Semasa Era Keemasan Islam, dua tempat yang menjadi tumpuan para cendekiawan Islam pada ketika itu ialah Baghdad yang diperintah kerajaan Abbasiyyah dan Andalusia yang ditadbir kerajaan Bani Umayyah.
Dua tempat inilah yang menjadi saksi pelbagai sumbangan yang dibuat mereka dalam pelbagai disiplin ilmu. Di Andalusia, susuk tubuh ini dianggap legenda kerana memberi impak besar terhadap kebudayaan di Semenanjung Iberia yang terus bertahan sehingga ke hari ini. Individu yang dimaksudkan ialah Ziryab.
Ziryab atau nama sebenarnya Abu’l Hassan Ali bin Nafi dikatakan lahir pada tahun 790 Masihi dalam sebuah keluarga mawali (golongan bukan Arab yang beragama Islam) di Mosul, Iraq. Tidak diketahui latar belakang bangsanya berikutan pelbagai dakwaan yang berbeza dari orang Afrika hinggalah Kurdis atau Parsi.
Beliau diberi gelaran Ziryab yang bermaksud hitam atau keemasan (mengikut intepretasi periwayat-periwayat kisahnya). Sejak dari kecil, beliau telah didedahkan kepada pelbagai disiplin ilmu termasuk astronomi, botani, kimia dan muzik. Salah seorang gurunya yang memberi impak besar kepada Ziryab ialah Ishak al-Mawsili.
Menurut satu legenda, Ishak al-Mawsili sentiasa menjadi tamu di istana Khalifah Harun al-Rashid dan menghiburkan para hadirin dengan hiburan berbentuk muzik. Pada satu ketika, beliau membawa Ziryab ke istana dan khalifah merasa tertarik untuk melihat anak muda itu memperagakan bakatnya.
Walaupun pada awalnya keberatan, Ishak membenarkan Ziryab membuat persembahan. Selepas mendapat izin menggunakan alat muzik ciptaannya, beliau menghiburkan hadirin dengan nyanyian dan muzik yang mengasyikkan. Persembahan tersebut mendapat sambutan hebat dalam kalangan hadirin termasuk Harun sendiri.
Namun, ia mengundang rasa kurang senang Ishak terhadap anak muridnya itu. Lalu tidak lama selepas itu, Ziryab diberi pilihan sama ada meninggalkan Baghdad dengan semua perbelanjaan perjalanan ditanggung oleh beliau atau berdepan risiko dihukum m4ti. Ugutan sebegitu bukan kosong kerana reputasi Harun yang tidak akan bertolak ansur dengan pemb3lot seperti yang berlaku ke atas keluarga al-Barmaki. Ziryab bersetuju dengan tawaran itu lalu membawa diri sehingga ke Andalusia.
Tetapi berdasarkan semakan semula semua catatan periwayat biografi Ziryab, sejarawan Carl Davila menyifatkan perkara tersebut tidak berlaku dan sengaja ditambah untuk menonjolkan bakat polymath kelahiran Mosul itu. Sebaliknya, Ziryab terus menetap di Baghdad sehingga era pemerintahan dua putera Harun iaitu al-Amin dan al-Ma’mun. Dan tidak mustahil selain Ishak, beliau juga sudah pasti berguru dengan para cendekiawan lain termasuk filsuf Arab terkenal iaitu al-Kindi yang turut mahir dalam bidang muzik.
Davila berpandangan sebab sebenar pemergian Ziryab dari bumi Baghdad ialah tidak mahu mengambil risiko akan status keselamatannya berikutan pernah membuat persembahan di istana semasa pemerintahan al-Amin. Ini berikutan selepas kemangkatan Harun, dua bersaudara itu terlibat dalam kempen p3rang saudara selama beberapa tahun sehingga kejayaan memihak kepada al-Ma’mun. Ziryab tahu seperti mana apa yang berlaku terhadap Jabir ibn Hayyan dan keluarga al-Barmaki, sesiapa saja yang ada kaitan dengan al-Amin pasti akan menjadi sasaran pemerintah baru Abbasiyyah itu.
Selepas meninggalkan Baghdad, beliau berkelana ke Syria dan menetap di situ selama beberapa tahun. Dari Syria, Ziryab mengembara ke Qayrawan, Tunisia yang diperintah pemerintah Aghlabah ketika itu, Ziyadat Allah I. Tetapi beliau tidak kekal lama di Qayrawan berikutan satu insiden membabitkannya dengan baginda.
Pada satu ketika, Ziryab menyanyi sebuah lagu berdasarkan sebuah sajak yang dikarang Antara’, seorang penyajak berdarah campuran Arab yang terkenal pada zaman pra-Islam Arab. Apabila Ziyadat Allah I mendengar lagu tersebut, baginda merasa amat tersinggung dan melihat Ziryab sengaja menghinanya (walaupun tiada niat berbuat demikian) berikutan baginda sendiri mempunyai darah campuran Arab. Akibatnya, Ziryab dipukul pada bahagian belakang leher dengan cemeti dan diberi amaran sekiranya kelibatnya masih ada di Qayrawan dalam tempoh tiga hari, maka beliau akan dihukum m4ti.
Dari situ, barulah beliau berkelana ke Andalusia yang diperintah Dinasti Umayyah menerusi Abdul Rahman II selepas mendapat jemputan daripada ayahandanya, al-Hakam I. Satu legenda yang timbul dari Andalusia seperti dipetik oleh Ibnu al-Qutiyya menceritakan pada satu ketika, beliau menghiburkan Abdul Rahman II dengan sebuah lagu yang menghiburkan. Sebaik selesai, baginda menitahkan Ziryab dibayar sebanyak 30,000 dinar dari perbendaharaan negara. Bagaimanapun, perintah tersebut dibantah penjaga perbendaharaan yang menyifatkan wang tersebut seharusnya digunakan untuk kebajikan rakyat.
Jika baginda masih hendak berbuat demikian, maka 30,000 dinar itu harus datang daripada harta Abdul Rahman II sendiri. Ziryab lantas berkata, “Apa jenis ketaatan ini?” Tetapi baginda memuji sikap penjaga perbendaharaan itu dan mengeluarkan 30,000 dinar dari harta baginda sebagai bayaran kepada Ziryab.
Kisah ini menurut Ibnu al-Qutiyya sebagai teladan kepada para pemerintah dalam soal pengurusan kewangan negara. Tetapi ia turut mendedahkan bahawa legenda kebudayaan Arab ini juga tidak lari dari membuat kesilapan.
Yang pasti, Ziryab kemudiannya dibayar 200 dinar emas sebagai penghibur istana dan turut diberi pelbagai kelebihan sekaligus membolehkannya memberi banyak sumbangan dalam pelbagai disiplin ilmu.
Dalam bidang muzik misalnya, beliau bertanggungjawab memperkenalkan sejenis alat muzik yang dipanggil lut atau kecapi di Andalusia dan Eropah. Tidak mustahil, alat muzik ini yang dikatakan digunakan dalam cerita legenda persembahan yang memukau Harun al-Rashid dan membuatkan Ishak naik berang. Ziryab dan al-Kindi dikatakan turut bertanggungjawab menambah tali bes kelima dan menggantikan plektrum kayu dengan tulang bulu pelepah burung helang.
Beliau juga merupakan orang pertama yang memperkenalkan konservatori di Andalusia. Konservatori ialah sebuah sekolah seni di mana pelajarnya dilatih dalam pelbagai bidang kesenian muzik. Dalam kes Ziryab, beliau melatih para pelajarnya dalam bidang muzik termasuk komposisi lagu dan nyanyian harmoni.
Beliau turut memberi input dalam bidang muzik dengan menyusun semula teori muzik, memberi kebebasan dari segi parameter metrik dan irama lagu serta menghasilkan ekspresi baru lagu seperti zajal, mwashah dan nawbah. Menurut salah seorang periwayat Ziryab iaitu al-Maqqari, polymath kelahiran Mosul itu mengetahui lebih seribu lagu dengan sebahagian daripadanya dikarang oleh Ptolemy.
Ziryab juga dikatakan bertanggungjawab mempengaruhi unsur fesyen dan gaya hidup penduduk Andalusia ketika itu. Dalam bidang fesyen misalnya, beliau mencadangkan pakaian yang dipakai mestilah mengikut musim dan cuaca. Contohnya untuk pakaian musim sejuk, pakaian tersebut hendaklah berwarna gelap dan lebih tebal dari segi bahan pakaiannya. Ini bagi membolehkan si pemakai terus kekal panas dan selesa walaupun semasa musim sejuk.
Dari segi pemakanan dan peralatan makanan, tidak ramai tahu impak yang dibawanya sehingga hari ini. Ziryab merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan konsep pembuka selera (appetizer), makanan utama (main menu) dan pencuci mulut (dessert). Untuk pembuka selera, beliau mencadangkan makanan bersifat ringan seperti sup, makanan utama terdiri daripada menu daging, ikan dan hidangan yang lebih berat.
Manakala untuk pencuci mulut, Ziryab mencadangkan makanan yang bersifat manis seperti buah-buahan atau kuih-muih dengan kacang sebagai snek. Input yang dibawanya merevolusikan bagaimana chef mengatur masakan mereka dan orang ramai makan makanan mereka.
Ziryab juga merupakan orang pertama yang mengetahui kewujudan sayur asparagus sebagai makanan yang bukan saja boleh dimakan tetapi enak. Beliau juga bertanggungjawab menggantikan penggunaan gelas emas dengan gelas kaca atau kristal sekaligus membuka ruang kepada kewujudan kilang kaca di Andalusia.
Dari segi kebersihan pula, Ziryab merupakan orang pertama yang memperkenalkan ciptaan ubat gigi. Walaupun komposisi bahan ubat gigi ciptaannya itu tidak diketahui, tetapi rasanya amat baik. Beliau juga bertanggungjawab memperkenalkan deodoran di Andalusia. Deodoran yang diperkenalkannya boleh menjadikan bau badan jauh lebih baik walaupun semasa musim panas di Andalusia. Selain itu, Ziryab turut memperkenalkan gaya rambut baru yang bersesuaian untuk golongan Adam dan golongan Hawa.
Sebelum kedatangannya di situ, mereka membiarkan rambut mereka tumbuh panjang tanpa diurus. Selepas kehadirannya, beliau menunjukkan potongan rambut yang pendek dan bersih bagi kaum lelaki sementara untuk kaum wanita pula, beliau mengajarkan potongan rambut lurus. Gaya rambut baru ini turut dibantu oleh syampu yang dihasilkan olehnya. Syampu versi Ziryab diperbuat daripada air bunga ros dan garam, sekaligus menjadikan rambut para penggunanya lebih sihat dan berseri-seri. Ziryab meninggal dunia di Cordoba pada tahun 857 semasa berusia 68 tahun.
RUJUKAN:
- Davila, Carl. (2009). Fixing a Misbegotten Biography: Ziryāb In the Mediterranean World. Al-Masa’q, Vol. 21, No. 2. Routledge Taylor & Francis Group. https://www.academia.edu/424220/Fixing_a_Misbegotten_Biography_Ziry%C4%81b_In_the_Mediterranean_World
- Egypt Today. (2017). Ziryab: The cultural icon of al-Andalus. https://www.egypttoday.com/Article/4/5901/Ziryab-The-cultural-icon-of-al-Andalus
- Muslim Heritage. (2003). Ziryab, the Musician, Astronomer, Fashion Designer and Gastronome. https://muslimheritage.com/ziryab-the-musician/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih