An Education merupakan sebuah filem yang ditayangkan pada tahun 2009. Pernah dicalonkan dalam Academy Awards 2010, filem ini dilakonkan oleh Carey Mulligan dan Peter Sarsgaard. Filem ini merupakan sebuah adaptasi daripada autobiografi seorang wartawan Inggeris yang bernama Lynn Barber.

Berlatarkan tahun 1960-an, An Education mengisahkan tentang seorang remaja perempuan berusia 16 tahun bernama Jenny (dilakonkan oleh Carey Mulligan) yang merupakan seorang pelajar bijak di sekolah. Cita-citanya adalah untuk melanjutkan pelajaran di salah satu universiti berprestij di dunia, iaitu Oxford University. Jenny juga dibesarkan oleh ibu bapa yang sangat tegas dan sentiasa mengingatkan Jenny tentang pencapaiannya dalam pembelajaran.

Jenny bertemu dengan David (lakonan Peter Sarsgaard) yang merupakan seorang penipu helah. Yakin dengan minat mereka yang sama dalam bidang muzik dan seni, Jenny akhirnya jatuh cinta dengan David yang jauh lebih tua darinya dan bercadang untuk berkahwin sekali gus berhenti sekolah dan melupakan hasratnya ke Oxford University.

Filem ini sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat, baik ibu bapa, guru mahupun remaja. Hal ini kerana setiap individu berhak mendapat peluang pendidikan dan semua pihak bertanggungjawab dalam memastikan pelajar-pelajar menerima dan melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tinggi dalam menjamin masa hadapan yang lebih cerah dan menjanjikan.

  • Peranan Ibu Bapa.

Menerusi filem An Education ini, penonton dapat melihat ketegasan ibu bapa Jenny, iaitu Jack dan Marjorie dalam membesarkan anak perempuan tunggal mereka itu. Jack merupakan seorang bapa yang terlalu mengongkong sementara Marjorie berperwatakan lebih lembut dan sentiasa cuba memenangkan kehendak anaknya.

Namun begitu, Jack dan Marjorie tidak terlepas daripada ditipu oleh David yang bijak mengatur percakapan dan tingkah-laku di hadapan mereka dalam proses mendapatkan Jenny. Jack yang pada mulanya sangsi dengan David akhirnya percaya pada segala tipu helah David yang dengan yakin mengakui bahawa dia merupakan graduan Oxford University. David yang bermulut ‘manis’ juga pandai mengambil hati kedua ibu bapa Jenny dengan pujian yang membuatkan mereka berkenan pada budi pekertinya.

Di samping itu, karakternya yang bagaikan seorang lelaki yang berduit dan bekerjaya baik juga berjaya meyakinkan Jack untuk membenarkannya berkawan rapat dengan Jenny. Lebih teruk lagi, Jenny mengetahui tipu helah tersebut dan turut sama bersubahat supaya ibu bapanya membenarkannya keluar dengan David.

Apabila Jenny meluahkan hasratnya untuk berkahwin dengan David dan menghentikan persekolahan, Jack tanpa ragu telah menyokong tindakan anaknya tersebut. Jenny yang terkejut mempersoalkan ketegasan dan kesungguhan Jack yang dahulunya sentiasa memaksa Jenny untuk meyambung pelajaran ke Oxford University. Jack seterusnya membalas bahawa David merupakan seorang lelaki yang boleh menjaga Jenny dengan baik sekali gus menjamin masa hadapannya tanpa perlu melanjutkan pelajaran ke Oxford University.

Tipu helah David akhirnya terbongkar. Namun begitu, segalanya telah terlambat kerana Jenny telah berhenti sekolah tanpa menduduki peperiksaan A-levels yang boleh membantunya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Sekolahnya pula menolak rayuannya untuk mengulangi pembelajaran tahun akhir sekali gus menghalangnya daripada menduduki peperiksaan A-levels.

‘You’re my father again, are you? What were you when you encouraged me to throw my life away? Silly schoolgirls are always getting seduced by glamorous older men. What about you two?’

Ibu bapa yang seharusnya lebih berpengalaman dalam kehidupan berbanding anak-anak perlu lebih peka dan prihatin dengan pergaulan sosial anak masing-masing. An Education memaparkan kesilapan ibu bapa yang terlalu mempercayakan anak sendiri dan orang luar tanpa usul periksa.

Anak-anak remaja khususnya, yang cenderung membuat keputusan yang didorong emosi berbanding akal fikiran perlu dipantau dan diberikan lebih perhatian. Ibu bapa juga seharusnya menggalakkan anak-anak untuk meletakkan pendidikan dan pembelajaran sebagai satu kepentingan dan matlamat hidup yang perlu dicapai lebih daripada apa pun.

Hal ini kerana realitinya, teman hidup boleh meninggalkan satu sama lain bila-bila masa sahaja tetapi pendidikan yang baik dapat menjanjikan masa hadapan yang lebih cerah dan terjamin tanpa kebergantungan pada yang lain.

  • Peranan Guru.

Jenny bernasib baik kerana mempunyai guru-guru yang memberikan perhatian terhadapnya.Miss Stubbs, guru Bahasa Inggerisnya sering memberikan Jenny nasihat dan menggalakkannya untuk melanjutkan pelajaran dan mencapai cita-cita ke Oxford University.

‘You can do anything you want, you know that. You’re clever and you’re pretty. Is your boyfriend interested in clever, Jenny? I’m telling you to go to Oxford, no matter what.’ 

Miss Walters, pengetua di sekolah Jenny juga turut prihatin terhadap dirinya. Namun, Miss Walters mengambil pendekatan yang lebih tegas dengan mengancam untuk membuang Jenny daripada sekolah jika dia masih berdegil untuk berkahwin dengan David.

Filem ini mempamerkan tugas guru ataupun pengajar dalam berdepan dengan pelajar yang bermasalah seperti Jenny. Terdapat dua pendekatan iaitu dengan cara yang lebih lembut seperti Miss Stubbs ataupun dengan cara yang lebih tegas seperti Miss Walters. Walau bagaimanapun, penonton dapat melihat bahawa kedua-dua cara ini tidak berkesan untuk memujuk Jenny yang bijak dan pada masa yang sama, keras kepala.

Bagaimanapun pendekatan yang dipilih oleh guru, mereka seharusnya mengambil kira kebijaksanaan dan kematangan pelajar yang terlibat selain memahami keperluan emosi mereka. Seperti yang ditonjolkan di dalam filem, Miss Stubbs dan Miss Walters masing-masing tidak mampu memberikan jawapan yang jelas dan meyakinkan kepada Jenny, sebab-sebab mengapa Jenny perlu mempertimbangkan keputusannya yang pendek akal.

  • Peranan Remaja.

Menerusi filem An Education ini, Jenny merupakan seorang remaja yang bijak. Minatnya dalam membaca menjadikannya seorang pelajar yang berfikiran lebih terbuka di samping meningkatkan minatnya untuk melihat dunia. Oleh kerana kehidupannya agak terkongkong dengan sikap bapanya yang terlalu tegas, Jenny bercita-cita untuk keluar dan bebas dari kepompong dunia kecilnya yang hanya dikelilingi kawasan perumahan dan sekolah.

Kemunculan David yang mampu membawanya ke tempat-tempat yang diimpikan seperti Paris, makan hidangan mewah di café sambil mendengar alunan muzik jazz kegemaran serta melihat seni-seni oleh pelukis terkenal memerangkap Jenny yang sememangnya mengimpikan kehidupan seperti itu.

Walaupun Jenny sedar bahawa apa yang David lakukan itu merupakan satu kesalahan termasuklah menipu ibu bapa Jenny, namun cintanya terhadap David dan ‘dunia’ yang disediakan oleh David menutup mulutnya sekali gus mengaburi kesedarannya tentang apa yang benar dan salah. Jenny merasakan yang akhirnya dia bebas dan gembira, dan itu paling penting dari segalanya termasuklah dari cita-citanya untuk ke Oxford University.

‘Studying is hard and boring. Teaching is hard and boring. So you’re telling me to be bored, and then bored, and finally bored again, but this time for the rest of my life. This whole stupid country is bored. There’s no life in it, or color, or fun. It’s probably just as well the Russians are gonna drop a nuclear bomb on us any day now. So my choice is to do something hard and boring, or marry my Jew. And go to Paris and Rome and listen to jazz and read and eat good food in nice restaurants and have fun.’

Zaman remaja sememangnya merupakan zaman yang merunsingkan. Remaja kebiasaannya sering merasakan diri mereka cukup matang walaupun tingkah laku dan pemikiran mereka membuktikan sebaliknya.

Selain itu, emosi merupakan sahabat baik bagi para remaja. Apa jua keputusan dan langkah yang diambil akan ditemani emosi yang sukar dilawan. Dan keputusan yang dilakukan dengan penuh emosi cenderung menjadi keputusan yang salah dan jauh menyimpang dari kesimpulan yang diharapkan.

Di samping itu, kedegilan dan sikap keras kepala untuk mengambil kira nasihat golongan yang lebih tua dan berpengalaman lagi-lagi bagi remaja yang bijak seperti Jenny sering menambah kepada permasalahan sedia ada.

Oleh itu, para remaja harus merendahkan ego masing-masing dengan mendengar nasihat daripada pihak yang prihatin dan mahukan yang terbaik buat mereka. Kejayaan dan kebahagiaan hidup tidak mempunyai jalan pintas, segalanya harus bermula dari bawah.

Proses mendapatkan pendidikan yang baik mungkin sukar dan mengambil masa yang lama tetapi kesukaran itu yang membuatkan ianya bererti dan lebih manis dicapai. Dalam melakukan apa jua keputusan, sentiasa lah beringat bahawa pencapaian cita-cita adalah yang paling utama.

Kesimpulannya, An Education mengetengahkan tema pendidikan dan kepentingannya dalam memastikan masa hadapan yang lebih terjamin. Mungkin ada golongan yang berpendapat bahawa pendidikan formal tidak lagi merupakan keperluan pada zaman kini. Namun begitu, rata-rata majikan akan melihat kelulusan para pemohon pekerjaan sebelum menawarkan posisi dalam syarikat masing-masing, walau sekecil-kecil keputusan SPM sekalipun.

Mereka yang mempunyai kelulusan pendidikan juga cenderung mandapat pekerjaan tetap yang juga menyumbang kepada kestabilan hidup. Kebahagiaan yang diinginkan mampu digapai seiring dengan pencapaian cita-cita. Dan salah satu jalan yang paling berkesan dan sangat membantu dalam mencapai cita-cita adalah dengan mengutamakan pendidikan.

Trailer filem:


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aku menulis kerana kalian membaca. And for that we compliment each other. Selamat membaca dan semoga terus setia; untuk aku yang bertemankan pena dan kalian yang gigih mendalami kata-kata.

Comments are closed.