Usia beliau sudah mencecah 78 tahun. Dengan keadaan hampir menyeret kaki, dibantu tongkatnya, lelaki tua ini menghulur tangan bersalam dengan semua yang ada semasa program Reunion Ex-22 KDO yang telah berlangsung di Kem Bina Semangat Yayasan Selangor pada 29 Mei 2016 yang lalu. Sesekali beliau menoleh tercari-cari kelibat seseorang. Melihat gelagatnya, saya menyapa. Di dalam keriuhan suasana mesra majlis BBQ yang sedang berlangsung, saya menghulur kerusi menjemput beliau duduk dan mula membuka bicara. Soalan pertama yang saya tanya.. “ Pakcik cari siapa?”. Sambil tersenyum malu beliau menjawab, beliau mencari rakannya yang telah membawa beliau ke majlis ini – juga seorang bekas anggota GGK ( Gerup Gerakhas/ Komando Tentera Darat Malaysia ). Kalau rakannya itu meninggalkannya, habislah katanya. Jenuhlah pakcik nak kena balik berjalan kaki..selorohnya. Sambil itu dengan perlahan beliau bertanya.. “ Nak..masuk majlis ni kena daftar apa-apa tak? Kena bayar apa-apa tak? Pakcik nak bayar ni..”. Saya tak mampu nak kata apa-apa, sebab majlis pun bukan saya tuan rumahnya. Tapi sebentar kemudian, beberapa bekas anggota yang berada di majlis tersebut datang menghantar juadah serta secawan kopi.
“Sila pakcik”, jemput saya. Perlahan beliau mengais makanan. “ Dah tua-tua macam nilah..”, katanya. “ Makan pun dah tak berselera. Makan pun asal cukup syarat je..”, sambungnya lagi. Sambil melayan juadah, sesekali beliau menyahut sapaan mereka yang datang bersalam dengan beliau, dan jelas kelihatan kemesraan terpancar di wajahnya. “ Pakcik ni dah lama teringin nak masuk majlis-majlis macam ni..jumpa kawan-kawan lama. Tapi tak ada rezeki, sejak berhenti askar dulu sampai sekarang tak ada satu majlis pakcik dijemput. Malah majlis penghargaan Congo dulupun pakcik tak tau apa-apa. Ini nasiblah anak pakcik yang kerja di majlis Daerah Kuala Kubu bagitau ada majlis dan nasib jugaklah si Rashid ni ( rakannya tadi) sudi bawak pakcik..,” keluhnya. Ingin tahu lebih lanjut, saya mula bertanya soalan kepadanya.
11742 Staf Sarjan Abdul Rahim B Uda Asat, dilahirkan pada 23 September 1938, kini mencecah usia 78 tahun. Beliau pernah berkhidmat di dalam pasukan 1, 2 dan 3 RAMD sebelum menyertai 1 RGK ( nama lama GGK) pada tahun 1965 sehingga tamat perkhidmatan pada tahun 1978. Bukan sedikit kisah perjuangan yang dicatat oleh wajah berkedut ini. Beliau pernah berkhidmat di Congo selama setahun pada tahun 1962 dan merupakan salah seorang barisan anggota terawal menyertai pasukan Rejimen Gerakhas Malaysia ( RGK) selepas penubuhannya yang diterajui oleh The Big Twelve. Masih jelas di ingatannya nama-nama yang terkenal di dalam pasukan tersebut – Dato Borhan Ahmad, antara nama yang diulang sebut. Ternyata kerinduan beliau terhadap rakan-rakan begitu menggunung.
Namun, harapan untuk bertemu semakin hari semakin sirna dek entah di mana silapnya, beliau tidak pernah dijemput untuk mana-mana acara atau majlis. Ternyata pengalaman beliau bukannya sedikit. Semasa berkhidmat dengan pasukan 1 RAMD, beliau bersama 6 lagi rakan sepasukan telah diarahkan menyerang-hendap 2 anggota komunis yang menurut maklumat, menyimpan senjata dan bekalan lain di Batu 6, Gunung Jerai. Kedua-dua anggota komunis tersebut maut di hujung senjata mereka, dan pakcik Rahim menceritakan bagaimana susahnya mereka terpaksa mengusung kedua-dua mayat menuruni Gunung Jerai tersebut – memandangkan semasa itu belum terdapat jalanraya yang menghubungkan gunung itu hingga ke puncak seperti sekarang, untuk diserahkan kepada balai Polis Gurun di Kedah.
Selain daripada itu, beliau juga pernah terbabit dengan insiden Kalabakan, di mana beliau melihat sendiri bagaimana rakannya terputus kaki akibat tembakan daripada anggota negara seberang. Ketika itu, pihak musuh sebenarnya lebih banyak menggunakan tembakan mortar berbanding tembakan senjata biasa bagi mencederakan anggota-anggota kita. Nasib baiklah Pakcik Rahim ketika itu berada di dalam kenderaan..maka terselamatlah beliau.
Kini, beliau hanya mampu mengheret kaki beliau yang sudah menunjukkan kesan kederat yang dikerah di usia mudanya. Pengalaman melalui latihan terjunan di Tanjung Laboh, Johor telah mula menunjukkan kesannya sekarang. Ternyata pakcik Rahim adalah salah satu butiran permata kisah sejarah pasukan pertahanan kita, yang sama seperti lainnya- semakin sirna daripada ingatan kita pada hari ini.
Di akhir bicara, beliau meminta agar diberikan peluang untuk kembali bertemu rakan-rakan beliau yang sudah sekian lama tidak berjumpa. Tidak ada apa yang diharapkannya, selain daripada mengenang kembali kisah-kisah perjuangan mereka sebelum menutup mata. Apalah yang hendak diharapkan? Pada usia tua sebegini, beliau hanya memenuhi hari-harinya sebagai bilal sambilan di surau kampungnya, di samping seorang isteri yang masih setia dan seorang anak lelaki yang sudah berusia dan belum berkahwin, manakala 3 lagi anak-anaknya datang melawat sesekali.
Kepada beliau, saya telah berjanji insyaallah, akan kembali menyurusi kisahnya dengan lebih terperinci di lain hari. Bersinar matanya bila merasakan ada harapan bagi harapannya dipenuhi meski sudah agak lewat.
Sebelum melangkah pergi, ada sesuatu yang menarik perhatian saya. Di kad pesara beliau, tertulis kelayakan wad hospital kelas 2. Kelas 2? Adakah kerana pangkat terakhir beliau sebelum bersara adalah seorang LLP sahaja atau sebab beliau bukan seorang ahli politik? Begitu beradabnya kita..bila mereka yang menumpahkan jasa kepada negara hingga kita aman tenteram hari ini hanya diberi kelayakan kelas kedua. Kerana undang-undang dan peraturannya sudah begitu? Siapa yang buat? Bukan kita ke? Sedangkan bekas-bekas musuh negara satu ketika dulu pada hari ini hidup senang lenang malah layak dan mampu mendapatkan rawatan kesihatan terbaik disebabkan peluang yang mereka raih di bumi bertuah ini..mereka yang mempertahankannya pula hanya layak masuk wad kelas ke-2?
Notakaki : Disebabkan kerosakan komputer yang saya gunakan untuk memindahkan gambar-gambar semasa rakaman tersebut, saya telah kehilangan gambar alamat Pakcik Rahim yang dituliskannya di atas kertas. Kalau ada di antara pembaca yang mengenali beliau dan tahu alamatnya, saya mohon majukankepada saya agar saya dapat menunaikan janji saya kepada beliau. Terima kasih.
.=WRA=
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih