Seorang pesakit yang mengalami kesakitan pada kawasan perut telah datang ke unit kecemasan sebuah hospital dengan harapan untuk mendapatkan rawatan segera bagi kesakitannya itu.
Ketika sedang berjumpa doktor, antara perkara pertama yang ditanya oleh doktor kepada pesakit tersebut adalah ;
“Sakit awak tu, dalam skala 1 hingga 10 dimana 1 sakit sedikit dan 10 sakit yang melampau, berapa tahap kesakitannya?”
Pesakit yang sedang menahan kesakitan perut tersebut terus saja bangun melenting apabila mendengar soalan tidak masuk akal yang dilontarkan doktor tadi.
“Apa doktor ni?! Perut saya punya la teruk memulas, doktor boleh pulak tanya soalan karut macam ni? Ingat ni kelas matematik kah?! Tak fikir ke keadaan saya yang tengah sakit ni?!”
Doktor itu tergamam seketika. Kemudian dia menyambung, “Tapi kita kena ukur tahap kesakitan awak, sebelum kami boleh…”
“Seratus! Sakit saya pada tahap seratus! Puas hati?!”
Doktor tersebut hanya mampu mendiamkan diri sahaja tatkala pesakit itu masih lagi berterusan merungut, mengadu tentang ketidakprihatinan doktornya itu.
Buat kefahaman anda, setiap kali seorang pesakit yang mengadu “sakit” hadir ke mana-mana unit kesihatan di Malaysia, antara soalan yang ditanya oleh staf kesihatan adalah tahap keterukan kesakitan. Ini merupakan suatu prosedur wajib bagi staf kesihatan. Soalan yang dilontarkan doktor dalam kisah pendek tadi itu sebenarnya adalah suatu prosedur yang dipanggil sebagai pain scoring (pemarkahan tahap kesakitan).
Sakit adalah salah satu daripada tanda dan gejala yang paling kerap dialami oleh seseorang pesakit, tidak kira apa jenis penyakit atau diagnosis yang dihidapinya. Sakit juga merupakan tanda-tanda universal sebarang permasalahan kesihatan. Sakit itu sebenarnya bersifat abstrak dan personal, dan hanya boleh dialami oleh individu itu sendiri, dimana ia tidak boleh diuji dan diukur tahap keterukannya. Maka antara tindakan yang boleh staf kesihatan lakukan untuk dapatkan data berkenaan sakit tersebut adalah dengan melakukan prosedur pain scoring.
Pain scoring adalah suatu pengambilan data subjektif (menerusi soalan, respon dan pemerhatian) sesuatu keadaan dan keterukan sakit yang dialami seseorang individu bagi merancang perawatan seterusnya. Lazimnya, pain scoring akan dilakukan menerusi skala sakit (pain scale) yang disediakan dan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Seorang staf kesihatan bukan hanya sekadar bertanya soalan, akan tetapi pemerhatian dan penilaian respon pesakit juga akan diambil kira dalam data tersebut. Oleh kerana itulah, setiap kali soalan “berapa tahap kesakitan yang dialami” ditanyakan, pesakit perlu menjawab dengan betul.
Pain scoring perlu dilakukan sekurang-kurangnya sekali setiap 4 jam, atau jika perlu, bergantung kepada tahap keterukan pesakit (critically ill, severely ill, ill, weak, awake and obey). Setiap pesakit mempunyai keperluan pemeriksaan tahap kesakitan yang berbeza-beza, bergantung kepada keadaan pesakit itu sendiri.
Terdapat beberapa jenis pain scoring yang digunapakai di institusi kesihatan negara kita. Antaranya adalah :
1. NUMERICAL PAIN SCALE
Ini merupakan salah satu skala sakit yang paling umum digunapakai oleh staf kesihatan terutamanya jururawat bagi pesakit yang boleh memberikan respon lisan.
Skala sakit ini terdiri daripada beberapa gambaran tahap kesakitan yang perlu dijawab oleh pesakit secara lisan. Ia bermula dengan angka 0 sehingga ke angka 10. Pada angka-angka tersebut, diletakkan tahap-tahap kesakitan bagi memudahkan kefahaman pesakit.
Angka 0 adalah tahap tidak sakit atau tiada kesakitan. Skala 0 digunapakai bagi pesakit yang tidak mengalami apa jua kesakitan. Lazimnya angka 0 tidak akan ditanya bagi pesakit yang sememangnya sedang mengadu kesakitan.
Angka 1 hingga 2 adalah sakit yang sedikit (minimal pain), masih boleh melakukan aktiviti, dan tidak mengganggu pesakit melakukan tugasan seharian. Contoh sakit yang boleh diletakkan disini adalah seperti tercucuk jarum, digigit serangga, luka-luka kecil, sengal badan, hirisan pisau dan lain-lain lagi.
Angka 3 hingga 6 pula adalah tahap kesakitan yang sederhana (moderate pain), yang sedikit sebanyak mengganggu tugasan seharian dan menjejaskan pergerakan pesakit. Contoh sakit yang boleh digambarkan pada skala ini adalah daripada sakit akibat dari bengkak (jangkitan), terjatuh teruk, kemalangan jalan raya biasa, belahan pisau, kepatahan tulang minor dan sebagainya.
Angka 7 hingga 10 pula adalah tahap kesakitan maksima yang boleh dirasai pesakit (severe pain), seperti sakit akibat dari kemalangan teruk, kesan ditikam atau ditembak, melecur, kulit yang dihiris, anggota badan terputus, kepatahan tulang yang menembusi kulit, dan sebagainya. Sakit pada skala ini bererti pesakit langsung tidak mampu melakukan apa-apa tugasan selain daripada menahan sakit yang dialami. Segala pergerakannya terbatas, dan pesakit sekadar mampu menjerit kesakitan.
Angka pada skala yang dipilih menentukan tahap kesakitan yang dialami oleh pesakit. Sebagai contoh, jika pesakit memilih angka 4, maka markah tahap kesakitannya adalah pada markah 4/10.
2. WONG-BAKER PAIN SCALE
Skala sakit Wong-Baker ciptaan Donna Wong dan Connie Baker pula merupakan skala sakit yang hampir sama dengan skala numerical, akan tetapi digambarkan pada sesebuah paparan berbentuk pembaris. Ia juga kadangkala dikenali sebagai graphical numeric pain scale, atas faktor pembaris skala sakit ini dihiasi gambaran wajah smiley disetiap angka yang ada. Bermula daripada gambar wajah senyum pada skala 0, sedikit muram pada setiap skala 1 hingga 3, wajah menahan sakit pada setiap skala 4 hingga 6, dan wajah menjerit hingga teriak menangis menahan sakit pada setiap skala 7 hingga 10. Gambaran wajah ini sesuai digunakan bagi pesakit yang mengalami masalah kesukaran membaca angka dan huruf, pesakit kelemahan mental, dan pesakit kanak-kanak. Ini bermakna, pesakit tidak perlu memberi jawapan secara lisan kerana staf kesihatan boleh menilai tahap kesakitan pesakit melalui raut wajah semata-mata.
3. FLACC PAIN SCALE
FLACC pain scale pula adalah skala yang kerapkali dipakai di wad-wad paediatrik (kanak-kanak) dan wad ibu dan anak (wad bayi). Skala ini hanya sesuai buat pesakit berumur 2 bulan sehingga 7 tahun yang tak mampu memberikan respon dan menerangkan tahap kesakitannya. FLACC pain scale tidak menggunakan kefahaman dan respon pesakit sebagai data, akan tetapi hanya menggunakan pergerakan, raut muka dan perbuatan pesakit tersebut.
Ini adalah kerana skala sakit FLACC hanya terdiri daripada 5 kategori, iaitu raut wajah (face), pergerakan kaki (legs), aktiviti (activity), tangisan (cry) dan pujukan (consolability). Ia juga hanya diberi skor berdasarkan angka 0 (normal), 1 (sederhana) dan 2 (teruk).
i) Face
Dalam kategori Face, raut wajah pesakit (lazimnya bayi) akan dijadikan tanda aras tahap kesakitannya.
Skor 0 – wajah pesakit tenang, tiada kerutan muka dan dahi. Tiada ekspresi sakit.
Skor 1 – sesekali wajah pesakit berkerut (grimace), muram (frowning), tidak berminat dengan keadaan persekitaran.
Skor 2 – wajah pesakit sentiasa muram, menahan sakit, mengetap gigi dan dagu, meracau.
ii) Legs
Dalam kategori Legs, pergerakan kaki pesakit pula dijadikan tanda aras tahap kesakitannya.
Skor 0 – Posisi kaki dalam keadaan normal, tenang.
Skor 1 – Kaki tidak tetap, kerapkali bergerak, tegang, tidak senang.
Skor 2 – Menendang kasar, menarik keatas seperti menahan kesakitan.
iii) Activity
Dalam kategori Activity, tindakan dan perbuatan pesakit dijadikan tanda aras tahap kesakitannya.
Skor 0 – Baring dengan tenang, mudah bergerak, posisi dalam keadaan normal.
Skor 1 – Tubuh badan bergerak-gerak tidak selesa, berpusing kesana sini, tegang.
Skor 2 – Pergerakan tubuh mengeras, dalam posisis melengkung, tersentap-sentap.
iv) Cry
Dalam kategori Cry, tangisan dijadikan tanda aras tahap kesakitannya.
Skor 0 – Tidak menangis (sama ada dalam keadaan sedar atau sedang tidur).
Skor 1 – Merengek, mengadu, mengeluh.
Skor 2 – Berterusan menangis, menjerit atau teresak-esak.
v) Consolability
Dalam kategori Consolability, keupayaan untuk memujuk pesakit dijadikan tanda aras tahap kesakitannya.
Skor 0 – Tenang, tidak perlu dipujuk.
Skor 1 – Mudah dipujuk melalui sentuhan, pelukan atau dipujuk melalui lisan. Mudah beralih perhatian.
Skor 2 – Sukar untuk dipujuk.
Setiap skor pada setiap kategori kemudiannya dicampur secara kumulatif untuk mendapatkan markah sebenar. Sebagai contoh, jika F1, L2, A1, C2, C1, maka bererti markah keseluruhan untuk tahap kesakitan pesakit ini adalah 7 daripada 10 (7/10).
4. CRITICAL CARE PAIN OBSERVATION TOOL (CPOT) SCALE
Skala sakit CPOT ini lazimnya digunakan untuk pesakit yang tidak dapat memberi respon kesakitan dengan baik, dan kerapkali digunapakai untuk pesakit yang koma atau tidak sedarkan diri (tahap kesedaran rendah).
Ia terdiri daripada 4 kategori, iaitu raut wajah, pergerakan badan, respon suara / alat bantuan pernafasan (ventilator), dan ketegangan otot pesakit. Skala ini juga menggunakan skor 0 (normal), 1 (moderate) dan 2 (severe) dalam pemarkahannya.
Jika ada diantara anda yang tidak mempunyai asas ilmu perubatan dan sukar untuk fahami skala sakit ini, tidak mengapa. Ini kerana ia hanya mudah difahami bagi mereka yang sudah faham selok belok perawatan dan perubatan.
i) Ekspresi Muka.
Bagi kategori pertama, raut wajah pesakit dijadikan tanda aras tahap kesakitannya.
Skor 0 – Tenang, neutral, normal.
Skor 1 – Tegang, muram. Kening diturunkan, sekeliling mata dikerut.
Skor 2 – Seperti skor 1, cuma ditambah perbuatan mengerutkan kelopak mata erat.
ii) Pergerakan Tubuh Badan.
Bagi kategori ini, setiap pergerakan badan pesakit dijadikan tanda aras kesakitan.
Skor 0 – Tiada pergerakan atau dalam posisi normal.
Skor 1 – Bersifat ingin melindungi, bergerak kearah punca kesakitan dengan perlahan-lahan, menyentuh atau menggosok kawasan sakit, mendapatkan perhatian melalui pergerakan.
Skor 2 – Meracau, mengganas. Bertindak menarik tiub pernafasan dan salur pemberian ubatan (IV line), cubaan untuk bangun, mnghayunkan kedua tangan dan kaki, tidak patuh kepada arahan yang diberi, cuba turun dari katil.
iii) Kepatuhan Terhadap Ventilator atau Respon Suara.
Bagi kategori ini, ia terbahagi kepada dua jenis, iaitu :
- a) Ventilator
Buat pesakit yang mempunyai tiub pernafasan pada mulut dan memerlukan bantuan pernafasan mekanikal (ventilator). Tiub pernafasan adalah tiub yang dimasukkan dari mulut pesakit sehingga ke salur pernafasan paru-paru pesakit. Ia bertujuan untuk mengalirkan udara bantuan pernafasan daripada ventilator terus kedalam paru-paru.
Skor 0 – Patuh pada bantuan pernafasan yang diberi oleh mesin ventilator. Ventilator tidak memberi sebarang amaran atau penggera.
Skor 1 – Patuh pada bantuan pernafasan ventilator tetapi kadangkala terbatuk-batuk. Amaran pada ventilator dibunyikan tetapi disenyapkan (diselesaikan) secara spontan.
Skor 2 – Melawan arus udara bantuan pernafasan ventilator. Pemberian pernafasan oleh ventilator terganggu iramanya, tersekat dan amaran kerapkali dibunyikan.b) Vocalization
Bagi pesakit yang bernafas sendiri atau bernafas melalui topeng pernafasan.
Skor 0 – Bercakap dengan nada biasa atau tidak bersuara.
Skor 1 – Mengeluh, mengaduh.
Skor 2 – Menangis, suara teresak-esak.iv) Ketegangan Otot.
Dilakukan pada akhir fasa penilaian ases kesakitan pesakit (selepas ketiga-tiga kategori dilakukan). Dinilai melalui pergerakan pasif tangan dan kaki pesakit ketika dalam keadaan rehat atau ketika sedang dipusingkan. Pergerakan pasif ini adalah pergerakan tangan dan kaki yang dilakukan oleh staf kesihatan kepada pesakit tanpa dibuat oleh pesakit secara sendiri. Ia melibatkan pergerakan membengkok (flexion) dan meluruskan (extension).
Skor 0 – Tenang, tiada rintangan.
Skor 1 – Tegang, mengeras. Menghalang pergerakan pasif yang dilakukan kepadanya.
Skor 2 – Otot tegang dan mengeras dengan kuat. Menentang / melawan kuat pergerakan pasif yang dilakukan keatasnya. Atau tidak mampu melakukan pergerakan pasif langsung keatasnya.
Pemarkahan akhir untuk skala sakit CPOT juga sama seperti skala FLACC, dimana ia dicampurkan untuk menjadi markah kumulatif. Akan tetapi, markah penuh buat skala CPOT hanyalah pada tahap 8, contohnya 3 daripada 8 (3/8).
Setiap data markah yang diperolehi melalui prosedur pain scoring ini kemudiannya dicatat dan diberikan rawatan yang bersesuaian. Antara rawatan yang dilakukan buat setiap sakit yang dialami melibatkan :
i) Penilaian berterusan.
ii) Senaman (pernafasan dalam).
iii) Demahan sejuk dan panas.
iv) Pemberian ubatan tahan sakit minor (analgesic).
v) Pemberian ubatan tahan sakit yang dikawal pesakit secara sendiri (patient-controlled analgesia).
vi) Pemberian ubatan pelalian (anaesthetic).
vii) Pemberian ubatan sedatif.
Setiap perawatan yang diberikan secara satu persatu bergantung kepada tahap kesakitan yang dialami, keadaan kesihatan pesakit serta status perubatan pesakit.
Oleh kerana itu, jika anda sedang mendapatkan perawatan di mana-mana institusi kesihatan negara, adalah amat penting untuk anda mengetahui tahap kesakitan yang sedang anda alami untuk mengelakkan pemberian rawatan ubatan yang berbahaya.
Perlu diingatkan bahawa setiap sakit yang dirasai oleh setiap individu adalah berbeza dengan individu yang lain bergantung pada kadar toleransi (penerimaan) individu itu terhadap sakit yang dialami. Sesetengah orang mungkin akan menangis apabila disuntik jarum manakala ada yang tidak kisah langsung. Ada yang boleh ketawa selepas terhantuk kepala di dinding, manakala ada yang terlentang sakit. Setiap tahap sakit berbeza mengikut individu, maka sakit itu adalah suatu data subjektif. Skala sakit ini sekadar panduan mudah buat staf kesihatan sahaja.
Akan tetapi, perlu diingatkan juga bahawa skala kesakitan yang tinggi tidak bermaksud jaminan perawatan segera dan terbaik. Kadangkala pesakit yang sekadar mengalami sakit biasa (skala 2/10), akan tetapi mendesak ianya sakit bagaikan pada tahap 10/10, boleh menyebabkan pemberian ubatan major dan merbahaya diberikan sedangkan sakit itu sudah boleh dikurangkan dan dihilangkan dengan sekadar menekan kainan basahan sejuk (demahan sejuk) di sekitarnya.
Maka jika anda mengalami sebarang kesakitan, apa kata anda gunapakai sistem skala tahap kesakitan ini apabila bertemu doktor. Ia sudah tentu dapat membantu doktor dalam menentukan perawatan terbaik bagi anda, malah mampu mempercepatkan perawatan dilakukan keatas anda. Bahkan, anda juga boleh menggunakan sistem ini jika anda mempunyai cahaya mata atau orang jagaan yang memerlukan perawatan akibat dari kesakitan. InsyaAllah, bermanfaat.
#AC #SNJOKER
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
1 Comment
macam macam skala rupanya sakit nih, tapi kalau sakit tuh memang menjerit sakit