Enam tahun lepas, sebuah pesawat mencuri perhatian dunia menerusi berita kehilangannya. Di sebalik penemuan pelbagai serpihan di beberapa tempat sejak beberapa tahun lepas, ia masih gagal menjawab nasib yang menimpa pesawat malang itu. Ya, inilah kisah MH370.

Pada 8 Mac 2014, pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dijadualkan bertolak ke Beijing, China dengan membawa 239 krew dan penumpang. Krew penerbangan diketuai oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah dari Pulau Pinang yang mempunyai pengalaman penerbangan sebanyak 18,365 jam.

Manakala pesawat yang digunakan ialah pesawat Boeing 777-200. Pada pukul 12.41 pagi, MH370 bertolak dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing dan dijadualkan mendarat di sana pada jam 6.30 pagi. Mesej terakhir Kapten Zaharie kepada pengawal trafik udara pada 1.19 pagi ialah, “Selamat malam pesawat Malaysia 370.”

Tetapi ia kemudiannya dilaporkan hilang dari radar awam Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada jam 1.30 pagi. Beberapa jam selepas itu, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.

Selepas mendapat laporan dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bahawa pesawat tersebut dikatakan berpusing ke Laut Andaman keesokan harinya, usaha pencarian diperluaskan di Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Dalam usaha pencarian ini, banyak negara tampil membantu. Di Laut China Selatan, usaha pencarian pihak berkuasa Malaysia dibantu oleh tentera laut dan udara China dan Vietnam. Manakala Amerika Syarikat pula menghantar Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) untuk membantu pencarian di Selat Melaka pada 14 Mac 2014.

Tatkala usaha pencarian digiatkan, pelbagai bantuan dihulurkan oleh kerajaan dan MAS bagi membantu waris-waris mangsa kehilangan MH370. MAS menubuhkan pusat bantuan di Beijing dan Kuala Lumpur serta menghantar 150 staf untuk membantu, menenangkan dan memberi perkembangan terkini kehilangan pesawat berkenaan.

Sementara pihak kerajaan pula berusaha memberi maklumat terkini tentang pencarian MH370 dengan tepat. Tetapi kepantasan pihak media menyiarkan perkembangan terkini pencarian dan sesetengah khabar yang dibawa itu palsu, ia seolah-olah memberi bayangan kerajaan cuba menyembunyikan apa yang berlaku.

Keadaan ini mencetuskan kritikan bukan saja dalam kalangan waris tetapi juga dari China. Tetapi kerajaan menegaskan mereka berusaha menyampaikan maklumat terkini kehilangan MH370 dengan tepat dan teliti serta tidak mahu ia diseret ke kancah berita palsu. Perkara sebegini sudah pasti akan memberi lebih banyak tekanan emosi kepada waris-waris mangsa yang terlibat.

Pada 24 Mac 2014, dalam satu sidang media khas, Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak mengumumkan MH370 disyaki terhempas di selatan Lautan Hindi dengan kesemua krew dan penumpang disyaki m4ti.

Dan ini membawa kepada usaha pencarian yang teliti di koridor berkenaan. Fokus utama pasukan pencari ialah mengesan lokasi kotak hitam pesawat yang diharap boleh menjelaskan punca kehilangan pesawat berkenaan.

Seiring dengan itu, Malaysia melantik seorang penyiasat bertanggungjawab untuk melihat insiden kehilangan MH370. Penyiasat ini dibantu oleh pakar-pakar dari Amerika Syarikat, China, Perancis dan United Kingdom.

Pasukan pencari yang diketuai kapal Haixun 01 mengesan isyarat kotak hitam yang terletak di selatan Lautan Hindi. Isyarat tersebut turut dikesan oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield yang meletakkannya 300 batu nautika dari lokasi isyarat yang dikesan Haixun 01.

Namun untuk sepanjang tahun 2014, usaha pencarian pasukan pencari termasuk menggunakan kaedah pencarian bawah air untuk mengesan pesawat malang itu tidak berhasil.

Tetapi semua itu berubah apabila sebuah flaperon ditemui penduduk tempatan di Pulau Reunion pada tahun 2015. Hasil pemeriksaan pakar-pakar penerbangan mengesahkan flaperon tersebut datang dari pesawat MH370.

Rajah 1: Flaperon MH370 yang ditemui di Pulau Reunion pada 2015. Sumber: https://www.latimes.com/world/asia/la-fg-plane-mh370-reunion-island-20150730-story.html

Dengan penemuan flaperon ini, ia turut mengesahkan bahawa usaha pasukan pencari mengesan pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi merupakan satu keputusan tepat. Ini turut menimbulkan teori bahawa pesawat membuat pendaratan di atas air sebelum ia perlahan-lahan ditenggelami air.

Kemudian pada tahun 2016, lebih banyak serpihan MH370 dijumpai. Pada April 2016, serpihan daripada kabin pesawat dijumpai di perairan Rodrigues, salah satu pulau di Maldives. Ini disusuli dengan penemuan kepingan sayap MH370 di Pulau Pemba, Tanzania pada 23 April 2016.

Pada Januari 2017, usaha pencarian bangkai pesawat MH370 dihentikan selepas pemeriksaan membabitkan 120,000 kilometer per segi di selatan Lautan Hindi tidak berhasil. Fokus pihak berkuasa ialah menganalisis semua petunjuk yang ada sebelum menentukan kawasan pencarian terbaru.

Pada Januari 2018, Malaysia memeterai perjanjian dengan Ocean Infinity untuk membuat pencarian selama 90 hari di kawasan sama dengan menggunakan data baru. Kontrak dengan Ocean Infinity kemudiannya disambung lagi selama tiga bulan bagi membolehkan usaha pencarian berjalan lancar.

Namun pada 29 Mei 2018, usaha pencarian dihentikan dan kontrak Ocean Infinity tidak disambung. Pada Julai 2018, satu laporan akhir berkenaan MH370 dibentangkan oleh Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa Malaysia (ICAO) Annex 13.

Malangnya, laporan tersebut tidak memberi jawapan yang diharapkan oleh waris-waris mangsa yang terlibat kerana tidak menyatakan dengan jelas apa sebenarnya yang menimpa pesawat MH370. Ketiadaan jawapan sebegini yang membawa kepada pelbagai teori kontroversi yang kadang-kadang mengganggu emosi waris-waris mangsa yang terlibat.

Malah bagi ketua penyiasat Datuk Kok Soo Chon, beliau menyifatkan laporan yang dibentangkan mereka itu bukan laporan akhir MH370. Ini kerana jawapan sebenar kehilangan pesawat berkenaan hanya boleh dijawab apabila bangkai pesawat berjaya ditemui.

Di sebalik kekecewaan itu, pasukan ICAO Annex 13 turut memberi pelbagai cadangan penambahbaikan membabitkan sistem kawalan trafik udara tempatan dan antarabangsa, imbasan kargo, rekod latihan dan perubatan kru pesawat serta laporan kesihatan mental dan susulan kru penerbangan.

Sehingga hari ini, waris-waris mangsa masih berharap agar usaha pencarian kembali diteruskan. Dan jika benar apa yang dilaporkan akhbar The Sydney Morning Herald, ia dijangka akan dilaksanakan pada tahun ini.

Mengikut laporan tersebut, usaha pencarian ini akan memfokuskan kepada pencarian serpihan-serpihan bangkai pesawat yang diharap dapat membantu mengecilkan lagi skop kawasan pencarian.

Manakala dari pihak kerajaan pula, Kementerian Pengangkutan akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membentangkan kertas Kabinet berkaitan pampasan kepada waris mangsa pesawat MH370.

Menurut ketua setiausaha kementerian, Datuk Isham Ishak, pampasan itu adalah sebagai penyelesaian luar mahkamah bagi kes saman waris mangsa terhadap kerajaan Malaysia dan agensi berkaitan.

Pihak kementerian juga akan terus berusaha untuk mendapatkan sokongan daripada kerajaan baharu bagi meneruskan misi pencarian MH370 yang telah dihentikan sebelum ini.

RUJUKAN:

Astro Awani. (2020). Mengenang 6 tahun misteri kehilangan pesawat MH370. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/mengenang-6-tahun-misteri-kehilangan-pesawat-mh370-232813

Bernama. (2020). MH370: Kementerian Pengangkutan akan jumpa PM bincang pampasan waris. Astro Awani. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/mh370-kementerian-pengangkutan-akan-jumpa-pm-bincang-pampasan-waris-232876

Chung, Clarissa. (2020). Families waiting for next MH370 search. The Star. https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/03/08/families-waiting-for-next-mh370-search

Abdul Karim, Luqman Arif dan Mohd Noor, Mohd Husni. (2018). Bukan laporan akhir MH370. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/07/363278/bukan-laporan-akhir-mh370

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.