Tindakan Nekad Guy De Lusignan
Raja Guy dari Jerusalem yang telah ditawan semasa Pertempuran Hattin dibebaskan oleh Sultan Salahuddin setelah beberapa bulan. Baginda pergi ke Tyre, salah satu kota yang belum dikuasai oleh Salahuddin. Tetapi apabila baginda dan isteri baginda, Sibylla tiba di pintu kota Tyre, mereka tidak dibenarkan masuk.
Penguasa kota tersebut ialah seorang bangsawan yang berasal dari Eropah bernama Conrad dari Montferrat. Beberapa bulan sebelum kedatangan Guy, Conrad telah berjaya memimpin pertahanan Tyre untuk menghalang kota tersebut daripada dikuasai oleh Salahuddin. Kejayaan ini menyumbang kepada prestijnya dan pengaruh Conrad mula tersebar di kalangan pemimpin dan bangsawan kerajaan-kerajaan Salib.
Apabila Guy sedar bahawa baginda kehilangan bukan sahaja kerajaan dan kuasanya, baginda mengambil keputusan untuk mengepung Kota Acre. Kota Acre yang dikuasai oleh tentera Islam selepas pertempuran Hattin adalah satu peluang untuk baginda mengembalikan maruahnya yang tercalar.
Kota Acre merupakan sebuah kota pelabuhan yang menjadi tumpuan pedagang dan merupakan jalan masuk penziarah di Syria. Kekuatan ekonomi dan kedudukan strategik kota juga itu akan menjamin pengaruh dan kekayaan kepada Guy. Walau bagaimanapun, merampas kota itu daripada tentera Islam bukannya tugas yang mudah. Selain tembok yang kukuh, kota itu mempunyai pertahanan semulajadi dalam bentuk laut Meditranean yang terbentang luas di sebelah barat dan selatan kota tersebut.
Tetapi Guy nekad. Baginda tidak akan hilang dalam lipatan sejarah begitu sahaja.
Apabila Guy dan bala tenteranya memulakan kepungan pada penghujung Ogos 1189, mereka bertapak di sebelah timur kota. Guy memilih untuk menjadikan sebuah bukit di Toron sebagai markasnya.
Salahuddin bertindak balas dengan memimpin bala tenteranya untuk mengepung bala tentera Guy yang sedang mengepung Acre. Bersama baginda adalah bala tentera Islam dari kota-kota Islam lain di seluruh Syria. Anak baginda, al-Afdal dan juga anak saudara baginda, Taqi al-Din turut memimpin bala tentera masing-masing. Selain itu baginda disertai panglima-panglima tentera yang baginda percayai seperti Keukburi. Baginda sudah bersedia untuk kepungan yang panjang.
Pada mulanya Guy mempunyai jumlah tentera yang sedikit. Tetapi lama-kelamaan baginda disertai oleh bala tentera Salib dari segenap ceruk rantau Eropah dan Syria. Selain sebagai tentera tambahan, baginda juga mendapat bekalan daripada penyertaan bala-bala tentera ini. Perang Salib Ketiga sudah dilancarkan oleh paus di Rom dan ini Acre adalah medan tempur pertama konflik itu. Bahkan musuh Guy sendiri iaitu Conrad dari Montferrat turut menyertai bala tentera Salib dalam kepungan itu.
Sepanjang kepungan yang mengambil masa hampir dua tahun itu, pertempuran antara bala tentera Salahuddin dan bala tentera Salib berlaku di darat dan di laut. Ada ketika Salahuddin memenangi pertempuran tetapi tidak berjaya mengambil kesempatan untuk menamatkan terus kepungan. Pada satu ketika Salahuddin terpaksa mengubah kedudukan bala tentera utamanya lebih jauh dari kedudukan asal dan ini menambahkan keyakinan tentera Salib. Mereka membina benteng dan menggali parit dengan lebih dalam selain terus menerus mendapat bekalan dan tentera.
Walaupun Salahuddin mempunyai kelebihan jumlah tentera, baginda sendiri terpaksa membahagi bala tenteranya serta perhatiannya antara dua medan. Di sebelah utara Syria, ancaman dari bala tentera Salib yang dipimpin oleh Maharaja Empayar Suci Rom iaitu Frederick Barbarossa semakin membelengu baginda.Maharaja Frederick sedang mara bersama 200,000 orang tentera Salib dan merupakan ancaman utama apabila baginda tiba nanti.
Bala tentera Salib pimpinan Frederick ini telah berjaya mengalahkan Kesultanan Seljuk Rom dan menduduki ibu kota kesultanan tersebut di Konya. Ini menyebabkan baginda memberi amaran kepada kubu-kubu baginda di sana untuk bersedia serta menyediakan bala tentera untuk menghadapi maharaja German tersebut.
Laut Berapi dan Daratan Berdarah
Laut Meditranean yang menjadi nadi perdagangan di Syria juga menjadi penyelamat kepada Guy dan bala tenteranya. Jalan laut tersebut menjadi jalan utama untuk bala tentera Salib dari segenap Eropah untuk memberi bantuan kepada kepungan baginda di Acre.
Kapal-kapal Eropah ini bukan sahaja menjadi pengangkut tentera dan bekalan, malah ada antaranya yang menjadi bahan mentah untuk membina enjin kepungan seperti trebuchet dan menara kepungan. Malah hanya beberapa bulan selepas kepungan bermula, ada antara kapal yang tiba ini membawa pelacur-pelacur untuk kegunaan tentera-tentera Salib.
Selain menjadi jalan utama ke Acre, laut Meditranean juga membolehkan tentera-tentera Salib untuk mengancam pusat kerajaan Salahuddin sendiri iaitu Mesir.
Walaubagaimanapun, perairan itu juga memainkan peranan utama buat bala tentera Salahuddin. Melalui jalan laut itulah Salahuddin menghantar kapal-kapal untuk membekalkan makanan kepada pasukan pertahanan Acre dan juga menjadi metod komunikasi antara mereka. Sehinggakan apabila jalan laut tersebut dikawal dengan ketat oleh kapal-kapal musuh, Salahuddin mengarahkan kapal bekalan menyamar sebagai kapal musuh untuk ke pelabuhan Acre.
Penyamaran ini dicapai dengan krew-krew kapal ini mencukur janggut dan mengenakan pakaian yang digunakan oleh tentera salib. Selain itu mereka juga meletakkan beberapa ekor khinzir di atas kapal untuk melengkapkan penyamaran. Kapal ini juga akan memulakan pelayaran mereka dari sebelah utara yang dipenuhi jajahan Kerajaan Salib.
Tetapi taktik ini tidak dapat diteruskan setelah beberapa kali berjaya kerana kapal-kapal musuh telah mengesan muslihat ini. Untuk menghalang pasukan pertahanan Acre daripada terus menerima bantuan, pihak tentera Salib dengan bantuan daripada kapal-kapal dari kota Eropah seperti Pisa, juga melancarkan serangan dari laut ke atas Acre.
Pernah satu ketika kapal-kapal tentera Salib menggempur Menara Lalat yang melindungi pelabuhan Acre. Mereka menggunakan Api Greek, manjanik, pelontar nafta dan pemanah busur silang. Tetapi serangan itu gagal apabila arah angin berubah, sekaligus mengubah arah serangan api yang mereka gunakan ke arah kapal-kapal mereka.
Selain menghantar bekalan, Salahuddin perlu sentiasa berhubung dengan pasukan pertahanan Acre. Untuk mencapai tujuan ini, baginda menggunakan merpati. Apabila bekalan burung merpati habis, penyelam-penyelam yang berani pula dihantar untuk menyelam ke dalam Laut Meditranean yang dikawal ketat kapal-kapal musuh. Walau bagaimanapun, ramai antara mereka yang syahid kerana lemas ataupun diserang tentera musuh.
Kepungan Yang Panjang
Tetapi keadaan bala tentera Salib yang dipimpin Guy juga dibelengu masalah dan cabaran tersendiri. Apabila isteri Guy iaitu Ratu Sybilla mangkat semasa kepungan, kedudukan Guy sebagai Raja Jerusalem mula dipertikai. Guy yang menjadi raja kerana mengahwini Sybilla yang merupakan waris Jerusalem dikatakan tidak layak lagi menjadi raja selepas kemangkatan isterinya. Ini menyebabkan bala tentera Salib berpecah belah. Ada yang menyokong Guy untuk meneruskan tugasnya dan ada pula yang menyokong seorang lagi pembesar tentera Salib iaitu Conrad dari Montferrat untuk menjadi Raja Jerusalem yang baru.
Selain itu, masalah wabak (yang telah menyebabkan kematian Sybilla dan anak-ananknya) mula merebak di seluruh kem dan menyebabkan kematian.
Kepungan yang berpanjangan itu membuat Salahuddin tidak dapat tidur lena dan semakin uzur. Baginda dan penasihat-penasihatnya bimbang dengan bebanan ekonomi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan baginda untuk kempen peperangan ini. Baginda juga telah berkempen dengan agak lama dan tidak henti-henti sejak sebelum pertempuran di Hattin lagi.
Pada bulan Mei 1190, Salahudin sedikit lega apabila mendapat khabar bahawa Frederick Barbarossa telah mangkat. Walaupun telah memenangi banyak pertempuran serta mengalahkan kerajaan Islam yang menghalang kemaraannya, baginda akhirnya mati lemas semasa merentas sebuah sungai yang mengalir deras. Walaupun bala tentera baginda masih meneruskan perjalanan ke Syria, tahap moral mereka rendah dan jumlah keseluruhan mereka sudah berkurangan.
Salahuddin masih menanti kehadiran dua lagi raja Eropah yang menyahut panggilan Perang Salib iaitu Raja Philip II dari Perancis serta Raja Richard dari England. Ancaman kedua-dua raja itu tidak pernah lari dari mindanya dan membuat baginda tidak senang duduk.
Seketika di Cyprus
Raja Philip II dari Perancis tiba di medan tempur Acre pada April 1191, kira-kira satu tahun enam bulan selepas kepungan Acre dimulakan. Ketibaan Phillip membawa bersama bantuan ketenteraan dan bekalan selain memberi semangat baru kepada bala tentera salib. Philip yang mempunyai kedudukan paling tinggi, terus menjadi pemimpin kepada bala tentera salib yang melakukan kepungan itu.
Tetapi kehadiran Philip merupakan bencana kepada seorang tentera Salib iaitu Raja Guy. Philip baginda memberi sokongan kepada Conrad sebagai raja Jerusalem yang baharu. Guy yang merasakan bahawa kedudukannya semakin tergugat berundur dari Acre dan berlayar ke Cyprus. Tujuannya adalah untuk bertemu dengan Raja Richard.
Beberapa minggu sebelum ketibaan Guy di Cyrus, Richard dan armadanya sedang berlayar ke Acre dari Sicily. Ketika berlayar, beberapa buah kapal dari armada baginda telah terpisah dan hilang. Dalam sebuah kapal yang terpisah ini adalah adik Richard, Joan dan tunang baginda, Berengeria.
Tanpa baginda ketahui, kapal-kapal yang hilang ini berada di perairan Pulau Cyprus, berdekatan dengan pekan Limassol. Pemimpin Cyprus bernama Isaac Komnenus telah bertindak menyerang kapal-kapal ini dan buat menawan orang-orang Richard, adik dan tunang baginda. Apabila Richard dimaklumkan tentang berita ini dari seorang tenteranya yang berjaya melarikan diri, baginda segera ke Cyprus.
Apabila Richard sampai di perairan Cyprus dua tiga hari kemudian, baginda lega apabila mendapati bahawa orang-orangnya serta keluarganya yang ditawan sebelum ini telah berjaya melepaskan diri daripada Isaac.
Tetapi Richard tidak akan membiarkan Isaac begitu sahaja. Baginda akan menghukum Isaac atas apa yang berlaku.
Richard mendarat di pantai Limassol keesokan harinya dan bertempur dengan bala tentera Isacc. Pengalaman Richard dalam peperangan di tanah airnya menyebabkan pertempuran itu dengan mudah dimenangi oleh Richard dan Isaac bersama pemimpin-pemimpin tempatan pulau itu pun menyerah diri dan mengadakan perbincangan dengan Richard.
Pada masa inilah Guy mengadap Richard dan memaklumkan kepada baginda akan situasinya. Setelah mendengar rayuan Guy, Richard yang merupakan penaung kepada keluarga Lusignan mengambil keputusan untuk memihak kepada Guy dalam konflik perebutan takhta tersebut. Baginda akan memastikan Guy mendapat haknya.
Perbincangan Richard dengan Isaac pula tidak berakhir semudah itu apabila maharaja Cyprus itu bertindak menukar fikirannya untuk kembali menentang Richard. Richard semakin berang kerana Isaac menyebabkan pelayaran baginda ke Acre tertangguh.
Baguinda mengambil keputusan untuk menakluk Cyprus.
Tetapi keputusan Richard itu sebenarnya mempunyai kelebihan strategik selain kemarahannya terhadap Isaac. Richard mahu menakluk Cyprus kerana pulau itu mempunyai nilai strategik dalam peperangan di timur.
Cyprus merupakan pusat untuk menghantar tentera dan bekalan makanan dari kota-kota pelabuhan di Eropah ke Syria. Selain itu, pulau itu juga boleh menjadi markas untuk misi penaklukan ke atas Jerusalem dan Syria.
Penguasaan terhadap pulau itu akan memberi manfaat yang bukan sedikit kepada bala tentera Salib dan prestij Richard.
Untuk berhadapan dengan Richard kali ini, Isaac bertindak berkubu di sebuah kubu yang sukar ditembusi di kawasan pergunungan di pulau itu. Baginda berharap Richard akan berputus asa dan meninggalkan pulau itu untuk segera menyertai peperangan di Acre.
Richard pula membahagikan bala tenteranya yang juga disertai bala tentera Guy kepada dua kumpulan. Kedua-dua kumpulan ini berlayar ke sekeliling pulau itu dan menawan kedudukan-kedudukan strategik di persisir. Tugas ini menjadi lebih mudah apabila penduduk-penduduk pulau itu sendiri menyerah diri kerana tidak puas hati dengan pemerintahan Isaac. Selepas beberapa ketika, hampir semua pekan dan kedudukan utama di pulau itu dikuasai oleh Richard dan bala tenteranya.
Taktik Isaac berkubu dan menanti Richar beredar pula gagal apabila Guy berjaya menawan anak perempuan Isaac. Isaac yang sangat sayang kepada puterinya itu akhirnya menyerah diri kepada Richard.
Menurut lagenda, Isaac meminta Richard untuk tidak menahannya menggunakan rantai besi. Richard aku dengan permintaan ini. Baginda sebaliknya menggunakan rantai emas untuk menahan bekas pemerintah Cyprus itu.
Sebelum berangkat ke Acre, Richard meninggalkan beberapa orang kepercayaan untuk mentadbir pulau itu.
Singa dari England
Belum tiba lagi Richard ke Acre, baginda telah menyebabkan kerugian besar kepada Salahuddin. Semasa perlayaran Richard ke Acre, armada baginda telah bertempur sebuah kapal Salahuddin yang memuatkan bekalan dari Mesir untuk pasukan pertahanan Acre.
Pada mulanya kapal bekalan yang lebih besar itu dapat menghadapi serangan-serangan armada Richard. Tetapi apabila menyedari bahawa mereka akan kalah, kapten kapal mengambil keputusan untuk menengelamkan kapal tersebut untuk mengelak bekalan itu daripada jatuh ke tangan bala tentera musuh.
Kemenangan ini dan penakhlukan Cyprus menyebabkan Richard disambut dengan meriah oleh bala tentera salib yang mengepung Acre. Mereka menyambut ketibaan Richard dengan berpesta dari siang sehingga ke malam.
Sebelum ketibaan Richard, Raja Philip merupakan pemimpin de facto bala tentera Salib. Dengan kepimpinan baginda, bala tentera Salib melancarkan serangan demi serangan ke atas tembok Acre. Pada 14 Jun 1191, Phillip dan bala tentera salib melakukan serangan ke atas benteng kota Acre. Walaubagaimanapun, serangan itu berakhir dengan kegagalan kerana Richard tidak turut serta. Baginda telah meminta Richard untuk turut serta dalam gempuran. Tetapi Richard pula memberi alasan bahawa tidak semua bala tentera tiba ke Acre. Baginda tidak akan menyertai serangan-serangan Philip selagi bala tenteranya lengkap.
Kedegilan ini menyebabkan hubungan antara dua raja Eropah ini menjadi semakin teruk. Sebelum ini keputusan Richard untuk memutuskan pertunangannya dengan adik Philip dan mengahwini Puteri Berengeria telah menyebabkan Philip berang dan meneruskan perlayaran ke Acre tanpa menanti Richard. Walaubagaimanapun tidak banyak yang Philip dapat lakukan dengan tindakan Richard ini. Mereka sudah sampai di Acre dan kemenangan mesti dicapai.
Pada masa yang sama proses diplomasi antara Richard dan Salahuddin bermula walaupun Salahuddin sendiri enggan bertemu dengan Raja England itu. Menurut Salahuddin, dua orang raja yang berperang tidak patut bertemu selagi kata sepakat tidak dicapai. Sebaliknya, Salahuddin menghantar wakil untuk menjadi perantara.
Kedua-dua pihak menghantar rombongan diplomasi masing-masing yang sebenarnya juga bertujuan untuk memerhatikan situasi di markas dan mengukur kekuatan masing-masing.
Semasa proses diplomasi ini berlaku, bala tentera Richard tiba kesemuanya dan baginda pun mula menyertai gasakan terhadap tembok Acre. Mesin kepungan baginda bergandingan dengan mesin kepungan Philip untuk memusnahkan pertahanan Acre sedikit demi sedikit.
Pada 11 Julai 1191, gabungan serangan darat daripada bala tentera Richard dan armada tentera salib dari Pisa berjaya membuat pertahanan Acre berputus asa. Setelah begitu lama, situasi pasukan pertahanan Acre semakin teruk. Mereka tidak dapat berehat kerana serangan bertalu-talu yang dilakukan oleh musuh. Selain itu, mereka kebuluran kerana bekalan makanan yang tidak mencukupi.
Keesokan harinya, pemimpin pasukan pertahanan Acre, al-Mashtub menyerah diri tanpa syarat.
Pasukan pertahanan Acre menyerahkan segala harta yang terkandung di dalam kota itu termasuk kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan dan senjata artileri kepada tentera salib. Tentera salib mengemukakan syarat kepada Salahuddin bahawa penduduk Acre termasuk wanita dan kanak-kanak yang menjadi tawanan akan dibebaskan jika tentera Islam membayar tebusan sebanyak 200,000 dinar, mengembalikan Salib Sebenar (yang dirampas semasa Pertempuran Hattin) dan membebaskan 1,500 orang tahanan tentera salib termasuk 200 individu ternama yang telah ditawan selepas pertempuran Hattin dan kejatuhan Jerusalem.
Salahuddin kecewa dengan keputusan al-Mashtub untuk menyerahkan kota itu. Walaubagaimanapun, baginda faham bahawa Al-Mashtub tidak mahu lebih banyak nyawa pasukan pertahanan Acre terkorban.
Walaupun baginda sebenarnya tidak bersetuju dengan syarat berat sebelah yang dikenakan musuh untuk pembebasan pasukan pertahanan Acre yang masih hidup, baginda akur. Baginda telah bersedia untuk mengeluarkan kos dari segi wang dan tebusan. Tetapi baginda khuatir bahawa Richard dan bala tenteranya akan memungkiri janji mereka.
Oleh itu baginda mula mengemukakan tawaran demi tawaran kepada Richard serta menangguhkan pembayaran. Tindakan ini menyebabkan Richard berang dan melakukan satu tindakan nekad yang menyebabkan Richard dikenali seluruh Syria.
Tragedi di Dataran al-Ayyuadiya
Pada tengahari 20 Ogos 1191, Richard memberi arahan kepada bala tenteranya untuk membawa keluar tawanan-tawanan Acre ke sebuah dataran antara al-Ayyadiya dan Tell Kaisan.
Di sana, tentera salib membunuh tawanan-tawanan tersebut dengan kejam.
Bala tentera Islam yang terkejut apabila menyaksikan pembunuhan beramai-ramai tersebut. Mereka bergegas melakukan serangan ke dataran tersebut dengan harapan boleh menyelamatkan rakan-rakan mereka.
Walaubagaimanapun mereka sudah terlambat. Apabila mereka sampai di sana, pembunuhan beramai-ramai itu sudah tamat. Sebaliknya bala tentera salib telah menanti dan pertempuran pun berlaku. Hanya apabila malam menjelma barulah pertempuran itu tamat. Jumlah mereka yang terbunuh dan tercedera dalam pertempuran itu mencapai jumlah ratusan di kedua-dua pihak.
Pada keesokan harinya, pihak tentera Islam pergi ke dataran al-Ayadiyya dan mendapati bahawa seramai 2600 orang tawanan yang terdiri daripada pasukan pertahanan Acre telah syahid. Hanya beberapa orang pembesar dan mereka yang cukup sihat untuk berkerja tidak dibunuh.
Salahuddin telah melakukan kesilapan besar dengan menangguh-nangguhkan pembayaran wang tebusan. Jika sebelum ini baginda tahu bahawa Richard bukan calang-calang kemampunannya dalam peperangan, selepas kejadian di al-Ayyuadiya, baginda sedar bahawa Richard seorang yang tidak boleh dijangka. Pada pertembungan-pertembungan baginda dengan Richard selepas itu, kekalahan di Acre dan pembunuhan yang berlaku selepas itu sentiasa membelengu fikiran Salahuddin.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih