Pedang yang dihayun musuh invisible bernama Covid telah tertancap di kebanyakkan badan manusia sehingga pertempuran ini telah mengorbankan banyak umat manusia. Malaysia juga tidak terkecuali daripada wabak ini sehingga Perintah Pergerakan Kawalan telah diisytiharkan untuk memutuskan rantaian pandemik ini.
Lebih sebulan seluruh rakyat Malaysia dipenjara sosial sehingga timbul pelbagai isu dan masalah yang melanda. Di sinilah pentingnya sifat sabar dalam menghadapi ujian yang sebesar ini di samping senantiasa bersyukur kerana masih berada dalam keadaan tahap hidup yang lebih baik jika mahu dibandingkan dengan negara lain.
Bahkan seharusnya kita berdoa agar dipermudahkan segala urusan melawan bencana dari Wuhan ini agar kehidupan kita kembali normal. Dalam mendepani dugaan ini, seharusnya kita mengadapatasikan sikap Nabi Ayub AS semasa baginda ditimpa ujian dan musibah.
Kata Ibnu Ishaq, Nabi Ayub berasal daripada Rom dan nama penuhnya adalah Ayub bin Mauz bin Razih bin A’ys bin Ishaq bin Ibrahim. Ini bermakna bahawa Nabi Ayub adalah daripada keturunan anak Nabi Ibrahim iaitu Nabi Ishaq AS manakala ibunya pula menurut pendapat Ibnu Asakir merupakan anak kepada Nabi Luth AS.
Ibnu Kathir dalam kitabnya “Qisas al-Anbiya” menukilkan bahawa kebanyakkan Mufassirin dan tokoh sejarawan Islam menyebut kehidupan Nabi Ayub diwarnai dengan pelbagai kekayaan. Kekayaan yang dimaksudkan itu merangkumi pelbagai kekayaan termasuklah tanaman-tanaman, haiwan ternakan, hamba sahaya dan tanah yang luas serta subur.
Ibnu Asakir menyebutkan bahawa tanah di Tsaniyah dan Huraan kesemuanya adalah milik Nabi Ayub serta baginda mempunyai ramai anak-anak dan besarnya keluarganya. Namun begitu, kekayaan Nabi Ayub menyebabkan baginda menjadi seorang yang sangat dermawan dan sangat suka membantu orang-orang miskin.
Besar sekali nikmat dan kekayaan yang diperolehi oleh Nabi Ayub namun tetap juga baginda menjadi hamba-Nya yang bersyukur dan kuat taqwanya kepada Allah. Jika dibandingkan dengan kita sekarang sangat jauh berbeza. Sedikit kekayaan namun sudah mula meninggi diri. Lebih parah lagi, ada diantara kita kenikmatan yang diperolehinya tidak disyukuri kemudian meminta-minta pula.
NABI AYUB DIUJI
Tatkala itu, kesemua nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya ditarik semula dan Nabi Ayub diuji dengan satu penyakit yang menyebabkan seluruh tubuh badannya sakit kecuali lisan dan hatinya. Kata Ibnu Kathir dalam tafsirnya bahawa Nabi Ayub diuji dengan penyakit itu sehingga tidak ada walau seorang mahu mendekatinya melainkan isterinya.
Sebegitu besar cinta seorang isteri masih setia kepada suaminya dengan menguruskan segala keperluan Nabi Ayub AS. Senang bersama dan susah juga tetap bersama. Penyakit yang dimaksudkan itu adalah penyakit cacar dan Nabi Ayub AS adalah manusia pertama yang dijangkiti cacar seperti yang diriwayatkan oleh Mujahid.
Di ketika sakit itulah dagingnya pada tubuhnya berjatuhan sehingga yang tertinggal hanyalah tulang dan sarafnya sahaja lalu isterinya yang bernama Rahmah akan sentiasa menaburkan abu sebagai alas tidurnya.
Sungguh besar dugaan Allah kepada Nabi Ayub As sehingga baginda menghadapi ujian itu bertahun lamanya. Wahab mengatakan bahawa Nabi Ayub menjalani ujian ini selama tiga tahun manakala Anas menyatakan bahawa Nabi Ayub jatuh sakit selama 7 tahun 1 bulan serta 18 tahun menurut Humaid seperti mana yang dinukilkan oleh Ibnu Kathir.
Besar ujian dan dugaan kepadanya adalah kerana Nabi Muhammad ﷺ pernah bersabda yang bermaksud:
“Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, lalu orang-orang soleh dan seterusnya.” (HR Nasa’ie)
Kekayaan Nabi Ayub yang telah terkikis lantaran musibah yang dihadapinya memaksa isterinya bekerja untuk membeli keperluan yakni makan dan minum bagi suaminya. Namun setelah itu, penduduk di sekitarnya mulai bimbang sekiranya penyakit yang menimpa Nabi Ayub tersebar melalui isterinya sehingga menyebabkan isteri baginda tidak lagi diambil orang untuk bekerja.
Atas dasar itulah, isterinya terpaksa menjual tocang rambutnya kepada anak-anak perempuan ternama untuk membeli makanan dan keperluan mereka. Ada pula sebahagian pendapat mengatakan bahawa isterinya terpaksa menjual tali pinggangnya dengan sepotong roti.
Maka apabila isterinya pulang dengan makanan, maka ditanya “Dari manakah engkau dapat makanan ini?”. Pertanyaan itu tidak dijawab sehingga bagi Nabi Ayub adalah lebih baginya untuk tidak makan selagi tidak tahu asal usul makanan yang dibawa pulang isterinya.
Apabila terbongkar bahawa isterinya menjual sesuatu (tocang atau tali pinggangnya), maka Nabi Ayub lantas berdoa ke hadrat ilahi seperti mana yang dirakamkan dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Dan (ingatlah kisah) Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Rabbnya dengan berkata: Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani. Maka Kami memperkenankan rayuannya lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami gandakan bilangan mereka sebagai rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang beribadah kepada Allah.” (Al-Anbiya: 83-84).
Ketika Allah memperkenankan doanya itu, maka Allah telah memancarkan mata air untuknya mandi sehingga hilanglah segala penderitaan pada tubuh badannya. Kemudian Allah menyuruh pula Nabi Ayub untuk menghentakkan kakinya sehingga muncul mata air yang lain lalu diminum oleh Nabi Ayub sehingga sempurna kesihatan zahir dan batinnya.
Harus diingatkan bahawa cerita-cerita seperti Nabi Ayub AS dibuang dari negerinya, dilemparkan ke tempat sampah, ulat-ulat berjatuhan dari kepalanya dan ulat-ulat itu sampai menjalar ke lidahnya adalah daripada Riwayat Israiliyyat.
Dalam masalah ini, Syeikh Ali As-Sobuni menjelaskan bahawa sifat maksum yang ada pada para nabi adalah kerana mereka tidak melakukan dosa besar, tidak melakukan perkara yang menjatuhkan maruah dan tidak menerima penyakit terlampau jijik dan hina di mata masyarakat. Oleh itu riwayat melebih-lebih yang dinukilkan daripada sumber israiliyyat adalah tidak sah menurutnya.
Bahkan Hamka juga menolaknya kerana tidak ada sandaran sanad yang kukuh di samping cerita-cerita seperti ini dibawa oleh Wahab Bin Munabbih yang lebih banyak dongengan daripada kebenaran.
Ingatlah bahawa daripada kisah ini terselit pengajaran dan ibrah buat masyarakat kini dalam mendepani virus pada tahun ini. Kesabaran Nabi Ayub As seharusnya menjadi contoh buat umat Islam.
Lihatlah kekayaan Nabi Ayub AS yang sangat besar namun tetap juga bersabar di saat hilangnya segala kekayaannya. Kita mengharapkan agar tidaklah diuji dengan kehilangan nikmat seperti itu kerana sesungguhnya wabak ini pun sudah berat bagi manusia sekaliannya.
Sabda Nabi Muhammad ﷺ yang bermaksud:
“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya akan baik, tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika dia mendapat kesenangan, maka dia bersyukur dan baik baginya. Sekiranya dia mendapat kesusahan, maka dia bersabar dan itu juga baik untuknya.” (HR. Muslim)
Ujian ini adalah untuk didepani kita dengan hati redha dan terbuka. Usahlah menunjukkan sikap tidak sabar dan enggan bersyukur kerana yang demikian adalah penanda sakitnya hati. Syukurilah nikmat yang sudah ada agar nikmat yang sedia ada dikekalkan manakala nikmat kebebasan sosial yang hilang dikembalikan. Kerana sabar dan syukur itu adalah sifat terpuji warisan para nabi.
RUJUKAN:
1.Ibnu Kathir, “Qisas al-Anbiya”. Kaherah: Dar’ Tiba’ah wa Nasyru Al-Islamiyah.1997.
2.Ibnu Kathir, “Tafsir Ibnu Kathir”.
3.Hamka, “Tafsir Al-Azhar”. Singapura:Pustaka Nasional, 1990. Jilid 6.
4. Suntiah, Ratu. (2018). Nilai-Nilai Pendidikan Dalam Kisah Nabi Ayub As., (Tafsir Q.S. Shad Ayat 41-44). Jurnal Perspektif. 2. 53. 10.15575/Jp.V2i1.22.
5.“Kisah 25 Para Nabi” , e-book.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih