Utusan terakhir kepada umat manusia, Muhammad bin Abdullah lahir pada 12 Rabiulawal 570/571 M meskipun terdapat beberapa pendapat yang lain menyatakan bahawa baginda lahir pada 9 dan 10 Rabiulawal tahun tersebut. Kelahiran baginda telah membawa manusia daripada jalan yang terpesong kepada jalan yang benar, diredhai dan diberkati.

Sekiranya ketiadaan seorang Insan yang mulia bernama Muhammad ini maka tidak mungkin bangsa Arab mampu keluar daripada polemik sosial dan kebejatan jahiliyyah mereka.

Namun yang menjadi permasalahan, mengapa utusan terakhir diutuskan dari kalangan orang arab yang mempunyai pelbagai masalah dan kebejatan? Mengapa tidak diutuskan daripada kalangan bani Israil seperti nabi dan rasul terdahulu atau mengapa tidak diutuskan kepada kaum Romawi dan Parsi yang gah di persada dunia ketika itu?

Faktor yang pertama sudah pasti kerana kedudukan geografi tanah arab yang terletak di pusat bumi, dikelilingi oleh gurun serta padang pasir dari segenap arah. Semenanjung arab seumpama kubu yang menghalang orang asing menjajah oleh kerana itulah mereka merdeka di tanah ini meskipun berjiran dengan dua empayar besar iaitu Rom dan Parsi.

Mekah menurut kajian Prof Hussain Kamal merupakan ibu kepada pusat bumi ini dan ini bertepatan dengan Firman Allah :

Demikianlah Kami wahyukan kepadamu Al Quran dalam bahasa Arab, supaya kamu memberi peringatan kepada ummul Qura (penduduk Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) sekelilingnya serta memberi peringatan (pula) tentang hari berkumpul (kiamat) yang tidak ada keraguan padanya. Segolongan masuk syurga, dan segolongan masuk Jahannam.(Syura:7).

Perkataan “Ummul Qura” membawa makna induk atau ibu serta unggul di mana Mekah merupakan ibu bagi kota-kota lain atau kota yang terunggul daripada kota yang lainnya. Maka, faktor ini merupakan faktor paling dominan mengapa tanah Arab menjadi tumpuan untuk pengutusan nabi terakhir untuk menyebarkan Islam.

Seterusnya, di tanah arab atau lebih tepat di Kota Mekah inilah dibangunkan Rumah Allah yang pertama oleh Nabi Allah Ibrahim.Firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadat) manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Mekah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia. (Ali-Imran:96).

Ibnu Kathir menyatakan bahawa di Mekah inilah dibangunkan Baitullah yang pertama untuk kepentingan ibadah dan haji para umat manusia oleh Nabi Ibrahim termasuklah bagi bertawaf,solat dan beri’tikaf.

Oleh yang demikian, Mekah mempunyai keistimewaan dari sudut sejarahnya sebagai pusat pertama kepada penyebaran agama Allah. Maka baginda diutuskan untuk menyebarkan agama di lokasi pertama Rumah-Nya serta membersihkan kota tersebut daripada kesyirikkan dan berhala yang memesongkan akidah. (Sebanyak 360 berhala dihancurkan oleh baginda ketika Fathul Mekah)

Meskipun begitu, mengapa Allah tidak memilih nabi daripada kalangan bangsa yang maju seperti Rom dan Parsi ketika itu? Jawapan yang pasti ialah kerana kerancakkan peradaban dan ideologi yang berkembang di dalam dua kuasa besar tersebut sudah pasti menutup ruang bagi Islam untuk berkembang.

Hassan an-Nadwi berkata, masyarakat pada saat itu adalah masyarakat yang sombong dari sudut pengetahuan, peradaban dan falsafah mereka sehingga  membuat jiwa dan pikiran mereka menjadi kompleks dan sukar menerima ajaran yang baru hendak melebarkan sayapnya.

Bangsa Rom sudah menganut agama Kristian dan Parsi menyembah api. Justeru, ini menyukarkan Islam kerana pegangan mereka yang utuh kepada ajaran mereka.

Manakala bangsa arab ketika itu mewarisi agama nabi Ibrahim namun sedikit demi sedikit pudar kesucian agama apabila dipesongkan. Hal ini terutamanya ketika Amru Bin Luhay yang membawa pulang berhala dari Tanah Syam untuk disembah.

Maka, orang Arab di kota tersebut mengikutinya kerana pengaruhnya sebagai seorang pemimpin yang besar dan dihormati ketika itu. Namun, ajaran yang benar tetap wujud seperti iktikaf, tawaf dan sa’ie namun pudar kerana kepincangan dan kepesongan akidah mereka serta berlalu dilupakan zaman.

Masyarakat arab dipilih oleh Allah untuk menerima utusan terakhir adalah kerana suasana masyarakat itu sendiri yang mempunyai beberapa nilai positif dan dekat dengan agama Islam. Ini sudah pasti mengejutkan tetapi itulah hakikatnya.

Antara amalan mereka yang mulia ialah pemurah. Separuh dari syair dikarang untuk memuatkan pujian mengenai sifat pemurah mereka.

Dek kerana pemurah, mereka bahkan meminum arak dan berbangga kerana ianya merupakan jalan untuk mereka mendapatkan sifat pemurah dengan menyumbangkan harta mereka ketika mereka mabuk. Al-Mubarakfuri berkata bahawa dengan demikianlah, dinamakan pokok anggur sebagai “al-Karm” (mulia) dan arak disebut sebagai “bintu karam” (anak kemuliaan dan pemurah).

Setia kepada janji juga dipegang dengan teguh oleh mereka, kerana bagi mereka, orang yang mengkhianati janji ialah orang yang paling dibenci dan tidak mempunyai harga diri. Ini dibuktikan apabila kertas pemulauan terhadap Umat Islam dan Bani Hasyim reput dimakan anai-anai, mereka tidak memperbaharui perjanjian pemulauan mereka kerana setia kepada sifat ini.

Kebenaran juga  merupakan sifat yang positif diamalkan mereka di mana Imam Bukhari merekodkan bahawa Quraisy ketika menghadap Hiraql di Illia telah ditanya tentang Nabi Muhammad.

Maka, Abu Sufyan menjawabnya dengan jujur meskipun memusuhi Islam ketika itu dengan berkata “ jika aku berbohong, nescaya aku akan mendapat malu”.

Sebagai simpulan untuk dipegang, keistimewaan dari sudut geografi dan masyarakat Arab itu sendiri mendorong kepada mengapa bangsa ini dipilih. Pemilihan yang memberi impak besar sehingga kita yang sudah  berada kira-kira 1400 tahun selepas zaman baginda masih mampu untuk menikmati nikmat Islam, Iman dan Ihsan.

A.R. Kasa
Mahasiswa Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam,
Universiti Malaya.

RUJUKAN:

Ahmad Shalaby, Sejarah dan Kebudayaan Islam.

Bakhit Hj. Ali, Fiqh Sirah.

Ibnu Kathir, Lubaabul Tafsir, Pent. Abdullah Bin Muhammad.

Saffiyu Rahman al-Mubarakfuri, Sirah Nabawiyyah:al Rahiq al-Makhtum


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Mahasiswa Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya. "Cinta kepada Tamadun diiringi kebenaran Sejarah."

Comments are closed.