SARAWAK Renjer sudah gah namanya di dalam kita membicarakan satu unit separa tentera yang mana perkhidmatannya dituntut sejak Brooke memerintah hampir 100 tahun di Sarawak sehinggalah sekarang diserapkan menjadi sebahagian daripada unit battalion di Angkatan Tentera Diraja Malaysia.  Di dalam pada itu mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Sarawak Kingdom juga mempunyai unit kepolisiannya tersendiri yang dinamakan sebagai “Sarawak Constabulary”.

Suatu waktu dahulu tanggungjawab untuk mengawal keamanan adalah dipertanggungjawabkan di bahu anak watan Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik selain daripada askar upahan seperti Gurkha dan India yang dibawa oleh Brooke ke Sarawak.  Kebanyakan daripada masyarakat India Sikh adalah mereka yang diletakkan di dalam bidang kepolisian Sarawak Kingdom pada masa itu.  Manakala anak watan Sarawak dan Gurkha lebih kepada pasukan separa tentera yang menjadi benteng pertahanan Brooke di dalam ekspedisi-ekspedisinya menentang mereka yang tidak mahu menerima pemerintahannya di Sarawak.

Sekitar tahun 1932 bagi memudahkan urustadbir kepolisian Sarawak Kingdom, Rajah ketiga Sarawak Kingdom iaitu Sir Charles Vyner Brooke telah mengambil satu pendekatan yang lebih dinamik dengan membahagikan tugasan yang bertindih kepada unit-unit yang lebih teratur dan disinilah timbulnya nama Sarawak Constabulary Unit.  Antara tugasan Sarawak Constabulary adalah untuk menjaga keamanan rakyat daripada sebarang anasir yang boleh mendatangkan keributan kepada penduduk di wilayah Sarawak Kingdom.

Keanggotaan pertama Sarawak Constabulary adalah sekitar 859 orang pada tahun 1932 dan seterusnya diperkembangkan dengan kekuatan hampir 1000 orang yang terdiri daripada pelbagai etnik anak Sarawak.  Kesemua mereka dilatih dengan penuh dedikasi oleh pegawai Eropah yang berpengalaman di dalam bidang kepolisian di negara mereka.  Segala taktikal dan penggunaan senjata juga turut diajar malah Sarawak Kingdom sendiri pada masa itu turut mempunyai ibupejabat dan pusat latihannya tersendiri yang terletak di Bukit Siol, Kuching.

Menjelang tahun 1940an, urustadbir Sarawak Constabulary semakin diperhalusi dengan menjadikannya kepada dua unit iaitu Unit A yang terdiri daripaa 900 orang anggota pelbagai pangkat.  Unit A bertanggungjawab memikul tugas-tugas am polis seperti memberi kawalan, pengiring bersenjata untuk kawasan strategik serta pegawai keselamatan untuk orang-orang kenamaan Sarawak Kingdom.

Unit B pula dikenali sebagai Polis Hutan atau Police Field Force yang mana keanggotaannya lebih kurang 100 orang dan mereka adalah anggota polis yang begitu terlatih di dalam taktikal perang daratan. Unit B ini juga dibahagikan kepada tiga platun yang dianggotai sepenuhnya oleh anak Dayak Sarawak yang begitu terlatih di dalam perihal perang-perang di hutan Sarawak pada masa itu.

Apabila Sarawak diambang Perang Dunia Kedua, Sarawak Constabulary juga adalah mereka yang menganggotai kumpulan yang dipanggil sebagai Sarawak Force (SARAFOR).  Mereka adalah antara barisan paling hadapan mempertahankan Sarawak dengan turut bersama-sama memerangi pendudukan Jepun yang cuba menakluki Sarawak.  Ini kerana pada masa itu walaupun sebagai salah satu negara protecrate Kerajaan Mahkota British seperti di dalam Perjanjian Protectrate 1888 namun bantuan tidak sampai ke Sarawak kerana British terlalu sibuk mempertahankan koloni jajahannya yang lain.

Di dalam sejarah pendudukan Jepun di Sarawak juga menyaksikan benteng pertahanan Sarawak Constabulary yang bermula di Balai Polis Batu 7 adalah benteng pertahanan SARAFOR yang terakhir berjaya dikalahkan oleh tentera Nippon-Go.  Mereka memerangi Jepun dengan apa adanya selama dua hari dua malam barulah Kuching sebagai ibukota Sarawak Kingdom benar-benar boleh diduduki oleh Jepun secara mutlaknya.  Jadi jangan pernah ada yang berkata bahawa Sarawak Kingdom menyerah kalah di tangan Jepun tanpa ada pertahanan yang kental dari rakyatnya sendiri suatu waktu dahulu.

Selesai Jepun menduduki Sarawak, Sarawak Constabulary turut lumpuh kerana pada masa itu pemerintahan Jepun mempunyai sistem polisnya yang tersendiri.  Walaupun dikatakan ramai antara mereka yang menyertai polis Jepun namun ianya hanya sekerat jalan sahaja dek kerana ramai antara mereka lebih memilih untuk pulang ke kampung halaman masing-masing daripada berkhidmat dengan tentera Jepun.  Malah turut dikatakan ramai antara Sarawak Constabulary inilah yang menyertai pasukan gerila Sarawak yang memainkan peranan penting di dalam perang-perang gerila yang dilakukan ke atas askar-askar Jepun di hutan belantara Sarawak sekitar tahun 1943 hingga 1945.

Menjelang tahun 1946, Sarawak dengan rasminya menjadi tanah jajahan British yang dikenali sebagai Koloni Mahkota Sarawak British.  Sarawak Constabulary diberikan nafas baru sekali lagi oleh pemerintahan Koloni Mahkota Sarawak British dengan memanggil semula kesemua petugasnya untuk berkhidmat semula.  Ada yang menyahut seruan dan pada masa itu keanggotaannya semakin berkembang iaitu sekitar 1100 orang.

Dengan mengambil contoh kejayaan pasukan kepolisian di negara jajahan koloni British seperti di Malaya pada masa itu, Sarawak Constabulary dipermodenkan dari segi sistem latihan, kelengkapan dan peralatannya.  Pusat latihannya di Bukit Siol semakin diperluaskan kawasannya.  Sekitar tahun 1955, Sarawak turut mengeluarkan Ordinance Constabulary yang diluluskan di dalam Sarawak Council.  Ianya menjadi saksi betapa Sarawak Constabulary ini adalah antara pemain penting di dalam menjaga keamanan di Sarawak pada ketika itu.

Apabila Sarawak menjadi salah satu pembentuk Negara Malaysia iaitu pada tanggal 16 September 1963, Sarawak Constabulary turut terlibat dengan diserapkan menjadi Pasukan Polis Diraja Malaysia yang kita kenali sekarang.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

 

 

Rujukan:

 

  1. Pasukan Polis Sarawak

https://www.rmp.gov.my/infor-korporate/polis-diraja-malaysia/sejarah/pasukan-polis-sarawak

  1. Borneo Post September 16, 2011 – The Sarawak Gazette

http://www.theborneopost.com/2011/09/16/the-sarawak-gazette/

  1. War and Memory In Malaysia and Singapore by P. Lim Hui Huen and Diana Wong
  2. http://www.therakyatpost.com/life/people-life/2015/09/16/this-outrider-escorted-sarawaks-first-cm-on-malaysia-day-declaration/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Leave A Reply