Salahuddin muncul dalam lipatan sejarah apabila Nur al-Din Zanki, pemimpin Islam Kota Damaskus yang telah memerangi pihak Kerajaan-kerajaan Salib di Syria bersetuju untuk menyelesaikan masalah kepimpinan di Mesir. Nur al-Din Zanki bersetuju untuk masuk campur kerana khuatir ketidakstabilan di wilayah itu akan mengundang campur tangan kuasa lain.

Gambar 1: Salahuddin al-Ayubbi (Sumber: Wikimedia Commons)

Wazir Mesir yang bernama Shawar telah dirampas kuasanya oleh seorang lagi pembesar Mesir iaitu Dirgham. Shawar telah meminta bantuan dari Nur al-Din untuk mendapatkan kembali kuasanya di Mesir.

Untuk menyelesaikan konflik tersebut, Nur al-Din menghantar Shirkuh iaitu bapa saudara kepada Salahuddin untuk memimpin bala tenteranya.

Shirkuh berjaya mengalahkan Dirgham. Walaubagaimanapun Shawar enggan menunaikan janjinya kepada Nur al-Din lalu mengkhianati perjanjian mereka.

Shawar segera meminta bantuan daripada Raja Kerajaan Salib Jerusalem iaitu Raja Almaric. Almaric bersetuju untuk membantu Shawar kerana ini merupakan peluang yang baik untuk baginda meluaskan pengaruh di situ.

Walaubagaimapun tidak lama selepas itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk berdamai. Shirkuh dan Almaric kembali ke wilayah masing-masing manakala Shawar mendapat keuntungan yang besar dengan kembali menjadi Wazir Mesir.

Tiga tahun berlalu dan Shirkuh kembali ke Mesir bersama bala tenteranya untuk menawan ibu kota Kaherah. Turut bersama beliau kali ini adalah beberapa panglima tentera Syria yang berpengalaman dan juga anak saudaranya yang baru berumur 29 tahun, Yusuf ibn Ayyub atau lebih dikenali sebagai Salahuddin.

Untuk berhadapan dengan bala tentera Shirkuh, Shawar kembali mendapatkan bantuan ketenteraan dari Almaric.

Pada kempen ketenteraan inilah Salahuddin berhadapan dengan ujian yang sangat besar. Selepas beberapa siri pertempuran, bala tentera Shirkuh dan Salahuddin akhirnya berkubu di Kota Alexandria.

Salahuddin berhadapan dengan konflik ketenteran besar pertamanya apabila terpaksa memimpin pasukan pertahanan Alexandria untuk berkubu dan bertahan. Bala tentera Shirkuh telah meninggalkan Salahuddin dengan sedikit bala tentera untuk tugas itu.

Bala tentera musuh ini adalah gabungan tentera Mesir yang dipimpin Shawar dan bala tentera Kerajaan Salib Jerusalem yang dipimpin Almaric. Walaupun dikepung dengan keadaan teruk, Salahuddin akhirnya berjaya mengharungi kepungan itu sehingga perjanjian damai termeterai, tiga bulan selepas kepungan bermula.

Sekali lagi Shawar mendapat keuntungan dengan kekal sebagai Wazir Mesir.

Setahun setelah konflik Mesir itu selesai, Shirkuh sekali lagi mendapat peluang untuk menyelesaikan konflik di Mesir. Kali ini Almaric mengambil keputusan untuk menakluk Mesir dan mula mengepung Kaherah.

Shawar tanpa segan silu meminta bantuan Nur al-Din.

Nur al-Din tidak dapat membiarkan perkara ini terjadi. Jatuhnya Mesir ke tangan Almaric, akan memberi ancaman kepada kerajaannya.

Sekali lagi Salahuddin turut serta dalam kempen yang dipimpin oleh Shirkuh ini. Walaupun pada mulanya enggan turut serta selepas pengalaman buruknya di Alexandria, Salahuddin akhirnya akur dengan arahan Nur al-Din.

Almaric ketakutan apabila mendengar bahawa bala tentera Shirkuh sedang mara ke Kaherah. Akhir baginda mengambil keputusan untuk berundur dan melupakan hasratnya untuk menakhluk Mesir.

Setelah berjaya menyelesaikan konflik tersebut, Shirkuh dilantik menjadi Wazir Mesir. Shawar pun dihukum bunuh atas pengkhianatannya sebelum ini.

Wazir Mesir

Walaubagaimanapun tidak lama selepas itu, Shirkuh meninggal dunia dan menyebabkan kekosongan jawatan wazir. Salahuddin yang masih mudah telah dilantik menjadi wazir. Mungkin kerana menyangka bahawa Salahuddin boleh dipergunakan, pemimpin-pemimpin di Mesir memilih untuk melantik orang muda itu untuk memegang jawatan penting dan panas itu.

Walaubagaimanapun, Salahuddin menunjukkan bahawa dia bukanlah calang-calang orang muda. Semenjak perlantikannya, dia tidak henti-henti memerangani pihak-pihak yang cuba mempertikaikan pemerintahannya. Dia segera menghapuskan pemberontakan tentera-tentera kulit hitam dan mematahkan percubaan pembesar-pembesar yang ingin merampas kuasa.

Pada masa yang sama, baginda juga melancarkan serangan demi serangan ke atas kedudukan-kedudukan Kerajaan-kerajaan Salib berhampiran. Walaubagaimanapun, hubungan baginda dengan Nur al-Din semakin dingin dan dipenuhi curiga. Nur al-Din tidak berpuas hati kerana Salahuddin semakin bebas untuk bertindak tanpa nasihat dan arahannya.

Gambar 2: Kaherah (Sumber: archieve.org)

Walaubagaimanapun tidak ada peperangan yang berlaku antara mereka apabila Nur al-Din mangkat tidak berapa lama selepas itu. Maka sengketa antara Salahuddin dan Nur al-Din pun tamat begitu sahaja.

Kemangkatan Nur al-Din memberi peluang kepada Salahuddin untuk melebarkan sayapnya di Syria. Baginda mula mendapatkan kota-kota dan kedudukan strategik di Syria sama ada melalui diplomasi ataupun peperangan. Ini adalah tindakan permulaan untuk menyatukan pertahanan kerajaannya di Syria, sekaligus memberi kesempatan kepada baginda untuk membebaskan Jerusalem.

Salahuddin dan Assassin

Selain berhadapan dengan bala tentera musuh yang beribu-ribu jumlahnya, Salahuddin juga terpaksa berhadapan dengan musuh yang misteri dan bergerak dalam bayang-bayang. Kadang-kadang musuh ini berada di hadapan baginda, tanpa baginda sedari. Musuh yang dimaksudkan adalah kumpulan Assassin.

Semasa Salahuddin meluaskan pengaruhnya di Syria, baginda mendapat perhatian daripada Rashid al-Din Sinan ataupun lebih terkenal dengan panggilan Old Man on The Mountain. Rashid al-Din Sinan memimpin sebuah gerakan dakwah yang berasal dari Persia. Gerakan itu ialah gerakan Syiah Ismaliyah Nizari yang diasaskan oleh Hasan al-Sabah. Apabila gerakan itu menyebarkan pengaruhnya di Syria, Rashid al-Din Sinan merupakan pemimpinnya yang tersohor.

Walaupun ia sebuah gerakan dakwah tetapi mereka mula melakukan pembunuhan terhadap mereka yang mengancam kedudukan mereka. Ahli-ahli mereka yang melakukan pembunuhan ini digelar Fidai atau lebih dikenali pada zaman kini sebagai Assassin. Selain melakukan pembunuhan atas musuh mereka, gerakan itu juga menerima upah untuk membunuh.

Pembunuhan berprofil tinggi yang dilakukan oleh fidai-fidai ini menyebabkan gerakan ini amat digeruni di Syria dan Persia. Mereka beroperasi dengan bersembunyi atau menyamar sebelum membunuh sasaran mereka secara diam-diam atau di khalayak ramai. Kesanggupan mereka untuk mati semasa melakukan tugasan-tugasan ini menyebabkan mereka sukar ditangani dan semakin ditakuti.

Pengaruh Salahuddin dianggap mengancam kewujudan gerakan tersebut di Syria dan Rashid al-Din Sinan segera bertindak untuk menamatkan riwayat Salahuddin.

Percubaan bunuh pertama dari Assassin berlaku semasa Salahuddin mengepung Aleppo. Pada satu malam, ketika Salahuddin dan bala tenteranya berkhemah di luar Aleppo, tiga belas orang fidai menceroboh kawasan perkhemahan bala tentera Salahuddin. Mereka sudah sampai ke khemah Salahuddin tetapi salah seorang emir bernama Nasih al-Din Khumartekin dari kabilah Abu Qubais terserempak dengan mereka.

Kediaman kabilah Abu Qubais adalah berdekatan dengan markas kumpulan Assassins dan Khumartekin mengenali mereka. Apabila Khumartekin menyapa dan menyoal mereka, dia dibunuh serta merta dan kehadiran kumpulan fidai itu pun disedari.

Pertempuran antara bala tentera Salahuddin dan fidai-fidai Rashid al-Sinan berlaku.

Ramai yang mati dalam pertempuran itu tetapi fidai-fidai itu berjaya dibunuh keseluruhannya. Walaupun seorang fidai hampir-hampir berjaya menikam Salahuddin, seorang emir berjaya membunuh fidai tersebut dan menyelamatkan Salahuddin.

Jika tidak kerana tindakan pantas pengawal-pengawal dan pembesar-pembesar yang ada bersamanya sudah tentu baginda sudah kehilangan nyawa. Sejak itu, Salahuddin memperketatkan kawalan ke atas dirinya ketika berada di medan perang.

Percubaan seterusnya berlaku setahun kemudian ketika Salahuddin mengepung kubu Azaz. Beberapa orang fidai menyamar sebagai tentera Salahuddin memasuki perkhemahan bala tentera Salahuddin. Dengan bersenjatakan pisau belati, mereka menyerang Salahuddin.

Pipi Salahuddin luka apabila salah seorang daripada fidai itu berjaya menembusi pengawal-pengawal baginda. Tetapi seorang mamluk bernama Saif al-Din Yazkuj berjaya membunuh fidai itu.

Serangan fidai-fidai itu gagal tetapi dengan kos yang tinggi. Salahuddin sendiri hampir terbunuh dan beberapa orang emir baginda juga terkorban.

Apabila baginda memasuki khemahnya, baginda kelihatan panik. Selain pipinya berdarah, baju zirah baginda juga berjaya ditembusi oleh pisau belati fidai.

Selepas menyelesaikan konflik dan berdamai dengan pihak Aleppo pada Mei 1176, Salahuddin akhirnya memutuskan untuk bertindak terhadap Rashid al-Sinan. Baginda menggerakkan bala tentera baginda ke utara, ke arah Masyaf.

Gambar 3: Kubu Masyaf (Sumber: Wikimedia Commons)

Walaubagaimanapun, beberapa hari selepas kepungan itu berlangsung, Salahuddin telah mendapat maklumat bahawa al-Sinan telah menggugut bapa saudara Salahuddin di Hama. Dia mengancam untuk membunuh seluruh keluarga Salahuddin dan emir-emirnya jika kepungan itu diteruskan.

Salahuddin yang tahu bahawa bala tenteranya juga sudah letih akibat perang yang berlanjutan mengambil keputusan untuk menghentikan sahaja kepungan itu. Dalam perjanjiannya damai tersebut, Salahuddin dan al-Sinan bersepakat untuk tidak mengganggu urusan masing-masing. Salahuddin akan berhenti menyerang al-Sinan, manakala al-Sinan tidak akan menghantar fidai-fidainya untuk membunuh Salahuddin.

Salahuddin dan Baldwin IV

Sebelum bertembung dengan seteru utamanya iaitu Richard The Lionhearted, Salahuddin terlebih dahulu berhadapan dengan ancaman yang diberi oleh Raja Jerusalem yang baharu iaitu Raja Baldwin IV.

Raja muda yang menghidap kusta sejak kecil ini mempunyai semangat yang luar biasa walaupun dengan keadaan kesihatannya yang bakal meragut nyawanya. Putera kepada Almaric ini bertembung buat pertama kalinya dengan Salahuddin di Pertempuran Ramlah (Battle of Montgisard).

Gambar 4: Baldwin IV di Pertempuran Ramlah (Sumber: Wikimedia Commons)

Pada pertempuran tersebut, bala tentera Salahuddin telah dikalahkan walaupun mempunyai kelebihan dari segi jumlah tentera. Kekalahan ini adalah disebabkan kesilapan percaturan strategi Salahuddin sebelum pertempuran itu berlaku. Walaubagaimanapun kehebatan pasukan berkuda bala tentera Jerusalem yang terdiri daripada kesatria Templar dan Hospitaller juga menyumbang kepada kemenangan bala tentera pimpinan Baldwin IV.

Salahuddin sendiri hampir terbunuh dalam pertempuran tersebut dan keseluruhan bala tenteranya nyaris terkorban apabila mereka berundur dan sesat di sebuah padang pasir. Walaubagaimanapun kekalahan ini tidak menjatuhkan semangat Salahuddin. Setahun lebih selepas itu, Salahuddin mendapat peluang untuk membalas kekalahannya di Ramlah.

Salahuddin telah mendapat maklumat bahawa Baldwin IV dan gerakan Kesatria Templar sedang membina sebuah kastil berhampiran sebuah lintasan yang dipanggil Bait al-Ahzan (Rumah Kesedihan) ataupun Jacob’s Ford yang terletak di Sungai Jordan.

Kedudukan tersebut merupakan kedudukan strategik yang membolehkan pihak Jerusalem untuk mengancam kerajaan Salahuddin dengan mudah. Oleh itu Salahuddin tidak boleh membiarkan kastil itu daripada disiapkan.

Tetapi sebelum melakukan tindakan ketenteraan atas kubu yang hampir siap pembinaannya itu, baginda menawarkan sebanyak 10,000 dinar kepada pihak musuh untuk menghentikan pembinaan. Tetapi Baldwin IV dan gerakan Templar enggan menerima pemberian tersebut. Maka Salahuddin pun menggerakkan bala tenteranya.

Sebelum kepungan terhadap kastil tersebut dimulakan lagi, Salahuddin telah memperoleh kemenangan yang mengubat lukanya selepas kekalahan di Ramlah.

Bala tentera baginda telah bertembung dengan bala tentera Baldwin IV di Marj Ayyun. Pertempura ini bermula dengan bala tentera Jerusalem dan Templar berjaya menyerang hendap bala tentera Islam yang dipimpin oleh anak saudara Salahuddin iaitu Farukh Shah.

Tetapi keyakinan dan kecuaian kepimpinan Kesatria Templar telah menyebabkan bala tentera itu terdedah. Pasukan tentera Jerusalem dan Templar berada dalam keadaan berterabur dan dengan mudah pasukan berkuda Salahuddin menjalankan peranan mereka.

Hasil kesilapan dan kecuaian tentera musuh, Salahuddin dan bala tenteranya mendapat kemenangan yang besar. Baldwin IV juga hampir terkorban dan terpaksa diselamatkan oleh pembantunya dan dilarikan dari medan tempur.

Hasil kemenangan itu, mereka telah berjaya menawan beberapa orang pembesar Frank dan juga pemimpin utama Kesatria Templar. Hampir 200 lebih orang kesatria berjaya ditawan Bahkan Grandmaster  Templar sendiri iaitu Odo St Armand telah menerima nasib yang sama.

Pertempuran Bait al-Ahzan

Selepas kemenangan di Marj Ayyun kepungan terhadap kastil musuh di Bait al-Ahzan pun dimulakan. Untuk menembusi pertahanan kubu tersebut, Salahuddin telah menggunakan khidmat pakar-pakar penggali terowong (sapper) dari Aleppo.

Gambar 5: Tinggalan Kastil Templar (Le Chastellet) di Bait al-Ahzan

Terowong telah digali di bawah benteng kastil yang terletak di timur laut. Terowong ini disokong oleh struktur yang dibina menggunakan kayu. Setelah terowong tersebut siap, penggali-penggali ini akan memenuhi ruang terowong dengan lebih banyak kayu. Setelah itu, kayu-kayu ini akan dibakar. Pembakaran ini akan meruntuhkan struktur terowong dan sekaligus meranapkan benteng yang berada di atas.

Beberapa hari selepas kepungan dimulakan, taktik ini membuahkan hasil. Benteng yang berada di atas terowong yang digali dan dibakar akhirnya runtuh. Salahuddin menggambarkan kastil itu “seperti kapal yang terapung di lautan berapi” apabila menyaksikan kebakaran yang berlaku.

Kastil itu pun digempur oleh bala tentera Salahuddin. Pertempuran yang dasyat berlaku di dalam kastil tersebut. Selepas pertempuran tamat, hampir 700 orang tentera musuh berjaya ditawan dan ramai lagi yang terbunuh ataupun dihukum bunuh. Harta rampasan perang yang diperoleh juga tidak sedikit jumlahnya.

Salahuddin akhirnya berjaya membalas kekalahannya sebelum ini dan memberi tamparan yang hebat kepada Kerajaan Salib Jerusalem dan gerakan Kesatria Templar.

Salahuddin, Guy de Lusignan dan Reynald de Chatillon

Apabila Raja Baldwin meninggal akibat penyakit kustanya yang tenat, takhta Jerusalem beralih kepada anak saudara lelakinya, Baldwin V. Baldwin V masih lagi seorang kanak-kanak apabila baginda ditabalkan. Oleh itu seorang pembesar bernama Raymond dilantik menjadi penjaganya dan juga sebagai pemangku tugas raja.

Walaubagaimanpun pemerintahan Baldwin V berakhir dengan singkat. Baginda meninggal dunia tidak lama selepas itu dan jawatan takhta sekali lagi menjadi tanya tanya dan punca konlflik antara pembesar dan bangsawan Jerusalem.

Munurut tradisi, ibu kepada Baldwin V iaitu Sybilla sepaturnya menjadi Ratu Jerusalem. Walaubagaimanapun ada sekumpulan bangsawan dan pembesar Jerusalem yang tidak mahu Sibylla menjadi pemberintah. Sebaliknya, mereka mahu adik Sibylla bernama Isabella ditabalkan sebagai ratu.

Gambar 6: Guy De Lusignan (Sumber: Wikimedia Commons)

Namun begitu, Sybilla dan suaminya Guy de Lusignan bertindak lebih pantas untuk mendapatkan pengiktirafan Patriach Heracles, Ketua Biskop Jerusalem. Akhirnya Sibylla ditabalkan sebagai Ratu Jerusalem manakala Guy sebagai Raja Jerusalem atas kapasitinya sebagai suami Sibylla.

Guy yang tahu bahawa baginda dan kerajaan baginda belum boleh dapat menangani musuh sehebat Salahudin, terus memeterai perjajian damai sementara dengan Salahuddin. Raja Jerusalem sanggup membayar 60,000 benzant emas untuk memastikan perjanjian damai itu dimeterai.

Walaubagaimanapun beberapa tahun selepas itu, perjanjian damai sementara itu dilanggar oleh seorang pembesar Frank yang dikenali Reynald de Chatillon.

Reynald de Chatillon merupakan penguasa kastil Karak. Dia telah berkhidmat dengan Kerajaan Salib Jerusalem sejak Baldwin IV berkuasa dan merupakan seorang pahlawan yang amat hebat dan digeruni.

Selain itu, Reynald juga merupakan orang yang sangat dibenci oleh umat Islam di Syria. Reynald telah beberapa kali terlibat dalam pertempuran dengan bala tentera Islam dan pernah mengancam untuk mencuri jenazah Rasullah di Mekah. Ini berlaku apabila Reynald melancarkan serangan laut di persisir  Laut Merah. Dia  menjadikan lapal-kapal yang membawa penziarah dan pedagang sebagai sasaran. Pada masa inilah ada kedengaran berita angin mengatakan bahawa armada ini akan menuju ke tanah suci Mekah untuk mencuri jenazah Nabi Muhammad (S.A.W).

Untuk menghalang Reynald dan anak-anak buahnya daripada terus berleluasa, Al-Adil (adik kepada Salahuddin) menghantar satu armada yang dipimpin oleh panglima berbangsa Armenia bernama Lu’lu’ untuk memburu armada-armada musuh ini. Lu’lu’ berjaya menangkap mereka dan mereka pun dihukum bunuh. Tetapi Reynald sendiri gagal ditawan.

Pada awal tahun 1187, penguasa Karak itu keluar dari kubunya di Karak dan menyerang karavan orang Islam yang sedang dalam perjalanan dari Kaherah ke Damaskus. Tindakan ini sekali lagi melanggar perjanjian damai sementara yang telah dipersetujui sebelum ini.

Salahuddin bertindak balas terhadap perlanggaran ini dengan menggerakkan bala tenteranya di Syria. Pergerakan ketenteraan yang lebih besar daripada apa yang telah dilakukan sebelum ini mempunyai satu tujuan iaitu menentang Kerajaan Salib Jerusalem habis-habisan.

Apabila berita ini sampai ke pendengaran Kerajaan Jerusalem, mereka pun bertindak balas dengan memanggil sekutu-sekutu mereka  dan menggerakan bala tentera masing-masing. Mereka tidak tahu bahawa kempen ketenteraan yang dimulakan itu akan menjadi titik penting dalam sejarah.

Klimaks pergerakan ketenteraan ini akan berlaku di Tanduk Hattin dan ia menjadi titik noktah untuk satu kerajaan dan permulaan untuk satu peperangan.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Walaupun sibuk dengan tugasnya sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta di Kuching, beliau suka meluangkan masanya meneroka sejarah dunia terutama yang melibatkan pertembungan antara peradaban seperti Perang Salib. Minatnya dengan budaya masyarakat serta tokoh-tokoh Timur dan Eropah yang wujud ketika zaman pertengahan memberi inspirasi kepada beliau untuk menulis novel fiksyen sejarah dan non-fiksyen berkenaan tokoh-tokoh pada zaman tersebut.

2 Comments

  1. makam Rasullullah di Madinah. Tempat itu dikenali Taman Raudhah, Dahulu tempat itu adalah rumah dan laman rumah Rasullullah.

Leave A Reply