Amerika Syarikat adalah satu-satunya kuasa hegemoni serantau [1] dalam sejarah moden. Lima kuasa dunia yang lain— Napoleon Perancis, Wilhelmine Jerman, Imperial Jepun, Nazi Jerman, dan Kesatuan Soviet — melakukan percubaan serius untuk menguasai rantau masing-masing, tetapi semuanya gagal.

Amerika Syarikat tidak mendominasi Hemisfera Barat dengan tidak sedar. Sebaliknya, Bapa Pengasas Amerika dan pengganti mereka secara sedar dan sengaja berusaha untuk mencapai hegemoni di benua Amerika.

Apabila Amerika Syarikat akhirnya memperolehi kemerdekaannya daripada Britain pada tahun 1783, ia adalah sebuah negara yang agak lemah yang mana rakyatnya sebahagian besarnya terkurung di pesisir Atlantik. Empayar British dan Sepanyol mengepung negara baru ini, dan puak-puak Orang Asli Amerika yang bermusuhan mengawal kebanyakan wilayah antara Pergunungan Appalachian dan Sungai Mississippi. Ia sudah pastinya adalah kawasan kejiranan yang berbahaya.

Sepanjang tempoh tujuh dekad yang akan datang, rakyat Amerika telah bertindak balas terhadap situasi yang berbahaya ini dengan merentasi benua mereka ke Lautan Pasifik, dan dalam proses tersebut, mereka telah mewujudkan sebuah negara yang besar dan berkuasa.

Untuk merealisasikan Masa Depan Tersurat (Manifest Destiny) mereka, rakyat Amerika telah membunuh sejumlah besar penduduk asli Amerika dan mencuri tanah mereka, membeli Florida daripada Sepanyol (1819) dan apa yang sekarang ini menjadi pusat Amerika Syarikat daripada Perancis (1803).

Peta pemerolehan wilayah oleh Amerika Syarikat
Sumber: https://www.nationalgeographic.org/photo/territorial-gains/

Amerika mengilhakkan Texas pada tahun 1845 dan kemudian berperang dengan Mexico pada tahun 1846, mereka mengambil daripada musuh yang dikalahkan apa yang pada hari ini merupakan wilayah barat daya Amerika. AS kemudiannya membuat perjanjian dengan Britain untuk mendapatkan Pasifik barat laut pada 1846 dan akhirnya pada tahun 1853, Amerika memperolehi wilayah tambahan daripada Mexico dengan Gadsden Purchase.

Amerika Syarikat juga pernah pertimbangkan untuk menakluki Kanada sepanjang abad ke-19. Amerika sudah tentunya menyerang Kanada pada tahun 1812 dengan matlamat itu. Beberapa pulau di perairan Caribbean mungkin akan menjadi sebahagian daripada Amerika Syarikat sekiranya tidak kerana hakikat bahawa, banyak hamba berada di kawasan itu dan negeri-negeri utara tidak mahu lebih banyak negeri perusahaan hamba masuk ke dalam Union.

Hakikat yang nyatanya adalah bahawa pada abad ke-19, Amerika Syarikat yang dikatakan sebuah negara pencinta kedamaian telah mengumpul rekod pembesaran wilayah yang hanya ada sedikit persamaan dalam sejarah yang direkodkan.

Tidak menghairankan bahawa Adolf Hitler sering merujuk perluasan wilayah ke arah barat oleh Amerika sebagai model selepas Jerman menyerang Kesatuan Soviet pada bulan Jun 1941. “Di sini di Timur,” kata Hitler, “proses yang sama akan berulang sendiri untuk kali kedua seperti penaklukan Amerika.”[2]

Terdapat tugas lain yang perlu dilakukan Amerika untuk mencapai hegemoni serantau: iaitu menolak kuasa dunia Eropah keluar daripada Hemisfera Barat dan memastikan mereka tidak kembali. Matlamat ini semuanya adalah apa yang dimaksudkan dengan Doktrin Monroe.

Amerika Syarikat tidak cukup kuat untuk bertindak berdasarkan prinsip tersebut ketika Presiden James Monroe menyatakannya pada tahun 1823; tetapi menjelang akhir abad ke-19, kuasa dunia Eropah telah menjadi pemain-pemain kecil di benua Amerika. Amerika Syarikat telah mencapai hegemoni serantau, yang menjadikannya sebuah kuasa dunia yang sangat selamat.

Kerja sebuah kuasa dunia tidak selesai apabila ia mencapai hegemoni serantau. Ia kemudiannya mesti memastikan bahawa tidak ada kuasa dunia yang lain mengikuti jejak langkahnya dan menguasai rantaunya sendiri.

Pada abad ke-20, empat negara mempunyai keupayaan untuk berusaha mencapai hegemoni serantau: Wilhelmine Jerman (1890-1918), Imperial Jepun (1937-45), Nazi Jerman (1933-45), dan Kesatuan Soviet (1945-90). Tidaklah menghairankan, setiap daripada negara-negara tersebut cuba untuk menyamai apa yang telah dicapai oleh Amerika Syarikat di Hemisfera Barat pada abad yang sebelumnya.

Bagaimanakah Amerika Syarikat bertindak balas? Dalam setiap kes di atas, Amerika memainkan peranan penting dalam mengalahkan dan menghapuskan setiap negara hegemoni yang bercita-cita tinggi tersebut.

4 negara yang telah dihapuskan Amerika Syarikat pada abad ke-20, iaitu Wilhelmine Jerman (1890-1918), Imperial Jepun (1937-45), Nazi Jerman (1933-45), dan Kesatuan Soviet (1945-90).

Amerika Syarikat memasuki Perang Dunia Pertama pada bulan April 1917, ketika perang tersebut kelihatannya seperti Wilhelmine Jerman mungkin memenanginya dan memerintah Eropah. Tentera Amerika memainkan peranan penting dalam mengalihkan hala tuju peperangan daripada dimenangi oleh Kaiserreich (Imperial Jerman) yang runtuh pada bulan November 1918.

Pada awal 1940-an, Presiden Roosevelt berusaha keras untuk menggerakkan Amerika Syarikat ke dalam Perang Dunia Kedua untuk menghalang cita-cita Jepun di Asia dan cita-cita Jerman di Eropah terutamanya. Selepas memasuki Perang Dunia Kedua pada bulan Disember 1941, Amerika Syarikat membantu untuk menghancurkan kedua-dua kuasa Paksi.

Sejak tahun 1945, pembuat dasar Amerika telah bersusah payah untuk mengehadkan keupayaan ketenteraan Jerman dan Jepun. Yang terakhirnya, Amerika Syarikat telah berusaha keras untuk menghalang Kesatuan Soviet daripada mendominasi Eurasia semasa Perang Dingin, dan kemudian membantu meletakkannya ke dalam timbunan sampah sejarah antara tahun 1989 dan 1991.

Tidak lama selepas Perang Dingin berakhir, pentadbiran George HW Bush dengan berani menyatakan dalam “Defense Guidance” yang terkenal pada tahun 1992 yang telah dibocorkan kepada akhbar, bahawa Amerika Syarikat kini adalah adikuasa tunggal di dunia dan merancang untuk tetap berada di kedudukan yang tinggi tersebut.[3] Dengan kata lain, pembuat dasar Amerika tidak akan bertolak ansur dengan kemunculan negara pesaing setaraf yang baru.

Mesej yang sama itu diulang dalam Strategi Keselamatan Nasional yang sama masyhurnya yang dikeluarkan oleh pentadbiran George W. Bush pada bulan September 2002.[4]

Terdapat banyak kritikan terhadap dokumen itu, terutamanya terhadap dakwaan dokumen tersebut mengenai nilai “perang pencegahan.” Tetapi hampir tidak ada kata-kata protes yang dibangkitkan mengenai penegasan bahawa Amerika Syarikat perlu memantau negara yang semakin berkuasa dan mengekalkan kedudukannya dalam imbangan kuasa global.

Hujah utamanya adalah, bahawa Amerika Syarikat telah bekerja keras selama lebih daripada satu abad untuk mendapatkan status hegemoni di Hemisfera Barat, dan Amerika melakukannya untuk alasan strategik yang masuk akal. Setelah mencapai dominasi serantau, Amerika Syarikat telah bekerja sama kerasnya untuk mengawasi kuasa dunia yang lain daripada mengawal sama ada wilayah Asia atau Eropah.

Nota kaki

[1] nota penterjemah: Dalam hubungan antarabangsa, hegemoni serantau adalah hegemoni (dominasi dari sudut politik, ekonomi, atau ketenteraan, kawalan atau pengaruh) oleh sebuah negara yang berkuasa terhadap negara-negara jirannya yang lain. Sebagai contoh, Amerika Syarikat adalah kuasa dominan di Hemisfera Barat berbanding negara jirannya yang lain seperti Kanada dan Mexico.

[2] Dipetik daripada Adam Tooze, The Wages of Destruction: The Making and Breaking of the Nazi Economy (New York: Penguin, 2008), ms 469

[3] Barton Gellman, “Keeping the U.S. First; Pentagon Would Preclude a Rival Superpower,” Washington Post, March 11, 1992.

[4] George W. Bush, The National Security Strategy of the United States of America (Washington, DC: White House, September 2002).

……..

Terjemahan: Muaz Malik

SUMBER: The Tragedy of Great Power Politics (edisi kemaskini 2014)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pelajar agama yang (entah macam mana) minat hubungan antarabangsa. Buat terjemahan berkaitan subjek IR sebagai hobi masa lapang.

Comments are closed.