Bila kita mendengar terma kultus personaliti (cult of personality), perkara pertama yang kita bayangkan ialah diktator. Namun jangan terkejut jika ada pemimpin punya kecenderungan sama untuk disanjung dan dipuja tetapi sama sekali bukan diktator seperti yang dibayangkan ramai.
Apa sebenarnya kultus personaliti ini? Menurut definisi kamus Merriam-Webster, kultus personaliti ialah satu situasi di mana seseorang tokoh awam seperti pemimpin parti politik sengaja dipersembahkan kepada rakyat sesebuah negara sebagai individu hebat yang wajar dicontohi dan dipuja. Dan usaha sebegini selalunya digerakkan oleh jentera propaganda kerajaan bercorak diktator atau totalitarianisme di mana semua aspek kehidupan rakyat dikawal ketat daripada undang-undang sehinggalah rutin kehidupan seharian. Bagi kultus personaliti pada peringkat khalayak awam, sesetengah daripada kita mudah mengikutinya kerana ia ada kaitan dengan kehidupan seharian kita dan tokoh yang jadi sebahagian daripada kultus personaliti dilihat amat dekat dengan kita.
Terma kultus personaliti sudah wujud antara 1800 dan 1850 di mana pada ketika itu, tidak ada satu petunjuk yang sama sekali berkait dengan politik. Sebaliknya, terma ini selalu dikaitkan dengan bijak pandai yang dikaitkan dengan elemen Romantisisme. Namun, semua itu berubah pada 10 November 1877 menerusi koresponden surat antara pengasas fahaman Marxist, Karl Marx kepada seorang aktivis politik Jerman bernama Wilhelm Blos. Dalam surat tersebut, Marx menyatakan beliau sama sekali tidak berminat dengan populariti dan menolak sebarang cubaan sesetengah individu memuja dan menyayanginya sehingga ke satu tahap, menolak sebarang darjat atau anugerah kehormat yang diberi kepadanya. Dan ini diperkukuhkan lagi dengan ucapan keras Nikita Khrushchev semasa Kongres Ke-20 Parti Komunis Soviet Union pada 25 Februari 1956. Dalam ucapan beliau kepada delegasi parti, Khrushchev menyelar tindakan Josef Stalin yang terlalu mengangkat kultus personaliti dan menganggap beliau sudah tersasar daripada prinsip Marxisme-Leninisme yang menjadi teras utama parti pada ketika itu.
Sekarang bila berbicara berkenaan soal kultus personaliti, apakah ia turut dialami oleh tamadun-tamadun silam? Jawapan kepada soalan tersebut adalah betul. Pada zaman dahulu, kebanyakan tamadun amat menjunjung kemuliaan para pemerintah mereka. Ada sebilangan tamadun dan kerajaan terdahulu mengangkat pemerintah mereka hingga ke tahap sama seperti dewa-dewa. Contohnya, setiap kali maharaja Rom mangkat, mereka akan diangkat oleh rakyat sebagai dewa dan disembah sama dengan dewa-dewa masyarakat Rom ketika itu seperti Jupiter dan Mars. Bagi masyarakat Mesir Purba, mereka menganggap Firaun yang memerintah ialah jelmaan dewa Horus, anak kepada dewa Osiris, dewa alam selepas kematian dan Isis, dewi perkahwinan. Selepas pemerintahan Mesir beralih kepada dinasti Yunani-Macedonia (Dinasti Ptolemaic), dinasti ini mengukuhkan kesahihan mereka sebagai pemerintah dengan mewujudkan hubungan dan memuja Iskandar Agung (Alexander the Great).
Kultus personaliti tidak akan wujud tanpa kemajuan inovasi dalam pelbagai bidang seperti fotografi, pendidikan dan pengiklanan. Ini kerana dengan perubahan teknologi yang melanda bidang-bidang berkenaan, ia sebenarnya membuka ruang seluas-luasnya kepada tokoh-tokoh awam terutama tokoh politik untuk menonjolkan sisi positif mereka kepada orang ramai. Pada mereka, perubahan dari segi penyebaran iklan, teknik media dan pendidikan awam boleh saja membantu mereka menyebarkan propaganda dengan meluas tanpa perlu memikirkan lagi soal jarak, masa dan kelompok sasaran. Ini membuka ruang kepada ramai pemimpin pada abad ke-20 untuk membentuk kultus personaliti masing-masing yang menarik perhatian ramai.
Jika anda rasakan membentuk kultus personaliti adalah mustahil, sebenarnya ia tidaklah sesukar seperti yang disangka. Seseorang pemimpin boleh saja membentuk kultus personaliti dengan syarat pertama, bukan saja mendengar denyut nadi rakyat tetapi juga sentiasa berada di atas mereka. Kedua, mereka perlu kelihatan biasa dan normal bagi memudahkan rakyat dapat mengaitkan diri mereka dengannya. Dan ketiga dan terakhir, individu tersebut perlu nampak luar biasa di mata rakyat, apabila timbul sesuatu krisis, rakyat dengan rela menyerahkan nasib mereka kepada individu tersebut untuk menentukan hala tuju mereka secara individu dan sebagai sebuah negara. Perlu diingat, kultus personaliti tidak hanya bergantung kepada kekuatan kewangan dan pengaruh awam tetapi ikatan emosi antara seseorang pemimpin dengan para pengikutnya. Ini ditonjolkan dengan sifat agresif mereka semasa berucap kepada khalayak. Mereka sentiasa buat hadirin yang mendengar tidak senang duduk dengan ledakan perasaan dan ragam tidak menentu mereka. Dan orang sebegini bukan hanya mahukan pak turut yang sentiasa bersetuju dengan idea dan langkah yang diperkenalkan tetapi mahukan orang menjadi sebahagian daripadanya.
Dan ini apa yang dilakukan para diktator sepanjang abad ke-20. Jentera propaganda rejim-rejim ini sentiasa menyatakan bahawa pemimpin-pemimpin ini patut disanjung dan disayangi kerana berjaya memimpin masyarakat dan negara keluar daripada krisis atau membawa kemakmuran berpanjangan kepada rakyat. Adakalanya, propaganda sebegini punya melampau sehingga mereka menganggap sesetengah pemimpin ini sebagai wali atau nabi di mana mereka dianggap suci dan bebas daripada melakukan sebarang kesalahan. Dan ini yang menjustifikasikan kewujudan kultus personaliti dalam kalangan diktator seperti Adolf Hitler, Benito Mussolini, Francisco Franco, Josef Stalin
Dan ini apa yang dilakukan para diktator sepanjang abad ke-20. Jentera propaganda rejim-rejim ini sentiasa menyatakan bahawa pemimpin-pemimpin ini patut disanjung dan disayangi kerana berjaya memimpin masyarakat dan negara keluar daripada krisis atau membawa kemakmuran berpanjangan kepada rakyat. Adakalanya, propaganda sebegini punya melampau sehingga mereka menganggap sesetengah pemimpin ini sebagai wali atau nabi di mana mereka dianggap suci dan bebas daripada melakukan sebarang kesalahan. Dan ini yang menjustifikasikan kewujudan kultus personaliti dalam kalangan diktator seperti Adolf Hitler, Benito Mussolini, Francisco Franco, Josef Stalin dan Mao Zedong.
Namun, tidak semua rejim mengamalkan kultus personaliti. Ini kerana kultus personaliti ini turut wujud di negara-negara demokratik. Bagi sesetengah pemimpin di negara-negara tersebut, mereka mengamalkannya dengan tujuan menekankan semangat kebangsaan dan membangkitkan sentimen anti-imperialisme seperti apa yang berlaku di Rusia hari ini. Presiden Rusia sekarang, Vladimir Putin membenarkan pembentukan persona Putin sebagai sebahagian daripada strategi membentuk kultus beliau sendiri di mana ianya sentiasa berkait dengan rakyat. Cakap sajalah anda nak apa, daripada patung mini Putin hinggalah jam Apple mengandungi tandatangan beliau.
Dan anda pasti sedia maklum gambar rutin beliau semasa berada di belantara Rusia dalam keadaan tidak berbaju dan melakukan aktiviti lasak, sekaligus menonjolkan imejnya sebagai orang biasa seperti khalayak awam cuma beliau berada di atas mereka. Taktik ini ditiru daripada sahabat baiknya, Silvio Berlusconi yang pernah memegang jawatan Perdana Menteri Itali selama tiga penggal. Namun, Berlusconi jauh lebih berani dengan mengisytiharkan dirinya sebagai Jesus Christ dalam arena politik Itali yang menimbulkan kemarahan parti-parti politik di sana tetapi mendapat sambutan baik dalam kalangan rakyat Itali. Berikutan status beliau sebagai jutawan media, mudah bagi Berlusconi menggerakkan stesen-stesen televisyen dan akhbar utama Itali untuk menonjolkan sisi positif beliau sebagai pemimpin.
Tidak seperti Berlusconi dan Putin, sesetengah diktator pula cuba mengurangkan kultus personaliti untuk tidak menarik perhatian ramai. Walaupun kultus personaliti ini boleh saja membantu mereka membina rangkaian sokongan dari segi logistik, material dan sumber manusia tetapi ini juga mendedahkan diri mereka jadi sasaran mudah musuh mereka terutama kuasa-kuasa asing. Dan ini yang dilakukan Pol Pot, ketua Parti Komunis Kemboja (CPK) semasa mereka mengambilalih pemerintahan Kemboja pada 1975. Selama dua tahun, CPK hanya dikenali sebagai Angkar dan mula dipanggil dengan nama sebenar mereka berdasarkan ucapan Pol Pot pada 15 April 1977. Pada tanggal yang sama juga, pemerhati antarabangsa mengesahkan identiti Pol Pot sebagai Saloth Sar berdasarkan dokumen lama identitinya. Selain Pol Pot, diktator dari negara-negara Blok Timur turut melakukan perkara sama kecuali diktator Albania, Enver Hoxha, diktator Romania, Nicolae Ceausescu dan pemimpin revolusi Yugoslavia, Josip Broz Tito.
Mengapa kita perlu menjauhi kultus personaliti ini? Ini kerana kultus personaliti ini dilihat sama dengan sikap taksub, cuma di sini ia lebih menjurus kepada ketaksuban pada tokoh atau individu tertentu. Perbuatan sebegini amat dilarang kerana sikap sedemikian boleh membawa kepada perbuatan melampau-lampau seperti perbalahan, perpecahan dan mengkafirkan mana-mana individu yang tidak sehaluan. Ini berdasarkan beberapa firman Allah s.w.t dalam Al-Quran:
i) Ayat 77, Surah Al-Maidah, “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.”
ii) Ayat 143, Surah Al-Baqarah, “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kamijadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah), dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.”
Sikap melampau-lampau dalam memuja tokoh atau individu tertentu tidak disukai Rasulullah s.a.w dan baginda banyak mengingatkan para sahabat akan larangan perkara ini. Pada satu ketika, para sahabat memuji baginda dengan memberi beberapa gelaran. Nabi s.a.w membantah gelaran-gelaran yang diberi mereka dan bersabda, “Wahai manusia, ucapkanlah dengan ucapan yang biasa kamu ucapkan, supaya syaitan tidak merasuki kamu. Aku adalah Muhammad bin Abdullah, hamba Allah dan Rasul-Nya. Aku tidak suka kamu menyanjung atas kedudukan yang Allah berikan kepadaku.” (Riwayat Ahmad) Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas radiallahuanhuma, baginda bersabda, “Dan kamu jauhilah sikap ghuluw (melampau-lampau) dalam agama kerana sesungguhnya orang-orang sebelum kamu telah binasa kerana berlebihan dalam soal agama.” (Riwayat Ahmad, An-Nasai’, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)
Ibnu Qayyim al-Jauzi rahimahullah menyatakan penyakit taksub ini ialah penyakit paling besar menimpa kaum Nabi Nuh a.s berdasarkan firman-Nya dalam ayat 21-24, Surah Nuh, “Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak). Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku). Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr. Dan sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan kebanyakan (dari umat manusia); dan (dengan yang demikian) janganlah Engkau (wahai Tuhanku) menambahi orang-orang yang zalim itu melainkan kesesatan jua.”
Jika taksub kepada pemimpin atau kultus kepada pemimpin bisa mengundang bencana kepada sesebuah tamadun, maka sebagai manusia, kita perlu mengambil iktibar dan menjauhi sebarang sifat yang mengundang petaka tak berkesudahan ini. Antara tanda kultus pemimpin yang patut diketahui:
a) kebencian melampau sehingga tidak lagi mampu melihat kebenaran.
b) menolak sebarang bentuk perbezaan pendapat.
c) melabel kelompok yang berlainan pandangan sebagai fasik atau lebih keras, kafir.
d) bersikap kasar dalam pergaulan dan tutur kata.
e) sentiasa memilih pendekatan kekerasan sebagai jalan penyelesaian.
f) mempunyai pemikiran kolot dan ketinggalan zaman.
g) sukar memahami fakta yang dinyatakan.
Tidak salah untuk kita bangkit mempertahankan seseorang pemimpin jika merasakan fakta yang diberi salah atau dilempar tuduhan yang tidak berasas. Namun, itu tidak bermakna pula kita boleh berdiam diri kiranya sang pemimpin itu salah terutama sekiranya dia melakukan kezaliman. Sebagai rakyat dan Muslim yang bertanggungjawab, kita perlu menegur demi memastikan kesalahan yang dilakukan tidak lagi diulangi pada masa akan datang. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a di mana Rasulullah s.a.w bersabda, “Tolonglah saudaramu yang berbuat zalim atau dizalimi.” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, kami memang harus menolong orang yang dizalimi tapi bagaimana kami harus menolong orang yang melakukan kezaliman?” Baginda menjawab, “Cegahlah dia daripada perbuatan zalim.” (Riwayat Bukhari) Antara wasiat baginda kepada Abu Zar al-Ghifari r.a ialah bercakap benar walaupun ia pahit. Dalam satu riwayat lain, baginda bersabda, “Jihad yang paling afdal ialah bercakap benar di hadapan pemimpin yang zalim.”
Dalam suasana politik yang semakin panas terutama dengan sikap penyokong yang masih dibelenggu sentimen kultus personaliti sebegini, sentimen sebegini harus dihentikan dengan kebenaran seharusnya diletakkan sebagai tumpuan utama. Ingatlah, walau sehebat mana seseorang pemimpin itu, pada akhirnya dia juga manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Hatta sekumpulan manusia yang mulia bergelar Nabi dan Rasul tidak terlepas dari menerima teguran Allah s.w.t. Nabi s.a.w menerima teguran daripada Allah kerana lupa mengucapkan perkataan Insya Allah bila diajukan beberapa persoalan oleh pendeta-pendeta Yahudi dari Yathrib. Baginda juga turut ditegur-Nya kerana tidak mengendahkan Abdullah bin Ummi Maktum r.a yang mahu memeluk Islam tatkala baginda sibuk berdakwah dengan pembesar-pembesar Quraisy dalam ayat 1-12, Surah Abasa.
Para penyokong tanpa mengira siapa pemimpin atau pakatan pilihan masing-masing, sentiasa ingat bahawasanya menegur pemimpin merupakan satu amalan yang dituntut agama dan tanda kita menyayangi mereka kerana kita tidak mahu mereka ditimpa azab Allah s.w.t pada hari akhirat kelak atas kezaliman yang dilakukan semasa di dunia. Ingatlah akan hadis yang diriwayatkan oleh Tamim bin Aus Ad-Dari r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Agama itu nasihat.” Para sahabat bertanya, “Kepada siapa, Ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin kaum mukmin dan muslim dan seluruh orang Islam amnya.” Para ulama mensyarahkan nasihat kepada Allah, kitab-Nya dan Rasul-Nya ialah mengajak manusia beriman kepada ketiga-tiga pedoman ini. Sementara bagi nasihat kepada para pemimpin pula ialah membantu dan mentaati mereka dalam perkara kebenaran dan menegurnya apabila melakukan kemungkaran. Justeru, sebagai penutup, jangan biarkan ketaksuban pada pemimpin atau kultus personaliti ini membutakan mata hati anda pada kebenaran. Kerana jika anda membenarkan ia berlaku, anda sebenarnya mengundang petaka pada diri anda sendiri.
Sumber:
1. Abdul Qadir Jawas, Yazid. (2013). AlManhaj. Agama Adalah Nasihat. https://almanhaj.or.id/3509-agama-adalah-nasihat.html
2. Mat Jahaya, Dr Fathul Bari. (2014). Sinar Harian. Elak taksub dalam agama. http://www.sinarharian.com.my/rencana/elak-taksub-dalam-agama-1.264802
3. Abdul Qadir Jawas, Yazid. (2016). AlManhaj. Larangan Bersikap Ghuluw. https://almanhaj.or.id/4290-larangan-bersikap-ghuluw.html
4. Tuan Padang, Ustaz Syed Norhisyam. (2012). Jihad Paling Afdal. http://ustazsyed.blogspot.my/2012/04/jihad-paling-afdhal.html
5. Hitler, Lenin and Stalin: A Study in Personality’s Impact on History. http://www.vakkur.com/hx/hit_len_stal.html
6. Apocalypse: The Second World War. National Geographic Channel. Episode 3: Shock.
7. Apocalypse: The Second World War. National Geographic Channel. Episode 6: Inferno.
8. The History Guide. Stalin and The Cult of Personality. http://www.historyguide.org/europe/cult.html
9. The Truth About History. (2009) Reader’s Digest.
10. Terjemahan Surat Karl Marx kepada Wilhelm Blos. http://www.zeno.org/Kulturgeschichte/M/Blos,+Wilhelm+Joseph/Denkw%C3%BCrdigkeiten+eines+Sozialdemokraten/1.+Band/Anhang/Brief+von+Karl+Marx+an+Wilhelm+Blos
11. Ben-Ghiat, Ruth. (2017). The Huffington Post. Donald Trump’s Cult of Personality. http://www.huffingtonpost.com/ruth-benghiat/donald-trumps-cult-of-per_b_8992650.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih