Jawapan saya pada tajuk di atas ialah MUSTAHIL.

Sebab:

1) Sebab pertama: untuk menjejaki maklumat kesemua leluhur kita, itu adalah mustahil, walaupun hanya sekadar mengetahui nama mereka.

Bayangkan: Setiap individu memiliki dua orang ibu bapa, empat orang datuk dan nenek (setakat ini mudah), lapan orang moyang (perlukan sedikit usaha), 16 orang cilawagi (hmm…), 32 orang cakawari dan seterusnya yang setiap peringkat leluhur perlu diganda dua: 64, 128, 256….

Ini mesti diambil kira daripada setiap jurai kedua-dua belah ibu dan bapa mereka. Daripada kiraan tersebut, kita sebenarnya mempunyai seramai 4,096 orang moyang yang ke-10!!! (great-great-great-great-great-great-great-great-great-great grandparents).

Katakanlah secara amnya purata empat generasi dilahirkan dalam masa seabad, jadi moyang kita yang ke-10 hidup sekitar pertengahan abad ke-18, baru kurang tiga abad yang lalu, nenek moyang kita dah seramai itu. Oleh sebab itu, secara amnya, salasilah lebih ditumpukan dan diutamakan pada jurai sebelah bapa sahaja, walhal setiap jurai adalah penting. Kita ini lahir daripada campuran genetik jutaan manusia yang semuanya berasal daripada Nabi Adam dan Hawa A.S.

Umpamakan sebatang pokok hutan yang lebat rimbunannya. Makin tinggi ke atas makin banyak bercabang dan beranting, tapi berakhir dengan pucuk yang paling tinggi. Walaupun bagi golongan kerabat diraja dan bangsawan sekalipun, mereka tiada rekod berkenaan semua leluhur mereka daripada setiap jurai.

2) Sumber rekod yang berautoriti dan rujuk silang yang terhad. Seperti yang diperkatakan sebelum ini, secara  amnya, dalam masa seabad, purata kira-kira empat atau lima generasi manusia boleh dilahirkan. Rekod ada pelbagai jenis sama ada rekod bertulis, rekod lisan turun temurun mahupun rekod digital.

Dalam sejarah Tanah Melayu ini, rekod bertulis berkenaan dengan sijil kelahiran, rekod pekerjaan, sijil nikah dan sijil kematian hanya bermula sekitar akhir abad ke-19 (akhir tahun 1800). Rekod-rekod kerja pegawai kerajaan ada mencatatkan tahun kelahiran mereka. Untuk abad ke-18 ke atas (1799), hampir tiada rekod bertulis berkenaan perkara-perkara di atas bagi masyarakat rakyat biasa.

Rekod yang didokumentasikan atau daripada pihak berautoriti seperti kerajaan amatlah penting dalam mengesahkan sesuatu maklumat, terutamanya daripada sumber lisan turun temurun. Jika terdapat sumber rekod bertulis lain yang berautoriti dan bebas daripada sumber rekod bertulis lain, akan lebih menguatkan maklumat tersebut. Foto paling awal juga hanya muncul lewat abad ke-19 (akhir tahun 1800-an).

Bagaimana pula nak menjejaki rekod bertulis seawal tahun 1500-an, abad ketujuh Masihi, abad-abad sebelum tahun Masihi? Memang tak masuk akal. Penulis tak nafikan bahawa ada keluarga yang menyimpan catatan salasilah leluhur keluarga mereka berabad lamanya daripada satu generasi ke generasi seterusnya terutamanya jika leluhur mereka adalah tokoh-tokoh terkemuka suatu ketika dahulu, walau bagaimanapun, catatan tersebut juga ada permulaannya (tidak sehingga manusia pertama atau Nabi Adam A.S) dan semestinya catatan tersebut perlu tertumpu pada satu jurai keturunan utama iaitu jurai sebelah bapa.

3) Keterbatasan masa dan kewangan untuk kajian. Ini juga penting kerana kajian memerlukan masa yang lama, kewangan yang banyak untuk tujuan pendokumentasian, lawatan ke arkib dan kajian lapangan. Kita memerlukan bantuan daripada saudara mara lain yang berkongsi leluhur yang sama terutamanya jika nenek moyang kita mempunyai ramai anak dan setiap anak mereka mempunyai ramai waris.

Kadang-kala, barangan yang dipusakai daripada nenek moyang kita seperti dokumen dan foto tidak semestinya berada dalam simpanan seseorang waris sahaja, barangan-barangan tersebut berselerakan disimpan oleh waris-waris yang lain. Contoh, waris keluarga anak sulung menyimpan sijil kelahiran datuknya, waris keluarga anak ketiga pula menyimpan foto arwah datuknya. Umpama “puzzle” yang berselerakan di mana-mana, perlu mencari, menyusun dan mencantumkan kembali semua kepingan “puzzle” tersebut.

Jadi, kita memerlukan masa untuk temu ramah, pergi ke setiap rumah mereka, mendapatkan keizinan dan mengkaji barangan-barangan penting tersebut. Ini semestinya memerlukan masa lapang yang banyak. Selain itu, sekiranya nenek moyang kita merupakan seorang perantau daripada negeri lain, kita perlu ke negeri atau negera tersebut bagi bertemu waris-waris lain yang berada di sana untuk tujuan penyelidikan.

Sekiranya leluhur kita seorang pegawai kerajaan atau orang penting dalam kerajaan pula, kita perlu membuat penyelidikan di arkib-arkib tertentu sekiranya rekod maklumatnya ada disimpan. Semua perlukan dana kewangan untuk pengangkutan, penginapan dan pendokumentasian. Apatahlagi jika kita mengkaji semua jurai leluhur, kajian tersebut memerlukan masa lapang yang sangat lama, dana kewangan yang sangat banyak dan kerjasama daripada semua waris serta saudara mara.

Oleh sebab itu saya katakan mustahil kita generasi pada masa kini dapat mengumpulkan semua nama leluhur kita daripada semua jurai sehingga ke Nabi Adam dan Hawa A.S. Mesti ada batasan masa dan peringkat leluhur sehingga mana kita dapat menjejak maklumat mereka daripada sumber-sumber yang berautoriti.

Lagi tinggi ke atas kita dapat jejeki, lagi hebat. Jangan lupa catat sumber dan simpan sebarang dokumen asal atau salinannya. Lebih baik buat salinan digital dokumen-dokumen atau foto-foto asli tersebut. Catatkan sumber lisan sekiranya maklumat diperoleh melalui jalan tersebut untuk kajian pada masa akan datang.

Jika tiada sebarang saudara mara kita yang belum pernah mendokumentasikan salasilah leluhur, apa kata kita yang mulakan dahulu, sementara ada generasi-generasi tua. Kajian ini bukanlah untuk menuntut takhta, kedudukan atau pangkat, tapi untuk kepuasan diri, meneladani tokoh-tokoh leluhur dan mengetahui asal usul diri.

Percayalah, pendokumentasian salasilah ini merupakan sesuatu yang sangat menarik dan boleh mendatangkan kepuasan pada diri kita, lebih-lebih lagi jika kita dapat mengetahui asal usul keturunan kita daripada sesuatu yang tidak dijangka. Sebagai contoh, saya pernah menonton dokumentari bagaimana usaha seorang warga Amerika berbangsa Afrika-Amerika yang berkulit gelap berjaya menjejak salah seorang leluhurnya yang berbangsa Cina dan berasal daripada tanah besar China.

Contoh lain ialah Perdana Menteri United Kingdom pada masa kini iaitu Boris Johnson yang berbangsa Eropah, beragama Kristian, menjejak susurgalur moyangnya yang berbangsa Turki, seorang tokoh politik, beragama Islam, bahkan seorang Hafiz al-Qur’an.

Saya ada menulis artikel berkenaan sedikit tips menjejak susurgalur dalam laman web The Patriots, bertajuk: “Ketahuilah Perihal Nenek Moyangmu!” yang ditulis pada tahun 2017 yang lalu.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Comments are closed.