Asatizah dan tuan guru semestinya terkilan melihat masjid-masjid sekarang. Tiada solat berjemaah, majlis ilmu terpaksa digantung, perhimpunan besar-besaran perlu ditangguh. Senyap sunyi, sunyi sepi. Covid-19 membuatkan semua kaki masjid terpaksa duduk di rumah. Sudah tentu timbul perasaan rindukan berjemaah di rumah Allah.
La Tahzan, Jangan bersedih. Selain berjemaah, ‘uzlah juga adalah ibadah.
‘Uzlah bermakna pengasingan diri untuk memusatkan perhatian pada ibadah dan tafakur kepada Allah ﷻ. Ianya jalan suluk yang mesti dilalui setiap arifbillah. Alhamdulillah, dalam kesibukan hidup kita diberikan peluang merehatkan diri sebentar. Tempoh PKP ini adalah waktu istimewa kita berdua-duaan dengan Allah tanpa diganggu urusan duniawi.
Maulana Jalaluddin Rumi adalah fuqaha’ mazhab Hanafi yang sibuk dengan pengajian ilmu di Konya. Tetapi, setelah bertemu guru mursyid dan futuh, yakni Shams Tabrizi, dia mulai beruzlah. Kadang-kadang hampir berbulan lamanya. Daripada banyak majlis, menjadi tiada.
Sampaikan ada anak murid yang jealous, kenapa tok guru dah tak duduk dengan kami. Manakala, apa berlaku setelah uzlah Rumi? Dia naik ke suatu maqam yang tidak dicapainya sebelum ini. Ada kala sibuk walaupun dengan majlis ilmu, mengalihkan pandangan kita daripada banyak bermunajat. Rumi meluahkan perasaan, yang lebih penting daripada dipanggil ulama’ oleh orang ramai, adalah dipanggil kekasih oleh Allah.
Imam al-Ghazali adalah seoran Professor Emeritus. Dia berjawatan Rektor di Madrasah Nizamiah, Baghdad. Pujian orang ramai mengerumuninya. Ke mana sahaja masjid dia pergi orang menyebut “berkatalah al-Ghazali”. Tetapi, sampailah satu masa dia merasa lidahnya kelu daripada berkata-kata.
Dalam majlis ilmu, kalamnya yang fasih menjadi bisu. Rupa-rupanya, ‘panggilan Allah’ untuk beruzlah sudah tiba. Imam al-Ghazali pun mengundurkan diri buat beberapa tahun, mengambil tarekat dengan Syeikh Ali Farmadi. Beruzlah dia di menara masjid Damsyiq, bermunajat sendirian dengan Allah. Manakala, apa yang berlaku setelah uzlah al-Ghazali?
Dia dikurniakan futuhat lautan ilmu yang tidak terhingga. Kitab Ihya’ Ulumiddin menjadi saksi kedalaman makrifatnya, bahkan tersapat satu bab khusus tentang uzlah yang dituliskan. Al-Ghazali menyedari yang ilmu itu bukan bermanfaat apabila dikhutbahkan, namun bila diamalkan. Mengajarkan ilmu belum tentu menjamin diri baik. Untuk menjadi baik, adalah dengan mengamalkan apa yang diajarkan.
Imam Ibn ‘Ataillah as-Sakandari berkata;
“Tanamlah kewujudanmu (kemasyhuranmu) di bumi yang tidak terkenal (di sisi manusia) kerana sesuatu benih yang tumbuh sendiri tanpa ditanam tentu hasilnya tidak sempurna. Tiada yang lebih bermanfaat bagi hati dibandingkan mengasingkan diri (‘uzlah) yang memungkinkan hati memasuki keadaan tafakkur.”
Tafakkur sehari lebih baik daripada solat 60 tahun. Ibn ‘Ataillah menyarankan kita agar mengambil masa untuk beruzlah. Tidak kiralah kita ini siapa.
Sebagaimana ke luar dan bergaul dengan manusia itu ada manfaatnya, begitu juga stay at home dan beruzlah dengan Allah ada manfaatnya. Uzlah juga bermanfaat dengan menyelamatkan diri daripada riya’ dan sum’ah. Ada kalanya, kita perlu juga menempatkan diri dalam pengasingan, bagi memusatkan tafakkur.
Tiada kerahiban dalam Islam, tetapi ‘uzlah ada.
Rasulullah ﷻ sendiri beruzlah di Gua Hira’ sebelum dan sesudah wahyu. Baginda ﷺ juga mengasingkan diri di masjid. Baginda ﷺ beriktikaf 10 hari ketika bulan Ramadhan, dan pada tahun wafatnya beriktikaf 20 hari. Baginda ﷺ juga pernah beriktikaf 20 hari pada bulan Syawal.
Lihatlah sunnatullah. Lihatlah alam, terdapat petanda bagi ulul albab. Makhluk Allah kesemuanya menjalani proses uzlah sebelum menjadi berharga. Biji benih ditanam ke dalam tanah, lalu akar-akarnya tumbuh menjalar, setelah itu barulah batangnya muncul dan rantingnya keluar. Begitu juga beruang yang berhibernasi di musim sejuk.
Sewaktu hibernasi, metabolisme beruang menjadi perlahan, suhu badan turun beransur-ansur, dan kadar jantungnya perlahan dari 55 hingga 9 degupan seminit. Setelah bangun daripada ‘uzlah’ yang panjang, badannya sedia menghadapi musim panas pula. Begitu juga janin.
Daripada 9 bulan kegelapan rahim ibu, hari demi hari ia membesar hingga menjadi bayi yang sempurna. Ini ialah aturan Allah yang tidak boleh kita nafikan. Semuanya berkat uzlah, mengasingkan diri buat menyempurnakan diri.
Yuk, berniat uzlah!
“Nawaitu arbain, nawaitu uzlah, nawaitu khalwah, nawaitu iktikaf, nawaitu suluk, nawaitu riyadhah lillahi taala.”
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih