mereka. Mereka meminta ubat tidur. Ada yang sakit perut, keracunan dan tersilap makan, meminta dijalankan CT Abdomen. Ada yang mengalami demam seharian, meminta diberikan antibiotik dan analgesik. Tapi yang peliknya, tak mahu diambil darah. Tak mahu dicucuk branula. Hanya inginkan rawatan konservatif tapi tak mahu yang invasif.
Anda perlu fahami bahawa setiap penyakit itu datang bukanlah berbentuk sama sahaja bagi setiap individu. Setiap penyakit (kecuali asymptomatic) mempunyai tanda-tandanya (signs and symptoms) tersendiri. Staf kesihatan tidak boleh secara terus menerus memberi anda rawatan diagnostik CT scan. Begitu juga dengan memberi preskripsi ubatan yang berjela-jela tanpa sebab. Dan setiap satu individu mempunyai regulasi badan yang tersendiri. Setiap orang tak sama cara penyakit dan penyembuhannya.
Mari kita reka suatu situasi untuk memudahkan pemahaman tentang bagaimana rawatan diberikan.
Anda datang ke hospital, anda meminta untuk dilakukan ujian dan pemeriksaan keatas anda bagi menentukan diagnosa anda. Anda mengalami demam yang tinggi, lenguh-lenguh badan dan sendi, kurang selera makan dan sering loya. Doktor pula mengesyaki anda mengalami demam denggi.
Pertama sekali adalah doktor akan membentuk satu diagnosa awal. Diagnosa awal adalah tekaan awal tentang penyakit yang anda hadapai. Dalam kes anda, doktor mengesyaki anda mengalami demam denggi, maka diagnosa awal anda adalah TRO (to rule out) Dengue Fever. TRO bermaksud suatu proses untuk menolak kemungkinan penyakit tersebut. Maka, ujian akan dilakukan satu demi satu.
i) Mula-mula, pemeriksaan fizikal akan dijalankan. Dalam pemeriksaan fizikal, jururawat dan doktor akan memeriksa setiap bahagian badan anda yang terlibat dengan penyakit secara pemerhatian dan sentuhan contohnya jika anda mengalami demam denggi, pemeriksaan pada kulit akan dijalankan. Pesakit denggi selalunya mengalami simptom bintik-bintik merah pada kulit (petechia, rashes). Perasan tak bila saya sebut ‘simptom’?
ii) Kemudian, pemeriksaan tanda vital pula dilakukan. Bagi kes denggi, tanda vital yang penting adalah suhu badan anda, tekanan darah anda, dan nadi anda. Namun begitu, tanda vital lain juga akan diambilkira seperti bilangan, rentak dan corak pernafasan, tahap kesakitan dll. Pesakit denggi selalunya mengalami simptom suhu badan yang tinggi, tekanan darah yang rendah, nadi yang tinggi. Sekali lagi, simptom memainkan peranan penting disini.
iii) Selepas tanda vital diambil, pengambilan sejarah medikal dan surgikal, atau sejarah kesihatan dan gaya hidup yang berkaitan pula dilakukan. Doktor dan jururawat akan bertanya berkaitan kehidupan sosial anda, gaya pemakanan anda, gaya hidup dan persekitaran anda, sejarah kesihatan anda, pernah melakukan pembedaha atau tidak, sejarah pengambilan ubatan anda, tempat tinggal anda, sejarah keluarga anda dan banyak lagi. Setiap satu informasi yang diberikan oleh anda kepada staf kesihatan amat berguna dalam menentukan apa diagnosis anda dan apakah punca jangkitan yang anda alami.
Contohnya dalam kes denggi, nyamuk Aedes (vektor) aktif pada waktu subuh dan senja. Maka orang yang terdedah dengan waktu ini adalah orang yang mempunyai risiko yang tinggi (susceptibility). Nyamuk Aedes juga aktif di kawasan yang mempunyai takungan air yang banyak dan populasi manusia yang ramai, contohnya di rumah-rumah flat, apartmen, kawasan pembinaan, kawasan ditepi tasik, paya dan lombong. Kata kunci disini adalah jenis individu dan keadaannya sendiri.
iv) Seterusnya adalah ujian darah dan spesimen lain. Ujian darah seringkali diambil seandainya doktor mengesyaki bahawa anda benar-benar mengalami penyakit tersebut. Maka, dalam kes denggi, pengambilan darah FBC, PT/APTT, dan lain-lain darah rutin akan diambil. Ini adalah untuk menentukan tahap kondisi darah anda, sama ada terlalu cair dan lambat beku, bilangan haemoglobin (sel darah merah), bilangan sel darah putih, platelet, plasma dan sebagainya. Jika doktor merasakan bahawa kes anda agak serius, ujian Rapid Test akan dilakukan untuk mengesahkan penyakit denggi. Terdapat juga jenis spesimen yang perlu diambil (tidak berkaitan dengan denggi), seperti ujian air kencing, kahak, najis dan lain-lain.
v) Seandainya doktor mengesyaki terdapat organ dalam badan anda yang telah terjejas dengan jangkitan kuman atau penyakit, maka barulah ujian diagnostik akan dijalankan. Ujian diagnostik adalah seperti xray, CT scan, MRI scanning, angiogram dan lain-lain. Tapi, kebiasaannya jika anda memerlukan ujian diagnostik seperti ini, anda akan dimasukkan ke wad terlebih dahulu. Ini adalah untuk membuat pemerhatian sebelum dan selepas ujian dilakukan. Akan tetapi, ramai diantara kita yang ingin melakukan ujian diagnostik tetapi menolak keperluan kemasukan wad. Kita hanya mahu ujian dijalankan, tapi kita tak mahu pemerhatian dilakukan. Disinilah punca masalah yang menyebabkan sesuatu penyakit menjadi mudah merebak dan menjadi lebih serius.
iv) Seandainya keadaan anda benar-benar teruk dan doktor sudah mengesahkan penyakit anda, anda akan dibawa untuk kemasukan wad. Disinilah segala prosedur besar dan kritikal dijalankan. Anda akan dimasukkan jarum dan tiub kecil (branula) kedalam salur darah untuk pemberian air garam (IVD) dan ubatan. Kemudian prosedur-prosedur lain akan dilakukan seperti kemasukan tiub kencing kedalam salur kencing (urethra) untuk monitor pengeluaran kencing anda, dan banyak lagi prosedur lain.
vii) Prosedur yang dilakukan juga bukanlah sewenang-wenangnya dilaksanakan dan semudah itu. Mula-mula doktor atau jururawat akan cuba sediakan aliran untuk pemberian ubatan dan air garam. Ini yang kita panggil sebagai ‘line set up’. Line wajib dimasukkan dan disediakan untuk memudahkan pengendalian ubatan dan lain-lain. Kemudiannya, barulah prosedur dilakukan berdasarkan arahan oleh doktor melalui ujian-ujian yang dilaksanakan. Setiap orang memerlukan perawatan yang berbeza. Jika anda menghidap denggi, air akan dialirkan secukupnya untuk mengekalkan hidrasi anda. Pesakit denggi tidak mempunyai ubatan khusus yang mampu menyembuhkannya. Kita hanya mampu mengurangkan simptom denggi sahaja. Contohnya demam, diberi antipiretik. Jika sakit, diberi analgesik. Semuanya bergantung pada simptom yang anda hidapi.
Jadi, berdasarkan langkah demi langkah ujian dan pemeriksaan yang dilakukan dari (i) hingga (vii), maka tak hairanlah jika doktor memerlukan masa yang lebih lama untuk setiap satu pesakit yang dianggap serius. Maka anda yang diletakkan di ruang menunggu Zon Hijau seharusnya bersyukur kerana keadaan anda masih tidak mencapai tahap kritikal dan serius.
– – – – – – – – – – – –
4. Sangsi terhadap ubatan yang dibekalkan.
Hal ini juga seringkali menjadi bual mulut mereka yang sebenarnya tidak fasih dengan ubatan yang diberikan.
Apa yang sering dipersoalkan adalah, benarkah ubat yang mereka perolehi daripada farmasi hospital ini berkesan sepenuhnya? Apa kandungan didalam ubatan ini? Apakah ia merupakan bahan kimia yang merbahaya? Atau mempunyai DNA haiwan yang disifatkan sebagai haram? Adakah ubat ini sebenarnya menyembuhkan atau mempunyai kesan sampingan yang membahayakan si pesakit? Adakah ubat ini merupakan suatu racun yang dicipta oleh Dajjal dan Illuminati?
Untuk mengetahui bagaimana sesuatu ubat itu berkesan, mula-mula anda perlu fahami apa itu farmakokinetik dan farmakodinaik sesuatu ubat. Selain itu, anda perlu memahami bahagian anatomi yang manakah terlibat dengan keberkesanan ubat yang diberikan. Bagaimana ubat tersebut berfungsi didalam badan? Apa kesannya? Apa tindakannya? Apa kontraindikasinya? Apa hasilnya? Berapa lama tempohmasa yang diperlukan? Apa itu overdose? Apa itu racun? Apa itu dadah?
Ya, untuk memahami kesemua ini secara menyeluruh, anda perlu menyelami bidang perubatan (farmakologi) secara mendalam. Dan percayalah kata saya, ia tersangatlah sukar. Namun, saya akan cuba meringkaskannya untuk pembacaan umum.
Pertama sekali, apa yang terkandung dalam ubatan yang anda terima? Majoriti ubatan adalah dihasilkan didalam makmal terkawal, maka ianya adalah suatu komposisi kimia. Contohnya vitamin A, B, C dan lain-lain merupakan suatu bahan kimia.
Namun, adakah kimia itu bahaya? Jawapannya tidak. Untuk pengetahuan anda, badan anda sendiri adalah suatu komposisi kimia. Udara yang anda hirup, air yang anda minum, makanan yang anda telan, benda yang anda sentuh, segalanya adalah bahan kimia. Dan isu organik dan inorganik tidak boleh dibawa kedalam perkara ini kerana sehingga kini, perdebatan berkaitan apa itu ‘organik’ diantara para saintis masih menemui jalan buntu.
Organik secara ringkasnya adalah apa jua komposisi kimia yang mempunyai hubungan atom karbon. Dan hampir kesemua objek dalam dunia ini mempunyai atom karbon. Jika sesuatu yang dihasilkan oleh tubuh kita adalah organik, maka mengapakah karbon dioksida yang kita hela secara semulajadi diklasifikasikan sebagai inorganik?
Ada juga ubatan yang dihasilkan daripada bahan semulajadi seperi bunga poppi yang dibentuk menjadi ubatan dadah. Ada juga yang dihasilkan daripada haiwan, bovine atau porcine, contohnya ubatan anticoagulant. Namun begitu, jasad DNA dan RNAnya telah diubahsuai sehingga ketahap ia bukan lagi mempunyai ciri asalnya. Bahkan ia boleh digunakan, sama ada anda adalah Muslim mahupun tidak. Ya, isu ini sangat rumit. Namun, fahamilah bahawa ubatan dihasilkan di fasiliti yang dikawal kualitinya, dibawah pengawasan mereka yang pakar melalui kajian penuh yang intensif. Dan percayalah bahawa ubatan yang digunakan di hospital di seluruh Malaysia, sama ada institusi swasta atau kerajaan mempunyai kualiti tinggi dan kos yang efektif.
Kemudian, kita perlu faham bagaimana ubat itu berfungsi dalam tubuh badan kita. Untuk ini, ada 3 bahagian:
Pertama, bagaimana ubat itu bertindak dalam badan kita, dari mula ia masuk (sama ada melalui mulut, bawah lidah, titisan mata, telinga, semburan hidung, salurdarah, otot, lemak, ruang saraf, dan lain-lain) sehingga ia mencapai ke kawasan sel reseptor (kawasan yang terlibat dengan kesan ubat, contoh saraf, otot, sendi, salur darah, jantung dan lain-lain).
Bahagian dua, bagaimana ubat tersebut bertindak pada sel reseptor yang berkaitan, contoh ubat analgesik (tahan sakit) bertindak pada sel saraf untuk menghentikan stimulasi ‘sakit’.
Dan bahagian terakhir, bagaimana badan seseorang itu bertindak pada ubat yang diambil, contohnya bagaimana tubuh badan cuba membuang baki ubatan yang berlebihan sesudah ubatan itu hilang kesannya, sama ada melalui pernafasan, air kencing atau najis.
Melalui tiga bahagian pemahaman ini, barulah kita boleh fahami bagaimana kesan ubat pada badan kita.
Berkaitan penjualan ubatan haram dan tak diiktiraf, saya beri satu soalan, bagaimana seseorang penjual jamu (contoh) mampu menceritakan hal ini kepada anda? Mampukah dia menceritakan bagaimana ubat jamunya bertindak, bagaimana badan menerima ubat tersebut, apa kesan yang dikenakan pada sel reseptor dan bagaimana lebihan ubat ini dikumuhkan (dibuang)? Mampukah si penjual jamu (atau penjual ubat-ubat ajaib lain) menceritakan hal ini semua secara spesifik? Mustahil mereka tidak tahu sistem farmakologi seandainya mereka mendakwa mereka adalah penjual ubat yang berkesan.
Melalui pemahaman ini, anda akan jelas dengan ubat apakah yang sebenarnya baik untuk anda, dan ubat mana yang palsu dan boleh menjejaskan kesihatan anda. Saya sangat menggalakkan anda bertanya soalan sebegini kepada mereka yang menjual ubat sewenang-wenangnya dengan dakwaan yang tidak logik akal demi kesihatan dan kehidupan anda sendiri.
Fikirkanlah.
Kemudian, anda pasti tertanya dengan kesan sampingan yang dibawa oleh ubatan-ubatan yang anda dapat dari kaunter farmasi. Mengapakah ubatan perlu ada kesan sampingan? Dan jika ia ada kesan sampingan, mengapa kita perlu mengambilnya?
Setiap satu ubat, pasti ada kesan sampingannya. Ini adalah suatu yang pasti. Tidak ada sesuatu ubat yang tidak mempunyai kesan sampingan. Kalau ada yang mendakwa begitu, maka sesungguhnya dia sedang berbohong. Untuk setiap satu ubatan dari kaunter farmasi, akan tertera senarai kesan sampingan untuk ubat tersebut. Sebagai contoh, ubat batuk akan mengakibatkan si pengambil merasa mengantuk. Ada juga kesan sampingan yang lebih teruk, namun kes-kes sebegini adalah sangat sedikit (rare). Dan badan seseorang memainkan peranan dalam menentukan kesan sampingan sesuatu ubat.
Sebagai contoh, ada orang akan merasa mengantuk jika mengambil ubat paracetamol (Panadol) manakala ada yang tidak. Ada yang mengantuk bila mengambil ubat batuk, ada yang masih celik. Ia bergantung dengan bagaimana badan seseorang itu bertindak pada ubat yang diterima. Maka, kesan sampingan berbeza-beza mengikut individu.
Seandainya terdapat ubatan yang anda beli tidak disertakan dengan senarai kesan sampingannya, anda boleh bertanya kepada kaunter farmasi atau penjual ubat, atau anda boleh terus buat laporan. Ini adalah kerana penyembunyian kesan sampingan ubatan yang dijual adalah satu kesalahan besar.
Selain daripada itu, isu overdose, dependency dan toxicity juga boleh terjadi seandainya pesakit mengambil ubat yang dipreskripsi tanpa mengikut arahan yang diberikan. Contohnya pengambilan paracetamol (Panadol) melebihi 8 tablet dalam masa 24 jam. Arahan khusus telah diberikan, ambil ubat
2 tablet 4 kali sehari. Ini bermaksud anda harus mengambil 2 tablet setiap enam jam, dan tidak boleh lebih, tidak boleh kerap.
Penyalahgunaan ubat juga sering berlaku dalam kelompok masyarakat kita. Contohnya, mengambil ubat batuk untuk keperluan ketagihan dan keperluan tidur, walhal ubat batuk hanya berfungsi dalam mencairkan kahak dan melegakan batuk, bukan untuk masalah insomnia. Antara ubat yang paling kerap disalahgunakan juga adalah ubatan antibiotik. Kita mengambil ubat antibiotik tanpa mengetahui apa masalah sebenar yang menyebabkan kita mendapat jangkitan. Kesilapan mengambil antibiotik yang tidak bersesuaian dengan keadaan jangkitan dan penyakit boleh menyebabkan kuman yang berada didalam badan menjadi ‘resistant’ atau kalis antibiotik. Selain itu, ubatan antibiotik yang dipreskripsi perlu dihabiskan mengikut jadual pengambilan walaupun pesakit tidak lagi mengalami jangkitan. Ini adalah kerana sesetengah baki kuman yang masih ada didalam badan bersifat ‘dormant’ dan tidak aktif. Untuk menghapuskan kuman secara menyeluruh, ubatan antibiotik perlu dihabiskan. Namun, ada antara kita yang mengambil ubat sambil lewa, mengambil ubat yang tidak dipreskripsikan kepada kita, mengambil ubatan hak milik orang lain sehingga kita sendiri menyebabkan penyakit itu menjadi lebih teruk.
Dan yang paling saya musykil, mengapa rata-rata dari kita lebih mudah mempercayai ubatan yang entah dari mana asalnya, entah dari siapa penghasilannya, apa kandungannya, apa kesannya, berbanding ubat yang sudah sememangnya dihasilkan secara spesifik dan terperinci mengikut penyakit dibawah pengawasan rapi dan kajian intensif secara berterusan serta dikawal penghasilannya?
Anda tentukan.
– – – – – – – – – – – –
5. Bayaran yang dikenakan dianggap mahal dan tidak setimpal.
Rata-rata dari kita tahu bagaimana jauh bezanya kos perawatan di hospital kerajaan berbanding hospital swasta dan hospital luar negara. Rata-rata dari kita sudahpun faham berkaitan sektor kesihatan Malaysia yang sememangnya antara yang paling terbaik dan termurah.
Sebagai seorang jururawat yang bekerja di salah satu hospital kerajaan di ibu negara, bagi saya isu ‘mahal’ ini langsung tidak masuk akal. Sangat tidak masuk akal.
Saya benar-benar tidak faham mengapa ada segelintir dari kita yang kecoh dengan isu pembayaran untuk mendapatkan rawatan adalah mahal.
Jika hendak dibandingkan dengan negara luar, kita hanya perlu membayar RM1 untuk mendapatkan rawatan dan jika tak salah, hanya RM3 sehari untuk kemasukan wad.
Saya ulangi, RM1 dan RM3 sehari sahaja.
Malah, terdapat pula kelebihan pemberian rawatan percuma kepada kanak-kanak, warga emas, OKU dan lain-lain lagi kes khas.
Dari mula anda masuk ke ruang A&E, sehinggalah anda discaj dari wad, dalam keadaan yang sihat, anda bayangkanlah berapa banyak prosedur dan kos yang perlu ditanggung hanya untuk memastikan anda sihat? Anda diberi makan secukupnya di wad, dimandikan, tapak kaki anda disental oleh jururawat, lubang punggung anda dicuci oleh orang yang tak kenal pun anda ni siapa, ujian darah yang berpuluh kali dilakukan menggunakan mesin-mesin elektronik, gas oksigen yang dibekalkan kepada anda 24 jam setiap hari, kos peralatan yang digunapakai dan dibuang atau dikitar semula, kos-kos kebersihan anda, sistem pembuangan bahan kumuh dan radioaktif, kos pemeriksaan diagnostik yang mencecah beribu-ribu ringgit, kos air yang memenuhi keperluan kebersihan diri anda, dan kos elektrik yang digunakan untuk memastikan anda hidup setiap saat.
Malah anda tak perlukan insurans pun untuk mendapatkan rawatan di hospital. Walau anda hidup gelandangan, hidup sebatang kara, tanpa sesiapa yang mampu membayar kos RM1 untuk anda sekalipun, anda tetap akan diberikan rawatan.
Jika dinegara luar, bagaimana jika anda tiada wang dan insurans? Maka anda akan dibiarkan mati disisi jalan sahaja.
Benar, anda membayar cukai, dan cukai itu digunakan untuk mensubsidikan kos perawatan. Akan tetapi, sebanyak manakah cukai anda yang anda sebutkan tadi? Dan adakah anda mahu subsidi pada sektor kesihatan ditarik balik? Ada sebab mengapa sektor kesihatan Malaysia diiktiraf seantero dunia, dan mendapat ranking ketiga negara Komanwel (jika saya tak salah).
Kos untuk pengambilan darah mencecah puluhan ringgit. Begitu juga dengan kos penempatan wad. Kos makanan, ratusan ringgit. Kos untuk ujian diagnostik, mencecah ratusan dan ribuan ringgit. Kos pembedahan? Kos utiliti? Kos perkakasan dan peralatan? Kos tenaga dan sumber mentah?
Bersyukurlah kerana hospital kerajaan masih lagi berdiri untuk memberikan anda perawatan terbaik. Walaupun dengan layanan yang tidak memuaskan dan waktu menunggu yang panjang. Bagaimana jika anda seorang yang tinggal sebatang kara, ingin mendapatkan rawatan jika tiada hospital kerajaan? Mampukah anda mendapatkan rawatan di hospital swasta yang rata-rata akan mengenakan caj kepada anda walaupun untuk sebiji bebola kapas?
Anda kecoh kerana perlu membayar RM1 untuk mendapatkan rawatan dan untuk menentukan sama ada anda mampu untuk teruskan hidup atau tidak.
Anda merungut kerana anda terpaksa membayar RM1 untuk melihat anak-anak anda, suami isteri anda, ibu dan ayah anda, ahli keluarga anda untuk terus hidup sihat dan berkualiti.
Dan anda membantah pembayaran RM1 untuk pembiayaan nyawa sendiri atas alasan tak mampu, akan tetapi anda mampu berbelanja ratusan dan ribuan ringgit untuk gaya hidup yang teruk yang boleh mengakibatkan anda mendapat penyakit yang lebih teruk? Anda marah kerana terpaksa bayar RM1 tapi anda tak kisah untuk menghabiskan ribuan untuk mendapat tubuh badan obesiti dan hidup hipertensi?
Maaf, terus terang saya katakan, jika anda rasa anda mampu untuk membayar lebih kepada sektor kesihatan swasta dan luar negara, dan merasakan bahawa caj RM1 hospital kerajaan adalah terlalu mahal, maka pergilah ke sana. Biarlah kami membanting tulang dan kederat serta tenaga yang ada untuk membantu mereka yang lebih memerlukan, yang tak mampu untuk berbelanja ratusan ringgit seperti anda. Biarlah kami menjaga dan merawat mereka yang datang dari latar belakang yang ‘miskin’ tetapi mempunyai penghargaan yang tinggi berbanding anda yang ‘kaya’ namun tidak bersyukur.
Anda tak perlu lagi kecoh. Biarlah kami memfokuskan kepakaran kami kepada mereka yang lebih memerlukan dan tidak mampu, seandainya isu ‘kos’ terlampau besar bagi anda.
Bukan saya menghalau. Apa yang saya maksudkan, jika mampu, pergi. Beri peluang kepada mereka yang tidak mampu. Kami lebih rela merawat orang yang tidak mampu disini. Malah, kalau anda pergi ke sana, sekurang-kurangnya kuranglah nombor giliran menunggu untuk mereka yang tak mampu, maka lebih cepat untuk mereka mendapatkan rawatan.
– – – – – – – – – – – –
6. Sakit yang melampau tetapi diabaikan.
Ini merupakan subtopik yang paling hangat diperkatakan. Mereka yang hadir di A&E dan terpaksa menunggu di ruangan Zon Hijau mengadu rawatan lambat diberikan walaupun mereka sudah merasa sangat sakit.
Pertama sekali, saya ingin bertanya. Apakah anda faham apa itu sakit dan ditahap mana kesakitan anda tersebut?
Rata-rata dari kita mengadu didalam kesakitan yang teramat, namun masih mampu untuk memetik keypad telefon. Ada pula yang lebih unik, mengadu dalam kesakitan 10/10 akan tetapi mulut pantas mengunyah kacang putih yang dibeli di kafe hospital, sambil tangannya menangkap gambar staf yang sedang berkejaran di ruang legar Zon Merah dengan kapsyen “Jururawat seksi pura-pura sibuk untuk elak buat kerja.”
Di A&E, di mana-mana unit hospital sekalipun, rawatan tidak didahulukan berdasarkan tahap kesakitan seseorang sahaja. Terdapat beberapa pemerhatian yang dilakukan dibawah prosedur pengambilan tanda vital dan GCS (o&e, nadi, pernafasan suhu, tekanan darah, kesedaran, orientasi dll) yang mana menentukan keperluan seseorang mendapatkan rawatan.
Mengapa kesakitan itu tidak dikira sebagai tanda aras keperluan rawatan seseorang? (Isu ini masih menjadi perdebatan antara golongan pakar kesihatan.)
Pertama sekali, setiap seorang daripada kita merasakan tahap kesakitan yang berbeza-beza. Sesetengah orang mampu bertahan jika ditumbuk berulang kali. Namun ada daripada kita merasakan tahap kesakitan yang berbeza-beza. Sesetengah orang mampu bertahan jika ditumbuk berulang kali. Namun ada daripada kita yang menangis apabila sekadar ditampar. Semuanya bergantung kepada tahap seseorang untuk menerima stimulasi sakit dari persekitaran, yang dikenali sebagai ‘pain threshold’.
Didalam wad, ada suatu prosedur yang kita gunakan untuk menentukan tahap kesakitan seseorang, iaitu ‘pain scoring’. Prosedur ini dilakukan apabila staf kesihatan bertanyakan kepada pesakit tahap kesihatan yang dialami, mengikut skala 0-10, yang mana 0 bermaksud tiada kesakitan yang dialami dan 10 bermaksud tahap kesakitan yang melampau. Riak muka dan bahasa tubuh badan juga seringkali digunapakai didalam prosedur ini. Sesudah tahap kesakitan pesakit dikenalpasti, ubatan analgesik (tahan sakit) akan diberikan. Kebiasaannya, ubatan analgesik akan didahului dengan ubatan paracetamol, ponstan, kemudian tramadol, pethidine, infusi DDA seperti fentanyl, midazolam dan jika dalam keadaan yang terlampau sakit, akan diberikan PCA (patient-controlled analgesic) morphine dan lain-lain.
Namun begitu, disebabkan ‘pain scoring’ adalah sekadar suatu ujian yang melibatkan soal jawab diantara pesakit dan staf, maka ianya adalah bersifat tidak tepat kerana ia dilakukan secara verbal. Ini adalah kerana jawapan yang diberikan oleh pesakit dipengaruhi faktor tergesa-gesa dan impulsif. Sudah tentu semua pesakit akan mengadu sakit yang terlampau jika ditanya, bukan?
Kadangkala, pesakit yang kelihatan selesa dan sedang bermain telefon bimbit, mengadu mengalami kesakitan pada tahap 10/10. Tahap ini adalah tahap dimana sakit yang dirasai adalah melampau semasa didalam keadaan rehat dan bergerak. Bak kata rakan saya lagi, “tahap sakit nak mati”. Walhal pesakit ini kelihatan tenang, selesa, bersandar girang pada kerusi di sisi katil sambil bergelak tawa dengan ahli keluarganya.
Ada juga pesakit yang mempunyai sejarah heroin chaser dan pernah mengambil dadah, menggunakan kesempatan ‘pain scoring’ ini untuk mendapatkan dadah percuma dengan mengadu kesakitan melampau dan seterusnya diberi morphine melalui infusi atau PCA. Maka tersenyumlah dia melayan ketagihannya setiap 5 minit.
Ada juga yang mengadu sakit sendinya lebih teruk berbanding pesakit yang telah dilakukan pembedahan pada perutnya. Mana mungkin orang yang sekadar sakit pada sendi merasakan tahap kesakitan melampau, walhal pesakit yang perutnya telah dilakukan pendarahan masih boleh menahan sakitnya pada skala 5/10.
Maka, isu sakit ini tidak digunapakai dalam menentukan keperluan pesakit mendapat rawatan. Ini adalah kerana seringkali terdapat jawapan yang tidak benar dan bersifat impulsif daripada pesakit.
Jadi, walaupun anda merasakan sakit perut yang terlampau dan semakin teruk dengan setiap saat anda menunggu di ruangan Zon Hijau, ingatlah bahawa masih banyak lagi pesakit, yang telah putus jarinya, tangan dan kakinya, terbelah perutnya yang merasakan kesakitan jauh lebih teruk berbanding anda. Malahan, ada pesakit yang langsung tak merasakan sakit, kerana dia tidak lagi sedar akibat kegagalan dan kerosakan otak.
– – – – – – – – – – – –
Kesimpulan.
Bukanlah niat saya menulis artikel ini untuk mengecam mana-mana pihak. Namun, saya hanya mahu anda semua bersabarlah, dan bertimbangrasalah. Setiap satu staf di A&E berhempas pulas bermain dengan nyawa, darah, isi organ orang lain. Tersilap langkah, mati.
Ya, anda mungkin rasa anda memerlukan rawatan segera. Akan tetapi, selagi mana masih ramai lagi pesakit yang dalam keadaan lebih teruk berbanding anda, selagi itulah anda terpaksa tunggu.
Dan akhirkata dari saya, saya ingin menekankan perkara ini.
“Orang awam tak faham erti dan tak pandai membezakan keadaan cemas dengan keadaan kecemasan. Orang awam menganggap semua perkara adalah kecemasan, dan akan berasa cemas. Staf kesihatan pula mampu mengendali keadaan kecemasan tanpa merasa cemas.”
#AC #NurseOsem
#jururawat #stafkesihatan
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
1 Comment
Artikel yg bernas.
Pun begitu sememangnya terdapat beberapa kelemahan dlm cara diagnostik pesakit oleh doktor kerajaan yg mana sy akan letakkan sbg kelemahan dlm sistem dan juga karenah birokrasi step by step dan profesionalisme yg mengkehendaki staf kerajaan follow satu2 step. Sbg cth ibu sy mengadu sakit perut dn telah muntah2 semalaman kpd doktor kerajaan. Berjalan pun sudah terbongkok2 kerana terlalu sakit. Menurut pain scoring yg digunakan oleh pihak hospital, sy yakin ibu sy jatuh dlm scoring pain yg rendah krn beliau sememangnya seorang yg penyabar dn tahan sakit. Riak wajahnya takkan menunjukkan kesakitan. Jadi, doktor hanya mengesyaki ibu sy mengalami gastric krn dimaklumkn ibu sy mmg mempunyai sejarah gastric. Pun begitu, ubat gastric yg diberikan tidak berkesan. Sementelah pula sakitnya agak berlainan drpd ketika gastric. Jd ibu sy telah ke hospital swasta keesokan harinya dlm keadaan masih tidak mampu berdiri betul. Di hosp swasta doktor disana terus melakukan scan. Sy tidak pasti scan yg mana. CT atau MRI. Diagnostik sebenar? Batu hempedu yg sudah melarat, menjadi banyak yg mana boleh menyebabkan maut jika terlewat dan menjadi pecah. Jadi bagaimana? Diagnostik sakit perut gastric saja tapi rupanya lain. Jadi rasanya perlu adakan penambahbaikan dlm cara diagnostik pesakit. Sy juga pernah mendengar cerita2 lain yg simptom pesakit memang tidak teruk dan pesakit pula mampu lagi menahan sakitnya, tp tup2 rupanya kanser sudah tahap empat dan sebagainya.
Daripada menyuruh pesakit ke hospital swasta, lebih baiklah meminta pesakit ke hospital pada waktu hari siang kerana ruang pesakit luar hanya terbuka ketika itu. Jika pesakit berdegil sedangkan sudah tahu malam tiada terbuka bhg pesakit luar, biarkan saja. Kepada pesakit luar, jangan mengada2 sangat. Setakat org demam waktu malam tak payah pergi hospital kecuali bayi. Beli aje panadol, minum air biasa banyak2, pastu tidur. Buat apa membuang masa ke hospital. Tak mati pun setakat demam, jari tersekat cincin.