A-B-C-D-E-F-G… Urutan abjad yang masyhur ini dikenali hampir di seluruh dunia. Sejarah urutan abjad ini boleh dijejak kembali pada kurun ke-16SM, di mana asasnya dicipta oleh sekumpulan kecil pedagang yang dikenali sebagai masyarakat Phoenicia. Mereka menyusun satu sistem yang terdiri daripada 22 huruf konsonan. Sistem susunan ini kemudiannya menjadi alfabet yang tidak hanya digunakan oleh penutur bahasa Inggeris, akan tetapi oleh penutur kebanyakan bahasa di dunia.

Masyarakat Phoenicia menetap di sepanjang pantai Mediterranean, sekitar Lebanon moden. Mereka menghuni sejumlah negara kota yang berbeza. Antara yang paling masyhur adalah Tyre, Byblos, dan Sidon. Tempat-tempat yang dihuni oleh masyarakat Phoenicia ini lazim berkonflik antara satu sama lain lantaran berebutkan kekuasaan di rantau itu.

Disebabkan kurangnya hubungan kerjasama, maka masyarakat Phoenicia pun ditakluk dan dipaksa membayar ufti kepada hampir setiap empayar di rantau itu, termasuklah Mesir, Hittite, Assyria, Babylonia, Parsi dan Yunani.

Peta Phoenicia


MENCIPTA ALFABET

Semasa masyarakat Phoenicia mencipta alfabet baru, mereka terlebih dahulu menggunakan simbol-simbol yang telah lama digunakan oleh masyarakat penutur bahasa Semitik dari Kan’an dan Mesopotamia. Seawal tahun 3000SM, masyarakat Sumeria dan Mesir sudah pun mencipta sistem tulisan berdasarkan simbol. Tulisan-tulisan awal ini secara umumnya digunakan oleh para pedagang untuk mencatatkan kontrak, resit dan senarai barang.

Namun, para pedagang Phoenicia menginginkan suatu sistem tulisan yang tidak begitu sukar untuk dipelajari dan pantas serta mudah untuk digunakan. Malangnya, sistem tulisan Mesir dan Sumeria tidak memenuhi kriteria ini. Mereka menggunakan ratusan simbol rumit yang berbeza-beza untuk mewakili sesuatu idea (ideogram) dan bunyi sukukata (fonogram).

Alfabet masyarakat Phoenicia


Masyarakat Phoenicia menyedari bahawa kebanyakan perkataan terdiri daripada hanya sejumlah kecil bunyi ringkas. Mereka mendapati bunyi-bunyi ini boleh diwakili dalam hanya 22 simbol dengan pelbagai kombinasi. Dalam alfabet yang baru mereka cipta ini, masyarakat Phoenicia menggunakan simbol atau abjad hanya untuk huruf konsonan, walaupun bahasa pertuturan mereka turut mengandungi bunyi-bunyi vokal. Alfabet Ibrani dan Arab, yang secara langsung dipengaruhi oleh alfabet Yunani, juga masih tidak mengandungi simbol untuk huruf vokal.

Masyarakat Phoenica menyebarkan alfabet mereka ini menerusi rangkaian perdagangan mereka yang luas, yang terbentang di seluruh rantau Mediterranean. Yunani adalah antara yang mengambilnya, dan menjelang kurun ke-8SM, mereka menambahkan huruf-huruf vokal. Kemudian, bangsa Rom juga menggunakan alfabet versi yang sama ini di mana ia agak mirip dengan versi yang digunakan pada hari ini.

BERDAGANG DI LAUTAN TINGGI

Masyarakat Phoenicia merupakan pedagang terhebat di zaman purba pada tempoh 1000SM hingga 600SM. Mereka merupakan pelaut dan pembina kapal yang mahir. Mereka membina kapal-kapal layar yang kuat lagi laju untuk mengangkut barang dagangan mereka. Masyarakat Phoenicia turut mengetahui cara navigasi dan cara memanfaatkan Bintang utara untuk berlayar pada waktu malam. Terdapat kemungkinan bahawa mereka pernah berlayar sejauh Britain dan pantai selatan Afrika.

Peta Phoenicia dan laluan perdagangannya di Mediterranean

Untuk memerangi lanun-lanun yang sering mengganggu kapal-kapal dagang, masyarakat Phoenicia mereka-cipta kapal perang khusus untuk mengiringi kapal-kapal dagang mereka. Dalam kapal perang tersebut, para pendayung akan menolat alat perempuh yang tajam di hadapan kapal untuk menghentam kapal musuh sehingga mengakibatkannya berlubang dan seterusnya karam.

Untuk mengembangkan lagi rangkaian perdagangan mereka, masyarakat Phoenicia turut membina sejumlah pos yang kelak membangun menjadi kota-kota besar. Antara pos perdagangan yang paling masyhur adalah Carthage (terletak di Tunisia moden). Carthage kemudiannya membangun sehingga cukup kaya dan kuat untuk mencabar kekuasaan Republik Rom.

Pedagang-pedagang Phoenicia lazim bertindak selaku orang tengah bagi penduduk di wilayah-wilayah jiran. Mereka mengangkut kain linen dan papyrus dari Mesir, tembaga dari Cyprus, kain bersulam dari Mesopotamia, rempah-ratus dari Arab, gading gajah, emas dan hamba sahaya dari Afrika, menuju ke destinasi-destinasi perdagangan yang terletak di seluruh Mediterranean.

Kapal Phoenicia yang diukir pada sebuah sarcophagus

Masyarakat Phoenicia juga mempunyai sumber-sumber berharga dan artisan-artisan yang berkemahiran tinggi. Daripada cengkering kecil yang bernama murex, mereka menghasilkan pewarna ungu yang sangat berharga.

Pewarna ini lazim dikenakan pada pakaian berbulu, yang tidak hanya bernilai tinggi pada kecantikannya, akan tetapi pada kosnya yang amat mahal. Dicatatkan sebanyak 60 000 murex diperlukan untuk menghasilkan satu paun pewarna. Pewarna ungu ini kemudiannya diekslusifkan sebagai warna diraja dan hanya dipakai oleh maharaja-maharaja Rom.

Artisan-artisan Phoenicia yang berkemahiran tinggi turut mengeluarkan produk kaca, tembikar, tekstil, hasil pertukangan kayu dan barangan logam yang indah. Barangan ini meraih permintaan daripada masyarakat di seluruh dunia pada zaman purba. Raja Sulaiman dari Israel dipercayai pernah menggunakan khidmat artisan dan sumber dari Phoenicia untuk membina Kuil Ibrani.

Menjelang tahun 572SM, masyarakat Phoenicia mengalami kejatuhan semasa era pemerintahan Assyria. Mereka masih lagi meneruskan aktiviti perdagangan seperti biasa. Namun kali ini, mereka menghadapi persaingan hebat dari Greece dalam berebutkan hegemoni ke atas laluan perdagangan.

Malah, menjelang kurun ke-4SM, dua buah kota Phoenicia yang paling penting, iaitu Sidon dan Tyre habis hancur dimusnahkan oleh tentera Parsi dan Alexander Agung. Ramai masyarakat Phoenicia meninggalkan pantai Mediterranean dan berpindah ke pos-pos perdagangan mereka. Lantas, masyarakat Phoenicia bersama identiti mereka berasimilasi ke dalam budaya-budaya lain.

TERJEMAHAN:

Ancient Origins. (13 Oktober 2016). Phoenicians: Creating what is now known as the Alphabet.
https://www.ancient-origins.net/history/phoenicians-creating-what-now-known-alphabet-006807


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.