Bagi penduduk Muslim di seluruh dunia, Ramadan merupakan satu bulan istimewa. Ia bukan saja bulan untuk menambah amal kebaikan tetapi juga bulan untuk mengeratkan hubungan sesama saudara seagama. Dan bagi golongan mualaf terutama yang berasal dari luar negara, ia merupakan satu detik istimewa. Berikut perkongsian tiga kisah mualaf Korea Selatan untuk tatapan bersama.

  1. Nadia Han
Rajah 1: Nadia (kiri) bersama suami, Saad (kanan) dan cahaya mata mereka, Sarah.

Bagi wanita cantik berasal dari Seoul itu, Islam tidak asing bagi dirinya. Ini kerana abang iparnya, Said telah memperkenalkan Islam kepada keluarganya sekaligus membuka jalan kepadanya mengenali dan memeluk agama syumul itu selepas berkahwin dengan suaminya, Saad atau Yu Hyun-woo.

Sejak memeluk Islam sejak empat tahun lepas, Nadia atau nama sebenarnya Han Narae mengakui gaya hidup Islam berbeza dengan gaya hidup Korea dan masih mempelajari tentang makanan halal, pemakaian sopan dan cara beribadat daripada komuniti Muslim di Malaysia.

Dia berkata, “Semuanya baru dan ia mengambil masa, kegigihan dan ketekunan untuk belajar. Saya mendapat bantuan daripada rakan-rakan Muslim di Malaysia, jadi ia tidaklah sukar. Ramai orang membantu kami dan memudahkan kami untuk belajar.”

Bila ditanya apa perbezaan hari puasa di Malaysia dan Korea Selatan semasa Ramadan, Nadia yang memiliki Eid Authentic Korean Cuisine Restaurant bersama suaminya mendedahkan ia ibarat hari biasa di tanah kelahirannya cuma bezanya mereka berpuasa. Tetapi di Malaysia, suasana Ramadan amat meriah dengan mereka berkunjung ke bazar-bazar termasuk untuk persiapan sambutan Aidilfitri.

Baginya, ia membantu mereka merasai pengalaman masyarakat tempatan menyambut Ramadan dan Aidilfitri serta mengetahui gaya hidup Muslim. Cuma untuk tahun ini, situasi sedikit berbeza berikutan penularan pandemik Covid-19 dan perlaksanaan PKP/PKPB, mereka kini menerima pesanan dalam talian dan penghantaran makanan setiap hari.

Di sebalik kesibukan menguruskan rutin baru perniagaan akibat PKP/PKPB yang dikuatkuasakan kerajaan berikutan penularan Covid-19, itu tidak menghalangnya melaksanakan tanggungjawab sebagai suri rumah dan ibu kepada seorang cahaya mata.

Suasana Ramadan di kedua-dua negara juga berbeza. Suasana Ramadan di Korea Selatan merupakan hari normal di sana kecuali bagi umat Islam, mereka perlu berpuasa. Dan mereka perlu berdepan dugaan melihat orang lain terutama rakan-rakan makan dan minum secara normal, sesuatu yang jarang berlaku di Malaysia.

Nadia turut mengakui kehidupan sebagai seorang Muslim lebih selesa di Malaysia berbanding di Korea Selatan. Ini berikutan akses terhadap makanan halal mudah didapati dan mereka boleh mengamalkan gaya hidup Muslim dengan bebas, satu perkara yang sukar diamalkan di sana berikutan umat Islam merupakan kelompok minoriti di Korea Selatan.

Di sebalik semua itu, jati diri sebagai orang Korea tetap terpelihara. Nadia dan Saad yang dikurniakan seorang anak perempuan bernama Sarah, 3, tetap melatih puteri kesayangan mereka bertutur dalam Bahasa Korea dan mendapat pendidikan Korea walaupun dibesarkan di sini.

  1. Emir Kim
Rajah 2: Emir Kim. Sumber: https://www.instagram.com/p/B1BVC-ZlYID/?utm_source=ig_embed

Bagi Emir Kim pula, kisah penghijrahannya memeluk Islam lama sebelum dia berbuat demikian pada November 2013. Justeru, bagi memudahkan para pembaca mengetahui kisah pengislamannya, boleh menonton video ini:

Menurut Emir, antara cabaran utama sebagai Muslim di Korea bukan saja kesukaran mencari makanan halal dan tempat beribadat tetapi juga diskriminasi masyarakat Korea terhadap penganut Islam di sana. Justeru, dia memilih berhijrah bagi membolehkan dia mengamalkan Islam dengan mudah dan tanpa prejudis.

Tambah Emir, prejudis sebegini timbul berikutan sesetengah warga Korea mengaitkan Islam dengan keg4nasan atau apa saja bentuk musibah yang berlaku. Selain itu, ada pula yang menganggap ia agama asing yang tidak sesuai dengan Korea. Mungkin kerana sikap prejudis inilah yang mendorongnya lebih banyak berada di luar negara termasuk negara Islam berbanding kembali ke kampung halamannya.

Sejak menetap di Malaysia pada Ogos 2019, salah satu perkara yang disukainya ialah tiada bentuk diskriminasi yang menghalangnya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Salah satu pengalaman manisnya sebagai Muslim ialah berpeluang mengerjakan haji dan umrah di Baitullah pada tahun 2017.

Rajah 3: Emir Kim semasa di Masjidil Haram pada tahun 2017. Sumber: https://www.instagram.com/p/BSbaXB8F_Lc/?utm_source=ig_embed
  1. Ahmad/Sung-Joon Jeon
Rajah 4: Ahmad bersama dua puteri kesayangannya. Sumber: https://www.instagram.com/p/B41R6HmleTw/?utm_source=ig_embed

Bagi Ahmad pula, kisah pengislamannya bermula semasa dia menyambung pengajian di Ireland. Di situ, dia bertemu dengan ramai orang dari pelbagai latar belakang termasuk yang beragama Islam.

Dari situ, Ahmad mula menunjukkan minat terhadap terhadap agama-agama termasuk Islam dan mengkaji perlakuan ibadat para penganutnya. Tatkala itulah, dia jatuh cinta dan Islam dan sejak itu menjadi seorang Muslim sejak sembilan tahun lepas.

Bagi anak jati Seoul itu, dia mendapati wujud konsep salah kelompok bukan Islam terhadap Islam. Ini kerana mereka menyangka umat Islam menyembah Tuhan bernama Allah dan Nabi Muhammad s.a.w itu pengasas agama berkenaan. Hakikatnya, Allah merupakan Tuhan yang sama dan baginda diutus sebagai utusan agama tauhid yang telah wujud sejak zaman-berzaman.

Seperti Emir dan Nadia, satu kesukaran bagi Muslim di Korea Selatan ialah mencari makanan halal. Tetapi baginya, kesukaran itu juga membolehkan dia belajar mengelak makanan tidak halal. Kesukaran sebegini yang mendorongnya berhijrah dan Ahmad sudah menetap di Malaysia selama setahun.

Bapa kepada dua cahaya mata itu turut mengakui pengalaman berpuasa di negara kelahirannya tidak jauh berbeza dengan berpuasa di Malaysia. Tetapi di sini, suasana berpuasa amat dirasai dengan kewujudan lagu-lagu meraikan Ramadan dan Syawal serta pasar-pasar makanan untuk dibeli sebagai lauk berbuka puasa.

Tambahnya lagi, “Pengalaman terbesar suasana Ramadan di Malaysia ialah semua orang di sekeliling saya berpuasa. Berpuasa bersama-sama memberi satu pengalaman yang berbeza kepada saya.”

RUJUKAN:

Sim, Cheng. (2020). Korean Muslim Reverts Share What It’s Like To Be Living In Malaysia. Have Halal Will Travel. https://www.havehalalwilltravel.com/korean-muslims-in-malaysia


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.