Bila diminta oleh rakan editor untuk menulis kisah hantu, respon penulis ialah buat langkah seribu gaya Stephen Chow (rujuk Kung Fu Hustle). Tidak ramai tahu penulis tidak menggemari kisah seram dan ada sebab tersendiri menolak kisah-kisah sebegini. Tetapi atas permintaan ramai yang ingin tahu apakah Korea Selatan mempunyai kisah seram lagi dahsyat daripada Jepun, jawapan penulis kepada soalan itu ialah ya.
- Musang berekor sembilan (Gumiho/Kumiho)
Bagi yang sudah biasa dengan anime Yu Yu Hakusho atau Naruto, pasti sudah biasa dengan mitos musang berekor sembilan atau Kurama. Hakikatnya, mitos Gumiho ini wujud di merata tempat di Asia Timur termasuk Korea Selatan. Menurut legenda, Gumiho ialah seekor musang yang hidup selama satu alaf sebelum bertukar menjadi semangat musang yang boleh bertukar rupa dalam apa saja bentuk. Selalunya rupa yang menjadi pilihan semangat ini ialah wanita muda yang jelita untuk menggoda lelaki dan menjadikan mereka sebagai mangsa.
Di Korea pula, kisah Gumiho ini dalam bentuk kisah sepasang suami isteri yang kepinginkan seorang anak perempuan walaupun dalam bentuk seekor musang. Dan tidak lama selepas itu, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. Tetapi kebahagiaan keluarga berkenaan mula tercabar apabila haiwan ternakan mereka m4ti secara misteri. Dua abangnya mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh adik perempuan mereka tetapi ditolak sekeras-kerasnya oleh ibu bapa mereka. Akibatnya, kedua-dua anak lelaki pasangan itu diusir keluar dari kediaman keluarga mereka.
Apabila mereka pulang tidak lama selepas itu, mereka mendapati yang ada hanyalah adik perempuan mereka itu. Pada malam kepulangan mereka, si abang terbangun dari tidur selepas mendengar bunyi bising. Selepas disiasat, rupa-rupanya adik perempuan mereka itu ialah Gumiho yang telah membaham semua anggota keluarga mereka kerana berkeinginan menjadi manusia sebenar.
Kisah sebegini pasti tidak sesuai dengan tema drama-drama Korea hari ini. Justeru, ia diolah semula ke bentuk yang lebih sesuai dengan selera penonton seperti drama My Girlfriend Is a Gumiho, Grudge: The Revolt of Gumiho, dan Gu Family Book. Malah dalam rancangan realiti Korea kegemaran ramai, Running Man, salah seorang peserta diarah mengutip sembilan ekor musang bagi membolehkan peserta menjadi manusia.
- Gwisin
Ah, sudah. Gwisin selalunya dikaitkan dengan hantu wanita berambut panjang menggerbang dan berpakaian putih. Hakikatnya, gwisin sebenarnya merujuk kepada perkataan hantu secara umum. Pada masa kehidupannya di mana dia gagal menjalankan amanah atau mengalami penderitaan yang bukan sedikit, gwisin selalunya menghantui kawasan-kawasan seperti hutan belantara, sekolah atau bangunan terbiar.
Kisahnya, gwisin merujuk kepada seorang wanita yang m4ti sebelum sempat menjalankan tugasnya mengikut kepercayaan Confucius iaitu taat kepada ibu bapa dan bakal suaminya. Justeru, hantu ini dikatakan sering mengganggu kehidupan orang kampung. Bagi yang pernah berkunjung ke Taman Haesindang di Sinnam, Samcheok, pasti merasa pelik apa hal patung-patung yang berbentuk p3n1s didirikan di situ.
Menurut legenda, seorang wanita ditinggalkan oleh kekasihnya di atas sebuah batu sebelum dia keluar ke laut untuk menangkap ikan. Malangnya, berikutan cuaca ribut, si teruna gagal mendapatkan kekasihnya itu lalu wanita itu m4ti lemas. Menurut legenda, wanita tersebut menjadi gwisin dan mengganggu kehidupan penduduk termasuk tidak dapat menangkap ikan. Ini membuatkan orang kampung buntu memikirkan apa yang patut dilakukan untuk menenangkan gwisin ini.
Pada satu hari, seorang lelaki keluar menangkap ikan seperti biasa dan berharap nasibnya lebih baik dari rakan-rakan nelayan lain. Bila sudah mendapat panggilan alam, maka si lelaki itu segera melepaskan hajatnya ke dalam air (buang air kecil). Tanpa disangka-sangka, dia berjaya mendapat hasil tangkapan yang banyak. Apabila kisah nelayan itu diketahui penduduk, mereka segera membuat satu upacara keagamaan untuk menenangkan gwisin dan membuat beberapa ukiran kayu berbentuk k3m4luan lelaki.
Selepas itu, barulah tangkapan ikan kembali normal dan kehidupan penduduk kampung kembali aman seperti sediakala. Tempat di mana wanita itu m4ti dikenali sebagai Batu Auebawi manakala bangunan di mana upacara keagamaan sebanyak dua kali untuk menenangkan gwisin dikenali sebagai Haesindang. Upacara tersebut diraikan sebagai sebuah acara tradisional. Bagi yang masih tak percaya, boleh lihat gambar di bawah:
- Hantu telur (Dalgyal gwishin)
Siapa yang nampak hantu yang tidak mempunyai rupa dan kulit licin ini sudah pasti melarikan diri bak Hussein dan kawan-kawan dalam Hantu Kak Limah. Inilah hantu telur atau Dalgyal gwishin dan kisah hantu ini turut wujud di Jepun (Noppera-bo) dan sejauh Hawaii (Mujina).
Hantu telur ini sebenarnya hantu wanita yang tidak mempunyai anak dalam kehidupan asalnya. Tanpa keturunan yang boleh menjalankan upacara peringatan ke atas mereka, hantu ini kehilangan ciri kemanusiaannya dan menjalani kehidupan seperti raksasa. Walaupun tiada motif untuk menakutkan sesiapa, sesiapa yang melihat kelibat mereka akan m4ti di situ.
- Hantu air (Mul gwishin)
Mul gwishin atau hantu air ialah mangsa-mangsa yang m4ti lemas pada kehidupan sebelumnya. Hantu ini tidak sedar mereka telah tiada dan cuba mengejar sesiapa yang berenang untuk membantu atau jika anda peminat filem seram seperti filem Dear Friend, cukup untuk anda meloncat sampai ke bumbung. Walaupun kadang-kadang digambarkan sebagai semangat tersembunyi yang bersembunyi dalam kedalaman air, ada juga yang digambarkan dalam bentuk hantu berambut panjang dan tangan untuk menangkap perenang.
- Hantu jamban/tandas (Cheuksin/Hoajangshil gwishin)
Cheuksin atau hantu jamban senang cerita sebenarnya ialah dewi tandas mengikut kepercayaan masyarakat Korea. Ia menghuni jamban di luar rumah tradisional Korea dan menanti penuh sabar sesiapa yang melakukan perkara yang tidak disukainya. Jika tak tahan melepaskan hajat sekalipun, jangan lupa batuk selama tiga kali. Ini memberi peluang kepada Cheuksin untuk berundur dan beri peluang kepada tuan punya badan melepaskan hajat yang terpendam.
Tetapi jika gagal berbuat demikian, maka Cheuksin akan marah dan menc3kik mangsanya dengan rambut sehingga m4ti. Saudara mereka iaitu hantu tandas/bilik air yang dipanggil Hoajangshil gwishin juga mempunyai tabiat sama seperti cheuksin cuma mereka tidak memilih siapa mangsa yang nak ditakutkan. Subjek ini disentuh dalam drama Let’s Fight Ghost yang menampilkan Taecyeon dari kumpulan 2PM sebagai penghalau hantu.
- Pencabut nyawa (Jeoseung Saja)
Semua agama dan kebudayaan dunia mempunyai gelaran tersendiri terhadap pencabut nyawa. Dalam mitologi masyarakat Korea, pencabut nyawa digelar dewa kem4tian yang bertanggungjawab mengutip roh dari alam dunia ke alam ke4tian di bawah arahan Maharaja Yomna.
Kebanyakan perihal Jeoseung Saja diceritakan dalam cerita rakyat Korea di mana protagonis dapat mengelak nyawa mereka dikutip oleh pencabut nyawa. Satu saja yang berjaya menyebut kejayaan mereka iaitu mitos Jeneral Sineui. Sineui yang takut kepada kem4tian melakukan apa saja untuk mengelak kem4tian termasuk menanam tiga batang pokok oren dan menindik jarum perak pada dahinya.
Namun, semua usaha yang dibuat tidak berhasil dan Sineui akhirnya m4ti. Perihal Jeoseung Saja disebut panjang lebar dalam drama Korea Goblin yang menampilkan Gong Yoo (Train to Busan) sebagai Goblin dengan Lee Dong-wook sebagai Jeoseung Saja.
- Goblin (Dokkaebi)
Drama Goblin turut menyentuh perihal Goblin yang dilakonkan oleh Gong Yoo. Dalam mitologi Korea, Dokkaebi (Goblin) terhasil daripada pemilikan spritual sesebuah objek yang pernah mengandungi d4rah manusia. Justeru, dokkaebi mempunyai pelbagai kebolehan luar biasa termasuk membawa tuaian hasil yang banyak dan boleh melawan semangat jahat. Tidak seperti gwisin, dokkaebi bersifat nakal dan suka mengusik manusia.
Antara mitos menarik dokkaebi ialah kisah seorang orang tua yang menetap di sebuah gunung. Pada suatu hari, seekor dokkaebi datang melawat rumahnya dan orang tua itu memberi layanan yang baik kepadanya. Sejak itu, kedua-duanya menjadi sahabat baik dan kerap berbual dalam banyak perkara. Pada satu ketika, orang tua itu meninggalkan rakannya sebentar untuk melepaskan hajat di sungai. Alangkah terkejutnya dia apabila pantulan imej dari sungai menunjukkan dia semakin menyerupai dokkaebi itu.
Untuk mengelak menjadi dokkaebi dan menghalaunya keluar dari kawasan itu, dua sahabat itu mula bertanya kelemahan masing-masing. Apabila dokkaebi menjawab bahawa dia takut d4rah, orang tua itu berpura-pura memberitahu dia amat takut kepada duit. Keesokan harinya, orang tua itu meny3mbelih seekor lembu dan menyebarkan d4rah ke setiap pelosok rumah.
Apabila dokkaebi datang dan melihat apa yang berlaku, dia berkata, “Jaga kau. Aku akan bawa ketakutan kau yang paling teruk!” Pada hari seterusnya, dokkaebi datang membawa longgokan duit dan membaling longgokan duit itu ke arahnya sebelum menghilangkan diri. Sejak itu, orang tua itu menjadi orang yang paling kaya di kawasan berkenaan terima kasih kepada helahnya itu.
Subjek ini juga disentuh dalam Goblin di mana Kim Shin/Dokkaebi ialah seorang jeneral era Goryeo yang berusia lebih 900 tahun. Dia mempunyai kebolehan luar biasa dan mempunyai umur yang panjang berikutan serpihan pedang yang digunakannya masih tersangkut pada bahagian dada dan satu-satunya individu yang boleh melakukannya ialah teman hidup sejatinya.
RUJUKAN:
Aetcult. (2018). 7 Horror Stories From Korean Traditional Folklore That Will Give You The Chills. Soompi. https://www.soompi.com/article/1236201wpp/6-horror-stories-korean-traditional-folklore-will-give-chills
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih