Setelah Khalifah Ali mengikat janji perdamaian dengan Muawiyah bin Abu Sufian, beliau bersama pasukan tenteranya pulang ke Kufah. Tetapi tatkala pasukan Khalifah Ali memasuki sempadan Kufah, maka seramai 12,000 tenteranya dari kalangan kaum Qurra menyatakan keluar dari barisan pengikut setianya. Mereka menyatakan diri sebagai kelompok yang hanya mengikut hukum Allah swt dan bukan hukum manusia. Buat ketiga kalinya, Khalifah Ali terpaksa menghadapi tentangan baharu dari bekas pengikut setianya yang dikemudian hari digelar sebagai kelompok al-Khawarij.
• Khalifah Ali menggerakkan pasukan tenteranya menuju ke Nahrawan setelah mendapat khabar berita yang kelompok Khawarij telah menciptakan suasana huru-hara dan membunuh salah seorang sahabat iaitu Abdullah bin Khabab bin al-Arrat.
Ini kerana Abdullah bin Khabab tidak menyatakan sokongan kepada perjuangan mereka menentang kekhalifahan Ali bin Abu Thalib.
• Sebelum Khalifah Ali menggerakan pasukannya, beliau telah menghantar surat perintah kepada kelompok ini untuk menyerahkan pembunuh yang bertanggungjawab dalam jenayah ini.
Malahan kelompok ini menghiraukan perintah Khalifah Ali dengan menyatakan penolakan yang lantang:
“Kami semua pembunuhnya!”.
Setelah berkali-kali surat perintah dan surat memujuk mereka supaya menyerahkan para pembunuh ini ditolak, maka Khalifah Ali terpaksa mengambil kata putus setelah berbincang bersama para komandonya. Iaitu bertempur.
Pertempuran Nahrawan
• Pertempuran Nahrawan yang terjadi dalam bulan Safar tahun ke-38 H, menjadi pertempuran ketiga Khalifah Ali sesama saudara dan merupakan juga pertempurannya yang pertama mengalahkan pasukan al-Khawarij.
Dalam pertempuran ini, pasukan Khawarij dipimpin langsung oleh Abdullah bin Wahab al-Rasibi menentang pasukan besar Kufah pimpinan Khalifah Ali.
• Tetapi daripada 12,000 orang daripada kelompok Khawarij hanya seramai 1,800 sahaja yang bertempur di Nahrawan.
Ini kerana, kebanyakan ahli anggota dalam kelompok ini melarikan diri ke Kufah, Daskharah, Bandanaijan dan Shahrazur setelah mereka mendengar kedatangan pasukan besar Khalifah Ali yang datang untuk menghapuskan kelompok mereka.
• Pertempuran Nahrawan dimenangi oleh pihak Khalifah Ali dengan terbunuhnya beberapa pemimpin al-Khawarij seperti:
1. Abdullah bin Wahab al-Rasibi.
2. Hurqus bin Zuhayr.
3. Syarih bin Awfa.
• Seramai 400 orang dari kelompok Khawarij menjadi tawanan pasukan Khalifah Ali.
Setelah berita kekalahan pasukan al-Khawarij dalam pertempuran ini, maka saki-baki dari kelompok ini melakukan pemberontakan di beberapa tempat pelarian mereka seperti yang telah dinyatakan di atas.
• Tetapi dengan kecekapannya, Khalifah Ali dapat memadamkan kesemua pemberontakan ini dengan jayanya.
Tatkala Khalifah Ali sedang sibuk menguruskan pemberontakan yang dilancarkan oleh kelompok ini, Muawiyah bin Abu Sufian mengambil peluang ini untuk memperluaskan wilayah pengaruhnya dengan mengambil alih beberapa kawasan penting dari kekuasaan khalifah.
• Muawiyah berjaya mengambil alih pusat pemerintahan di Mesir, Hijaz dan Yaman dan operasinya ini tidak mendapat tentangan dari Khalifah Ali.
1. Operasi tahun 38 H-39 H:
Muawiyah mengambil alih kekuasaan di Mesir setelah beliau menghantar Amru al-As memerangi gabenor baru Mesir iaitu Abdullah bin Abu Bakar as-Siddiq. Abdullah bin Abu Bakar dikalahkan oleh pasukan Amru dan dibunuh oleh Muawiyah bin Hudayj.
2. Operasi tahun 30 H:
Hijaz Dan Yaman Jatuh Ke Tangan Muawiyah Bin Abu Sufian
Ini menyebabkan pengaruh dan kekuasaan Khalifah Ali makin melemah.
• Kelompok al-Khawarij yang masih berdendam dengan Khalifah Ali serta para sahabat yang lain seperti Muawiyah dan Amru telah merancang suatu pakatan untuk membunuh ketiga orang sahabat besar ini kerana mereka mempunyai pengaruh yang luas, juga disyaki pengaruh mereka dapat mencetuskan lagi perbalahan sesama umat Islam.
• Sebab al-Khawarij ingin membunuh mereka:
1. Dendam terhadap Khalifah Ali yang mengalahkan kelompok mereka di dalam pertempuran Nahrawan.
2. Muawiyah bin Abu Sufian yang menyebabkan perang saudara terjadi iaitu pertempuran Siffin.
3. Amru al-As yang mengambil alih Mesir dengan mengalahkan pasukan Abdullah bin Abu Bakar.
• Rencana ini dilaksanakan oleh tiga orang sukarelawan dari kelompok al-Khawarij dengan membawa misi masing-masing, iaitu:
1. Ibnu Muljam ditugaskan untuk membunuh Khalifah Ali.
2. Barak bin Abdullah diperintah untuk membunuh Muawiyah bin Abu Sufian di Syam.
3. Amru bin Bakar dihantar ke Mesir untuk membunuh Amru al-As.
Pakatan ini dilaksanakan serentak pada pagi 17 Ramadhan 40 H.
• Ibnu Muljam berjaya membawa misi ini dengan membunuh Khalifah Ali, tetapi Abdullah dan Amru gagal melaksanakannya.
Khalifah Ali r.a akhirnya wafat dibunuh pada waktu subuh 17 Ramadhan 40 H setelah 5 tahun memerintah negara dalam keadaan suasana yang huru-hara akibat fitnah dan perang saudara.
Khalifah Hassan Bin Ali
• Setelah dimakamkan jasad Khalifah Ali di Dar al-Imamah, maka umat Islam di Kufah terus membai’ah Hassan sebagai khalifah kelima Khulafa ar-Rasyidin dalam bulan Ramadhan 40 H.
• Orang pertama yang membai’ahnya ialah Qays bin Saad bin Ubadah dan kemudiannya perlantikan ini diikuti oleh semua penduduk kota Kufah serta penduduk di kawasan sekitarnya.
Kekhalifahan Hassan adalah sah mengikut syarak.
• Muawiyah menyiapkan angkatan tentera dari Syam untuk menawan wilayah Iraq dari tangan Khalifah Hassan setelah mengetahui kewafatan Khalifah Ali.
Dalam pasukan ini, Muawiyah disertai oleh Abdul Rahman bin Khalid al-Walid dan Amru al-As.
• Khalifah Hassan menyiapkan angkatan pasukan perang setelah didesak oleh penduduk Kufah untuk turun bertempur melindungi wilayah Iraq.
Pasukan Kufah diketuai oleh komando Qays bin Saad dan didampingi oleh beberapa panglima yang berpengalaman seperti Hatim bin Adi al-Tai, Hussein bin Ali serta Abdullah bin Jaafar.
• Pasukan Khalifah Hassan mendirikan khemah di sebuah kawasan berhampiran al-Madain, bekas istana dan ibukota empayar Parsi.
Pasukan Iraq dan Kufah berpecah-belah setelah sampai satu khabar berita tentang kematian komando tertinggi mereka, Qays bin Saad.
Suasana menjadi kacau-bilau dan Khalifah Hassan telah tercedera diserang oleh salah seorang tentera Iraq serta harta-benda di khemahnya dirampas oleh tentera-tentera Iraq.
• Khalifah Hassan dibawa ke Istana Putih al-Madain, bekas istana Kisra Parsi dan beliau dirawat di sini.
Khalifah Hassan yang masih berbekas luka kecewanya di dalam hati terus berutus surat dengan Muawiyah menyeru ke arah satu tujuan sahaja.
Berdamai.
Tahun Perdamaian: Kelahiran Empayar Bani Umayyah
• Khalifah Hassan bertemu dengan Muawiyah bin Abu Sufian dan meletak jawatannya sebagai khalifah setelah 6 bulan mengendalikan pentadbiran di Kufah serta gejolak pemberontakan oleh kelompok Khawarij.
Khalifah Hassan menyatakan suatu perjanjian diantara Muawiyah sebelum beliau melantiknya sebagai khalifah baharu, iaitu:
1. Wajib berpegang kepada Quran, sunnah dan sirah Khulafa ar-Rasyidin.
2. Tidak menjatuhkan hukuman kepada mana-mana tentera yang terlibat dalam pertempuran-pertempuran sebelum ini. Kedua belah pihak diberi pengampunan maaf secara mutlak.
3. al-Hassan akan dilantik sebagai khalifah setelah kewafatan Muawiyah.
• Khalifah Hassan sendiri yang turun padang membai’ah Muawiyah sebagai Amirul Mukminin yang baharu.
Perlantikan Muawiyah sebagai khalifah diiktiraf oleh beberapa sahabat seperti:
1. Usamah bin Zaid.
2. Abdullah bin Umar.
3. Maslamah bin Mukhallad.
4. Abu Umamah.
5. Anas bin Malik.
6. Zaid bin Tsabit.
7. Rafi bin Hudayj.
• Tahun pengunduran Hassan bin Ali sebagai Amirul Mukminin dan perlantikan Muawiyah sebagai khalifah baharu dikenali dalam sejarah Islam sebagai ‘Am al-Jamaah’ (Tahun Perdamaian).
Pada tahun ini, umat Islam kembali bersatu-padu dan sekaligus memberikan tamparan pedas ke atas kelompok Khawarij dan al-Sabaiyyun.
• Setelah Hassan meletak jawatannya, maka beliau beserta ahli keluarganya berpindah keluar dari kota Kufah dan menetap di kota Madinah.
• Kota Kufah dimasukkan di bawah kekuasaan Muawiyah dan beliau melantik al-Mughirah bin Syu’bah sebagai gabenor Kufah yang baharu.
Faktor-faktor Perdamaian Muawiyah Dan Khalifah Hassan
1. Mencari redha Allah swt dan menjaga keselamatan umat Islam pada masa itu.
2. Rasulullah saw pernah mengatakan yang Hassan r.a akan menyatukan antara 2 pasukan tentera Islam yang bertelagah.
3. Mengelak pertumpahan darah sesama umat Islam.
4. Memelihara perpaduan umat Islam.
5. Karakter Muawiyah yang hebat.
6. Al- Hassan tidak menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah tanpa sebab, melainkan Hassan sendiri telah melihat bakat kepimpinan Muawiyah.
7. Keadaan politik Kufah dan Iraq yang tidak stabil.
8. Kekuatan pasukan Muawiyah.
Kesimpulan
Seluruh ahlul sunnah percaya bahawa Ali dan Muawiyah serta orang-orang yang bersama mereka yang dari kalangan para sahabat merupakan pihak-pihak yang benar. Mereka semua berjuang ikhlas mencari kebenaran. Perselisihan di antara mereka hanyalah ijtihad di kalangan mereka. Masing-masing dari kedua belah pihak mendapat pahala, kecuali kelompok munafik al-Sabaiyyun dan para pembunuh Khalifah Uthman dan Khalifah Ali yang telah menyebabkan fitnah dan kekacauan yang berlaku di antara para sahabat serta umat Islam.
Sumber rujukan:
1) Mari Kenali Muawiyah bin Abu Sufyan, Sahrul Azmi Sidek, Mazni Irfan Publication, 2011.
2) Tamadun Islam- Edisi Kedua, Mahayudin Hj.Yahya, Penerbit Fajar Bakti, 2001.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
3 Comments
Sy gagal utk komen. Knp ye?
Kalau dinyatakan sekali latar belakang penulis ataupun nama Facebook mungkin akan lebih menarik dan kami para pembaca dapat mengenali penulis bukan secara literal sahaja. just my two cents ?
Kalau dinyatakan sekali latar belakang penulis ataupun nama Facebook mungkin akan lebih menarik dan kami para pembaca dapat mengenali penulis bukan secara literal sahaja.