Selepas menonton Maleficient – Queen of Evil, admin tertarik dengan cara penyampaian cerita tersebut berkenaan dengan mitos berkaitan dengan Fey atau Fairy, makhluk ajaib dengan alam mereka.
Pelbagai bentuk fairy yang dipersembahkan seperti bebunga dedalu, cendawan, pokok-pokok dan penguasa mereka, seorang Ratu yang bernama Maleficient. Maleficient pula menabalkan Aurora, seorang manusia sebagai Permaisuri Moors, nama negeri fairies tersebut (Moors juga adalah panggilan Orang Eropah kepada Orang Islam di Utara Eropah).
Sebelum-sebelum ini, kita dihidangkan dengan Fairy yang comel seperti Tinker Bell, bersayap, mempunyai ilmu ajaib dan menjadi peneman kepada kanak-kanak. Menurut lagenda Barat, Fairy amat berbeza daripada apa yang kita fikirkan. Bagi sesetengah lagenda barat, Fairy merupakan makhluk yang paling digeruni sehinggakan mereka memberi gelaran sahaja kepada mereka, tanpa menyebut nama entiti tersebut kerana takut dengan kewujudan mereka.
The Fae Folk atau Faeries (dimudahkan kepada Fey sahaja) merupakan makhluk yang wujud dengan kebolehan membuat magis. Sesetengahnya boleh membuat magis secara terang-terangan seperti changeling (anak yang ditukar dengan fairies), sirens (makhluk bersayap yang gemar menyanyi) dan domovoy (makhluk penjaga rumah). Sesetengahnya pula mempunyai keajaiban dari segi penampilan seperti Gergasi, Troll dan Ogre. Tamadun Barat mempercayai Fae mempunyai pelbagai kebolehan berpandukan alam semulajadi.
Pelbagai nama yang diberikan oleh Tamadun Barat kepada Fae yang wujud berhampiran mereka. Eropah Barat menamakan mereka sebagai “the good folk” atau “the hidden people” atau “the little people.” Scandinavia dan Jerman menamakan mereka sebagai “Elves” atau “nixie” atau “kobold”.
Budaya Parsi pula menamakannya sebagai “peri” (dan nama Peri ini mempengaruhi panggilan peri dan mambang dalam budaya Melayu), yang mana Peri menyerupai wanita cantik dan membawa bencana seperti kebuluran, wabak, kemarau dan sebagainya. Mungkin Fey ialah Jin yang kita ketahui wujud menurut kepercayaan agama Islam. Mereka juga tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia melainkan jika mereka mahu dilihat.
Mitos Awal dan Lagenda Berkenaan dengan Fey
Di Ireland, salah satu bangsa pen4kluk terawal dikenali sebagai Tuatha de Danaan serta mereka dipercayai mempunyai kuasa yang hebat. Menurut kepercayaan mereka, semasa manusia mula datang ke Ireland, Tuatha ini melarikan diri ke dalam tanah.
Mereka mempercayai bahawa Tuatha de Danaan ialah anak kepada Dewi Danu. Tuatha pergi ke Tir na nOg (Alam selepas kematian atau alam kayangan dalam mitos Ireland) dan membakar kapal mereka supaya mereka tidak boleh kembali semula dari Tir na nOg.
Kepercayaan barat terhadap Fey ini dikatakan bermula pada zaman Beltane, zaman di mana manusia dan Fey ini hidup bersama-sama, tanpa hijab seperti sekarang. Kebanyakan Kisah Peri (Fairy Tales) berkisarkan kepada zaman Beltane. Kepercayaan kepada Beltane ini ialah kepercayaan Pagan di Eropah.
Tuatha melarikan diri daripada Milesian (macam Malaikat dalam mitos Ireland) dan berevolusi menjadi Bangsa Peri di Ireland. Dalam lagenda Celt pula, Fey dikatakan menetap dalam gua bawah tanah yang misteri. Pengembara yang masuk ke gua-gua ini akan termasuk ke alam Fey.
Selain itu, untuk masuk ke alam Fey, terdapat pintu rahsia untuk ke alam Fey ini. Pintu ini dikawal sepenuhnya, namun ramai pengembara yang berjaya masuk ke alam Fey. Dalam kisah lain, pengembara yang termasuk ke alam Fey sehari, apabila kembali ke dunia manusia mendapati mereka sebenarnya telah hilang selama tujuh tahun. Kisah ini macam biasa kita dengar kan di negara kita.
Kisah Perwira Oisin
Cerita rakyat yang terkenal di Ireland berkenaan dengan Fey ialah kisah Perwira muda yang bernama Oisin. Oisin jatuh cinta kepada gadis Fey yang bernama Niamh, yang berambut merah menyala. Niamh ialah anak kepada raja Tir na nOg. Mereka merentasi lautan menaiki kuda putih Niamh untuk tiba ke Tir na nOg dan hidup bahagia selama 300 tahun.
Oisin merasa rindu untuk pulang ke kampung halamannya, lalu Oisin pulang ke kaumnya iaitu Kaum Fianna menaiki kuda putih ajaib. Namun, setelah tiba ke kampung halamannya, Oisin mendapati semua keluarga dan kenalannya telah lama meninggal dunia dan istananya juga dipenuhi lalang.
Oisin merasa kecewa dan memacu kudanya kembali ke arah barat dan bersiap sedia untuk kembali ke Tir na nOg, namun beliau berhenti seketika untuk mengutip batu sebagai kenangan dunia nyatanya. Sejurus selepas Oisin menjejakkan kaki ke tanah, dia terus mengalami penuaan yang sangat cepat, iaitu berubah ke usia asalnya, 300 tahun.
Kuda putihnya terkejut dan terus lari ke Tir na nOg, meninggalkan Oisin di belakang. Nelayan yang menyaksikan perubahan serta-merta Oisin itu sangat terkejut dan membawa Oisin kepada St. Patrick, di mana kisah cinta dan pengembaraannya diceritakan, lalu beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Kisah Fey di seluruh Eropah.
Di sesetengah tempat di Britain, mereka mempercayai jika seorang bayi yang dilahirkan itu sakit, berkemungkinan mereka bukanlah anak manusia. Bayi itu mungkin “changeling” yang ditinggalkan oleh Fey. Jika bayi itu ditinggalkan secara terbuka di kaki bukit, Fey akan datang untuk menuntut bayi tersebut.
Untuk menyelamatkan anak-anak mereka daripada diculik Fey, orang Britain meletakkan pelbagai azimat untuk menjauhkan Fey dari rumah mereka seperti kulit kayu oak dan ivy, serta meletakkan besi atau garam di muka pintu rumah mereka. Mereka juga membungkuskan kain buaian dengan baju bapa bayi untuk mengelakkan daripada diculik oleh Fey.
Dalam kisah rakyat di Britain juga, terdapat seorang Raja Briton purba yang bernama Herla. Penulis zaman Medieval iaitu Walter Map menceritakan kisah pengembaraan Herla di De Nugis Curialium. Pada suatu hari, Herla keluar berburu dan baginda bertembung dengan raja dwarf, yang bersetuju untuk menghadiri perkahwinan Herla, jika Herla menghadiri perkahwinan raja dwarf tersebut setahun selepasnya.
Raja dwarf tersebut pun hadir ke majlis perkahwinan Herla dengan pelbagai hadiah dan anugerah yang sangat banyak. Lalu, pada tahun berikutnya, Herla dan para pembesarnya pun pergi menghadiri perkahwinan raja dwarf di alamnya.
Mereka menginap di istana raja dwarf selama tiga hari. Sekembalinya mereka ke alam manusia, tiada sesiapa pun yang boleh memahami pertuturan mereka kerana telah 300 tahun berlalu sejak mereka pergi ke alam Fey, Britain ketika itu pula telahpun menjadi tanah Saxon.
Lagenda Parsi mengenalpasti Peri sebagai makhluk yang turun dari langit. Namun begitu, berkemungkinan orang Parsi melihat Bangsa Nordik dan Slavik yang berkulit pucat sebagai Peri. Bangsa Viking tersebut berbicara berkenaan dengan Feen atau Feinin yang bermaksud Yang Cerah.
Terdapat juga bangsa yang dipanggil Sidhe iaitu “Bangsa Gunung.” Sidhe juga seringkali dipanggil Pict. Mungkinkah perkataan Fey atau Fairy ini datangnya daripada panggilan Parsi terhadap bangsa Nordik dan Slavik?
Di Wales pula, koleksi Kisah Mabinogion (kisah dongeng berkenaan Raja Arthur) menceritakan berkenaan dengan Dewi Rhiannon yang dikatakan bersamaan dengan Faery Permaisuri Morgan le Fay. DI Perancis pula, Faie atau Fee ialah perempuan sihir yang boleh membawa wabak bencana bersamanya. Masyarakat Scandinavia dan Jerman pula percaya dengan terma Bangsa Elf yang tinggal di dalam hutan.
Secara kolektifnya, masyarakat Eropah sering mengaitkan Fey ini sebagai “Yang Tidak Layak Mati”, “Anak kepada Eve”, “Sejenis Demon”, “Spesies lain selain manusia”, “bangsa tua” dan “Malaikat Terbuang (The Fallen Angel)”. Masyarakat Yunani dan Rom pula percaya kepada Nymph sebagai Fey. Nymph sebagai dewa-dewi yang tarafnya lebih rendah berbanding Tuhan-tuhan Olimpian, namun mereka juga turut menghadiri persidangan Tuhan-tuhan di Olympus.
Fey dan Kepercayaan Pagan Eropah
Sarjana Barat seperti Susan Greenwood menyatakan bahawa pengamal kepercayaan agama semula jadi (the nature religion) percaya bahawa dunia ini hidup dengan ruh-ruh tempat, ruh-ruh keturunan, patung-patung (deities) dan dengan erti kata lain seperti faeries dan Dwarves.
Menurut Graham Harvey pula, sesetengah pengamal ajaran pagan animisme berinteraksi dengan faeries dan ruh-ruh semulajadi yang lain, yang dianggap sebagai benda yang ada kesedaran seperti manusia, haiwan, pokok dan batuan. Pendek kata, kebanyakan kepercayaan pagan sangat mempercayai kewujudan Fey dan menganggap mereka sebagai antara benda yang perlu disembah atau dihormati.
Pada zaman pertengahan, terlalu banyak kepercayaan pagan, magik dan sihir yang diamalkan di Eropah. Kedatangan mubaligh-mubaligh kristian ke Eropah memungkinkan kepercayaan wujudnya pelbagai kuasa alam ini semakin hilang, digantikan dengan kepercayaan Tuhan itu lebih berkuasa.
Kepercayaan bahawa Fey boleh menyesatkan manusia dalam hutan dan lebih teruk lagi, boleh membawa maut kepada manusia yang sesat dalam hutan berjaya dikekang dengan kepercayaan adanya Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Justeru, pengamal-pengamal sihir yang sering berhubung dengan alam Fey ditangkap dan dib4kar oleh agamawan Kristian di Eropah bermula pada abad ke-15 hingga abad ke-18.
Lebih kurang 100,000 ahli sihir yang ditangkap dan dihukum terutamanya dibakar di khalayak ramai. Malangnya, mereka tersilap menghukum umat Islam yang beramal dengan ajaran islam sebagai pengamal sihir, terutamanya di Sepanyol selepas Andalusia ditakluk mereka.
Kebangkitan Kisah-kisah Fairy (Fairy Tales)
Kisah-kisah Fairy ini telahpun dimusnahkan oleh mubaligh-mubaligh kristian di Eropah. Namun begitu, terdapat banyak kisah-kisah Fairy ini yang terselamat di Pulau Britain. Kisah ini berkembang kembali pada Era Victoria (sekitar 1837 – 1901) semasa pemerintahan Ratu Victoria. Sebelum Victoria menaiki takhta, kisah-kisah dongeng ini adalah untuk bacaan dan hiburan orang dewasa sahaja.
Namun begitu, kisah dongeng yang dibawa daripada Perancis ke England pada era Victoria disesuaikan untuk hiburan kanak-kanak. Kisah-kisah Fairy yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris ini seperti Charles Perrault’s 1697 Histoires ou Contes du temps passé avec des Moralitéz, Robert Samber’s 1729 Histories, ataupun Tales of Past Times.
Kisah terjemahan daripada Karya Perancis tersebut (1729) dimuatkan dalam penerbitan makalah edisi 1760 oleh John Newberry. Antaranya seperti “Little Red Riding-Hood,” “The Fairy,” “Blue Beard,” “The Sleeping Beauty, in The Wood,” “The Master Cat; or Puss in Boots,” “Cinderilla; or,The Litthe Glass Slipper,” “Riquet with the Tuft,” dan ‘Little Thumb.”
Pada Tahun 1802, Mrs. Trimmer menulis di dalam makalah “The Guardian of Education” dan beliau memfokuskan untuk membangunkan pemuliharaan kepada anak kecil dan yang tidak bersalah daripada bahaya kisah-kisah dongeng yang mengancam mereka untuk melakukan jenayah.
Kisah-kisah fairy dilembutkan dengan pelbagai elemen nilai-nilai murni seperti watak yang baik dan pemaaf, tidak berdendam dengan kakak tirinya dan kakak tiri mereka bertaubat (cerita Cinderella sebagai contoh).
Pada era Victoria, kisah-kisah Fairy ini berkembang dengan sangat pesat seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Antara yang terawal ialah Novel Phantasmion: A Fairy Tale oleh Sara Coleridge yang diterbitkan pada tahun 1837 . Watak Putera Phantasmion dari Palmland sangat mempengaruhi penulisan selepasnya, walaupun penerbitannya dalam skala yang kecil.
Selain itu, novel fantasi lain seperti Holiday House oleh Catherine Sinclair (1839), The King of The Golden River (1841) dan pelbagai penulis yang lebih berpengaruh mula menulis novel-novel berkait dengan kisah-kisah fairy seperti Charles Dickens dan William Makepeace Thackeray.
Pada tahun 1843, Dickens menerbitkan novel A Christmas Carol dan novel Siri Krismas kedua iaitu The Chimes: a Goblin Story of Some Bells That Rang an Old Year Out and a New Year In pada Tahun 1844.
Terlalu banyak penulis yang mula menulis siri-siri novel fantasi dan kisah-kisah fairy. Antara yang paling terkemuka ialah George MacDonald, yang menulis banyak novel fantasi seperti Phantastes (1858), Dealing with the Fairies (1867) dan The Princess and Curdie (1883). Penulisan George MacDonald inilah yang mempengaruhi J.R.R. Tolkien untuk menulis novel fantasi The Lord of The Ring.
Dalam banyak-banyak novel tersebut, Novel Alice’s Adventures in Wonderland yang ditulis oleh Lewis Carroll (daripada penceritaan Charles Dodgson kepada anak Henry Liddell, Dekan Christ Church, Oxford semasa trip di dalam bit pada Tahun 1862) pada Tahun 1864 sangat digemari ramai.
Novel tersebut menjadi novel best seller setelah diterbitkan pada Tahun 1865 dengan tiga cetakan dan sekuelnya, Through the Looking Glass pula diterbitkan pada Tahun 1871. Setelah hak ciptanya luput pada Tahun 1907, kisah ini dijadikan ilustrasi kartun dan dijadikan filem untuk tontonan umum. Kepopularitian Siri Alice ini menjadikan era tersebut dinamakan Era Alice.
Perkembangan kisah-kisah Fairy sangat drastik pada era Victoria kerana penerbitan karya bertulis yang sangat meluas di Eropah dan Amerika.
Perkembangan ini sejajar dengan pembangunan kesusasteraan Inggeris di era tersebut dan dibawa oleh kolonial ke dunia-dunia lain di seluruh kawasan jajahan mereka sehinggakan kisah Fairy ini diromantiskan dengan khayalan bahawa Fey merupakan makhluk yang peramah, riang, ceria dan sering menjadi peneman kanak-kanak.
Padahal, Fey sebenarnya merupakan makhluk yang paling digeruni di Eropah dan mereka seringkali cuba menjauhi diri dari termasuk ke alam Fey atau bertembung dengan lingkaran Fey (seperti lingkaran batu atau cendawan yang disusun dalam bentuk bulatan).
Apakah Fey?
Fey ialah makhluk halus yang kita perlu percaya kewujudannya. Mereka merupakan bangsa Jin yang mendiami kawasan yang jarang dikunjungi manusia seperti di dalam hutan belantara, di batuan-batuan bukit, kota-kota yang ditinggalkan dan ada juga yang tinggal di rumah-rumah kediaman kita.
Wujud dalam dimensi yang berbeza menyebabkan kita sukar untuk melihat mereka melainkan sesetengah orang yang diberikan kelebihan untuk melihat mereka menerusi hijab yang terbuka.
Menurut hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abi Tha’labah Al-Kushani r.a., baginda bersabda yang bermaksud: “Jin terbahagi kepada tiga golongan, satu golongan ialah anjing dan ular, satu golongan terbang di udara, dan satu golongan bermukim dan berpindah” (HR Ibnu Hibban).
Dalam riwayat lain dari al-Tahawi, Abu al-Shaykh dan Ibn Abd al-Barr menyatakan, “Jin terbahagi kepada tiga bahagian, satu pertiga mempunyai sayap terbang di udara, satu pertiga anjing dan ular dan satu pertiga bermukim dan berpindah”.
Manakala dalam hadis kedua diriwayatkan oleh Ibnu Abi Dunya dalam Hawatif al Jinnan, Abu Shaykh dan Ibnu Abd. Barr meriwayatkan bahawa Abu Darda meriwayatkan dari Baginda s.a.w. “Allah menjadikan jin kepada tiga kelompok, satu berbentuk ular, kala jengking, serangga atau kutu tanah. Satu kelompok seperti angin di udara dan satu kelompok lagi adalah dikenakan perhitungan (amalan) dan dikenakan balasan”.
Menurut hadis-hadis ini, bangsa jin terdapat tiga kategori. Kategori pertama ialah bangsa yang berbentuk seperti binatang (ular, anjing, kala jengking, serangga atau apa sahaja haiwan melata), kategori kedua ialah bangsa yang mempunyai sayap dan boleh terbang (seperti Bangsa Fey dalam kisah fairy) dan satu kategori lagi ialah bangsa jin yang hidup seperti manusia.
Selain itu, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud r.a. beliau mengisahkan pengalaman beliau mengikut Baginda s.a.w. berdakwah kepada golongan jin. Menurut Ibnu Mas’ud, “Rasulullah s.a.w. telah solat Isyak, kemudian beliau berpaling lantas dia memegang tangan Abdullah bin Mas’ud hingga keluar dengannya ke Batha’ di Mekah.
Maka disuruhnya dia duduk kemudian digariskan atas tanah satu garisan. Kemudian Baginda bersabda, “Jangan engkau tinggalkan garisanmu, maka sesungguhnya akan berhenti ke tempatmu beberapa orang lelaki, maka janganlah kamu bercakap dengan mereka, sesungguhnya mereka tidak bercakap dengan kamu.
Kemudian Rasulullah pergi mengikut kehendaknya. Maka ketika aku duduk pada garisan tersebut tiba-tiba datang kepadaku beberapa orang lelaki seperti orang-orang hitam legam bulu dan tubuh mereka. Pada tubuh mereka aku tidak nampak aurat dan pakaian. Mereka berhenti berhampiranku tetapi tidak melebihi had garisan…”.
Berdasarkan hadis tersebut, sahabat nabi telah melihat rupa paras asal salah satu bangsa jin yang wujud di dunia ini.
Oleh itu, boleh disimpulkan bahawa Fey yang digembar-gemburkan oleh kesusasteraan Inggeris ialah bangsa Jin yang berada di Eropah, terutamanya di United Kingdom. Mereka dipuja dan disembah oleh kaum pagan di sana sehinggalah datangnya seruan agama Kristian yang bersifat monoteisme, lantas menurunkan taraf Fey daripada dewa-dewi yang disembah kepada makhluk yang digeruni disebabkan kekuatan mereka.
Kepercayaan Pagan dan Fairy Faith
Kepercayaan pagan seperti Perayaan Beltane masih diamalkan di Kepulauan Britain. Ia dirayakan di antara Equinox musim bunga hingga Solstis Musim Panas bagi meraikan penghasilan bunga dan buah-buahan.
Kebiasaannya, perayaan ini dirayakan pada tanggal 1 May setiap tahun. Perayaan Beltane ini juga dikenali sebagai perayaan May Day (Hari Mei) bagi meraikan Floralia, dewi bunga dan banyak lagi dewa-dewi yang diraikan di sana seperti Dewa Hutan, Dewi Minat dan Keibuan dan sebagainya.
Tuhan-tuhan kuno seperti Artemis dan Cernunnos juga turut diraikan pada perayaan tersebut. Pagan di Eropah ini sangat merapatkan diri dengan alam, Mereka percaya bahawa alam ini terdiri daripada dewa-dewi dan semangat-semangat yang perlu disembah supaya alam ini tenteram dan tidak mengamuk.
Wujud pula kepercayaan pagan baharu (neopagan) yang dipanggil sebagai Faerie Faith. Faerie Faith merupakan cabang kepada tradisi kepercayaan “Old Dianic” menerusi pengasasnya, Mark Roberts dan Paderi Agungnya, Epona.
Kepercayaan ini lahir daripada Kultus Ahli Sihir (Witch Cult) di Barat Eropah. Faerie Faith ini lahir di Texas, Amerika Syarikat dan pada Tahun 1999, kultus ini mengubah nama kepada McFarland Dianic. Mark Roberts dan Morgan McFarland mencipta ritual berdasarkan Ogham.
Kepercayaan baharu ini lahir sebagai sokongan kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi. Malahan, mereka turut menuntut bahawa Hari Bumi merupakan hari kepercayaan mereka. Kepercayaan mereka ini adalah kepercayaan yang pekat dengan agama pagan dan mitos dari Celtic.
Rumusan
Sebagai rumusannya, bolehlah dikatakan bahawa Fey ialah bangsa jin di Eropah. Bangsa ini memang ada yang bersayap dan mempengaruhi manusia untuk menyembah mereka sebagai Tuhan. Mereka telah banyak menyesatkan anak adam terutamanya bangsa Kaukasian di Eropah.
Pada zaman pertengahan, semasa era penyebaran agama Kristian ke seluruh pelosok Eropah, kisah-kisah kehebatan Fey ini telahpun musnah, tetapi dibangkitkan kembali di Era Victoria sehinggalah sekarang, menjadi budaya popular dalam kalangan peminat novel dan cerita fantasi serta pengembaraan.
RUJUKAN:
- David Halpin (2019), The Darker Side of Irish Fairy Lore: When Encounters Turn Dangerous, retrieved from https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/fairies-0011597, dilayari pada 17 Januari 2020
- Wigington, Patti. (2019, April 17). Faerie Lore: The Fae at Beltane. Retrieved from https://www.learnreligions.com/lore-about-fae-at-beltane-2561643, dilayari pada 18 Januari 2020
- Sarah Goodrich (2015), Human-Nature Relationship and Faery Faith in The American Pagan Subculture, University od Vermont.
- Marina Warner (2014, October 21). Where do Fairy Tales Come From?. Retrieved from http://www.bbc.com/culture/story/20140930-where-do-fairy-tales-come-from, dilayari pada 19 Januari 2020
- Ronald Patkus (2015), The Age Of Alice. Fairy Tales, Fantasy, And Nonsense In Victorian England, Vassar College Libraries, Poughkeepsie, New Y
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih