Samurai merupakan salah satu simbol warisan budaya Jepun yang paling diingati. Walaupun kebanyakan samurai adalah orang Jepun, terdapat juga beberapa contoh orang bukan-Jepun yang menjadi samurai.
Antara yang paling masyhur adalah kelasi Inggeris yang bernama William Adams (1564-1620) yang datang ke Jepun pada tahun 1600 dan mendaki tingkat sosial sehingga menjadi seorang samurai.
Terdapat juga satu contoh lain yang agak mengejutkan, iaitu seorang samurai Afrika yang bernama Yasuke.
Beliau menjadi seorang samurai di bawah naungan Daimyo Oda Nobunaga (1534-1582) selepas berkhidmat sebagai pengawal peribadinya. Yasuke dibawa ke Jepun pada tahun 1579 oleh mubaligh-mubaligh Jesuit dengan tujuan untuk menggamit perhatian dan minat kelas bangsawan Jepun.
YASUKE MENJADI SEORANG SAMURAI
Asal-usul Yasuke diselubungi misteri. Beliau berkemungkinan lahir sekitar 1555-1566. Tidak cukup begitu, sejarahwan juga tidak mengetahui asal-usul namanya. Namun, terdapat pandangan yang mendakwa bahawa nama ‘Yasuke’ itu merupakan sebutan Jepun bagi nama asalnya.
Menurut satu sumber, Yasuke berasal dari kaum Makua yang datang dari Mozambique. Ada juga yang berpandangan bahawa beliau berasal dari Angola atau Ethiopia. Lebih menarik, sebahagian pihak malah mendakwa bahawa Yasuke adalah hamba kelahiran Eropah, atau lebih tepat, Portugal.
Walau apa pun jua asal-usulnya, Yasuke muncul buat kali pertama dalam sejarah pada tahun 1579 sebagai pelayan seorang mubaligh Jesuit yang bernama Alessandro Valignano. Valignano datang ke Jepun untuk melawat mubaligh-mubaligh yang sudah pun menetap di negara matahari terbit itu.
Berkemungkinan tinggi Yasuke adalah seorang hamba. Kulitnya yang berwarna hitam menggamit perhatian masyarakat tempatan dan dikatakan bahawa ramai yang datang ke gereja di Kyoto semata-mata untuk melihatnya.
Yasuke semakin mendapat perhatian hinggakan khabar tentang dirinya sampai ke pengetahuan Daimyo Nobunaga yang berhasrat untuk berjumpa dengannya.
Semasa awal pertemuan, Nobunaga bersikap skeptik terhadap warna kulit Yasuke hinggakan beliau menyuruh Yasuke agar membuka baju dan menggosok-gosok kulitnya untuk membuktikan bahawa ia bukanlah dakwah.
Apapun, Nobunaga menaruh rasa kagum terhadap ketinggian yang dimiliki oleh Yasuke. Dicatatkan bahawa badannya berketinggian lebih 6 kaki (182cm). Pada waktu itu, rata-rata masyarakat Jepun berketinggian 5 kaki (152cm). Ketinggiannya ini membuatkan beliau sangat menonjol dalam kalangan masyarakat.
Lantas, Nobunaga mengambil Yasuke sebagai orang bawahannya, sebelum Yasuke berkhidmat sebagai pengawal peribadi daimyo itu. Pada tahun 1581, Yasuke dijadikan sebagai seorang samurai dan ditugaskan di Istana Azuchi milik Nobunaga.
Semenjak itu, Nobunaga sering mengajak Yasuke untuk makan bersamanya. Hal tersebut merupakan suatu kelebihan yang jarang dirasai oleh mana-mana samurai. Yasuke juga dilantik sebagai pembawa pedang Daimyo. Menjelang waktu itu, Yasuke sudah pun fasih berbahasa Jepun.
BERAKHIRNYA KARIER YASUKE SEBAGAI SAMURAI
Karier Yasuke sebagai seorang samurai tidak berpanjangan. Pada tahun 1582, salah seorang panglima Nobunaga iaitu Mitsuhide mencetuskan pemberontakan untuk menggulingkan daimyo itu. Mitsuhide menggempur kuil kediaman Nobunaga di Kyoto.
Meyakini bahawa kekalahan bakal menimpanya, Nobunaga pun melaksanakan seppuku, suatu ritual pembunvhan diri. Berikutan kemangkatan Nobunaga, Yasuke mengundurkan diri ke Istana Azuchi dan berkhidmat untuk putera Nobunaga, iaitu Oda Nobutada. Namun, Nobutada juga membunuh diri setelah tewas di tangan Mitsuhide.
Mitsuhide tidak menaruh sebarang kepercayaan terhadap Yasuke. Beliau malah menyifatkannya sebagai ‘haiwan liar’ dan ‘bukan samurai sebenar’. Hal ini kerana Yasuke tidak melakukan seppuku, suatu kelaziman dalam budaya Jepun setelah seseorang samurai itu mengalami kekalahan.
Sebaliknya, Yasuke menawarkan pula khidmat kepada Mitsuhide, di mana sikap sebegini merupakan budaya dari Barat. Lantaran penawaran khidmatnya itu ditolak, Yasuke pun membawa diri kembali ke pangkuan Valignano dan sejarahnya kembali samar.
HUBUNGAN ANTARA MASYARAKAT AFRIKA DAN JEPUN
Tidak banyak bukti yang menunjukkan kehadiran orang Afrika di Jepun sebelum kedatangan Yasuke. Pun begitu, terdapat beberapa perkara yang boleh dijadikan sebagai isyarat wujudnya hubungan antara masyarakat Afrika dan Jepun pra-Yasuke.
Sebagai contoh, terdapat sebuah pepatah Jepun yang berbunyi, “Untuk seseorang samurai itu menjadi berani, dia mesti memiliki sedikit darah hitam.”
Tidak dapat dipastikan sama ada pepatah ini merujuk kepada individu berkulit hitam atau wujud permaknaan lain bagi perkataan ‘hitam’ tersebut. Terdapat juga kemungkinan bahawa frasa ‘darah hitam’ mempunyai maksud yang tersendiri dalam budaya Jepun dan sama sekali tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana individu dari Afrika.
Pepatah ini juga kurang sesuai untuk dijadikan sebagai bukti wujudnya hubungan antara masyarakat Jepun dan Afrika lantaran warna hitam dalam kebudayaan Jepun sering dikaitkan dengan kematian, ketakutan dan rasa duka.
Dalam sejarah Jepun, terdapat satu lagi individu yang dianggap oleh sebilangan sejarahwan sebagai berketurunan Afrika. Beliau adalah Sakanouye no Tamuramaro, seorang pahlawan yang dijadikan sebagai simbol kepahlawanan.
Beliau hidup pada era Heian (794-1185), dari tahun 785 hingga tahun 811. Tamuramaro merupakan pengawal istana Maharaja Kammu (memerintah 781-806). Beliau kemudiannya dilantik sebagai ketua pasukan tentera yang dihantar untuk memerangi Ainu. Pahlawan ini dicatatkan dalam sejarah sebagai seorang yang berkulit hitam.
Walau apapun, hal ini tidak cukup untuk membuktikan wujudnya hubungan antara masyarakat Afrika dan Jepun pada masa dahulu. Pun begitu, ia tetap mendedahkan sejarah perhubungan antara Jepun dan dunia luar yang melangkaui pengetahuan kita sebelum ini.
TERJEMAHAN:
Caleb Strom. (16 Februari 2017). The Amazing Story of Yasuke: The Forgotten African Samurai. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/amazing-story-yasuke-forgotten-african-samurai-007554
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih