SUDAH menjadi lumrah untuk setiap pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak akan didirikan beberapa rumah rehat kerajaan samada di Bahagian mahupun Daerahnya. Satu amalan yang telah dipraktikkan sejak Brooke memerintah lagi agar rumah-rumah rehat milik kerajaan selain menjadi tempat untuk penjawat awam yang datang bermalam apabila berada di luar kawasan bertugas.
Untuk di Bahagian Sri Aman atau dahulunya dikenali dengan nama Simanggang juga banyak didirikan rumah-rumah rehat kerajaan. Salah satu rumah rehat kerajaan tersebut dikenali sebagai Rumah Simanggang pada awal ianya dibina. Setakat ini, masih kurang informasi tentang bilakah ianya dibina selain daripada info bahawa rumah rehat kerajaan ini mempunyai signifikasi yang penting di dalam membicarakan keamanan yang diperolehi oleh Sarawak sewaktu ancaman komunis berleluasa suatu ketika dahulu.
Menguak pintu sejarahnya sekitar tahun 1962 hingga 1965 menyaksikan banyak hal di dalam Konfrantasi Indonesia-Malaysia yang berlangsung dari bermulanya rancangan penubuhan Malaysia oleh 4 negara pembentuk iaitu Malaya, Sarawak, North Borneo (Sabah) dan Singapura. Perkara ini sememangnya menjadi “duri dalam daging” bagi negara jiran pada masa itu iaitu Indonesia yang berada dibawah kepimpinan Presiden Sukarno. Natijahnya kita menyaksikan banyak pertempuran yang tidak perlu berlaku di perbatasan Sarawak/Indonesia pada masa itu.
Namun apabila pemerintahan Indonesia bertukar tangan dengan menampilkan Presiden Suharto sebagai Presiden Indonesia, api ketidakpuasan ini agak malap berbanding dengan pendirian mantan presiden sebelumnya iaitu Presiden Sukarno. Natijahnya pada tanggal 11 Ogos 1966, satu perjanjian keamanan telah ditandatangani antara Indonesia dan Malaysia, sekaligus menghentikan segala isu berkaitan dengan peristiwa Ganyang Malaysia suatu ketika dahulu. Sebaliknya, perjanjian keamanan yang ditandatangani pada Ogos 1966 ini sebenarnya telah menjadi “turning point” untuk satu lagi pasukan dibawah pengaruh komunis iaitu North Kalimantan Communist Party (NKCP/PARAKU) dibawah kepimpinan Bong Kee Chok di Sarawak berleluasa. Ganyang Malaysia mungkin sudah dihentikan sepenuhnya tetapi dogma untuk mendirikan sebuah negara berhaluan komunis tetap diteruskan oleh mereka.
Maka dari sinilah munculnya ancaman-ancaman komunis di Sarawak dari tahun 1966 sehinggalah pada tahun 1970-an yang menyaksikan Sarawak masih lagi perlu berhadapan dengan segala serangan dan ancamana komunis biarpun sudah menubuhkan negara Malaysia. Tempoh darurat komunis versi kedua masih lagi ada di Sarawak pada masa itu sehinggakan beberapa langkah telah diambil oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan Malaysia untuk membendung penularannya daripada terus berlaku. Hakikatnya sehingga tahun 1970-an, Sarawak belum aman sepenuhnya.
Antara langkah-langkah yang diambil oleh Sarawak bagi mengekang penularan komunisme pada masa itu termasuklah memerangi habis-habisan Bong Kee Chok dan konco-konconya di wilayah Sarawak. Dengan menggunakan operasi ketenteraan seperti Operasi Jala Raja di kawasan Nonok atau Asajaya sekarang (1970), Operasi Ngayau di Bahagian Ketiga (1971) dan penubuhan satu zon pemampan iaitu yang dikenali sebagai Rajang Area Security Command atau singkatannya RASCOM di Bahagian Ketiga (1972) telah menyebabkan Bong Kee Chok dan konco-konconya hilang semangat untuk merealisasikan impian mereka.
Kejayaan demi kejayaan pihak keselamatan memerangi Bong telah menyebabkan mereka hilang punca sehingga ada satu ketika Bong bersama orang-orang kanannya terpaksa bersembunyi di perbatasan. Sokongan daripada rakyat Sarawak juga semakin berkurangan sehinggalah akhirnya Bong nekad untuk menghentikan segala cita-cita fahaman komunismenya pada masa itu.
Pada tanggal 20 Oktober 1973, Bong Kee Chok telah menghantar surat menyerah diri kepada mantan bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak pada ketika iaitu Tan Sri Hamdan Sirat. Sejurus menerima surat tersebut, Ketua Menteri Sarawak telah dimaklumkan, dan atas maha pentingnya hal ini diselesaikan demi keamanan Sarawak, Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman bin Yaakub telah bergegas pulang dengan meninggalkan mesyuaratnya di peringkat Persekutuan pada masa itu.
Surat yang ditulis oleh Bong Kee Chok di dalam bahasa Cina itu telah diterjemahkan oleh seorang penterjemah Cina yang berasal dari Hong Kong yang juga bertugas di bawah cawangan khas PDRM. Segala isi surat tersebut diamati oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan pasukan PDRM bagi mencari jalan yang terbaik. Selepas berlangsungnya perundingan antara Tun dan Bong Kee Chok di rumah rehat kerajaan yang mengambil masa satu hari satu malam, maka satu deklarasi telah dicapai.
Tanggal 21 Oktober 1973 bertempat di Rumah Simanggang pada masa itu, satu perjanjian keamanan telah berjaya ditandatangani antara komunis melalui ketuanya, Bong Kee Chok dan Sarawak yang diwakili oleh Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman bin Yaakub. Perjanjian ini dikenali dengan nama Deklarasi Sri Aman yang menjadi titik noktah kepada ancaman komunis di Sarawak secara total. Rumah Simanggang pada masa itu menjadi saksi bisu kepada peristiwa penting di dalam kronologi sejarah Sarawak suatu ketika dahulu.
Bagi memperingati peristiwa tersebut juga, pada tanggal 19 Mac 1974 satu rumah rehat kerajaan yang dikenali sebagai Rumah Simanggang telah dinamakan semula sebagai Rumah Sri Aman. Manakala bahagian dan daerah Simanggang turut dinamakan semula sebagai Sri Aman. Penukaran nama ini dikuatkuasakan melalui SWK.L.N.42/80 of Part 11 of Sarawak Government Gazette di bawah tajuk Simanggang (Change of Name) Order 1980.
Lest We Forget!
-HB-
#KamekSayangSarawakBah
#HariSarawak22Julai
Rujukan:
1. Borneo Post, 11 Mac 2012 by Phang Chung Sin – Insurgency Ended With Sri Aman Accord http://www.theborneopost.com/2012/03/11/insurgency-ended-with-sri-aman-accord/
2. Borneo Post, 11 Januari 2015 by Saibi Gf – Tun Abdul Rahman Yaakub, Pemimpin Istimewa Berjiwa Kental http://www.theborneopost.com/2015/01/11/tun-abdul-rahman-yakub-pemimpin-istimewa-berjiwa-kental/
3. Portal Rasmi Pentadbiran Bahagian Sri Aman – Sejarah
http://www.sriaman.sarawak.gov.my/modules/web/pages.php?mod=webpage&sub=page&id=7&menu_id=0&sub_id=85]
4. Kosmo – Komunis Serah Diri Selepas Rundingan
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0916&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih