Bagi guru-guru Bahasa Melayu Tingkatan 5 dan lepasan SPM sejak tahun 2016 serta calon SPM pada tahun ini (negeri Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, dan Putrajaya) pasti sudah maklum akan kisah novel Tirani. Sebelum berbicara lanjut tentang novel yang mempunyai tajuk yang simbolik ini, adalah lebih elok kiranya biodata penulis dipaparkan.
Nama penuh penulis ialah Hajah Bibi Sabariah binti Haji Abang Awet. Dalam dunia penulisan, Beb Sabariah minat menulis sejak bangku sekolah sehingga ke maktab perguruan dalam genre cerpen, puisi, esei, rencana dan kritikan karya.
Namun begitu, karya beliau hanya disiarkan di akhbar tempatan seperti Utusan Sarawak dan akhbar Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Utusan Melayu Mingguan (Jawi) serta Majalah Wanita dari sejak tahun 1999 hingga sekarang. Beliau pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Pendidikan 1996, Anugerah Penghargaan Penulis Sarawak selama tiga kali iaitu pada tahun 2001 (puisi), 2008 (cerpen), dan 2009 (cerpen) daripada Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak.
Beliau juga menyandang naib johan dalam Sayembara Menulis Cerpen sambutan 50 tahun DBP. Kerajaan Negeri Sarawak juga menganugerahkan beliau Pingat Perkhidmatan Setia pada tahun 2003.Selain itu, beliau juga pernah menerima Pingat Pangkuan Negara daripada Yang Di Pertuan Agong pada 27 Januari 2004.
Kepada pembaca artikel yang belum pernah membaca novel ini, novel Tirani berkisarkan seorang wanita yang bernama Waheeda Nurlyana yang digambarkan sebagai seorang wanita yang tabah dan cekal dalam mengharungi setiap kemelut dalam hidupnya.
Secara ringkasnya. Akibat kecederaan yang parah kerana diserang oleh Monyet Belanda, Waheeda menjalani pembedahan muka untuk merekonstruksi wajahnya semula. Sebenarnya, sebelum kejadian tersebut, Waheeda pernah meluahkan hasratnya ingin membuat pembedahan plastik lantaran wajahnya yang tidak cantik. Hasratnya itu tidak dipersetujui oleh keluarganya kerana perbuatan itu bertentangan dengan hukum syarak dan konvensi agama.
Selepas menjalani pembedahan, Waheeda menjadi seorang wanita yang jelita sehingga dia memenangi Pertandingan Ratu Pelancongan Antarabangsa. Kejelitaannya telah menambat hati Zahid. Mereka melangsungkan perkahwinan tetapi pembedahan plastik wajahnya dirahsiakan daripada pengetahuan Zahid.
Perkara inilah yang menjadi duri dalam daging rumah tangga mereka. Zahid digambarkan sebagai seorang suami yang kuat cemburu, suka prasangka, dan panas baran. Dia selalu berfikiran buruk terhadap hubungan Waheeda dengan rakan-rakan sekerja. Kemuncak cemburunya adalah apabila Waheeda melahirkan anak perempuan mereka. Fizikal anak mereka itu tidak menyamai dia ataupun Waheeda.
Cemburu dan prasangka yang membuak-buak menyebabkan dia hilang kewarasan dan tidak membuat pertimbangan yang baik. Dia meninggalkan dan menceraikan Waheeda dengan tuduhan curang terhadapnya. Waheeda yang terlalu mencintai suaminya itu mengalami kemurungan dan meroyan. Dia menjalani rawatan di Pusat Perubatan Islam Pusrawi. Di sana dia bertemu semula dengan Lais, bekas rakan sekerja di Singapura.
Bapa saudara Lais, Pak Cik Aziz mengalami strok setelah hamper diisytihar muflis akibat pengkhianatan pekerja chaletnya di Cameron Highland. Waheeda bersetuju mengambil alih Chalet Iwana-Iwani dan dinamakan semula sebagai Chalet Aya-Sajidah. Dipendekkan cerita, selepas anak perempuannya yang bernama Izzati dewasa, mereka dipertemukan dengan Zahid yang sudah tempang serta tidak berupaya lagi akibat kemalangan.
Pertemuan tersebut menyebabkan Zahid amat sukar melelapkan mata. Ingatannya terpaku kepada gadis di cafe tadi, yang benar-benar menggugat fikirannya.Senyuman, wajah, bulu matanya, lekuk pada dagu, dan lesung pipit,pada wajah gadis itu seolah-olah entiti dirinya.dan gerak- geri gadis itu mengingatkannya kepada seseorang yang pernah disayanginya.
Zahid amat menyesali dirinya yang enggan melihat laporan DNA dulu sekurang-kurangnya dia akan pasti anak itu anaknya atau bukan.Zahid memohon agar Allah memberi petunjuk kepadanya. Pada pagi esoknya Zahid muncul awal di Restoran Iwana.Harapannya akan dapat melihat wajah Izzati dengan lebih dekat lagi.
Akhirnya pertemuan Zahid dengan Izzati mengungkapan rasa kesal, sedih, dan reda kerana gadis yang dilihatnya dalam tiga hari itu ialah anaknya yang selama ini dirinduinya. Zahid juga ingin menemui Waheeda untuk meluahkan perasaan rindu, kesal dan bersalah akibat tindakannya mengabaikan dan meninggalkan Waheeda dan Izzati selama 20 tahun.
Pertemuan Zahid dan Waheeda pada petang itu dalam suasana marah, kesal, sedih dan sayu seolah-olah Waheeda tidak mahu memaafkannya. Namun Waheeda berasa amat bertuah kerana Allah telah mengurniakan seorang anak yang sangat mulia jiwanya dan meminta ibunya memaafkan ayahnya. Pengakhiran novel ini meninggalkan tanda tanya kepada pembaca sama ada Waheeda mahu memaafkan Zahid atau tidak.
Sebagai salah satu naskhah novel yang digunakan untuk pengajaran KOMSAS BM, maka hanya sikap positif watak utama yang dibincangkan. Seperti biasa, sikapsikap negatif watak sampingan sahaja yang dibincangkan sebagai pengajaran.
Dalam pengajaran, Waheeda digambarkan sebagai seorang baik hati, bijak, berpandangan jauh, tabah, cekap, bertanggungjawab, taat kepada suami dan ibu bapanya, rasional, dan penyayang.
Banyak buku kajian tentang novel ini namun tidak ada yang membincangkan pokok pangkal permasalahan krisis rumah tangganya adalah daripada sikap Waheeda yang melakukan pembohongan. Namun, seperti yang disebut pada awal perenggan ini tadi, antara tujuan pengajaran KOMSAS adalah untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar. Jadi, kelemahan watak utama biasanya tidak dibincangkan.
Keunikan novel ini terletak pada tajuknya iaitu ‘Tirani’. Bagi sesiapa yang membaca novel ini pada kali pertama [asti tertanya-tanya siapakah Tirani? (Bunyinya seperti nama seorang wanita). Apakah Tirani? Bacalah dari awal hingga akhir novel ini, anda tidak akan menemui tirani. Pelajar-pelajar tingkatan lima yang mengkaji novel ini juga biasanya tercari-cari tentang tirani.
Menurut Kamus Dewan edisi keempat, tirani bermaksud corak pemerintahan yang zalim (oleh pemimpin negara, puak dan lain-lain) yang menggunakan kekuasaan sesuka hati. Corak pemerintahan yang zalim? Pemimpin negara? Puak? Kekuasaan sesuka hati? Sukar untuk terbayang di minda anak-anak muda 17 tahun letak duduk ‘tirani’ dalam kisah Waheeda.
Untuk menemui tirani, pembaca perlulah memahami intipati watak utama itu sendiri. Waheeda dengan sikap terlalu ingin cantik atau lebih mudah jika dikatakan obses akan kecantikan.
Keobsesan itu membawa kepada satu pembohongan. Pembohongan yang dilakukan oleh Waheeda itu merupakan satu sisi gelap dirinya walaupun pembohongan tersebut berdasarkan rasa takut akan ditinggalkan oleh suaminya jika suaminya mengetahui bahawa dirinya pernah menjalani pembedahan plastik.
Dia terlalu cinta akan suaminya. Dia tidak mahu suaminya mengetahui rupa asalnya yang pada tanggapannya hodoh. Zahid jatuh cinta terhadapnya adalah disebabkan oleh kecantikannya, selain daripada sikapnya. Keobsesannya menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan suaminya telah memakan dirinya sendiri.
Dia terlupa bahawa pembedahan plastik hanya mengubah fizikalnya, rupa luarannya sahaja tetapi tidak mengubah DNA. Dia tidak pernah memikirkan kebarangkalian sifat fizikal anaknya yang bakal dilahirkan. Disebabkan kesilapannya itu, dia hampir gila.
Penulis menyampaikan mesej utama novel ini melalui tajuk. Jalan cerita cuma huraiannya. Penulis ingin menyampaikan mesej ‘tirani’ ini bukan sahaja kepada wanita yang obses akan kecantikan tetapi juga kepada lelaki yang memuja kecantikan.
Penulis menyifatkan kecantikan itu sebagai satu tirani. Jika manusia tidak mampu mengawal keobsesan terhadap kecantikan maka kecantikan itu akan menjadi satu corak pemerintahan yang menzalimi kehidupan. Hal ini dapat dilihat dengan jelas jika kita memandang dengan mata halus terhadap Waheeda yang menjadi mangsa kuasa tirani yang ada pada kecantikan yang diciptanya melalui proses pembedahan apabila gagal menikmati kebahagiaan sejati dalam perkahwinannya yang juga singkat usianya.
Dalam kehidupan realiti, menjadi cantik, dipandang cantik, dan memiliki rasa ingin cantik itu tidak salah. Namun, kita seharusnya tidak obses pada naluri itu. Kecantikan yang kita inginkan atau yang kita miliki tidak seharusnya memusnahkan diri dan kehidupan kita. Terlalu memuja kecantikan hanya akan memberikan satu sudut kebahagiaan dalam diri kita manakala sudut-sudut selebihnya mengandungi pelbagai cabaran yang boleh meranapkan kita sebelum mematangkan kita.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih