China masih jauh daripada tahap di mana ia mempunyai keupayaan ketenteraan untuk melakukan hegemoni serantau. Ini bukanlah untuk menafikan adanya sebab-sebab untuk bimbang tentang konflik yang berpotensi untuk berlaku pada hari ini berhubung isu-isu seperti Taiwan dan Laut China Selatan; tetapi itu adalah isu lain.[1]
Amerika Syarikat jelas mempunyai kepentingan yang mendalam untuk memastikan bahawa China tidak menjadi hegemoni serantau. Sudah tentu, ini membawa kepada persoalan yang penting: apakah strategi terbaik Amerika untuk menghalang China daripada menguasai Asia?
Strategi yang optimum untuk menangani kebangkitan China adalah pembendungan (containment). Strategi ini menyeru supaya Amerika Syarikat menumpukan perhatian untuk menghalang Beijing daripada menggunakan kuasa ketenteraannya untuk menakluki wilayah dan lebih umumnya lagi mengembangkan pengaruhnya di Asia. Untuk mencapai matlamat tersebut, pembuat dasar Amerika akan berusaha untuk membentuk koalisi pengimbangan kuasa dengan seberapa banyak negara yang mungkin daripada jiran-jiran China.
Matlamat utamanya adalah untuk membina struktur perikatan yang lebih kurang seperti NATO, yang merupakan sebuah instrumen yang sangat berkesan untuk membendung Kesatuan Soviet semasa Perang Dingin. Amerika Syarikat juga akan berusaha untuk mengekalkan penguasaannya terhadap lautan di dunia, sehingga membuatkan China sukar untuk memprojeksikan kuasanya dengan baik ke kawasan yang jauh seperti Teluk Parsi dan khususnya, Hemisfera Barat.
Pembendungan pada dasarnya adalah strategi defensif, kerana strategi ini tidak mencadangkan untuk memulakan peperangan melawan China. Hakikatnya, strategi pembendungan adalah alternatif kepada peperangan terhadap China yang semakin berkuasa. Walau bagaimanapun, peperangan sentiasa menjadi suatu kemungkinan.
Tidak ada sebab untuk Amerika Syarikat tidak boleh mengadakan hubungan ekonomi yang sebenar dengan China dalam masa yang sama ia melaksanakan strategi pembendungan. Lagipun, Britain, Perancis, dan Rusia telah melakukan perdagangan secara meluas dengan Wilhelmine Jerman dalam tempoh dua dekad sebelum Perang Dunia Pertama, walaupun ketiga-tiga negara tersebut juga telah membuat Triple Entente untuk tujuan membendung Jerman.
Walau bagaimanapun, mungkin akan ada beberapa sekatan ke atas perdagangan untuk tujuan keselamatan nasional. Secara umumnya, China dan Amerika Syarikat boleh bekerjasama dalam pelbagai isu dalam konteks satu strategi pembendungan, tetapi pada dasarnya, hubungan antara kedua-dua negara tersebut akan kompetatif.
Memandangkan sejarahnya yang kaya sebagai kuasa pengimbang luar pesisir (offshore balancer), strategi yang ideal untuk Amerika Syarikat adalah untuk kekal disebalik tabir semampu yang mungkin dan membiarkan negara-negara jiran China menanggung kebanyakan beban untuk membendung China. Pada dasarnya, Amerika akan menolak tanggungjawab untuk melakukan pembendungan kepada negara-negara yang terletak di Asia yang takut kepada China.
Tetapi perkara itu tidak akan berlaku kerana dua sebab. Yang paling penting, negara-negara jiran China sendiri tidak akan cukup kuat untuk memantau China. Oleh itu, Amerika Syarikat tidak akan mempunyai banyak pilihan tetapi untuk mengepalai usaha bagi melawan China dan memfokuskan kebanyakan kuasanya yang menggerunkan untuk matlamat tersebut. Selain itu, jarak yang jauh memisahkan banyak negara di Asia yang akan menjadi sebahagian daripada koalisi pengimbangan kuasa terhadap China–fikirkan situasi India, Jepun, dan Vietnam. Oleh itu, Washington akan diperlukan untuk menyelaraskan usaha-usaha mereka dan membentuk sistem perikatan yang berkesan.
Sudah tentu, Amerika Syarikat berada dalam keadaan yang sama seperti semasa Perang Dingin, apabila ia tidak mempunyai pilihan selain untuk menanggung beban bagi membendung Kesatuan Soviet di Eropah serta di Timur Laut Asia. Pada asasnya, kuasa pengimbang luar pesisir mesti datang ke sesebuah wilayah (onshore) apabila negara-negara serantau di wilayah tersebut tidak dapat membendung dengan sendiri kuasa yang berpotensi untuk menjadi hegemoni.
Terdapat tiga strategi alternatif kepada pembendungan. Dua strategi pertama bermatlamatkan untuk mencegah kebangkitan China sama ada dengan melancarkan perang pencegahan (preventive war) atau dengan mengejar dasar-dasar yang bertujuan untuk memperlahankan pertumbuhan ekonomi China. Walau bagaimanapun, kedua-dua strategi tersebut tidak praktikal untuk Amerika Syarikat. Alternatif yang ketiga, iaitu strategi gulung balik (rollback) adalah strategi yang boleh dilaksanakan, tetapi hasilnya adalah minima.
Perang pencegahan adalah pilihan yang tidak praktikal semata-mata kerana China mempunyai pencegah nuklear. Amerika Syarikat tidak akan melancarkan serangan yang akan mengakibatkan kemusnahan terhadap tanah air sesebuah negara yang boleh menyerang balas terhadapnya atau sekutunya dengan senjata nuklear. Walaupun jika China tidak mempunyai senjata nuklear, ia masih sukar untuk dibayangkan mana-mana presiden Amerika melancarkan perang pencegahan.[2]
Amerika Syarikat pastinya tidak akan menyerang China yang mempunyai tentera darat yang besar; dan melumpuhkan China dengan serangan udara besar-besaran pastinya akan memerlukan penggunaan senjata nuklear. Meminjamkan ungkapan daripada era Perang Dingin yang menangkap bagaimanakah Tentera Udara AS mahu menangani Kesatuan Soviet sekiranya berlaku peperangan sebenar, itu adalah bermaksud menukarkan China menjadi “runtuhan beradiasi yang berasap.”[3]
Luruhan nuklear yang berakibat daripada serangan seperti itu sahaja sudah menjadikannya strategi yang langsung tidak boleh jalan. Tambahan pula, sukar untuk mengetahui dengan pasti sama ada China akan terus bangkit dengan pesat, dan dengan itu adakah ia akhirnya akan menjadi ancaman untuk menguasai Asia. Ketidakpastian mengenai masa depan tersebut juga menjadikan perang pencegahan tidak praktikal.
Melambatkan pertumbuhan ekonomi China pastinya pilihan yang lebih menarik berbanding perang nuklear, tetapi strategi itu juga tidak dapat dilaksanakan. Masalah utamanya ialah tidak ada cara yang praktikal untuk memperlahankan ekonomi China tanpa merosakkan ekonomi Amerika.
Ada orang mungkin berpendapat bahawa ekonomi China akan mengalami kerosakan yang lebih besar, dengan itu ia meningkatkan kedudukan kuasa relatif Amerika berbanding China yang ekonominya menjadi semakin perlahan pada masa yang sama. Tetapi itu mungkin berlaku hanya jika Amerika Syarikat boleh mencari rakan perdagangan yang baru sementara China tidak dapat. Kedua-dua syarat tersebut adalah perlu.[4]
Malangnya, banyak negara di seluruh dunia sangat berminat untuk meningkatkan hubungan ekonomi mereka dengan China, dan dengan demikian mengisi kekosongan yang dicipta oleh usaha Washington untuk mengurangkan perdagangan dan pelaburannya di China. Sebagai contoh, negara-negara di Eropah yang tidak akan diancam oleh China, akan menjadi calon utama untuk mengambil tempat Amerika dan terus mendorong pertumbuhan ekonomi China.[5] Ringkasnya, disebabkan China tidak boleh diisolasikan secara ekonomi, Amerika Syarikat tidak dapat melambatkan pertumbuhan ekonomi China dalam erti kata yang sebenar.[6]
Britain sebenarnya menghadapi masalah yang serupa dengan Jerman yang semakin berkuasa sebelum Perang Dunia Pertama. Ia adalah diakui secara meluas dalam kerajaan British bahawa ekonomi Jerman berkembang pada kadar yang lebih pesat berbanding Britain, yang bermaksud imbangan kuasa antara kedua-dua negara tersebut beralih memihak kepada Jerman.
Berlaku perdebatan sengit sama ada Britain patut berusaha melambatkan pertumbuhan ekonomi Jerman dengan mengurangkan secara maksimum hubungan ekonomi antara kedua negara. Pembuat dasar British menyimpulkan bahawa dasar ini akan menyakiti ekonomi Britain lebih daripada Jerman, sebahagian besarnya adalah kerana Jerman boleh beralih kepada negara lain yang akan mengambil eksportnya yang dihantar ke Britain, serta juga menyediakan kebanyakan import Jerman yang diterima dari Britain. Pada masa yang sama, ekonomi British akan sangat terkesan teruk akibat daripada kehilangan import dari Jerman, import yang mana akan sukar untuk digantikan. Jadi, Britain terus berdagang dengan Jerman–walaupun Jerman memperolehi kuasa dengan tindakan Britain yang terus berdagang dengannya–semata-mata kerana ia adalah alternatif yang paling kurang keburukannya untuk Britain.[7]
Strategi alternatif ketiga untuk pembendungan adalah strategi gulung balik (rollback), di mana Amerika Syarikat akan berusaha untuk melemahkan China dengan menggulingkan rejim yang mesra dengan Beijing dan mungkin bahkan menimbulkan pergolakan di dalam negara China.[8]
Sebagai contoh, jika Pakistan benar-benar berada dalam kem China, yang mana ia adalah sesuatu perkara yang pasti mungkin pada masa akan datang, Washington boleh berusaha untuk membawa perubahan rejim di Islamabad dan membantu meletakkan pemimpin yang pro-Amerika di sana. Atau Amerika Syarikat mungkin cuba membangkitkan kerusuhan di dalam China dengan menyokong kelompok pemisah di Xinjiang atau Tibet.
Walaupun Amerika Syarikat mengejar strategi terutamanya pembendungan terhadap Kesatuan Soviet dalam Perang Dingin, kita sekarang tahu bahawa Amerika juga terlibat dalam unsur-unsur strategi gulung balik.[9] Amerika bukan sahaja cuba untuk menimbulkan kekacauan di dalam Kesatuan Soviet pada akhir 1940-an dan awal 1950-an, tetapi ia juga cuba menggulingkan banyak pemimpin kerajaan di seluruh dunia yang dianggap pro-Soviet.
Washington hakikatnya melancarkan beberapa operasi rahsia yang mensasarkan China secara langsung pada tahun 1950-an dan 1960-an.[10] Usaha-usaha untuk strategi gulung balik ini hanya memberikan sedikit kesan terhadap imbangan kuasa antara kedua-dua adikuasa, dan tidak banyak mempercepatkan kehancuran Kesatuan Soviet.
Namun, para pemimpin Amerika masih tetap mengejar strategi gulung balik ini di mana dan bila yang mereka boleh, dan hanya ada sedikit alasan untuk berfikir bahawa pembuat dasar di Washington pada masa hadapan akan menghindari dasar ini terhadap China yang berkuasa. Walau bagaimanapun, pembendungan akan menjadi strategi Amerika yang paling berkesan setakat ini.
Terdapat kemungkinan kecil bahawa China akhirnya akan menjadi sangat berkuasa sehinggakan, walaupun jika tentera Amerika tetap dihantar ke Asia untuk diatur gerakkan, ia masih tidak akan dapat membendung dan menghalang China daripada menguasai wilayah tersebut. China suatu hari nanti mungkin mempunyai lebih banyak kuasa terpendam berbanding mana-mana empat negara yang berpotensi menjadi hegemoni yang telah dihadapi oleh Amerika Syarikat pada abad ke-20.
Dari segi saiz penduduk dan jumlah kekayaan yang merupakan unsur binaan kepada kuasa ketenteraan, tidak ada satu pun daripada Wilhelmine Jerman, Imperial Jepun, Nazi Jerman, mahupun Kesatuan Soviet yang hampir untuk menandingi Amerika Syarikat. Memandangkan China kini mempunyai rakyat yang empat kali ganda lebih ramai berbanding Amerika Syarikat dan populasinya diunjurkan mempunyai lebih daripada tiga kali ganda ramai pada tahun 2050, Beijing akan menikmati kelebihan yang ketara dari sudut kuasa terpendam jika ia mempunyai PNK (pendapatan negara kasar) per kapita yang bersamaan dengan sama ada Hong Kong atau Korea Selatan.[11]
Semua kuasa terpendam itu akan membolehkan China memperolehi kelebihan yang muktamad dari sudut ketenteraan terhadap pesaing utamanya di Asia, terutamanya apabila anda mempertimbangkan bahawa China akan beroperasi di halaman belakangnya, sementara Amerika Syarikat akan beroperasi dalam jarak lebih daripada 6,000 batu dari California. Dalam keadaan seperti itu, sukar untuk melihat bagaimana Amerika Syarikat dapat menghalang China daripada menjadi hegemoni serantau. Tambahan pula, China mungkin akan menjadi adikuasa yang lebih menggerunkan dalam persaingan global yang berikutnya dengan Amerika Syarikat.
Tetapi walaupun jika PNK China tidak naik ke tahap tersebut, dan kuasa terpendam China akhirnya tidak begitu banyak seperti Amerika Syarikat, ia masih berada dalam kedudukan yang baik untuk melancarkan hegemoni di Asia.
Semua ini memberitahu kita bahawa Amerika Syarikat mempunyai kepentingan yang mendalam untuk melihat China mengalami pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dalam tahun-tahun yang mendatang. Hasil daripada pertumbuhan ekonomi China yang lebih perlahan mungkin tidak baik untuk kemakmuran Amerika Syarikat, apatah lagi untuk kemakmuran global, tetapi ianya akan bagus untuk keselamatan Amerika yang mana merupakan perkara yang paling penting.
Artikel ialah terjemahan daripada artikel asal oleh John J. Mearsheimer.
NOTA KAKI
[1] Thomas J. Christensen, “Posing Problems without Catching Up: China’s Rise and Challenges for U.S. Security Policy,” International Security 25, No. 4 (Spring 2001), hlm. 5–40; dan Avery Goldstein, “First Things First: The Pressing Danger of Crisis Instability in U.S.-China Relations,” International Security 37, No. 4 (Spring 2013), hlm 49–89.
[2] Amerika Syarikat mempertimbangan secara serius untuk melancarkan perang pencegahan terhadap China pada awal 1960-an, ketika Beijing berada di ambang membangunkan senjata nuklearnya sendiri. Tetapi Washington akhirnya memutuskan bahawa kos dan risiko peperangan melampaui manfaat yang dijanjikannya; Oleh itu, ia adalah lebih masuk akal untuk hidup dengan negara China yang bersenjata nuklear. William Burr and Jeffrey T. Richelson, “Whether to ‘Strangle the Baby in the Cradle’: The United States and the Chinese Nuclear Program, 1960–64,” International Security 25, No. 3 (Winter 2000–01), ms. 54–99; dan Gordon Chang, “JFK, China, and the Bomb,” Journal of American History 74, No. 4 (March 1988), hlm. 1289–310.
[3] David Alan Rosenberg, “‘A Smoking Radiating Ruin at the End of Two Hours’: Documents on American Plans for Nuclear War with the Soviet Union,” International Security 6, No. 3 (Winter 1981–82), ms. 3–38.
[4] Dong Jung Kim, “Letting a Hegemonic Aspirant (Further) Rise? Maintenance and Abandonment of Economic Ties between Security Competitors,” kertas kerja yang dibentangkan di International Studies Association Annual Convention, San Francisco, April 2013.
[5] Kesatuan Soviet secara fizikalnya terletak di Asia dan Eropah, dan ia mengancam untuk menguasai kedua-dua wilayah tersebut. Oleh itu, Amerika Syarikat terpaksa membentuk koalisi pengimbangan kuasa di kedua-dua kawasan tersebut. China walau bagaimanapun, terletak tepat di Asia dan tidak mungkin mengancam Eropah dalam erti kata yang sebenar. Akibatnya, negara-negara utama di Eropah tidak mungkin memainkan peranan aktif dalam membendung China; sebaliknya, mereka berkemungkinan akan kekal berada di atas pagar, di mana mereka akan berada di posisi yang baik untuk berdagang dan melabur di China. Adalah berbaloi untuk diingati bahawa Amerika Syarikat kadang-kadang mendapati ia adalah sukar untuk menghentikan sekutu-sekutu Eropahnya daripada berdagang dengan Kesatuan Soviet semasa Perang Dingin, walaupun ketika Washington percaya bahawa orang-orang Eropah menjual teknologi kepada Moscow yang akan membantu memperkuatkan tentera Soviet. Michael Mastanduno, Economic Containment: CoCom and the Politics of East-West Trade (Ithaca, NY: Cornell University Press, 1992).
[6] Robert Art, “The United States and the Rise of China: Implications for the Long Haul,” Political Science Quarterly 125, No. 3 (Fall 2010), ms. 362–66.
[7] Dong Jung Kim, “Realists as Free Traders: Britain’s Economic Response to the German Challenge, 1896–1914,” Kertas Kerja, Oktober 2013.
[8] Operasi perubahan rejim boleh menyasarkan sama ada kepimpinan politik sesebuah negara atau institusi politik yang mendasari negara tersebut. Sesetengah misi perubahan rejim berusaha untuk menggantikan penguasa sesebuah negara sambil memastikan institusi pentadbirannya tidak terjejas. Operasi yang lain walau bagaimanapun, menyasarkan untuk menggantikan keseluruhan sistem pemerintahan sesebuah negara; Inilah apa yang berlaku apabila negara autokrasi ditukarkan menjadi negara demokrasi atau sebaliknya.
[9] Lindsey O’Rourke, “Secrecy and Security: U.S.-Orchestrated Regime Change during the Cold War,” disertasi Ph.D., University of Chicago, 2013. Lihat juga Peter Grose, Operation Rollback: America’s Secret War behind the Iron Curtain (New York: Houghton Mifflin, 2000); John Knaus, Orphans of the Cold War: America and the Tibetan Struggle for Survival (New York: Perseus Books, 1999); dan Gregory Mitrovich, Undermining the Kremlin: America’s Strategy to Subvert the Soviet Bloc, 1947–1956 (Ithaca, NY: Cornell University Press, 2000).
[10] O’Rourke, “Secrecy and Security,” ms. 105.
[11] Menurut Bank Dunia, populasi China pada tahun 2011 adalah 1,344,130,000, sementara Amerika adalah 311,591,917. “Data: Population, total,” World Bank, diakses pada 30 Jun 2013, http://data.worldbank.org/indicator/SP.POP.TOTL. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, China dijangkakan mempunyai 1,395,200,000 orang pada tahun 2050, manakala penduduk Amerika diramalkan populasinya berjumlah 408,700,000 orang. United Nation’s Department of Economic and Social Affairs’ Population Division, World Population to 2300, New York, 2004, ms. 42. Jika China pada hari ini mempunyai pendapatan negara kasar (PNK) per kapita seperti Hong Kong, berdasarkan kepada populasi China sekarang, ia akan mempunyai PNK sebanyak $ 48.4 trilion berbanding dengan PNK semasa Amerika Syarikat iaitu $ 15.1 trilion. Jika China mempunyai PNK per kapita Korea Selatan, ia akan mempunyai PNK sebanyak $ 28.1 trilion, masih hampir dua kali ganda PNK Amerika. “Data: GNI, Atlas Method” dan “Data: GNI per capita, Atlas Method,” World Bank, diakses pada 30 Jun
2013, http://data.worldbank.org/indicator/NY.GNP.ATLS.CD dan http://data.worldbank.org/indicator/NY.GNP.PCAP.CD. Untuk tahun 2050, Amerika Syarikat dijangka mempunyai KDNK sebanyak $ 37.9 trilion. PwC, The World in 2050: The Accelerating Shift of Global Economic Power, Januari 2011, ms. 7. Jika China sepadan dengan KDNK per kapita Hong Kong yang dijangkakan untuk tahun 2050, KDNK China akan menjadi $ 162.7 trilion; jika, sebaliknya, ia mencapai KDNK per kapita yang diunjurkan untuk Korea Selatan, KDNK China akan mendekati $ 150.3 trilion yang masih mengejutkan. Bagi KDNK per kapita yang diunjurkan untuk tahun 2050, lihat William Buiter and Ebrahim Rahbari, Global Growth Generators: Moving beyond “Emerging Markets” and “BRIC,” Citigroup, Februari 21, 2011, ms. 46
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih