Loceng Besar Dhammazedi dianggap sebagai loceng paling besar di dunia. Penghasilan loceng ini diperintahkan oleh seorang raja kurun ke-15 dari Kerajaan Hanthawaddy (wilayahnya meliputi Burma/Myanmar moden) yang bernama Dhammazedi.
Loceng ini dicatatkan sempat menjadi mercu kebanggaan masyarakat tempatan hanya selama kurang lebih 200 tahun sebelum ia dirampas dan hilang di tangan seorang pengembara Eropah. Loceng Besar Dhammazedi dipercayai masih terdampar di dasar sebatang sungai (atau sering disebut di pertemuan antara Sungai Yangon dan Sungai Bago) di Burma/Myanmar. Sejumlah usaha telah dilakukan bagi menjejaki kedudukan loceng ini, namun tiada yang meraih keberhasilan.
SEJARAH LOCENG
Kisah Loceng Besar Dhammazedi bermula sekitar tahun 1480 Masihi. Sekitar waktu itu, pemerintah Kerajaan Hanthawaddy yang bernama Raja Dhammazedi diceritakan telah memerintahkan bancian isi rumah dilakukan di seluruh kerajaannya. Menteri-menteri yang terlibat bertindak menyelewengkan kuasa yang diberikan semasa menjalankan tugas berkenaan. Tidak hanya merekodkan jumlah isi rumah, mereka turut mengenakan cukai ke atas rakyat.
Apabila perkara ini sampai ke pengetahuan raja, beliau sama sekali tidak bersenang hati. Untuk menenteramkan kemurkaan raja mereka, menteri-menteri itu pun mencadangkan agar sebuah loceng dihasilkan dengan menggunakan tembaga yang telah mereka ambil daripada rakyat. Buah fikiran ini dipersetujui oleh raja dan usaha penghasilan pun dimulakan.
Secara keseluruhan, menteri-menteri Dhammazedi telah mengumpulkan hampir sebanyak 300 tan tembaga. Selain daripada tembaga, loceng tersebut juga diperbuat dengan menggunakan perak, emas dan timah. Malah, ia turut ditatahkan dengan batu zamrud dan batu nilam. Loceng ini kemudiannya dihadiahkan oleh raja kepada Pagoda Shwedagon (tapak Buddha yang paling keramat di Burma/Myanmar) di Dagon (kini Yangon). Menurut legenda masyhur, loceng tersebut diletakkan di sebelah pagoda.
CATATAN-CATATAN BALBI
Catatan lain yang memerihalkan loceng ini boleh ditemukan dalam catatan-catatan seorang pedagang dari Venice yang bernama Gasparo Balbi. Beliau mengunjungi Dagon pada hujung kurun ke-16 Masihi. Balbi mencatatkan bahawa ketika mengunjungi Pagoda Shwedagon, beliau berpampasan dengan sebuah loceng besar di dalam dewan dan bukannya di luar pagoda sebagaimana yang didakwa oleh legenda masyhur. Berkemungkinan loceng ini dipindahkan ke dalam bangunan pada suatu tempoh masa. Apapun, perincian yang dilakukan oleh Balbi adalah sepertimana berikut:
“Aku menemukan di dalam sebuah dewan indah sebuah loceng yang sangat besar, yang kami (kemudiannya) mengukur (loceng tersebut), dan mendapati bahawa ianya berukuran tujuh langkah dan tiga depa, dan ia dipenuhi dengan aksara dari atas hingga bawah, tersusun sangat rapat hingga satu huruf menyentuh huruf yang lain, namun tiada bangsa yang dapat memahaminya.”
KISAH DE BRITO
Seorang lagi orang Eropah yang direkodkan pernah menemui loceng ini mempunyai rancangan yang tersendiri terhadap khazanah gergasi tersebut. Seorang pengembara Portugis bernama Filipe de Brito y Nicote dicatatkan telah mendirikan sebuah pos perdagangan di Syriam (kini Thanlyin) sekitar penghujung kurun ke-16 atau awal kurun ke-17 Masihi. Mengambil kesempatan di atas kemunduran kuasa diraja di Burma, pengembara Portugis ini melebarkan pengaruhnya di seluruh kawasan berhampiran sungai. Malah, beliau turut menguasai Dagon dan kawasan pinggiran di sekitar menjelang tahun 1600.
Pada tahun 1608, de Brito memutuskan untuk memindahkan Loceng Besar Dhammazedi dari Pagoda Shwedagon. Pengembara ini berhasrat mahu membawa loceng tersebut ke Syriam, di mana di sana beliau boleh mencairkannya dan menggunakan logamnya untuk menghasilkan laras-laras meriam bagi kegunaan kapal-kapalnya.
De Brito dicatatkan berjaya mengangkut loceng ini ke Sungai Bago, di mana ia dimuatkan ke atas sebuah rakit. Rakit ini diikat pada kapal utama de Brito, dan memulakan perjalanannya mengharungi sungai. Tatkala tiba di pertemuan antara Sungai Bago dan Sungai Yangon, rakit ini pecah sekaligus loceng tersebut tenggelam ke dalam dasar sungai.
LOKASI YANG TIDAK DIKETAHUI
Walaupun Loceng Besar Dhammazedi telah pun hilang selama lebih 400 tahun, ia masih belum dilupakan oleh masyarakat Burma/Myanmar. Pada tahun 2014, dilaporkan bahawa dalam tempoh 25 tahun kebelakangan, sekurang-kurangnya tujuh buah percubaan serius untuk menjejaki loceng bersejarah ini telah dilakukan. Bagi masyarakat Burma/Myanmar, loceng ini dianggap sebagai khazanah negara merangkap khazanah Buddhisme. Justeru, besar kemungkinan usaha untuk mencari loceng ini akan dilanjutkan lagi di masa hadapan.
TERJEMAHAN:
Wu Mingren. (14 Mei 2016). Lost Treasure: The Search for the Great Golden Bell of Dhammazedi. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/lost-treasure-search-great-golden-bell-dhammazedi-005892
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih