Dalam hubungan antarabangsa, kepercayaan bahawa konflik tak boleh diselesaikan melalui cara ketenteraan dipanggil “pacifism”, kadang kala dipanggil “idealism”.
Idealism melihat keamanan dunia boleh dicapai melalui pengharaman peperangan (outlawing of war) dan pemansuhan senjata (disarmament). Pertubuhan antarabangsa seperti UN akan mengambil alih peranan sebagai penjaga keamanan melalui perjanjian dan undang-undang antarabangsa.
Lawan kepada idealism ialah “realism”.
Realism pula berpendapat bahawa cara yang paling berkesan untuk mewujudkan keamanan adalah melalui kekuatan ketenteraan.
Keamanan berlaku apabila tiada negara yang berani untuk memulakan peperangan. Keadaan ini boleh berlaku jika wujud keadaan keseimbangan kuasa (balance of power) antara negara.
Keseimbangan kuasa bermaksud kekuatan ketenteraan antara negara adalah setara. Apabila kekuatan setara, maka tiada negara yang akan suka-suka mencerobohi negara lain kerana tiada jaminan kemenangan. Jadi, keseimbangan kuasa memberi kesan “deterrence” (cegah rintang).
Contoh mudah: apabila USA terlalu berkuasa, dia boleh serang mana-mana negara ikut suka dia. Tapi selepas Korea Utara buat beberapa biji peluru berpandu berkuasa nuklear, terus USA tak berani nak sentuh Korea Utara. Korea Utara berjaya “mencegah rintang” USA melalui senjata nuklear yang menyetarakan jurang kuasa USA dan Korea Utara. Itu sebabnya orang panggil senjata nuklear sebagai “the great equalizer”.
Ketidakseimbangan kuasa akan membuka peluang kepada negara menjadi agresif. Itu fakta sejarah.
Kita patut mengambil pelajaran dari sejarah Eropah semasa 1930-an.
Selepas Perang Dunia Pertama (1914-1918) tamat, wujud sentimen idealisme yang kuat di Britain dan Perancis. Rakyat mengalami trauma peperangan. Mereka mahu pemimpin berfokus pada ekonomi dalam negara sahaja.
Rakyat Britain dan Perancis mendesak kerajaan agar mengurangkan perbelanjaan ketenteraan dan mengurangkan senjata. Mereka berharap tindakan sedemikian dapat menghindari perang dunia kedua kerana negara tidak lagi memiliki senjata yang boleh memberi kemusnahan secara besar-besaran.
Tugas menjaga keamanan diamanahkan kepada pertubuhan antarabangsa yang bernama Liga Bangsa (League of Nations). Cara Liga Bangsa menyelesaikan konflik adalah melalui rundingan dan perbincangan, berpandukan undang-undang antarabangsa. Perjanjian Kellogg-Briand Pact ditandatangani pada tahun 1928 untuk “mengharamkan peperangan”.
Namun terbukti semua itu hanyalah syok sendiri. Sementara idealis mengharamkan peperangan memusnahkan kekuatan diri, negara-negara fasis seperti Jerman (di bawah Adolf Hitler) dan Itali (di bawah Benito Mussolini) mula memperluaskan kuasa mereka.
Jerman dan Itali mula bertindak agresif. Apabila Liga Bangsa mengutuk kekerasan Jerman dan Itali, mereka keluar daripada Liga Bangsa. Jadi, undang-undang antarabangsa tak berkesan ke atas mereka.
Pada tahun 1938 Jerman ingin menyerang Czechoslovakia yang mempunyai hubungan pakatan dengan Britain dan Perancis.
Sebagai rakan sepakatan kepada Czechoslovakia, Britain dan Perancis harus membantu Czechoslovakia menentang Jerman. Namun mereka tak cukup kuat untuk “confront” Jerman. Berlaku ketidakseimbangan kuasa akibat disarmament dan rakyat juga tidak suportif terhadap pendekatan ketenteraan.
Jadi, Britain memilih untuk berunding. PM Britain iaitu Neville Chamberlain dan Hitler bersidang di Munich pada September 1938.
Chamberlain memujuk Hitler agar tidak menyerang Czechoslovakia. Hitler pun kata “baiklah” dan berjanji untuk tidak serang Czechoslovakia.
Tapi 6 bulan kemudian, Hitler kata “ada aku peduli” dan mencaplok Czechoslovakia. Setahun selepas Persidangan Munich, Hitler dan Mussolini mencetuskan Perang Dunia Kedua dengan menyerang Poland pada September 1939.
Tanpa kekuatan ketenteraan sebagai deterrent, perjanjian keamanan hanyalah kertas sampah belaka.
Jadi, pembelian atau pembinaan senjata bukan bermaksud kita mahu mencari gaduh atau berperang. Pembinaan kekuatan tentera adalah untuk tujuan mewujudkan keamanan melalui keseimbangan kuasa.
Pembelian kapal selam adalah sebahagian daripada rancangan pemodenan tentera laut (Navy Modernization) yang bermula sejak 1990-an. Tujuannya adalah untuk mengimbangi kuasa China yang semakin agresif di Laut China Selatan.
Ye, abang long kawasan ini yang kita perlu sentiasa berjaga-jaga. Kita boleh buat bisnes dengan abang long ini, kita boleh buat perjanjian dengan abang long ini, tapi dengan syarat kita memiliki ‘back up’ dalam keselamatan. In case, abang long buat hal.
Bukan Malaysia saja, Indonesia, Singapura, dan Vietnam pun mula upgrade keupayaan tentera laut masing-masing bermula 1990-an untuk meningkatkan kekuatan ASEAN secara kolektif, sebagai deterrent kepada China.
Indonesia baru saja mengumumkan mereka ingin memperolehi kapal selam baru selepas menjadi negara ASEAN pertama yang memiliki kapal selam pada tahun 1981. Singapura juga mula memiliki kapal selam sejak tahun 1997. Vietnam juga memperolehi kapal selam pada tahun 2014.
Deterrence hanya berkesan sekiranya negara memiliki keupayaan ofensif (offensive capability), sebagai tambahan kepada keupayaan defensif atau pertahanan.
Dalam perang laut moden, kapal selam adalah senjata ofensif yang sangat penting dalam mewujudkan “maritime deterrence”.
Pembinaan keupayaan ofensif bukan bermaksud Malaysia tidak mencinta keamanan atau membelakangi prinsip undang-undang antarabangsa. Cuma kita menjadikan kekuatan ketenteraan sebagai jaminan keberkesanan pendekatan keamanan. Jangan mengulangi kesilapan Britain semasa 1930-an.
Jadi, kenyataan seperti ‘kita nak beli dua biji nak perang dengan siapa?’ atau ‘tentera kita adalah pertahanan, kapal selam bukanlah untuk pertahanan’ tak mungkin datang dari seorang negarawan yang celik geopolitik.
Kemungkinan ia adalah nota percakapan yang disediakan oleh budak lepasan graduan yang kurang memahami realiti politik dunia.
Jangan jadi populis sampai menggadaikan keselamatan negara.
Ingat kata-kata hikmah “si vis pacem, para bellum” (If you want peace, prepare for war). Jika mahukan keamanan, bersedia untuk berperang.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
1 Comment
Saya x boleh komen di fb. Boleh sesiapa admin bg tau knp? Adakah diban? Jika di ban komen yg mn satu?