Masa tahun lepas, bulan Disember, aku dijemput untuk jadi pembentang di Seminar Falsafah Sains Tabii kali kedua. Pada awalnya, aku nak bentang pasal falsafah masa dan termodinamik. Tapi disebabkan aku sangat sibuk waktu itu, dengan projek penyelidikan tahun akhir, persediaan peperiksaan akhir apa semua, aku tak ada masa nak hadam tentang falsafah itu.
Jadi, alang-alang, lebih baik aku bentang perkara yang aku sudah sedia tahu, iaitu pasal Teori Ketumpatan Berfungsi (Density Functional Theory). Teori ini adalah prinsip fizik yang berkaitan dengan projek tahun akhir aku. Semasa aku tulis makalah pasal teori ini, aku memang tak letakkan sebarang bentuk falsafah, hanya fizik semata-mata.
Tetapi Dr. Alinor ada tanya aku apa falsafah di sebalik teori ini. Teori ini ada guna keadah Prinsip-pertama (first-principles). Masa mula-mula aku agak itulah falsafahnya. Selepas buat pembacaan, memang itulah falsafahnya. Cuma, Prinsip-pertama yang difahami dalam konteks lapangan falsafah alamiah (natural philosophy) tidak sama dengan konteks sains moden, terutamanya kimia moden dan fizik moden. Sains moden terlalu empirikal maksudnya. Tetapi itulah sebenarnya yang membangunkan Teori Ketumpatan Berfungsi.
Berkenaan Tuhan bermain dadu ataupun tidak, ataupun apakah ‘mesin’ dan hukum sejagat (universal law) yang diusulkan oleh Muhammad Musoddiq Bin Jaafar itu sebenarnya telah lama dicari sejak zaman Yunani kuno lagi. Paling jauh pun sejak zaman pra-Socrates, iaitu zaman-zaman ahli falsafah mahu mencari unsur utama ataupun unsur asas yang membentuk objek atau jirim di sekeliling kita. Aristotle adalah orang pertama yang membangunkan kaedah Prinsip-pertama sebagai objektif utama kefalsafahannya.
Tujuan Aristotle adalah untuk mencari hukum sejagat juga macam Albert Einstein yang tidak bersetuju dengan tafsiran Copenhagen dan Stephen Hawking yang mahu mencari teori segala jagat (theory of everything).
Teori segala jagat ini adalah satu teori yang padat menerangkan segala hukum sains. Teori yang menjadi kunci utama segala hukum sains. Teori yang menyatu-padukan segala hukum dan persamaan dalam matematik. Dalam komuniti saintis, ia adalah kunci alam semesta. Dalam skop penyelidikan aku, Prinsip-pertama adalah sebahagian daripada serpihan teori segala jagat.
Prinsip-pertama yang dimaksudkan oleh Aristotle lebih kurang macam persamaan segala jagat yang difahami oleh Hawking itu juga sebenarnya. Menurut Aristotle, Prinsip-pertama ini adalah asas utama untuk segala pengetahuan (absolute knowledge). Pencarian Prinsip-pertama ini bukanlah hal yang ganjil dalam lapangan falsafah. Dalam karyanya ‘Physics‘, Aristotle memanjangkan berkenaan Prinsip-pertama pada pembukaan sebagai hala tuju dalam pengajian sains fizik.
Untuk mencari ‘punca’ segala ilmu pengetahuan ini, Aristotle cenderung dengan kaedah ‘kita patut mulakan segalanya dengan perkara yang kita sudah tahu dan jelas’ yang seterusnya membangunkan falsafah empirisisme. Empirisisme mengutamakan apa yang jelas dengan deria kita sebagai parameter utama sebagai saluran sumber ilmu pengetahuan. Dalam sains moden, kelompok yang mengamalkan falsafah ini tergolong dalam golongan eksperimentalis. Aristotle beranggapan Prinsip-pertama sudah jelas pada alam sekeliling walaupun ia belum jelas pada pengetahuan manusia.
Menurutnya lagi, falsafah Prinsip-pertama yang diterapkan ialah mencari ‘sesuatu’ sebelum manusia (prior to us), kerana manusia bermula daripadanya. Prinsip yang mahu dicari pula adalah sesuatu yang datang sebelum alam yang juga merupakan hal sebelum manusia.
Selain daripada Aristotle, kita akan perasan ramai ahli falsafah bergelut untuk mencari ‘kebenaran hakiki’ ataupun sesetengah keadaan mengikut perbezaan definisi mencari ‘hakikat ilmu’ (truth of knowledge). Bukan komuniti kita saja (fizikawan) yang mahu mencari hukum sejagat (universal law).
‘Magnus Opus‘ Rene Descartes adalah untuk mencari kebenaran dan realiti kewujudan dengan menggunakan kaedah keraguan yang dikenali kini sebagai Keraguan Cartes (Cartesian Doubt). Keraguan Cartes adalah bentuk skeptikisme yang meragukan segalanya yang mampu diragui sehingga yang tinggal hanyalah kebenaran yang tidak dapat diragui iaitu keraguannya sendiri. Keraguan ini membuktikan akal dan pemikirannya adalah realiti yang wujud. Daripada sinilah muncul kata-katanya yang terkenal, “I think, therefore I am.”
Dalam fizik moden, Einstein adalah yang terawal untuk mencari hukum sejagat ini sebab Einstein percaya yang Tuhan sebenarnya tak bermain dadu, iaitu menjadikan dunia kuantum begitu rawak dan penuh kebarangkalian. Baginya terdapat hukum yang lebih ‘mendalam’ daripada kuantum. Hal ini dikuatkan lagi dengan hujah mengapa relativiti dan mekanik kuantum tidak dapat bersatu. Einstein juga sangat hairan dan sangat tidak suka dengan tafsiran Copenhagen yang penuh kebarangkalian. Semasa munculnya teori Belitan Kuantum (Quantum Entanglement), ia melanggar teori relaitiviti.
Dalam buku ‘God And The New Physics‘ yang dikarang oleh Paul Davies menyatakan kalau mekanik kuantum itu bersifat deterministik, kita akan dapat meramalkan masa hadapan dengan lebih tepat.
Selain daripada pencerapan angkasa, saintis juga menggunakan mekanik kuantum untuk mencari asal-usul ataupun ‘mesin’ yang mentadbir alam ini. Kalau saintis dapat temui ‘mesin’ ini, saints dapat meramalkan masa depan alam secara keseluruhan, mungkin juga keseluruhan hukum fizik dapat bersatu seperti mana mula-mula ia ‘meletup’ (Big Bang) dulu.
Jadi, bagi aku teori segala jagat (theory of everything) atau hukum sejagat (universal law) atau sifat deterministik mekanik kuantum sememangnya wujud, cuma ia tidak mungkin dicapai oleh manusia. Mungkin juga kebenaran pengetahuan (truth of knowledge) itu sendiri adalah ilmu Tuhan yang mungkin tak mampu ‘ditampung’ oleh kapasiti manusia.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih