Kelahiran baginda ﷺ adalah rahmat buat seluruh alam sehingga membawa manusia sekaliannya daripada kegelapan menuju kearah nur yang bercahaya. Dialah Nabi Muhammad ﷺ bin Abdullah, seorang utusan terakhir Allah buat umat terakhir, pembawa petunjuk dan juga rahmat.

Bagi menyelidiki keturunan penuh baginda, molek sekiranya kita melihat keturunan baginda ﷺ yang berantai sampai kepada Nabi Adam as satu persatu.

  • Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutallib bin Hashim.

Bapa baginda telah dikahwinkan oleh Abdul Mutallib dengan seorang wanita Quraisy yang paling mulia keturunan dan kedudukannya iaitu Aminah binti Wahab. Bapa Aminah adalah ketua Bani Zuhrah dari segi hubungan nasab dan kemuliaan. Alhasil daripada perkahwinan inilah lahirnya Nabi Muhammad ﷺ .

Datuknya Abdul Mutallib merupakan insan yang bertanggungjawab menjaga baginda setelah baginda kehilangan ayah dan ibunya serta merupakan insan yang berperanan dengan menamakan nama baginda sebagai Muhammad di hadapan kaabah. Abdul Mutallib adalah terkenal di dalam sejarah arab Quraisy bahkan kisahnya diabadikan di dalam Al-Quran berkait dengan doanya memohon agar Allah melindungi kaabah daripada niat bala tentera Abrahah yang ingin membalah. Sehingga akhirnya dihantar burung ababil satu demi persatu lenyap tentera Abrahah.

Manakala Hashim pula nama asalnya adalah Amru seperti mana yang dinukilkan oleh Al-Mubarakfuri. Nama Hashim itu datang sempena perkataan hashm (memecahkan) oleh sebab kerjanya ketika itu adalah memecahkan roti untuk dibuat bubur kepada para Jemaah haji. Beliau juga merupakan orang yang bertanggungjawab mengendalikan urusan siqayah dan rifadah (minuman dan makanan para Jemaah haji).

  • Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab

Said Ramadhan al-Buthi menyatakan bahawa Abdul Manaf adalah bapa kepada Hashim atau nama sebenarnya ialah Mughirah. Bapanya Qusay bin Kilab adalah individu yang bertanggungjawab menyatu-padukan keturunan Quraisy yang menetap di Mekah dan kawasan pinggirannya. Bani Quraisy yang pada awalnya terbahagi kepada heterogen kabilah seperti Jumah, Sahm, Makhzum, Tayyim dan Zuhrah akhirnya disatukan Qusay sehingga usaha ini menyebabkan keturunan mereka dimuliakan.

  • Kilab bin Murrah bin Kaab bin Luaay bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin al-Nadr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Maad bin Adnan.

Adnan ialah datuk yang ke-20 dalam keturunan Nabi Muhammad ﷺ dan daripada keturunan inilah orang-orang arab mendapat nasab mereka yang disebut sebagai Arab Adnan.

Cucu kepada Adnan iaitu Nizar mempunyai empat orang anak iaitu Iyad, Anmar, Rabiah dan Mudhar dan anak cucunya ini telah berpecah ke merata tempat.

Daripada Mudhar itu maka terbina dua rumpun yang sangat besar iaitu daripada keturunan anaknya Qays Ahlan bin Mudhar dan Ilyas bin Mudhar. Maka, cicit kepada Ilyas adalah punca kepada lahirnya Bani Quraisy oleh kerana keturunan Quraisy adalah daripada anak cucu Fihr bin Malik bin Al-Nadr bin Kinanah.

Jelas bahawa inilah nasab keturunan Nabi Muhammad ﷺ yang disepakati oleh para ulama sepertimana yang disebut oleh ramai tokoh seperti Al-Mubarakfuri dan Dr. Said Ramadhan Al-Buthi:

Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutallib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Kaab bin Luaay bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin al-Nadr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Maad bin Adnan.

  • Adnan adalah anak cucu Qaydar bin Ismail bin Ibrahim.

Al-Mubarakfuri mengatakan bahawa di antara Adnan dan Nabi Ibrahim adalah diselangi oleh 40 orang bapa. Keturunan Adnan adalah berasal daripada keturunan Qaydar yang merupakan salah seorang daripada 12 anak Nabi Ismail dan menetap di Mekah untuk meneruskan kesinambungan zuriat.

Ini berlaku oleh sebab kisah Nabi Ibrahim yang meninggalkan Hajar dan Ismail kerana perintah Allah di kawasan telaga Zamzam, iaitu satu kawasan Masjidilharam yang teratas. Lalu Nabi Ibrahim berangkat kembali ke Palestin sementara Ismail dan ibunya Hajar tinggal bersendirian di sana sehinggalah Allah mengurniakan pancaran mata air Zamzam yang menjadi sumber kehidupan mereka yang sangat terkenal kisahnya.

Burung-burung berpuing-puing di atas lembah tanda punca air buat hidupan di tengah padang pasir sehingga tatkala itu datanglah satu kabilah dari Yaman yang dikenali sebagai Kabilah Jurhum dan bersama mendiami kawasan Mekah secara tetap setelah mendapat keizinan kerana sebelumnya mereka hidup berpindah-randah.

Ringkasnya, Nabi Ismail mula hidup bersama kabilah Jurhum serta mempelajari bahasa Arab sehingga dewasa. Kemudian Nabi Ismail mendapat 12 orang anak lelaki hasil perkahwinannya dengan puteri kepada Mudad bin Amru yang merupakan ketua kabilah Jurhum. 12 orang anak Nabi Ismail itu adalah Nabit,Qaydar, Adbail, Mibsham, Mishma, Duma, Misha, Hadad, Yatma, Yatur, Nafis dan Qayduman.

Akhirnya lahirlah keturunan anak cucu Adnan daripada susur galur anak Nabi Ismail yang kedua iaitu Qaydar diselangi oleh hampir 35-40 orang bapa diantara keduanya. Ini bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad ﷺ yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah memilih akan Kinanah daripada anak cucu Ismail. Dan telah dipilih Quraisy daripada keturunan Kinanah, dan dipilih Bani Hasyim daripada Quraisy, dan aku dipilih daripada Bani Hasyim.” (HR Muslim).

  • Nabi Ibrahim adalah daripada keturunan anak cucu Sam bin Nuh.

Nabi Ibrahim “Khalilullah” juga dikenali sebagai bapa kepada para nabi oleh sebab daripada keturunan baginda lahirnya ramai para nabi dan rasul seperti Nabi Ismail dan Nabi Yaakub kemudian daripada Nabi Yaakub lahir pula Nabi Yusuf. Jalur nasab Nabi Ibrahim juga melahirkan  Nabi Daud dan anaknya Nabi Sulaiman, Nabi Ayyub, Nabi Yusuf, Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Zakariyya, Nabi Ilyas, Nabi Yahya dan Nabi Isa Alaihimussalam.

Kata Ibnu Kathir, keturunan Nabi Ibrahim adalah daripada anak Nabi Nuh dengan menyatakan bahawa:

Ibrahim bin Tarikh bin Nahur bin Sarukh bin Ra’u bin Falikh bin A’bir bin Syalih bin Arfakhasyaz bin Sam bin Nuh.

  • Nabi Nuh sehingga Nabi Adam.

Keturunan Sam bin Nuh adalah keturunan yang selamat daripada banjir besar yang meneggelamkan seluruh umat Nabi Nuh yang tidak beriman selepas berdakwah begitu lama. Firman Allah:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggalah dia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka)”. (Al-Ankabut:14).

Ibnu Kathir menyebutkan: Nuh bin Lamik bin Mathushalikh bin Khunukh (dikatakan bahawa dia merupakan Nabi Idris As) bin Yarid bin Mahla’il bin Qainan bin Anush bin Syith bin Adam As.

Dianggarkan juga bahawa jarak masa di antara Nabi Nuh dan Nabi Adam adalah kira-kira seribu tahun yang bersamaan dengan 10 kurun. Sabda Nabi Muhammad :

Maksudnya: “Wahai Rasulullah SAW, apakah Adam itu termasuk daripada seorang Nabi?” Baginda SAW bersabda, “Benar.” Lelaki itu bertanya lagi, “Berapa jarak antara Adam AS dengan Nuh AS?” Rasulullah SAW bersabda: “10 kurun”. ( Sahih Ibn Hibban: 6190).

Sesungguhnya ini merupakan suatu penjagaan Allah terhadap baginda ﷺ dengan memelihara keturunan baginda daripada keturunan yang baik-baik belaka bahkan daripada keturunan para anbiya, pembawa risalah-Nya.

RUJUKAN:

Saffiyu Al-Rahman Al-Mubarakfuri. Sirah Nabawiyyah:Al-Rahiq Al-Makhtum, terj. Mohammad Ramzi Omar.

Abu Fida Ismail ibn Umar Ibn Kathir, Qisas Al-Anbiya.

Said Ramadhan Al-Buthi, Fiqh Sirah.

Bakhit Hj. Ali, Fiqh Sirah.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Mahasiswa Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya. "Cinta kepada Tamadun diiringi kebenaran Sejarah."

Comments are closed.