Sepanjang berlalunya sejarah negara-negara Asia, antara tempat yang paling menggamit perhatian kebanyakan masyarakat dunia adalah Jepun.
Kepulauan Jepun sejak sekian lama menjadi tempat berdirinya banyak kerajaan dan keshogunan, yang mana kesemuanya ini muncul lantaran geografi negara kepulauan itu sendiri.
Namun, terdapat sebuah pulau di Jepun yang benar-benar unik – begitu unik hinggakan untuk tempoh masa yang cukup lama, para penghuni pulau tersebut sama sekali tidak dianggap sebagai orang Jepun!
Pulau yang dimaksudkan ini adalah Pulau Okinawa, dan rangkaian pulau yang terdapat di sekelilingnya pula disebut secara kolektif sebagai Kepulauan Ryukyu.
Walaupun sering dikesampingkan dan dicampur-adukkan ke dalam sejarah keseluruhan Jepun, pulau-pulau kecil ini pada hakikatnya memiliki kisah unik yang tersendiri. Dan kisah tersebut secara utamanya berkisar pada Kerajaan Ryukyu.
Kisah sejarahnya ini cukup mengujakan, memerihalkan kemunculan sebuah negara pulau; sebuah kerajaan yang muncul dari lautan luas dan mencipta tempatnya yang tersendiri dalam perdagangan maritim Asia Timur.
Dalam artikel kali ini, mari kita terokai beberapa helai lembaran sejarah yang sejak sekian lama sering dikesampingkan. Lembaran sejarah tentang masyarakat Okinawa dan Kerajaan Ryukyu.
ASAL-USUL KERAJAAN RYUKYU
Kepulauan Ryukyu adalah sebuah rantaian pulau yang terbentang dari wilayah Jepun Selatan di Kyushu hingga ke Taiwan.
Entah bagaimana dan mengapa, keadaan kepulauan ini yang terpencil, kecil dan berselerakan tidak pernah menerima tumpuan jiran-jiran terdekat mereka dalam sejarah awal mereka.
Penghuni-penghuni terawal kepulauan ini dipercayai sebagai keluarga rapat masyarakat Neolitik Jepun dan mereka adalah penghuni dari Taiwan dan Jepun. Justeru dalam bentuknya yang terawal, masyarakat asli di Kepulauan Ryukyu adalah kacukan kedua-duanya.
Namun, perkaitan secara umum terhenti di situ. Keadaannya yang terpencil dan tidak signifikan pada era-era awalnya membuatkan masyarakat asli di Kepulauan Ryukyu membangun dalam sebuah identiti yang tersendiri dan unik.
Hal ini turut membawa kepada perkembangan beberapa buah bahasa yang saling terkait rapat, dengan Bahasa Okinawa menjadi bahasa pertuturan yang paling meluas. Bahasa-bahasa ini adalah sebahagian daripada keluarga Bahasa Japonik, bersama dengan Bahasa Jepun.
Kepulauan ini secara kasarnya terdiri daripada 140 buah pulau yang berselerakan. Kebanyakannya agak kurang sesuai untuk didiami. Pulaunya yang terkecil pula hanya terbentuk daripada batu-batu karang. Kurang separuh daripada angka itu dihuni oleh manusia.
Pulau yang terbesar dalam kepulauan tersebut sekaligus menjadi pusat kepada sejarah Ryukyu adalah Pulau Okinawa.
Dengan ukuran saiznya sekitar 100 km (62.14 batu) panjang dan 11 km (6.84 batu) lebar, pulau ini pada hakikatnya tidaklah besar mana. Namun begitu, saiznya itu sudah memadai untuk pulau tersebut mengecapi pembangunan terutama pada era-era kritikal.
Bentuk bumi kepulauan ini yang berhutan kecil, berpasir dan berbatu sememangnya tidak sesuai untuk aktiviti pertanian.
Namun, kekuatan ekonominya terletak pada aspek-aspek lain, iaitu kepelbagaian flora dan fauna seperti rusa, babi hutan dan pelbagai spesis ikan. Kedudukannya yang strategik turut menggalakkan penglibatannya dalam perdagangan maritim.
Ryukyu hanya mendapat perhatian wilayah-wilayah jirannya pada kurun ke-7 Masehi dan masa-masa terkemudian. Jiran-jiran yang dimaksudkan ini tidak lain adalah China dan Jepun, dua buah negara yang kelak memainkan peranan besar dalam perjalanan sejarah Kepulauan Ryukyu.
Walaupun masyarakat asli kepulauan itu sejak sekian lama terkait rapat dengan masyarakat Jepun, hubungan awal mereka dengan dunia luar pada hakikatnya lebih banyak tertumpu pada masyarakat China.
Dari kacamata masyarakat Jepun tanah besar, Kepulauan Ryukyu dianggap sebagai sebuah rantau sempadan yang kelam atau disebut sebagai nanto yang membawa maksud Kepulauan Selatan.
Bagi masyarakat China, dengan matlamat ingin melebarkan pengaruh, Kepulauan Ryukyu dipandang dengan minat yang lebih besar. Dalam catatan-catatan pertahunan mereka, Kepulauan Ryukyu buat kali pertamanya disebutkan secara rasmi pada tahun 605M, di era pemerintahan Dinasti Sui.
Sekitar waktu itu, perutusan-perutusan China dihantar ke kepulauan tersebut sebagai usaha untuk meny3rapnya masuk ke dalam autoriti China.
Namun, perhubungan ini tidak berjalan dengan lancar lantaran kedua-dua belah pihak tidak dapat berkomunikasi atas faktor perbezaan bahasa.
Lantaran itu, perhubungan yang cuba dijalinkan akhirnya berubah menjadi sebuah persengk3taan. Pihak China malah bertindak menj4rah kepulauan tersebut dan mencvlik 1000 orang tawanan untuk dibawa pulang ke tanah besar.
Sementara itu bagi masyarakat Jepun, perhubungan signifikan pertama dengan Kepulauan Ryukyu direkodkan pada tahun 698M dalam Shoku Nihongi (Hikayat-Hikayat Jepun).
Dalam catatan tersebut, dinyatakan bahawa seorang perutusan diraja yang bernama Fumi no Imiki dihantar bersama beberapa orang pengiring dalam sebuah misi diplomatik yang bertujuan untuk melebarkan pengaruh Jepun ke atas Kepulauan Selatan.
Misi ini meraih keberhasilan lantaran perutusan dari beberapa buah pulau seperti Amami, Yakushima, Tanejima dan Tokunoshima menghantar hadiah dan ufti ke Makam Suci Agung untuk Dewi Matahari di Ise.
Namun, pulau-pulau lain dalam Kepulauan Ryukyu tidak dapat ditvndukkan semudah itu. Sebahagian besarnya menolak pemerintahan Jepun.
Pulau-pulau ini dihuni oleh sejumlah puak dan diperintah oleh para pembesar dengan tumpuan yang lebih diletakkan pada kaum wanita.
Walau bagaimanapun, seiring peredaran waktu, budaya Jepun secara bertahap tetapi pasti berjaya menembusi Kepulauan Selatan ini dan meninggalkan kesan yang bukan kecil.
Hal ini digalakkan lagi menerusi polisi Jepun yang sering menghantar pegawai, kehormat dan rakyat yang dibvang negeri ke kepulauan tersebut. Dengan demikian, berlaku percampuran dan kacukan secara bertahap dalam kalangan masyarakat Yamato (Jepun) dan penghuni-penghuni asli Kepulauan Ryukyu.
DINASTI-DINASTI AWAL OKINAWA
Kepulauan Ryukyu, dengan Okinawa sebagai pusatnya, mengalami pertumbuhan lantaran kepulauan ini terletak di laluan perdagangan maritim yang penting iaitu merangkumi tanah besar China, Semenanjung Korea, Taiwan, Jepun dan Malaysia.
Dalam sebuah antologi berjudul Chuzan Seikan (bermaksud Cermin Chuzan) yang ditulis pada tahun 1650, disebutkan bahawa raja pertama Okinawa adalah Tenson. Pada awal milenium pertama Masehi, Tenson menubuhkan sebuah dinasti yang berupaya memerintah para pembesar dan puak-puak di Okinawa.
Pulau-pulau lain dalam Kepulauan Ryukyu diperintah oleh beberapa orang penguasa bawahan yang setiap seorang memerintah sebuah pulau. Lebih kurang sekurun setengah kemudian, suatu peristiwa besar yang menamatkan Dinasti Tenson direkodkan.
Peristiwa ini melibatkan seorang samurai Jepun yang terbuang, bernama Minamoto na Tamemoto. Beliau yang tiba di Okinawa pada tahun 1166 Masehi menghuni Urasoe. Beliau mempunyai seorang anak yang bernama Shuten. Setelah beberapa tempoh berlalu, beliau pun pulang ke Jepun dengan meninggalkan anaknya yang masih muda itu di Urasoe.
Anak muda yang hanya berusia 15 tahun ini kemudiannya menjadi salah seorang pemerintah kecil di Okinawa, atau disebut sebagai anji.
Beliau kemudiannya memainkan peranan penting dalam pembangunan pulau tersebut. Kebanyakan raja kecil di Okinawa pada waktu itu sedang member0ntak menentang pemerintah ke-24 Dinasti Tenson.
Pember0ntakan ini memuncak dengan pembunuhan pemerintah tersebut. Pembvnuhnya yang bernama Riyu mengambil-alih tampuk pemerintahan. Namun, beliau dengan pantas dit3waskan oleh raja-raja kecil lain yang dipimpin oleh Shuten.
Shuten kemudiannya memerintah Okinawa selama 51 tahun. Di bawah pemerintahan beliau, pulau ini mengalami pembangunan pesat dan banyak kejayaan politik serta ekonomi dicapai. Raja ini mangkat pada tahun 1237M dan digantikan oleh puteranya yang bernama Shumba-Junki.
Walaupun memerintah hanya selama satu dekad, Shumba-Junki juga berjaya melakukan sejumlah pembangunan yang signifikan.
Antaranya memperkenalkan sistem tulisan Jepun dan membina sejumlah istana. Istana-istana yang disebut sebagai gusuku ini adalah ciri ikonik budaya Okinawa dan mempunyai tembok-tembok batu tinggi yang mengelilingi istana yang berciri seni bina Jepun tradisional.
Pada masa inilah dipercayai bahawa Istana Shuri yang ikonik itu dibangunkan. Istana ini hampir mvsnah semasa Pert3mpuran Okinawa dan kemudian dibina semula. Malangnya, pada 31 Oktober 2019, sebahagian besar bangunan ini hangvs terb4kar.
Zaman pemerintahan putera Shumba-Junki yang bernama Gihon menyaksikan banyak benc4na alam berlaku. Okinawa mengalami kemarau dan taufan yang berpanjangan. Hal ini mengakibatkan tanaman gagal dituai berulang kali.
Kemiskinan dan kebuluran melanda seluruh pulau dan mengakibatkan penularan penyakit. Hampir separuh populasi Pulau Okinawa terk0rban.
Sebagai bertindak balas terhadap era yang tidak stabil ini, Gihon menamakan (mungkin atas desakan) seorang pembesar muda ulung yang bernama Eiso sebagai pemangkunya. Hanya enam tahun kemudian, Eiso ditabalkan sebagai raja apabila Gihon turun takhta.
Pada era pemerintahannya, kestabilan dan kekayaan berjaya dikecapi semula. Pengaruh kekuasaan Eison tersebar hingga ke pulau-pulau berhampiran, seperti Iheya, Kerama, Kume dan Amami Oshima. Kesemua pulau ini menghantar ufti dan cukai kepadanya.
Pada tahun 1292, Eiso menerima sepucuk surat daripada pemimpin Monggol, Kublai Khan yang menuntut agar Okinawa tunduk kepada kekuasaannya dan membantu Monggol dalam s3rangan ke atas Jepun.
Eiso enggan tunduk kepada Monggol dan enggan menerima utusan mereka semasa Monggol sekali lagi membuat tuntutan yang sama empat tahun kemudian.
Pada tahun 1299, Eiso mangkat dan dinastinya diteruskan oleh putera dan cucunya. Namun mereka memerintah tanpa berlaku sebarang hal yang signifikan. Pada zaman cicitnya yang bernama Tamagusuku, barulah Okinawa memasuki sebuah era baru.
ZAMAN TIGA GUNUNG
Pulau Okinawa kemudiannya memasuki sebuah era genting dalam sejarahnya. Era ini diperkenalkan kepada kita sebagai Era Tiga Kerajaan Ryukyu (1322-1429). Dalam sejarah Okinawa sendiri, ia dikenali sebagai era Tiga Gunung.
Kesemua nama ini merujuk kepada penubuhan tiga buah wilayah terpisah di Okinawa, yang secara efektif menyatukan kesemua raja-raja kecil (atau pembesar) yang sebelum ini berselerakan ke bawah tiga ‘kerajaan’. Kerajaan-kerajaan ini adalah Hokuzan (Gunung Utara), Chuzan (Gunung Tengah) dan Nanzan (Gunung Selatan).
Hokuzan yang mendominasi bahagian utara pulau ini adalah kerajaan terbesar sekaligus kekuatan ketenteraannya juga adalah yang paling ampuh.
Kerajaan pertengahan, iaitu Chuzan sedikit kecil namun lebih kaya lantaran ia mengawal pelabuhan-pelabuhan penting. Nanzan pula walaupun merupakan kerajaan yang paling kecil, ia memegang kepentingan yang tersendiri apabila menjadi pusat kebudayaan dan pendidikan.
Ketiga-tiga kerajaan ini saling berseteru dan menghantar perutusan secara terpisah kepada istana China dengan harapan dapat meraih sokongan dalam rangka menjadi kuasa yang mengungguli dua kerajaan yang lain.
Era tiga kerajaan ini memuncak apabila raja Chuzan, Hashi, menggvlingkan pendahulunya dan kemudian menyerang Kerajaan Utara, Hokuzan. Hashi berjaya menaklvk Hokuzan pada tahun 1416 dan kemudian menguasai Nanzan pada tahun 1429 sekaligus menyatukan Pulau Okinawa.
Menerusi pengaruh yang besar daripada China, Hoshi menerima nama keluarga, iaitu Sho. Lantaran itu, beliau dikenali sebagai Sho Hashi dan dinasti yang ditubuhkannya pula dinamakan sebagai Dinasti Sho.
Kerajaan Ryukyu ini mula berkuasa pada tahun 1429 sehingga 1879 dan kemudian secara bertahap melebarkan penguasaannya ke atas seluruh kepulauan tersebut. Dinasti ini juga secara bertahap meningkatkan ekonomi dan memperteguhkan hubungan dengan China.
Zaman tersebut dianggap sebagai Zaman Keemasan Ryukyu dan ianya berlaku pada era pemerintahan Sho Shin, iaitu 1478-1526. Pada era ini, Kerajaan Ryukyu menjadi kuasa yang mendominasi perdagangan maritim di Asia Timur.
Secara kasarnya, kerajaan ini mengecapi zaman keemasan selama 150 tahun. Namun secara bertahap tetapi pasti, kerajaan ini mula mengalami ketvmbangan pada lewat 1500an lantaran hubungannya dengan China semakin lama semakin terjejas di samping anc4man daripada lanun-lanun Jepun pula semakin berleluasa.
Lantaran menyedari keadaan ini, Keshogunan Tokugawa di Jepun pun menghantar puak Shimazu dari kawasan kekuasaan Satsuma untuk menundvkkan Kerajaan Ryukyu. S3rangan yang ampuh ini dilakukan pada tahun 1608. Pencer0bohan tersebut berlangsung pantas tetapi dahsyat.
Kerajaan Ryukyu pun tvmbang lalu menjadi negara bawahan dan kekal dalam status tersebut sehingga tahun 1897 apabila dia serap masuk ke dalam negara Jepun untuk membentuk Wilayah Okinawa.
HARI-HARI TERAKHIR KERAJAAN RYUKYU
Walaupun kebanyakan sejarahnya dipayungi oleh sejarah Jepun, Okinawa dan Kepulauan Ryukyu sebenarnya memiliki sejarah sendiri yang cukup mengasyikkan.
Sebagai sebuah kerajaan yang memiliki identiti tersendiri dan diapit oleh dua buah negara yang berkuasa, Okinawa tetap jua berupaya mencipta ruang dan nama yang tersendiri dengan penuh kemegahan dan penentangan.
Namun, Okinawa sentiasa dibayangi oleh jiran-jirannya yang merupakan kuasa besar. Walaupun Jepun meninggalkan pengaruh pada Okinawa sejak mula dan rakyatnya pula sering dibvang negeri ke sana sekaligus berkahwin kacuk dengan penduduk tempatan, China agak awal mendominasi hal-ehwal dalaman dan sosial Okinawa hinggakan Dinasti Sho mengamalkan model dinasti warisan dari China.
Namun sesudah itu, kepulauan ini menyerap identiti Jepun sepenuhnya apabila Keshogunan Jepun mula menapakkan kaki ke sana.
Walaupun begitu, pada hari ini, sejarah Kerajaan Ryukyu dan Okinawa tetap tidak dilupakan. Masyarakat asli Okinawa masih berpegang teguh pada identiti mereka dan sering menonjol serta membezakan diri dengan masyarakat Jepun-Yamato.
Dan sememangnya itulah legasi daripada sejarah mereka yang unik. Warisan yang diperturunkan daripada episod demi episod pergelutan dalaman, pembangunan wilayah-wilayah kecil dan perdagangan maritim yang mapan.
TERJEMAHAN:
Aleksa Vuckovic. (11 November 2019). Ryukyu Kingdom: Castles, Customs, and China and Japan’s Rivalry. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ryukyu-kingdom-0012844
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih