Pada 9 hingga 12 Disember 1962, Iraq mengadakan sambutan meraikan ulangtahun seorang cendekiawan Islam abad kesembilan yang paling masyhur dalam sejarah. Ya, Iraq meraikan ulangtahun ke-1,000 kelahiran seorang filsuf Islam yang hebat bernama Ya’qub al-Kindi. Tetapi sejak itu, namanya dipandang sepi oleh orang ramai hanya kerana namanya tidak segah cendekiawan-cendekiawan Islam lain seperti Ibnu Sina, al-Farabi dan al-Khwarizmi. Padahal inilah filsuf yang paling terkenal dalam kalangan bangsa Arab pada abad kesembilan ketika itu.

Biografi

al-Kindi atau nama sebenarnya Abu Yusuf Ya’qub ibn Ishaq al-Kindi dilahirkan pada tahun 801 Masihi di Kufah, Iraq. Bapanya Ishak bin as-Sabah merupakan Gabenor Kufah semasa pemerintahan Khalifah al-Mahdi dan Khalifah Harun al-Rashid. Beliau berasal dari kabilah Kindah, sebuah kabilah Arab Yaman di mana pemimpin kabilah yang terakhir al-Ash’ath bin Qais kemudiannya memeluk Islam di hadapan Rasulullah s.a.w dan menjadi antara sahabat baginda yang setia. Semasa pemerintahan Khulafa’ ar-Rashidin, al-Ash’ath r.a menyertai pelbagai ekpedisi tentera ke Syria dan Parsi sebelum kemudiannya mengetuai ekspedisi ke Azerbaijan semasa pemerintahan Uthman bin Affan r.a. Sahabat nabi itu kemudiannya memilih menetap di Kufah dan kembali ke rahmatullah pada tahun 661 Masihi.

Keturunan al-Ash’ath ini pada awalnya merupakan pemimpin tentera semasa Bani Umayyah berkuasa sebelum kemudiannya menjadi penentang utama kerajaan itu dan merupakan antara penyokong gerakan menggulingkan kerajaan berkenaan yang diketuai Bani Abbasiyyah. Sebagai ganjaran kepada sokongan mereka, kerajaan Abbasiyyah melantik penyokong mereka ke jawatan kerajaan termasuk bapa al-Kindi sendiri, Ishak. Namun al-Kindi tidak berkesempatan merasai kasih sayang bapanya apabila Ishak meninggal dunia pada tahun 809. Walaupun bergelar anak yatim, beliau beruntung kerana mewarisi kekayaan yang ditinggalkan bapanya itu.

Selepas selesai menguruskan urusan pengebumian, al-Kindi bersama ibunya memilih berhijrah ke Basrah dan menetap di sebuah rumah besar yang pernah dimiliki oleh moyangnya, al-Ash’ath. Di sini, beliau mengasah kemahiran ilmu kalam dan Bahasa Arab. Bagaimanapun, itu masih tidak memuaskan hatinya kerana al-Kindi amat berhajat menguasai pelbagai disiplin ilmu lain dan semua itu hanya boleh didapati di Baghdad. Justeru, al-Kindi bersama ibunya berhijrah ke Baghdad pada tahun 819 Masihi, enam tahun selepas krisis perebutan takhta antara Khalifah al-Amin dengan Khalifah al-Ma’mun yang menyaksikan al-Ma’mun muncul sebagai pemenang dan memerintah sehingga 833 Masihi. al-Kindi sekeluarga memilih menetap di rumah keluarga di Rusafah.

Sepanjang berada di Baghdad, beliau rajin berkunjung ke Baitul Hikmah di mana di situlah al-Kindi dapat mengakses pelbagai kitab dan teks yang telah diterjemah dari bahasa asing ke Bahasa Arab. Seterusnya, ini membolehkan beliau membuat pelbagai input menarik dan terbaru dalam banyak disiplin ilmu dari falsafah dan geometri hinggalah fizik dan muzik. Bintangnya terus bersinar apabila bakatnya mula dikesan oleh al-Ma’mun sendiri bila diminta menghadiri diskusi kalam membabitkan baginda dengan golongan cendekiawan termasuk ahli fiqah dan ahli kalam. Dan ini kemudiannya menjadi alat yang digunakan musuh-musuh al-Kindi terhadapnya pada tahun-tahun terkemudian.

Falsafah

Antara mahakaryanya dalam bidang falsafah ialah Risalah al-Kindi fi al-‘Aql. Risalah ini walaupun bersifat ringkas dan sukar untuk difahami telah memainkan peranan penting dalam perbincangan yang berlaku pada Zaman Pertengahan sama ada di Eropah atau di Timur Tengah berkenaan tabiat dan hakikat akal serta pembahagiannya. Para sejarawan bagaimanapun berselisih pendapat tentang sumber risalah ini.

Umumnya, mereka sependapat mengenai kedudukan tulisan Aristotle tentang akal dalam bukunya De Anima sebagai sumber al-Kindi. Namun begitu, persoalan di sini ialah tentang kedudukan komentar Alexander of Aphrodisias, De Intellectu et Intellecto sebagai sumber al-Kindi. Thery, Gilson dan al-Ehwani misalnya mengakui kedudukan tulisan Aristotle dan komentar Alexander sebagai sumber. Sementara Atiyeh pula walaupun mengakui kedudukan karya Aristotle tersebut sebagai sumber tetapi menegaskan bahawa al-Kindi di dalam risalahnya tidak berpandukan komentar Alexander.

Risalah ini kemudiannya dikenali di Eropah dengan De Intellectu selepas diterjemah ke bahasa Latin sebanyak dua kali. Penterjemahan kali pertama dibuat oleh Gerald of Cremona dengan tajuk Verbum Jacob al-Kindi de Intentione Antiquorum in Ratione. Penterjemahan kali kedua pula dibuat oleh John of Spain dengan tajuk Liber al-Kindi de Intellectu et Intellecto. Kedua-dua terjemahan Latin ini kemudiannya diterbitkan oleh A. Nagy dalam Die Philosophische Abhandlungen des Ja’cub ben Ishaq al-Kindi, dalam Beitraege zur Geschichte der Philosophie des Mittelatters, Bd. II. Heft 5, ed. C. Baeumer dan H. F. Hertig, Munster 1897, p.1-11.

Manuskrip asal yang menjadi sumber terjemahan Latin ini bagaimanapun telah hilang. Oleh yang demikian, terjemahan Latin ini dianggap satu-satunya rujukan mengenai pandangan al-Kindi tentang akal di Eropah sehinggalah satu manuskrip lain dijumpai dan diterbitkan oleh Abu Rida dalam juzuk pertama Rasa’il al-Kindi al-Falsafiyyah di Kaherah tahun 1950, al-Ehwani bersama edisi karya Ibn Rushd, Talkhis Kitab al-Nafs, Kaherah 1950, McCarthy beserta terjemahan Inggeris dalam artikelnya “al-Kindi’s Treatise on the Intellect”, (Islamic Studies, vol. III, no. 2, June 1964), Jolivet bersama terjemahan Perancis dalam L’Intellect Selon Kindl Leiden: E. J. Brill, 1971 dan Badawi dalam Rasa’il Falsafiyyah, Beirut: Dar al-Andalus, 1983 (Edisi ketiga).

Rajah 1: Terjemahan kitab al-Kindi dari Bahasa Latin (de Intellectu) ke Bahasa Jerman dengan tajuk Die Philosophische Abhandlungen des Ja’cub ben Ishaq al-Kindi

Menerusi teks ini, al-Kindi berbicara tentang kategori-kategori kewujudan akal. Menurut al-Kindi, terdapat dua jenis akal iaitu akal yang wujud bukan pada manusia dan akal yang wujud pada manusia. Akal yang wujud bukan pada manusia ini disebut sebagai sebab (‘illah) dan asas bagi semua kategori akal yang lain yang wujud pada manusia. Akal ini sentiasa bersifat sebenar dan ia bertanggungjawab membantu akal manusia mencapai maklumat-maklumat dari proses taakulannya.

Manakala kategori akal yang wujud pada manusia pula terbahagi kepada tiga peringkat yang umumnya boleh difahami sebagai tiga tahap kewujudannya. Tahap pertama merupakan tahap di mana ia wujud secara pasif tanpa melakukan apa-apa aktiviti pemikiran. Akal pada tahap ini tidak dinamakan “akal” dengan erti kata yang sebenar kerana akal dalam maksud sebenar ialah akal yang telah menjalankan aktiviti akal iaitu bertaakul. Oleh itu, akal pada tahap ini di gelar sebagai Akal Daya (al- ‘aql bi al-quwwah) yang bermaksud akal di mana zatnya hanyalah bersedia dan berkemampuan untuk menjalankan aktiviti bertaakul tetapi tidak melakukannya secara sebenar.

Tahap kedua bagi akal manusia ialah akal yang pernah bertaakul dan memiliki pengalaman tersebut. Pengalaman ini kemudiannya boleh digunakan pada bila-bila masa yang ia kehendaki. Tahap ini dinamakan sebagai tahap Akal Mustafad iaitu akal yang telah mencapai sesuatu faedah dari pengalaman bertaakul yang lampau.

Seterusnya tahap yang terakhir ialah tahap yang disebut sebagai tahap Akal Zahir. Tahap akal ini merupakan tahap akal yang zahir kewujudannya pada jiwa secara sebenar setelah jiwa menzahirkannya melalui aktiviti-aktiviti pemikiran. Jadi perbezaan akal ini dengan akal pada tahap kedua di atas ialah dari aspek kemunculannya dari jiwa dengan kemunculannya di sini benar-benar zahir dan bukan hanya sekadar satu kemungkinan.

Muzik

Selain ilmu falsafah, al-Kindi memberi input yang bukan sedikit terhadap bidang muzik. Beliau merupakan ahli teori muzik pertama dalam dunia Arab-Islam. al-Kindi dikatakan menulis 15 buah kitab berkenaan teori muzik dari teknik penghasilan muzik dan lagu, irama melodi sesebuah lagu, teknik penghasila puisi dan membentuk suara getaran. Tetapi sayangnya, hanya lima sahaja nota yang dihasilkan beliau yang terselamat. Nota-nota al-Kindi ini menggabung ilmu dan seni, mencipta prinsip asas muzik, menerangkan fungsi alat muzik, teknik membentuk irama dan menyediakan kaedah terkini untuk menggilap bakat.

Menerusi inputnya ini, al-Kindi dapat menghasilkan skala nada muzik Arab yang pertama. Skala nada ini masih lagi digunakan sehingga ke hari ini dan ia berdasarkan skala nada muzik yang dihasilkan oleh Pythagoras. al-Kindi juga dapat menamakan irama dan rentak muzik ini sebagai abjad berjumlah 12 huruf dari a sehingga l. Huruf-huruf ini sama dengan skala nada muzik moden standard hari ini iaitu do, re, mi, fa, so, la, ti dan do. Skala nada irama ini turut dibahagikan mengikut lima alunan rentak lagu Arab.

Rajah 2: Skala nada muzik moden hari ini diinspirasikan oleh skala nada muzik yang diperkenalkan oleh al-Kindi.

Contohnya jika seseorang itu memetik gambus, setiap alunan rentak bakal membentuk enam lagi nada suara. Justeru, bila sebuah gambus dipetik, ia sebenarnya menghasilkan 30 nada irama lagu. Dalam teks ini juga, beliau menegaskan perlu wujud keseragaman dan penyelarasan semasa bermain gambus. Keseragaman ini perlu apabila si pemain mengubah satu nada ke satu nada yang lain. Ini kerana muzik merupakan seni hiburan yang menekankan keseragaman nada dan irama serta berasaskan matematik. Menariknya, semua cendekiawan Islam termasuklah filsuf hebat al-Farabi dan tokoh perubatan Islam Ibnu Sina turut mengamalkan teori muzik yang dicipta al-Kindi. Mereka juga turut menggunakan konsep matematik semasa menghasilkan muzik mereka.

Dan tambah menarik, ia juga sebenarnya boleh diaplikasikan dalam bentuk perubatan. Ini dibuktikan al-Kindi menerusi satu kisah membabitkan dirinya dan seorang jiran. Pada satu ketika, ada seorang jirannya di Rusafah yang tidak sudah-sudah memberi layanan buruk terhadap beliau. Api dendam jirannya ini semakin membara apabila dia dihasut oleh sekumpulan ahli fiqah yang iri hati dengan pencapaian al-Kindi dan hubungan rapatnya dengan Khalifah al-Ma’mun ketika itu. Walaupun mempunyai hubungan yang baik dengan baginda, al-Kindi memilih untuk tidak mengadukan hal itu kepadanya dan melayan sahaja kerenah jirannya itu dengan sabar.

Jirannya ialah seorang ahli perniagaan yang semakin tua dan melihat anaknya itu sebagai orang yang dapat meneruskan perniagaannya. Namun, anaknya itu ditimpa penyakit lumpuh di mana antara simptomnya ialah tidak sedarkan diri dan tidak tahu peredaran masa siang atau malam. Ramai doktor cuba mengubati pemuda tersebut tetapi semua rawatan yang diberi tidak menjadi.

Tambah menggusarkan si ayah ialah hanya si anak saja tahu rahsia dalam perniagaannya seperti bilangan stok barang dan senarai pemiutang. Pada mulanya, si ayah tidak mahu meminta bantuan Al-Kindi kerana dia melayan jirannya seperti sampah. Namun melihat keadaan si anak yang makin kritikal, si ayah mengetepikan egonya dan meminta bantuan cendekiawan terkenal itu.

Sebaik sampai di rumah jirannya itu, Al-Kindi segera membuat diagnosis pada pemuda tersebut dan mendapati keadaannya semakin parah. Lalu beliau meminta izin memanggil beberapa orang anak muridnya yang boleh bermain alat muzik untuk membantu dalam sesi rawatannya. Apabila keempat-empat anak muridnya itu sampai, mereka mengambil tempat masing-masing dan mula memainkan alat muzik yang dibawa. Perlahan-lahan, suasana dalam rumah bertukar aman dan nyaman dan mempengaruhi semua yang ada pada ketika itu termasuk si pemuda.

Dan dengan izin Allah s.w.t, anak jiran tersebut bangun seolah-olah seperti terjaga daripada mimpi. Ketika itu, beliau memeriksa nadi dan aliran darah si anak, melihat keadaannya kembali normal. Si pemuda memandang hadirin sekeliling yang tergamam akan apa yang berlaku di hadapan mereka. Si anak kemudian memandang kumpulan pemuzik dan ibu bapanya lalu tersenyum. Si ibu yang merasa gembira mahu bercakap dengan anaknya tetapi Al-Kindi memberi isyarat untuk si ibu diam terlebih dahulu.

Al-Kindi kemudian bertanya, “Duhai anak yang budiman, mohon jelaskan urusan perniagaan ayahmu iaitu berkenaan urusan jual beli dilakukan. Tanpamu, sukar bagi ayahmu menguruskan perniagaannya sebaik mungkin.” Orang ramai tergamam mendengar soalan beliau. Sementara itu, pelajar-pelajar beliau terus memetik gambus dengan perlahan. Dengan suara yang perlahan dan fikiran yang waras, si anak menceritakan semua perkara berkenaan urusan perniagaannya di mana semua maklumat disalin Al-Kindi pada sehelai kertas.

Si anak tersenyum memandang ibu bapanya dan mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana mengubatinya. Kemudian, si anak memuji muzik pelajar-pelajar Al-Kindi dan meminta mereka meneruskan petikan gambus tersebut, tanda bahawa si anak akan kembali menemui Penciptanya. Sejak itu, hubungan kedua-duanya bertambah baik dan ahli-ahli fiqah yang selalu berkunjung ke rumah jirannya itu tidak lagi bertandang.

Kisah ini tersebar luas ke seluruh ceruk empayar Islam Abbasiyyah pada ketika itu dan menjadi inspirasi kepada cendekiawan pada abad-abad seterusnya dalam soal perubatan. William Shakespeare dan W.H Auden mencadangkan muzik sebagai alat mengubati jiwa yang lara atau menyelamatkan individu bermasalah.

Muzik juga digunakan oleh hospital-hospital untuk sebagai salah satu daripada rejim penyembuhan bagi veteran kedua-dua P3rang Dunia Pertama dan P3rang Dunia Kedua. Hospital Sultan Bayezid II di Edirne, Turki menggunakan muzik untuk membantu merawat pesakit mental. Hospital ini ialah hospital pertama di dunia yang menggunakan kaedah muzik untuk merawat penyakit mental.

Rajah 3: Hospital Sultan Bayezid II di Edirne merupakan hospital pertama di dunia yang menggunakan muzik untuk merawat pesakit mental.

Agama dan peribadi

Di sebalik pencapaiannya ini, musuh-musuhnya sentiasa berusaha memburuk-burukkan beliau termasuk melabelnya sebagai pengamal fahaman Muktazilah dan murtad. Bagaimanapun, semua bukti jelas menunjukkan al-Kindi seorang Ahli Sunnah dan sentiasa berusaha melindungi agama Islam daripada menjadi mainan golongan filsuf yang terpesong.

Malah, beliau juga menegaskan bahawa Allah s.w.t bersetuju dengan kaedah rasional akal yang sebenar dan tidak menyalahi prinsip syarak. Bila ditanya pandangannya terhadap al-Quran, al-Kindi berkata, “Beritahu aku sekiranya ada falsafah manusia yang boleh dikumpulkan dalam beberapa ayat dan bilangan perkataan sama yang difirman-Nya dalam beberapa ayat-Nya.” Kebanyakan karya beliau memuji kebesaran Ilahi. Contohnya, al-Kindi pernah menulis, “Betapa sempurnanya semua ciptaan Tuhan… yang mencipta alam daripada tiada kepada ada.”

Berikutan sikap berkecualinya dalam soal perdebatan golongan Muktazilah dengan golongan Ahli Sunnah, ini membuatkan ramai menghormatinya sebagai seorang tokoh ilmuan yang berwibawa. Ini kerana semua yang dibuatnya semata-mata atas dasar kecintaan terhadap ilmu dan bukan atas sebab kebendaan.

Atas sebab-sebab inilah, al-Ma’mun dan penggantinya al-Mu’tasim menghormati beliau. Semasa pemerintahan al-Mu’tasim, baginda meminta al-Kindi berkhidmat sebagai tutor peribadi puteranya bernama Ahmad. Namun disebabkan hubungan rapatnya dengan beliau, baginda tidak berpeluang menjadi pewaris takhta selepas kemangkatan al-Mu’tasim.

Fitnah

Namun, semua itu berubah semasa pemerintahan Khalifah al-Mutawakkil. al-Mutawakkil merupakan seorang khalifah yang memusuhi golongan Muktazilah termasuk golongan yang sealiran dengannya seperti golongan filsuf. Akibatnya, ramai menjadi mangsa kekejaman polisi baru khalifah termasuk al-Kindi sendiri.

Tetapi dalam kes al-Kindi, beliau menjadi mangsa fitnah dua anggota Banu Musa iaitu Muhammad dan Ahmad bin Musa bin Shakir. Apabila kedua-duanya mengadukan fitnah-fitnah ini kepada baginda, al-Mutawakkil memerintahkan perpustakaan peribadi al-Kindi di Rusafah dirampas dan beliau dihukum sebat di kediamannya.

Malah, beliau juga dilarang berhubung dengan sesiapa termasuk kenalan dan pelajar-pelajarnya. Semasa era inilah, para cendekiawan yang diketepikan semasa era al-Ma’mun dan al-Mu’tasim berlumba-lumba bernaung di bawah penaung baru mereka dan mengecam golongan cendekiawan yang diketepikan. Salah seorang daripadanya ialah al-Jahiz yang tidak habis-habis mencela al-Kindi sebagai seorang yang tamak. Wujud kemungkinan salah satu watak yang disebut dalam buku satiranya yang bertajuk Kitab al-Bukhala sebenarnya merujuk kepada al-Kindi.

Tetapi Allah itu kaya dan Dia sentiasa bersama orang-orang yang teraniaya. Tidak lama selepas itu, Muhammad dan Ahmad bin Musa merupakan sebahagian daripada pasukan jurutera yang ditugaskan membina sebuah bandar Jaafariya termasuk sebuah terusan untuk bandar berkenaan.

Berikutan hubungan baik mereka dengan pihak istana, maka tidak sah sekiranya mereka juga terlibat dalam kegiatan politik di Baghdad dan Samarra (ibu negara terbaru Abbasiyyah semasa era al-Mu’tasim). Namun, kesilapan mereka dalam projek berkenaan telah menimbulkan kemurkaan al-Mutawakkil dan semua tahu mereka berhadapan potensi dihukum bvnvh oleh baginda.

Atas sebab itulah, kedua-duanya kemudian merayu agar diberi peluang. al-Mutawakkil menyeru seorang lagi jurutera bernama Sinad bin Ali dan memerintahkannya memeriksa hasil kerja mereka sebelum baginda membuat keputusan. Seperti kedua-duanya, Sinad juga membenci al-Kindi tetapi tidaklah sampai ke tahap memfitnah dan mempengaruhi khalifah seperti dilakukan oleh dua anggota Banu Musa itu.

Sebagai pertukaran bantuan, beliau mengarahkan kedua-duanya memohon maaf kepada filsuf hebat itu dan memulangkan semua koleksi buku peribadi miliknya. Dan kedua-duanya terselamat apabila al-Mutawakkil mangkat dibvnvh oleh sekumpulan pemimpin tentera Turki yang menyokong puteranya al-Muntasir pada Disember 861 Masihi. Ini berdasarkan rekod Muhammad kemudiannya menjadi peninjau tentera untuk pasukan al-Muntasir bagi menilai keupayaan dan bilangan pihak musuh.

Tetapi kem4tian baginda juga turut menandakan permulaan anarki yang membelenggu kerajaan berkenaan sehingga 870 Masihi. Terima kasih kepada pintu fitnah yang dibuka dua individu yang memusuhi al-Kindi ditambah dengan sikap keras baginda terhadap rakyat menyaksikan kerajaan Abbasiyyah kehilangan prestijnya dan ia kemudiannya jatuh pada tahun 1258 semasa s3rangan Mongol ke atas Baghdad. al-Kindi kembali ke rahmatullah semasa pemerintahan al-Mu’tamid yang ketika itu bergelar khalifah tetapi hanya pada nama pada tahun 873 Masihi.

Legasi

Bagi al-Kindi pula, ramai pelajarnya meneruskan legasinya seperti Yuhanna ibn Masawayh, Abu Ma’shar al-Falaki dan Ahmad bin At-Tayb. Ibnu al-Nadim dalam kitabnya Fihrist memuji sumbangannya terhadap dunia ilmu dan menganggapnya sebagai orang terbaik pada zamannya. Di Eropah, banyak karyanya menjadi rujukan para cendekiawan semasa Zaman Pertengahan dan menjadi inspirasi ramai cendekiawan ketika itu termasuk Robert Grosseteste dan Roger Bacon. Malah, cendekiawan Renaissance Geralomo Cardano menganggap al-Kindi sebagai sebahagian daripada 12 individu yang memiliki minda terhebat.

RUJUKAN:

  1. Hamarneh, Sami. (1963). AL-KINDI, A NINTH-CENTURY PHYSICIAN, PHILOSOPHER, AND SCHOLAR. https://europepmc.org/backend/ptpmcrender.fcgi?accid=PMC1033530&blobtype=pdf
  2. Fayyad, Sulaiman. (2002). Al-KINDI – TOKOH MUZIK ARAB. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.