Siapa bilang bahawa gadis Melayu ialah gadis yang lemah dan menurut perintah sahaja? Nah, ini ada sebuah kisah yang bakal membuka mata kalian, tentang satu susuk tubuh yang harus dibanggakan oleh kita seluruh umat Melayu. Adruja Wijayamala Singa namanya, bangsanya Melayu, agamanya Islam. Sematkan dalam kepala kalian.
Adruja itu sendiri adalah sebutan yang dipendekkan daripada perkataan “aadhi raja” yang membawa maksud raja yang besar, mulia, tinggi darjat, yang utama, terbaik malah membawa maksud pemuka pasukan perang. Wijayamala pula membawa maksud bunga seroja sakti yang berdasarkan mitologi konon mampu menghidupkan orang yang sudah mati. Singa pula sudah tentu kita semua tahu mengenai raja haiwan ini. Berani, gagah dan perkasa.
Seperti namanya, Adruja membuktikan bahawa dia adalah seorang raja mulia yang sangat sakti dalam mempertahankan negara, bangsa dan agama dan dalam masa yang sama seberani, segagah dan sehebat sang singa. Ini kisah bagaimana anak kepada Sultan Muhammad atau Raja Sang Tawal yang memerintah sebuah kerajaan bernama Melayu bernama Malayur yang terletak di kawasan sekitar Segenting Kra, keturunan Maharaja Srivijaya daripada dinasti Mauli iaitu Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa.
Seperti nenek moyangnya, Adruja bakal memahat sejarah sebagai seorang pembela yang terhebat dalam sejarah Melayu itu sendiri. Ini kisah perseteruan antara Adruja dan juga Rama Khamhaeng, seorang raja kejam lagi zalim dari bumi Thailand yang tidak habis-habis cuba melanggar semenanjung Tanah Melayu sebelum dia menemui lawannya yang paling setimpal!
Gadis ini dilahirkan pada zaman Kerajaan Sukothai yang acap kali menyerang Malayur. Pada usia yang kecil lagi, Adruja menunjukkan bahawa beliau bakal seorang srikandi yang hebat. Menunggang kuda dan memanah serta aktiviti lasak lain seperti bermain senjata seperti kelewang sudah mengalir dalam setiap saraf darahnya. Tetapi jangan risau, sisi keindahan seorang hawa masih lagi tertanam disebalik peribadi seorang panglima yang dimilikinya. Kononnya, Adruja amat menyukai wangian kayu cendana yang telah dicampurkan ke dalam minyak wangi yang diperbuat daripada bunga melur.
Namun demikian, Adrujha dikatakan bujang sehingga akhir hayatnya. Ini mungkin berikutan tentang cabarannya kepada sesiapa sahaja yang mahu memperistierikannya, harus menewaskan dirinya dalam pertarungan satu lawan satu. Sehingga kini, kita boleh beranggapan bahawa oleh kerana Adruja sendiri tidak mempunyai suami, mungkin tidak ada mana-mana lelaki yang mampu mengalahkannya dalam pertempuran satu lawan satu sepanjang usianya.
Apabila usianya meningkat belasan tahun, maka Adruja dikatakan sering mengikuti ayahnya ke medan perang. Adruja selalu diberi amanah untuk membawa panji kibaran Malayur dalam peperangan melawan Sukothai. Selain itu, Adruja juga beperanan memberi rawatan kepada tentera-tentera ayahandanya yang tercedera dalam medan perang.
Terdedah tentang perang sejak usia remaja, meskipun bergelar seorang wanita, Adruja mula membuka mata betapa negaranya sedang di ambang kemusnahan. Perunduran demi perunduran yang berpunca daripada ketidakmampuan melawan serangan Sukothai membuatkan dia bertekad untuk menubuhkan pasukan khasnya sendiri demi melawan Sukothai yang terdiri daripada kaum wanita. Kerana sayangkan anakandanya, maka Sang Tawal terpaksa memperkenankan permintaan Adruja.
Pada asalnya, Adrujha menghampiri anak dara yang belum kahwin, namun semuanya ditolak. Maka datangnya pula pada para janda muda yang telah kematian suami mereka di medan perang akibat berperang dengan Sukothai. Maka bersetujulah mereka untuk menyertai pasukan yang ditubuhkan oleh Adruja.
Selepas merasakan bahawa latihan yang dijalankan ke atas pasukan itu cukup untuk membolehkan mereka turun berperang, maka Adruja pun menghadap Raja Sang Tawal yang ketika itu sedang sibuk bermesyuarat dengan panglima-panglima perang. Lantas ketika itu, Raja Sang Tawal diajak bersama para panglima perangnya ke tingkap istana, untuk memperkenalkan para ahli pasukannya.
Namun oleh kerana pasukan itu dianggotai oleh kaum wanita, maka ada panglima yang memperkecilkan kemampuan mereka. Ini memaksa Adruja sendiri naik amuk lalu menarik salah seorang daripada kumpulan panglima itu menghadap tingkap, lalu Adruja memberikan arahan kepada salah seorang anak buahnya dari bawah istana supaya memanah panglima tersebut. Anak panah itu dikatakan hanya beberapa inci sahaja daripada memamah wajah panglima membuatkannya seluruh isi bilik itu tergamam. Apa yang dilakukan oleh Adrujha membuatkan para panglimanya terpaksa akur.
Dugaan pertama yang melanda pasukan janda yang dinamakan sebagai Sriwijayamala itu ialah serangan ke atas salah satu daripada kampung di bawah Mayaur sendiri. Ini memaksa Adruja mengerahkan pasukan Sriwijayamala terus bersama Adruja, menggempur sendiri pasukan pembuat kacau itu. Berkat kepimpinan Adruja, akhirnya pasukan tersebut berjaya menang ke atas pasukan pembuat kacau dari Sukothai itu. Khabar kemenangan Adruja mula masyur ke seluruh Malayur dan sampai ke telinga Raja Sang Tawal.
Ram Khamhaeng pula terbakar mendengarkan khabar bahawa tiada seorang pun tentera Sukothai yang terselemat selepas dikalahkan oleh kaum wanita. Dendamnya semakin membara lalu dikerahkan tentera untuk melanggar Malayur buat kali kedua.
Asalnya, Sang Tawal tidak membenarkan Adruja dan pasukannya untuk turut sekali dalam peperangan. Namun, legenda mengatakan tentang kemunculan seorang lelaki tua yang menggalakkan Adruja menyelinap keluar dari kota. Dihadiahkan kepada Adruja sebuah tasbih untuk dipakai ketika turun ke dalam medan perang.
Di medan perang, segala pasukan bergajah Siam Sukhothai sedang meredah dan merempuh apa sahaja di hadapan mereka. Orang dan kuda habis dibelit dengan belalai, dipijak dengan kaki atau dirodok oleh gading gajah. Adruja sendiri menjumpai Rama Khamhaeng yang sedang berada di atas sebuah gajah. Raja agung Siam itu berjaya dijatuhkan dari atas gajahnya lalu kepalanya ditebas oleh pasukan Adruja. Ketika itu, pasukan Siam tergamam melihatkan apa yang sudah berlaku pada raja mereka lalu membuatkan mereka menyerah kalah mereka dalam peperangan.
Peristiwa hebat ini berlaku ketika 1317 Masihi.
Dipendekkan cerita, serangan bertali arus dari pewaris Rama Khamhaeng, iaitu Loethai, maka jatuhlah Malayur dan Raja Sang Tawal pun berundur sehingga ke Sanjura inilah, Raja Sang Tawal telah mengarahkan supaya dibina sebuah kota untuk dijadikan sebagai pusat pemerintahan yang baharu pemerintahan beliau.
Raja Sang Tawal juga telah menganugerahkan sebuah negeri kepada Adruja sebagai mengenang jasa puteri kesayangannya itu yang telah berperang demi tanah air serta menebas kepala Raja Rama Khamhaeng. Negeri tersebut diberi nama Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga atau nama lainnya, Kisaran Payung. Beliau digelar Cik Siti Wan Kembang. Lama-kelamaan, gelaran tersebut telah menjadi satu gelaran rasmi bagi semua raja perempuan yang memerintah negeri tersebut. Hari ini, kita semua mengenali Adruja Wijayamala Singa sebagai Cik Siti Wan Kembang yang pertama yang memerintah bumi Kelantan.
Negeri yang diperintah oleh Adruja menjadi semakin maju sehingga ia dikunjungi oleh seorang pengembara Islam yang terkenal dalam sejarah iaitu Ibnu Battuta. Beliau telah singgah di Kuala Krai pada 1345 Masihi dan ketika itu, dan telah menghadap seorang raja perempuan yang beragama Islam merujuk kepada Adruja. Kejelitaan yang dimiliki oleh Adruja disamakan dengan kejelitaan puteri Turki dan baginda sendiri bertutur dalam Bahasa Turki ketika bercakap dengan Ibnu Battuta.
Bahkan, kaum perempuan di kerajaan yang diperintah oleh Adruja dikatakan sangat gagah, cekap menunggang kuda dan mampu memanah seperti seorang lelaki taranya. Saudari kandung Adruja iaitu Puteri Chandana dikahwinkan dengan pemerintah kerajaan Samudera-Pasai iaitu Sultan Malikul Zahir I.
Namun demikian, Adruja dikatakan membujang sehingga akhir hayatnya. Ada cerita menarik mengenai hayat bujangnya. Keunggulannya dalam peperangan pada tarikh 1317 Masihi telah tersebar ke seluruh alam Melayu. Maka berduyun-duyun putera raja cuba melamar baginda. Lagi-lagi kejelitaan yang dimilikinya merupakan sebuah pakej bonus. Namun semuanya diberi syarat bahawa dia hanya akan berkahwin dengan putera raja yang mampu mengalahkannya dalam pertempuran. Tiada siapa yang berani berbuat demikian kerana kegerunan akan kehebatan dan kegagahannya.
Namun sampai satu detik dalam hidupnya, baginda merasakan perlunya seorang teman. Baginda telah meminta Pateh Jina, seorang pembesar kerajaan ayahandanya yang mahir melukis untuk mengembara ke serata alam Melayu untuk melukis potret putera-putera raja seluruh alam Melayu. Bertahun lamanya Pateh Jina mejelajah kerajaan-kerajaan sekitar alam Melayu dan beliau telah berjaya melukis 99 potret putera raja, akhir sekali beliau berangkat ke Samudra dan melukis potret putera raja yang ke-100.
Putera tersebut bernama Raja Muda Abdul Jalil, putera kepada Al Mulikuz Zahir II dari Samudera Pasai berpangkat dua pupu baginda. Adruja telah jatuh hati sekilas menatap potret Raja Muda Abdul Jalil. Asalnya mereka berdua bakal berkahwin namun jodoh tidak kesampaian apabila ada urusan peperangan dengan kerajaan lain yang harus diuruskannya. Maka tersebutlah seterusnya dalam sejarah betapa srikandi teragung dalam sejarah Melayu tidak berkahwin sehingga akhir hayatnya.
Sesungguhnya semangat perjuangan Adruja Wijayamala Singa adalah patut dikenang oleh kita semua. Baginda tidak pernah gentar dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air. Biar bergadai nyawa sekalipun, baginda tidak sanggup melihat anak bangsa baginda dijajah oleh bangsa asing. Kita semua haruslah mempunyai semangat itu dalam diri kita. Biar putih tulang, jangan putih mata!
Bacaan Lanjut:
Nisriwani Yahaya & Syed Zulflida (2003) 101 Puteri Dunia Melayu: Sejarah Dan Legenda. Jabatan Muzium Malaysia.
Abdul Halim Bashah (1993) Wali Songo Dengan Perkembangan Islam Di Nusantara: Satu Kajian. Al-Kafilah Enterprise
Wan Salleh Wan Ibrahim & Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman (2011) Malay- Islamic Historiography Behind Kelantan’s Kampung Laut Mosque Construction. World Congress For Islam History And Civilization: Islamic Art.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih