Berikutan pen4klukan Afrika Utara oleh Arab-Muslim pada kurun ke-7 Masihi, agama Islam tersebar secara aman hampir sepenuhnya ke seluruh Afrika Barat melalui para pedagang, ilmuwan dan para pendakwah, di mana para pemerintah Afrika sama ada mengambil pendirian bersifat toleransi agama ataupun memeluk agama tersebut.  Dengan demikian, agama Islam tersebar ke seluruh Gurun Sahara dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Selain itu, agama Islam juga sampai ke Afrika Timur apabila para pedagang Arab merentasi Laut Merah dan dalam gelombang penyebaran kedua, menetap di kawasan sepanjang Pantai Swahili. Kempen-kempen ketenteraan sememangnya pernah berlaku sejak kurun ke-14 Masihi, misalnya memerangi kerajaan-kerajaan Kristian di Nubia.

Manakala pada kurun ke-18 pula, Fulani-Muslim melancarkan jhad di daerah Tasik Chad. Dalam beberapa keadaan, berlaku penentangan keras terhadap penyebaran agama Islam oleh para pendokong kepercayaan tradisional Afrika seperti animisme, pemujaan semangat dan roh nenek-moyang.

Penyebaran Agama Islam di Afrika

Apapun, setidak-tidaknya enam kurun lamanya agama Islam tersebar secara aman dan secara bertahap di kawasan-kawasan yang mempunyai rangkaian perdagangan dengan dunia Muslim yang lebih meluas, seperti Mediterranean selatan, Teluk Parsi dan Laut Arab. Agama Islam tidak diamalkan secara seragam dan bukan dalam bentuknya yang asli, lantaran di Afrika, ia sering wujud bersama amalan-amalan dan ritual-ritual keagamaan tradisional. Dengan tersebarnya agama Islam, idea-idea tertentu juga turut tiba di Afrika, terutama yang berkaitan dengan pentadbiran, perundangan, seni bina da banyak lagi aspek kehidupan harian yang lain.

SEBUAH CATATAN TENTANG AGAMA ISLAM

Diperkirakan bahawa sesuai untuk memulakan perkongsian ini dengan nota bahawa penyebaran agama Islam di Afrika melangkaui nuansa pemindahan dan pengamalan idea-idea agama semata. Sebagaimana yang diterangkan secara ringkas oleh UNESCO General History of Africa, tidak seperti kebanyakan agama lain:

Islam bukan hanya sebuah agama: ia juga merupakan sebuah gaya hidup yang komprehensif, yang merangkumi kesemua lapangan dalam kewujudan manusia: Islam memberikan bimbingan tentang semua aspek kehidupan – individu dan sosial, materi dan moral, ekonomi dan politik, perundangan dan budaya, kenegaraan dan antarabangsa. (Vol III, 20)”

Justeru, menurut pernyataan di atas, amat munasabah sekiranya ramai pemerintah dan golongan elit Afrika mengambil sikap bersedia untuk mengamalkan agama asing ini lantaran ia turut membawa bersama kelebihan-kelebihan dalam pentadbiran dan kekayaan yang pasti.

PENYEBARAN SECARA GEOGRAFI

Agama Islam tersebar dari Timur Tengah lalu bertapak di seluruh Afrika Utara pada separuh kedua kurun ke-7 Masihi apabila Kekhalifahan Umayyah (661-750 Masihi) dari Damsyik menguasai kawasan tersebut melalui jalan ketenteraan. Daripada sana, agama ini tersebar melalui pengislaman kaum Berber (sama ada secara paksa atau hati mereka tertawan untuk memeluk agama tersebut) pada kurun ke-8 Masihi di sepanjang laluan-laluan perdagangan yang terbentang di Afrika Barat, lalu bergerak dari pantai timur memasuki kawasan pedalaman Afrika tengah dan akhirnya tiba di daerah Tasik Chad.

Sementara itu, agama ini turut tersebar ke bawah menerusi Mesir dan menghala ke barat menerusi daerah Sudah di bawah Gurun Sahara. Penyebaran gelombang ketiga kemudiannya membawa agama ini secara langsung dari Tanah Arab dan Teluk Parsi ke pantai timur Afrika, Tanduk Afrika dan Pantai Swahili.

Laluan-Laluan Perdagangan Trans-Sahara

Sebaik sahaja agama ini tiba di daerah savannah yang terdapat di seluruh Afrika bawah Gurun Sahara, ajarannya mula diamalkan oleh golongan bangsawan dan pemerintah Afrika. Walau bagaimanapun, kepercayaan dan ritual tradisional lazimnya masih terus diamalkan atau bahkan bercampur-aduk dengan agama Islam.

Sebaik para pedagang Muslim berjaya menembusi kawasan yang lebih terceruk ke pedalaman Afrika, agama Islam pun tersebar dari satu empayar ke satu empayar, mula menapakkan pengaruhnya di Gao pada tahun 985 Masihi dan kemudian tersebar ke dalam Empayar Ghana (kurun ke-6 hingga kurun ke-13 Masihi) sejak penghujung kurun ke-10.

Daripada sana, agama Islam tersebar ke timur memasuki Empayar Mali (1240-1645 Masihi) dan Empayar Songhai (c. 1460 – c. 1591 Masihi). Dengan bermulanya pengamalan agama Islam oleh kelas pemerintah Kerajaan Kanem (c. 900 – c. 1390 Masihi) pada tempoh antara kurun ke-11 dan 13 Masihi dan Hausaland pada penghujung kurun ke-14 Masihi, penyebaran agama ini di rantau bawah Gurun Sahara Afrika pun selesai.

Di Afrika Timur, Islam berhadapan dengan saingan hebat dari agama Kristian yang sudah bertapak kukuh di Nubia dan kerajaan-kerajaan lain seperti Kerajaan Faras (yakni Nobatia), Dongola, Alodia, dan Kerajaan Aksum (kurun pertama – kurun ke-8 Masihi) yang terletak di Ethiopia moden.

Hanya pada kurun ke-14 Masihi dan menerusi campur tangan dari Kesultanan Mamluk Mesir (1250-1517 Masihi), barulah kerajaan-kerajaan Kristian tersebut berubah menjadi kerajaan Islam, kecuali Kerajaan Habsyah (kurun ke-13 hingga kurun ke-20 Masihi). Selain itu, terdapat dua buah kerajaan Muslim yang penting di Tanduk Afrika, iaitu Kesultanan Adal (1415-1577 Masihi) dan Kesultanan Ajuran (kurun ke-13 hingga kurun ke-17 Masihi).

Jauh di selatan, agama Islam meraih kejayaan yang lebih pantas terutama di Pantai Swahili. Bermula dari pertengahan kurun ke-8 Masihi, para pedagang dari Tanah Arab dan Mesir mula menetap secara kekal di bandar-bandar dan pusat-pusat perdagangan yang terletak di sepanjang pantai Swahili. Masyarakat tempatan, iaitu suku Bantu mula bercampur-gaul dengan bangsa Arab. Begitu juga dengan bahasa mereka. Perkahwinan kacuk menjadi suatu kelaziman, dan seterusnya membawa kepada percampuran antara amalan-amalan kebudayaan dan ajaran Islam di mana hal ini membawa kepada evolusi kebudayaan Swahili yang unik.

Agama Islam bertapak dengan lebih kukuh pada kurun ke-12 Masihi apabila para pedagang Shiraz tiba dari Teluk Parsi. Memetik kata-kata sejarahwan P. Cutrin: “Agama Islam secara muktamadnya menjadi salah satu elemen utama dalam identiti Swahili. Pada kurun-kurun terkemudian, menjadi seorang Swahili juga membawa maksud menjadi seorang Muslim” (125). Agama Islam meraih kepesatan di pantai tersebut, namun impak yang sama tidak berlaku terhadap masyarakat yang hidup di kawasan pedalaman Afrika Timur kecuali pada kurun ke-19 Masihi.

Wujud cabaran-cabaran lain selain orang-orang Kristian Nubia. Dalam mendepani penyebaran agama Islam, terdapat ramai individu yang bersikeras mahu berpegang pada kepercayaan tradisi. Antara kumpulan menonjol yang menentang gelombang penyebaran Islam ialah masyarakat Mossi, yang berpengaruh di wilayah selatan Sungai Niger. Mereka bahkan menyerang kota-kota seperti Timbuktu pada separuh pertama kurun ke-15 Masihi.

Kemudian, orang-orang Kristian-Portugis tiba di pantai barat dan timur Afrika sekaligus mencabar penyebaran agama Islam di sana. Pendatang dari Eropah ini menjalankan perdagangan secara giat di pantai barat Afrika, hinggakan beberapa buah kerajaan seperti Kerajaan Kongo (kurun ke-14 hingga kurun ke-19 Masihi) menjadi sebuah kerajaan Kristian. Bermula dari kurun ke-16 Masihi, dominasi agama Islam di pantai Swahili dicabar.

Masjid Jamek, Kilwa


SEBAB-SEBAB PENERIMAAN

Selain daripada kepatuhan rohani yang hakiki, para pemimpin Afrika menyedari bahawa mengamalkan ajaran Islam atau setidaknya bertoleransi terhadapnya akan memberikan manfaat yang besar kepada sektor perdagangan. Sfera Islam dan perdagangan saling berkait rapat, sebagaimana yang diterangkan di dalam UNESCO General History of Africa:

Kaitan antara Islam dan perdagangan di wilayah sub-sahara Afrika merupakan suatu fakta yang diketahui meluas. Masyarakat yang paling aktif dalam komersial, seperti Dyula, Hausa dan Dyakhanke, merupakan antara yang pertama memeluk agama tersebut apabila negara masing-masing berinteraksi dengan Muslim. Penjelasan terhadap fenomena ini boleh ditemukan dalam faktor sosial dan ekonomi. 

Islam adalah sebuah agama yang lahir dalam kalangan masyarakat komersial di Mekah dan ia didakwahkan oleh seorang Nabi yang baginda sendiri bergiat lama dalam bidang perdagangan, sekaligus hal ini menyumbang kepada satu tatanan etika dan amalan yang sangat berkait rapat dengan aktiviti-aktiviti perniagaan. 

Kod moral ini membantu dalam melindungi dan mengawal hubungan komersial serta menawarkan sebuah ideologi penyatuan dalam kalangan anggota pelbagai kumpulan etnik, justeru memberikan jaminan keselamatan dan pengaliran masuk tunai, yang merupakan dua buah keperluan utama dalam perdagangan jarak-jauh. (Vol. III, 39)

Namun, di Empayar Ghana misalnya, tiada bukti yang dapat menunjukkan bahawa raja-raja mereka memeluk Islam. Sebaliknya, mereka hanya mengambil sikap bertoleransi terhadap para pedagang Muslim dan rakyat Ghana yang berhasrat mahu memeluk agama tersebut. Ibu kota Ghana di Koumbi Saleh secara signifikannya terbahagi kepada dua buah daerah yang berbeza sejak pertengahan kurun ke-11 Masihi.

Satu bandar dijadikan sebagai bandar Muslim dan ia memiliki 12 buah masjid, manakala sebuah lagi bandar yang berjarak hanya 10 kilometer dan dihubungkan oleh sejumlah bangunan merupakan kediaman diraja dan menempatkan banyak rumah suci bagi penganut kepercayaan tradisi dan sebuah masjid bagi para pedagang yang singgah ke bandar tersebut. Pembahagian sebegini mencerminkan hakikat bahawa kepercayaan animisme masih terus dianuti di samping ajaran Islam, di mana kepercayaan tradisional tersebut diamalkan oleh komuniti luar bandar.

Ilustrasi Mansa Musa

Beberapa buah masjid dibangunkan, seperti Masjid Jamek Timbuktu (yakni Djinguereber atau Jingereber). Begitu juga dengan sekolah-sekolah dan universiti-universiti al-Qur’an yang meraih reputasi peringkat global dengan begitu pantas. Salah seorang ilmuwan Timbuktu yang penting ialah Sharif Sidi Yahya al-Tadilsi (meninggal sekitar 1464 Masihi), iaitu ulama yang menaungi kota. Sebuah kelas sosial ulama’ dibentuk, di mana ramai anggotanya berasal-usul dari Sudan. Kebanyakan mereka terlibat dalam usaha dakwah, menyebarkan ajaran Islam ke wilayah selatan Afrika Barat.Akan tetapi di Empayar Mali, raja-raja mereka sememangnya memeluk agama Islam. Raja pertama yang jelas berbuat demikian ialah Mansa Uli (yakni Mansa Wali atau Yerelenku), yang menunaikan haji ke Mekah pada 1260an atau 1270an. Ramai pemerintah selanjutnya menyusuli beliau, dan tokoh termasyhur dalam kalangan mereka ialah Mansa Musa I (memerintah 1312-1337 Masihi) yang mengunjungi Kaherah dan Mekah serta membawa pulang para ilmuwan, jurutera dan sejumlah buku ke Mali.

Apabila semakin ramai yang menganut agama Islam, ianya menggamit kedatangan semakin ramai ulama Muslim dari luar dan agama Islam tersebar dengan lebih meluas di Afrika Barat. Ramai mualaf tempatan menuntut ilmu di tempat-tempat seperti Fez, Maghribi dan seterusnya menjadi ulama’, pendakwah dan bahkan wali besar.

Justeru, agama Islam tidak lagi dilihat sebagai agama asing sebaliknya agama tempatan di Afrika. Seterusnya, ulama’ Muslim mula lazim melibatkan diri dalam kehidupan seharian masyarakat (sekaligus meningkatkan lagi kadar penerimaan ajaran Islam) dengan memimpin bacaan doa, melaksanakan tugas-tugas pentadbiran, menawarkan khidmat perubatan dan nasihat keagamaan – seperti penafsiran mimpi dan pendinding diri.

Selain daripada pemerolehan kekayaan bagi meningkatkan prestij dalam pandangan masyarakat, satu lagi motivasi yang mendorong para pemerintah untuk mengamalkan ajaran Islam adalah dnasti pemerintah dapat memperkukuh kekuasaannya melalui agama tersebut. Hal ini merupakan faktor penerimaan Islam yang paling penting bagi Kerajaan Kanem pada lewat kurun ke-11 Masihi. Dengan mengamalkan ajaran Islam, mereka berpeluang untuk bertukar-tukar perutusan diplomatik dengan negara-negara di Afrika Utara, sekaligus membuka juga peluang untuk menghantar para ilmuwan bagi melanjutkan pelajaran.

Kedua-dua faktor ini secara khusus membolehkan negara-negara di sub-Sahara Afrika itu berinteraksi dengan dunia Mediterranean secara lebih meluas, sekaligus meningkatkan lagi prestij pemerintah. Satu lagi faktor penerimaan ajaran Islam di rantau ini ialah peningkatan kadar celik huruf dalam kalangan masyarakat. Faktor ini sangat penting bagi empayar yang kekayaannya dibina berteraskan aktiviti perdagangan.

Masjid Jamek, Djenne, Mali

Walau bagaimanapun, golongan pemerintah tidak semestinya mencenderungkan diri kepada ajaran Islam. Misalnya, Raja Sunni Ali dari Empayar Songhai (memerintah 1464-1492 Masihi) merupakan seorang penentang Muslim yang lantang. Namun, keadaan yang berbeza pula ditunjukkan oleh Mohammad I (memerintah 1494-1528 Masihi) yang sememangnya menganut dan mengamalkan ajaran Islam.

Beliau bahkan melaksanakan perundangan Islam ke atas rakyatnya dan melantik qadi-qadi (hakim atau majistret Islam) sebagai ketua keadilan di Timbuktu, Djenne dan bandar-bandar lain. Apapun, sama seperti di Ghana dan Mali, rakyat luar bandar di Songhai kekal mengamalkan kepercayaan tradisi.

DIAMALKAN BERSAMA KEPERCAYAAN TRADISI AFRIKA

Sebagaimana yang disebutkan di atas, kepercayaan-kepercayaan tradisional terus diamalkan, terutama dalam kalangan komuniti luar bandar. Hal ini direkodkan oleh para pengembara seperti Ibn Battuta yang mengunjungi Mali sekitar tahun 1352 Masihi. Selain itu, setidak-tidaknya pada peringkat awal, pengajian-pengajian Islam diadakan dalam bahasa Arab dan bukan dalam bahasa tempatan.

Hal ini sekaligus menjejaskan penerimaannya dalam kalangan masyarakat di luar kelas ulama’ berpendidikan. Bahkan, Islam yang bertapak di sana juga merupakan suatu variasi tertentu yang diamalkan di dunia Arab. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh para pemerintah Afrika tidak dapat mengenepikan sepenuhnya amalan dan kepercayaan tradisional yang masih dianuti oleh kebanyakan rakyat mereka, lebih-lebih lagi mereka ini lazim mengangkat para pemerintah ke kedudukan dewata atau separa-dewa.

Malahan, di Pantai Swahili, tempat di mana ajaran Islam diamalkan secara lebih meluas berbanding tempat lain sendiri, terdapat ramai penganut Islam yang masih terus mengamalkan pemujaan semangat, terutama semangat-semangat yang kononnya menjadi punca penyakit dan nasib-nasib malang yang lain. Roh nenek-moyang terus dipuja, dan di beberapa buah kota, kaum wanita menikmati kebebasan yang jauh melebihi kaum wanita Islam. Tanah perkuburan pula dipenuhi dengan makam-makam yang turut menguburkan bersama barangan berharga di samping si m4ti.

Masjid Sankore, Timbuktu


IMPAK DALAM KEBUDAYAAN

Islam memberi kesan secara mendalam terhadap seluruh aspek kehidupan seharian masyarakat. Namun, ianya bersifat pelbagai bergantung masa dan tempat. Kedatangan Islam menyaksikan kejatuhan kedudukan beberapa kumpulan tertentu dalam komuniti Afrika purba.

Salah satu pihak yang paling menerima kesan sebegini ialah tukang-tukang logam yang sebelum ini menikmati penghormatan-bersifat-mistik dari orang awam lantaran kemahiran mereka dalam menempa logam. Hal ini juga berlaku terhadap mereka yang menemukan dan melombong logam-logam berharga seperti emas dan besi.

Secara kontranya, kadangkala perkaitan dengan agama Islam juga kadangkala memberi kesan peningkatan prestij. Hal ini boleh dilihat secara jelas dalam perekodan-semula sejarah dan mitos penubuhan masyarakat yang turut merangkumkan ketibaan pengasas dari Timur.

Malahan, dalam beberapa keadaan, tradisi-tradisi lisan mengekalkan integrity kebudayaan mereka dan justeru, kita dihadirkan dengan sebuah sejarah selari seperti yang dapat dilihat pada biografi Sundiata Keita (memerintah 1230-1255 Masihi), pengasas Empayar Mali, di mana beliau dituliskan di dalam sejarah sebagai memeluk agama Islam namun dalam tradisi lisan, disifatkan sebagai seorang dukun terkemuka dalam kepercayaan asli.

Peranan kaum lelaki dan kaum wanita kadangkala berubah, di mana sebahagian komuniti Afrika sebelum ini memberikan kedudukan dan kebebasan yang lebih bersifat sama rata dengan kaum lelaki. Sebahagian masyarakat Afrika lebih cenderung mengutamakan jalur sebelah ibu, dan hal ini kemudiannya berubah kepada sistem yang lebih memihak kaum bapa.

Antara perubahan lain juga melibatkan perubahan nama kepada nama-nama yang lebih bersifat Islami. Seringkali nama yang diambil ini disesuaikan terlebih dahulu dengan bahasa Afrika, misalnya, Muhammad menjadi Mamadu dan Ali diubah menjadi Aliyu. Pengubahan cara pemakaian juga berlaku, di mana kaum wanita secara khusus, dianjurkan supaya berpakaian secara lebih bersederhana dan gadis-gadis pula digalakkan agar menutup aurat.

Seni bina Islam turut tersebar bersama penyebaran agama Islam, di mana masjid-masjid dibangunkan di tempat-tempat yang diduduki oleh penganut Islam. Namun, sama seperti agama Islam itu sendiri, terdapat beberapa buah perbezaan mengikut tempat. Misalnya, masjid-masjid di Pantai Swahili tidak mempunyai menara atau perkarangan seperti masjid-masjid lain di dunia Islam.

Berlaku juga beberapa pembaharuan teknikal penting seiring kehadiran Islam, seperti penulisan, perangkaan, matematik, pengukuran dan pertakaran berat. Bukan hanya ilmuwan dan pendakwah Muslim sahaja yang mengunjungi dan menetap dalam kalangan komuniti Afrika, akan tetapi para pengembara dan penghikayat Muslim seperti Ibn Battuta dan Ibn Khaldun (1332-1406 Masihi) juga melakukan pemerhatian dan catatan yang cukup berharga tentang kehidupan masyarakat Afrika di zaman pertengahan.

Bersama dengan penemuan-penemuan arkeologi, para penulis ini banyak membantu dalam membina semula kefahaman terhadap Afrika purba sesudah tamatnya tempoh kolonial Eropah, tempoh di mana pelbagai macam cubaan dilakukan bagi melenyapkan sejarah benua itu semata-mata mahu menegakkan doktrin rasis yang kononnya, Afrika telah lama menanti saat untuk ditamadunkan.

TERJEMAHAN:

Mark Cartwright. (10 May 2019). The Spread of Islam in Ancient Africa. Ancient History Encyclopedia.
https://ancient.eu/article/1382/the-spread-of-islam-in-ancient-africa/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.