Banyak jugak analisis-analisis politik yang dikeluarkan berkaitan dengan situasi politik di Malaysia. Tapi saya nak cadangkan sisi baru yang tidak pernah diulas oleh para pengulas politik di Malaysia. Saya berpendapat bahawa barangkali di Malaysia ini sedang terjadinya sebuah self-coup yang direncanakan oleh beberapa pihak di Malaysia.

Justeru, artikel kali ini akan dibahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian pertama menerangkan bahawa rampasan kuasa boleh dijalankan secara terus dan kedua, rampasan kuasa yang lebih licik dan juga yang ketiga, perbincangan mengenai situasi di Malaysia, apakah sedang berlaku self-coup atau dalam Bahasa Melayunya, kudeta sendiri?

Kudeta sendiri (self-coup) bermaksud sejenis rampasan kuasa yang mana seorang pemimpin tertinggi, yang merangkul kuasa melalui undang-undang, membubarkan dewan perundangan atau meletakkan jawatan bagi tujuan untuk mencapai kuasa lebih mutlak yang tidak dikurniakan dalam keadaan biasa.

Napoleon III

Selalu orang ingat yang hanya orang luar jer boleh gulingkan kerajaan, tetapi sebenarnya orang dalam kerajaan itu sendiri oleh menggulingkan kerajaan dari dalam. Contohnya macam Napoleon III masa tabalkan diri dia sebagai maharaja.

Kita sedang merujuk mengenai rampasan kuasa Perancis 1851 peristiwa rampasan kuasa sendiri yang digerakkan oleh Louis-Napoleon Bonaparte untuk membolehkan dirinya dipilih semula sebagai Presiden Perancis dan membolehkannya melaksanakan pelbagai rancangan yang ditentang Perhimpunan Kebangsaan Perancis (PKP).

Bukan satu rahsia Louis-Napoleon sentiasa bertelagah dengan anggota perhimpunan sejak dipilih sebagai presiden pada tahun 1848. Ini ditambah dengan kelebihan sebagai seorang ahli politik yang bijak dan licik, sekaligus menyukarkan usaha menjadikan beliau boneka untuk parti mereka.

Selepas berkali-kali rancangan reformasinya ditolak, rancangan rampasan kuasa mula dirancang pada Ogos 1851. Untuk menjamin rancangan rampasan kuasa berjalan lancar, ramai pengikutnya dilantik ke jawatan-jawatan penting. Misalnya, Jeneral Jacques Leroy de Saint Arnaud dilantik sebagai Menteri P3rang manakala Jeneral Magnan dilantik sebagai komander tentera di Paris.

Plot ini direncana oleh Louis-Napoleon dan mendapat bantuan oleh Duc de Persigny, Duke of Morny dan Jeneral Saint Arnaud. Kesemua rancangan dan persediaan kudeta direncana di Saint Cloud. 2 Disember 1851 dipilih kerana itulah hari sepupunya, Napoleon ditabalkan sebagai Maharaja Perancis pada 1804.

Plot tersebut disegerakan berikutan wujud rancangan dalam kalangan anggota PKP yang pro-Duke of Orleans untuk menyingkirkan Louis-Napoleon. Pakatan ini bertanggungjawab menyingkirkan sekutunya, Jeneral Hautpoul pada Januari 1851 disusuli plot menolak reformasi Louis-Napoleon pada Julai 1851.

Plot yang dirancang anggota PKP diketuai bekas sekutu lamanya, Adolphe Thiers dilihat satu usaha untuk menggulingkan beliau. Justeru, menjadi tanggungjawabnya untuk mengekang plot tersebut kerana dikhuatiri boleh mengancam kesucian Republik Kedua Perancis.

Pada pagi 2 Disember 1851, tentera-tentera yang diketuai Saint Arnaud mula menduduki tempat-tempat strategik di Paris. PKP dibubarkan dan enam arahan disebarluaskan untuk mengukuhkan kuasa Louis-Napoleon.

Ramai ahli parlimen ditahan dan sebarang cubaan pemberontakan segera dipatahkan oleh pihak tentera. Pada akhirnya, 26,000 orang ditahan dengan 9,530 dipenjarakan di Algiers manakala 250 lagi dipenjarakan di Cayenne, French Guyana.

Berikutan rampasan kuasa ini, kuasa Louis-Napoleon bertambah termasuk memerintah tanpa had tempoh pemerintahan. Selepas satu lagi referendum pada tahun 1852, Louis-Napoleon bergelar Maharaja Napoleon III dan ditabalkan pada 2 Disember 1852 sekaligus sebagai pemerintah Empayar Perancis.

Palpatine.

Emperor Palpatine naik ke puncak kuasa lagi dasyat. Kalau rampasan kuasa yang digerakkan oleh Napoloeon III ni agak straight forward tanpa berbasa-basi, tapi rancangan Palpatine ni begitu licik, dan ia adalah perancangan yang sangat dalam dan jangka masa yang lama.

Ia bermula dengan Palpatine memastikan bahawa Valorum mendapat undi tidak percaya, agar dia dapat menjawat jawatan Supreme Chancellor.

Daripada situ, maka Palpatine mula merencanakan pelbagai helah untuk melemahkan Republic dari dalam, seperti sekatan ekonomi oleh Trade Federation, bahkan sehingga kepada menggalakkan dan mendana Count Dooku untuk menubuhkan Confederacy of Independent Systems.

Fungsinya sebagai sebuah gerakan separatis. Usaha dia ini telah membenarkan Senat memberikan kuasa kepada Palpatine untuk mencipta Clone Army untuk melawan pasukan separatis. Tetapi nanti Clone Army ini akan menjadi senjata utamanya dalam pembunuhan beramai-ramai.

Apabila telah menundukkan puak separatis, rancangan Palpatine untuk mencapai kuasa mutlak adalah dengan mengambarkan bahawa pihak Jedi cuba melakukan kudeta ke atasnya.

Akibatnya, Clone Army yang dia bangunkan awal tadi atas alasan mahu melawan pihak separatis yang dia sendiri galakkan kewujudannya secara rahsia, telah digunakan untuk menghapuskan hampir keseluruh organisasi Jedi. Bila dah tak ada pencabar yang mampu melawannya lagi, maka Palpatine terus mengisytiharkan dirinya sebagai Maharaja.

So this is how liberty dies with thunderous applause…

Dan sekarang, di Malaysia. Apakah ianya bersifat self-coup? Kenapa kami berpendapat sedemikian? Kita akan gunakan dua kisah di atas sebagai kayu ukur kita.

Dari kisah pertama, kita tahu bahawa presiden sendiri boleh melakukan rampasan kuasa dengan bubarkan parlimen, menukarkan perlembagaan dan sebagainya. Cukup dari kisah pertama kita tahu bahawa orang dalam hatta Perdana Menteri dan Presiden boleh membuat rampasan kuasa.

Tapi kalau cara pertama tidak digunakan, apakah cara kedua sebenarnya digunakan? Apakah berlaku secara licik percubaan kudeta-sendiri dalam sejarah negara?

Kita ikuti kronologi situasi politik di Malaysia. Kita tahu yang secara tiba-tiba, arena politik negara kita gempar apabila ahli-ahli politik berkumpul di Sheraton.

Ahli parlimen yang berkumpul ialah daripada PPBM, UMNO, PKR, PAS dan beberapa parti politik lain. Asalnya langkah ini adalah untuk memastikan kerajaan gabungan ini menjadi kerajaan yang memerintah Malaysia.

Daripada penemuan ini, lahirlah idea pakatan baru yang dinamakan sebagai Perikatan Nasional. Namun, idea ini seperti tidak menjadi kenyataan apabila tiba-tiba sahaja keluar kisah bahawa kononnya Tun tidak merestui tindakan ahli politik dalam PPBM memasukkan UMNO dalam gabungan. Tun kemudian meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PPBM, Perdana Menteri manakala PPBM mula keluar PH.

Kemudian wujudnya babak rayuan antara presiden parti-parti dalam PH yang mengatakan bahawa mereka sanggup setia dengan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri. Dan selepas perjumpaan dengan YDPA, rupa-rupanya PKR-PAN-DAP menukar fikiran tidak menyatakan sokongan kepada Tun Mahathir, manakala UMNO-PAS mencadangkan pembubaran parlimen.

Dan sekarang betapa setiap kerusi parti yang bertelagah tidak cukup dan Tun Mahathir tiba-tiba keluar dengan idea bahawa:

– Kerajaan Gabungan ini bukan berdasarkan parti tetapi individu.
– Tun Mahathir ada kuasa penuh untuk memilih kabinetnya
– Semua kata akhir datang daripada Tun sendiri.
– Sepertinya tidak wujud pembangkang atau kerajaan.

Pertama, apa yang dinamakan sebagai “Government Unity” ini sangatlah kabur. Kalau UG yang besifat Muafakat Nasional + Pakatan Harapan dalam sebuah pakatan, ia tidak pernah menjadi masalah sebenarnya.

Tetapi UG yang bersifat tak berdasarkan parti ini, berasaskan individu semata-mata ini sebenarnya melemahkan suara Yang Berhormat dalam dewan. Biasanya suara YB-YB akan menjadi kuat bila disatukan sebagai suara kolektif, sekaligus membentuk majoriti untuk membantah apa sahaja keputusan yang tidak wajar.

Dan bila semua Yang Berhormat menyokong Tun M sebagai Perdana Menteri atas nama individu, bukan parti, maka suara penentangan itu sangat lemah, seolah-olah pembangkang tidak lagi wujud.

Apabila pembangkang tidak lagi wujud, makanya secara tidak langsung, bukankah ia memberikan kuasa penuh kepada Tun Mahathir seorang?

Bukankah sebuah negara demokrasi yang kuat lagi sihat adalah sebuah negara yang mempunyai kerajaan dan pembangkang yang memberi semak imbang antara satu sama lain?

Dan kalau macam tu, kita secara tak langsung sebenarnya sedang menabalkan Tun Mahathir sebagai “emperor Palpatine” di dalam Malaysia apabila memberikan kuasa hampir mutlak kepada Tun Mahathir untuk memerintah Malaysia.

Tun M menawarkan pilihan seperti di atas atas nama “demi kesejahteraan negara”, begitu juga dengan Palpatine melakukannya juga atas keselamatan “Republic” yang terpaksa ditukarkan kepada empayar. Kebetulan barangkali?

Lebih dasyat, kalau permainan yang digerakkan ini sebenarnya adalah buah catur Tun untuk memastikan beliau mempunyai kuasa penuh ke atas kerajaan dan pembangkang, maka bolehkah kita namakan ia sebagai self-coup versi licik yang digerakkan Palpatine?

Yalah, kalau ikut teori saya ni, Tun M berjaya menggulingkan kerajaannya sendiri seperti mana Napoleon III, kemudian berencana seperti Palpatine untuk memastikan dia memiliki kuasa penuh atau lebih kuasa daripada sebelum ini?

Dengarnya ahli dalam parti PH itu sendiri tidak mempersetujui banyak tindak tanduk beliau, dan dalam masa yang sama pembangkang pula semakin kuat dengan gabungan Muafakat Nasional. Tun M memerlukan kuasa penuh, untuk dia mengerakkan semua “reformasi-reformasi pentadbiran” yang Tun M dakwakan mampu dilakukan.

Tidak salah untuk kita berasumi bahawa Tun M tahu keputusan yang akan datang daripada rancangannya. Tun dapat meramalkan reaksi Anwar Ibrahim dan sekutunya, begitu juga reaksi Muafakat Nasional. Dan barangkali Tun M mengetahui bahawa akhirnya nanti, situasinya akan sampai kepada parti-parti politik ini akan merayu kepada Tun M untuk kekal jadi PM.

Masalah utamanya pada rancangan ini ialah, ketaatan setiap parti politik ini kepada Tun M hanya bersifat sehari. Geng Anwar tiba-tiba berpakat untuk mengangkat Anwar Ibrahim sebagai PM, manakala UMNO-PAS berpaling memilih Parlimen Bubar. Sama ada parti-parti politik ini bersetuju untuk mengangkat Tun M sebagai “Palpatine” mereka, masih menjadi tanda tanya.

Kalau saya jadi beliau, inilah masanya untuk saya beraksi sebagai Palpatine versi Melayu demi memuatkan cengkaman saya ke atas Malaysia. Kalau saya jadi beliau juga, saya akan gunakan alasan Napoleon III merampas kuasa apabila reformasi-reformasi negaranya ditentang oleh ahli dalam kerajaannya sendiri.

Tapi itu kisah saya… bukannya Tun Mahathir.

Apakah anda sependapat dengan artikel tulisan saya ini? Benarkah sedang berlaku self-coup di Malaysia?


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Comments are closed.