Menurut tradisi Korea, Dangun Wanggeom (juga dikenali sebagai Dangun atau Tangun) merupakan pengasas Gojoseon (atau ‘Joseon Lama’), kerajaan pertama yang direkodkan wujud dalam sejarah Korea. Kerajaan ini berlokasi di bahagian utara Semenanjung Korea dan meliputi sebahagian kawasan timur laut Cina (khususnya wilayah Liaoning dan Jilin).

Kewujudan kerajaan ini dibuktikan menerusi penemuan sejumlah artifak yang mempunyai perkaitan dengan Gojoseon, seperti pisau pendek berbentuk mandolin yang diperbuat daripada gangsa dan batu-batu dolmen yang ditemui di kawasan-kawasan tersebut.

Seperti mana-mana figura di zaman purba yang lain, tidak banyak sebutan pada artifak-artifak arkeologi berkenaan Dangun. Oleh kerana itu, kita perlu beralih kepada sumber-sumber bertulis dan tradisi budaya untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang figura yang masyhur ini.

LEGENDA DANGUN


Catatan terawal yang memerihalkan legenda Dangun ditemui di dalam Samguk Yusa (Memoribilia Tiga Kerajaan) dan Jewang Ungi (Hikayat Berima Para Pemerintah). Naskhah-naskhah penulisan ini dihasilkan pada lewat abad ke-13M. Legenda Dangun dimulakan dengan pengenalan sosok watak datuknya yang bernama Hwan-in dan bapanya, Hwan-ung. Hwan-in dipanggil sebagai ‘Raja Langit’ sementara Hwan-ung pula adalah salah seorang putera bongsu Hwan-in.

Memorabilia Tiga Kerajaan dipamerkan di Seoul National University Kyujanggak Institute

Pada suatu hari, Hwan-Ung meminta izin bapanya agar menurunkan beliau ke bumi supaya beliau dapat memerintah kerajaan sendiri. Menurut satu tafsiran berkenaan babak ini, sebagai seorang putera bongsu kepada Raja Langit, Hwan-ung tidak punyai harapan untuk mewarisi kedudukan bapanya. Oleh kerana itu, untuk menjadi seorang pemerintah dan untuk menghindari konflik dengan abang-abangnya, Hwan-ung mengambil keputusan untuk pergi ke suatu tempat di mana beliau boleh menubuhkan kerajaan sendiri.

Permintaan ini dipersetujui oleh Hwan-in. Raja Langit itu lantas meninjau keadaan di bumi dan memilih Gunung Taebaek-san (Gunung Putih yang Besar), berlokasi di Korea Selatan moden sebagai tapak paling sesuai untuk puteranya itu. Dalam beberapa versi yang lain, lokasi tersebut adlaah Gunung Paektu (juga dieja sebagai Baektu) yang terletak di sempadan antara Korea Utara dan Cina moden.

Peta ‘Kerajaan Gojoseon’ yang disiarkan di dalam Korea Times pada tahun 2011

PENUBUHAN KERAJAAN

Hwan-un kemudiannya turun ke sebatang pokok cendana suci yang terletak di puncak Gunung Taebaek-san. Beliau membawa bersama 3000 orang pengikut setia dan tiga buah ‘mohor kerajaan langit’. Selain itu, tiga semangat alam iaitu Angin, Hujan dan Awam turut berkhidmat sebagai menteri Hwan-ung. Lantas, sebuah kerajaan pun ditubuhkan, perundangan dan kod moral digubal. Ilmu bercucuk tanam, perubatan, sains dan kesenian, semuanya diajarkan. Ringkasnya, Hwan-ung menubuhkan sebuah komuniti masyarakat yang bertamadun di Gunung Taebaek-san.

Pandangan puncak utama Gunung Taebaeksan dari Munsubong, sebuah lagi puncak gunung berkenaan

SANG HARIMAU DAN SANG BERUANG

Bahagian seterusnya di dalam hikayat ini berpindah kepada kisah ibu Dangun, melibatkan seekor harimau dan seekor beruang. Dua ekor haiwan ini datang ke kerajaan Hwan-ung dan berdoa supaya dijadikan sebagai manusia. Sebaik sahaja Hwan-ung mendengar doa mereka, beliau memutuskan untuk memberi mereka peluang dan setiap seekor haiwan diberikan seguni mugwort dan 20 longgok halia. Hwan-ung mengarahkan mereka agar memakan makanan suci itu sahaja.

Beliau turut memerintahkan mereka agar tinggal di sebuah gua selama 100 hari. Jika arahan itu ditaati, mereka akan menjadi manusia, ujar Hwan-ung.
Walau bagaimanapun, sang harimau menyerah dan meninggalkan gua kerana tidak dapat bertahan dengan rasa lapar. Beruang pula terus menuruti arahan Hwan-ung dan pada hari yang ke-21, ia berubah menjadi seorang wanita.

KELAHIRAN DAN PEMERINTAHAN DANGUN


Ungnyeo (wanita beuang) meluahkan rasa syukur terhadap Hwan-ung dan memberi hadiah korban kepadanya. Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya berasa sedih kerana tidak mempunyai teman. Lantas, beliau pun pergi ke pokok cendana suci di puncak Gunung Taebaek-san dan berdoa meminta agar diberikan seorang anak untuk menemaninya.
Oleh kerana berasa terkesan dengan doa itu, Hwan-ung pun menjelmakan diri sebagai seorang lelaki dan mengadakan hubungan intim dengan Ungnyeo. Sembilan bulan kemudian, wanita-beruang itu pun melahirkan seorang putera dan menamakannya sebagai Dangun, yang bermaksud ‘putera mezbah’ atau ‘cendana’.

Dipercayai bahawa Dangun inilah yang menubuhkan Gojoseon, kerajaan pertama dalam sejarah Korea pada tahun 2333SM. Dalam beberapa buah catatan, ibu kota kerajaan yang ditubuhkan oleh Dangun ini terletak di Pyongyang, yang juga merupakan ibu kota kepada Korea Utara moden. Dangun kemudian memindahkan ibu kotanya ke Asadal, sebuah lokasi yang diandaikan terletak di Gunung Guwol-san, wilayah Hwangshae. Namun dalam catatan lain, Asadal dianggap sebagai ibu kota pertama Gojoseon.

Menurut legenda, Dangun memerintah kerajaannya itu selama 1500 tahun sebelum turun takhta. Setelah itu, beliau bersembunyi di kawasan pergunungan dan menjadi Sanshin (semangat gunung yang hidup kekal) pada usia 1908 tahun.

Patung Dangun

DANGUN SEBAGAI DEWA DAN INSPIRASI DALAM SENI BELA DIRI

Pengaruh Dangun masih boleh dirasai sehingga ke hari ini. Bagi yang mengikuti perkembangan dunia perdukunan masyarakat Korea dapat mengetahui bahawa Dangun dihormati sebagai seorang dewa. Terdapat sejumlah pergerakan dan pertubuhan yang menumpu pada pemujaan Dangun telah ditubuhkan dari semasa ke semasa. Walau bagaimanapun, sistem kepercayaan tradisi sebegini dipercayai hanya diamalkan oleh golongan minoriti di Korea.

Sebuah lagi pengaruh daripada Dangun dapat dilihat menerusi seni bela diri Korea yang masyhur, dikenali sebagai Taekwondo. Terdapat gaya yang dinamakan bersempena figura legenda ini dan pergerakan gaya tersebut dikatakan mewakili perkaitan antara Dangun, Langit dan gunung tempat beliau menjadi Sanshin.

Pengaruh terakhir yang dapat dikemukakan di dalam artikel ini adalah pengambilan tanggal 3 Oktober sebagai Hari Penubuhan Kebangsaan dan merupakan cuti umum di Korea Selatan. Tarikh tersebut dipercayai sebagai tarikh di mana Gojoseon ditubuhkan oleh Dangun pada tahun 2333SM.

TERJEMAHAN:

DHWTY. (17 Februari 2016). The Legendary Founder of Korea, Dangun Wanggeom. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/legendary-founder-korea-dangun-wanggeom-005363


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.