Pada hari ini, Islam merupakan agama kedua yang paling ramai penganutnya di Kanada menyusuli agama Kristian dan direkodkan sebagai agama yang paling pantas berkembang di sana. Menurut statistik, komuniti Muslim di Kanada adalah dua kali ganda lebih besar berbanding komuniti Hindu dan tiga kali ganda lebih besar berbanding komuniti Yahudi.

Komuniti Islam di Kanada terbentuk daripada Muslim yang berasal dari Asia Selatan, Timur Tengah, Eropah Timur, dan Afrika sub-Sahara, justeru mereka turut menuturkan bahasa Arab dan juga Urdu di sana. Kebanyakan Muslim-Kanada menetap di bandar-bandar besar seperti Toronto, Montreal dan Vancouver, walaupun komuniti mereka yang lebih kecil boleh sahaja ditemukan di pekan atau bandar di seluruh Kanada.

Lebih menarik, komuniti Islam telah bertapak di Kanada lebih awal berbanding Kanada dipanggil sebagai Kanada. Kanada terbentuk daripada sebuah konfederasi antara empat buah wilayah, iaitu Ontario, Quebec, Nova Scotia dan New Brunswick yang berlaku pada 1 Julai 1867, tiga belas tahun sesudah Muslim pertama direkodkan tiba di bumi berkenaan.

Menurut sejarahwan Islam seperti Hassam Munir, sejarah Islam di Kanada berkemungkinan besar bermula apabila hamba-hamba Muslim dari Afrika Barat dibawa ke Amerika Utara British (panggilan sebelum nama Kanada digunapakai), jauh sebelum Empayar British mengharamkan amalan penghambaan pada tahun 1833. Antara nama hamba yang disebutkan adalah Mahommah Baquaqua. Walau bagaimanapun, tiada rekod rasmi berkenaan pengamalan Islam di rantau berkenaan kekal sehingga ke hari ini untuk dijadikan sebagai bukti, justeru pendapat hanya kekal sebagai suatu andaian.

Komuniti Muslim awal di Kanada yang kebanyakannya berhijrah dari Lebanon

Muslim pertama di Kanada yang direkodkan secara rasmi adalah sepasang suami isteri yang bernama James dan Agnes Love, yang memeluk Islam di Scotland sebelum berpindah ke Ontario, Kanada pada tahun 1854 justeru tahun tersebut disebut sebagai permulaan Islam di rantau itu. Mereka dikurniakan seorang anak bernama James sejurus sahaja tiba di sana, dan kemudian mendapat anak bongsu, iaitu Alexander pada tahun 1868.

Tiga tahun kemudian iaitu pada 1871, satu lagi pasangan Muslim yang berasal-usul dari Eropah, iaitu John dan Martha Simon berpindah dari Amerika Syarikat ke Kanada. Ketika itu, jumlah penganut Islam di Kanada adalah 13 orang. Peningkatan jumlah tersebut berlangsung perlahan pada permulaan, walaupun sebahagian buruh Muslim sempat terlibat dalam sebuah sejarah penting bagi Kanada, iaitu pembinaan Landasan Keretapi Pasifik Kanada.

Memasuki tahun 1901, populasi Muslim di Kanada meningkat kepada 47 orang dengan kehadiran pendatang dari Syria, Lebanon, Turki, Albania dan Yugoslavia yang masing-masingnya adalah sebahagian daripada Empayar Uthmaniyah yang baru sahaja tumbang. Antara faktor yang mendorong mereka untuk berpindah ke Kanada adalah untuk memperoleh tanah yang harganya masih murah di samping mencari pekerjaan.

Misalnya, Ali Abouchadi dan pakciknya berpindah dari Lebanon pada tahun 1905 dan bekerja sebagai penjual bulu sebelum membuka gudang sendiri di Lac La Biche. Lantaran hubungan baik yang dijalinkan dengan masyarakat tempatan, Abouchadi berpeluang membina rumahtangga dengan seorang wanita Cree ketika bekerja di kawasan sekitar Sungai Mackenzie.

Seorang lagi Muslim Lebanon yang mencuri tumpuan sejarah adalah Bedouin Ferran yang mengambil nama Peter Baker semasa tiba di Kanada pada tahun 1910. Seperti Abouchadi, beliau bekerja sebagai penjual dan pengusaha bulu walaupun sempat menerima penindasan masyarakat setempat. Berkat kelantangannya dalam menentang rasisme yang diterima oleh Hudson Bay Company terutamanya, beliau berupaya melakar nama dalam arena politik di sana.

Suasana beribadah komuniti Muslim awal di Kanada sebelum masjid dibina

Populasi Muslim di Kanada pada tahun 1911 meningkat dengan agak tinggi, mencecah seramai 797 orang sebelum menuruni penurunan mendadak sepanjang 20 tahun berikutnya. Selain ditekan oleh rasisme, meletusnya Perang Dunia Pertama dan Zaman Meleset (Great Depression), antara perkara yang menjadi faktor penurunan populasi Muslim pada tempoh tersebut adalah kerana kebanyakan pendatang Muslim di Kanada mengambil keputusan untuk berpindah ke Amerika Syarikat demi meraih kehidupan yang lebih baik.

Walau bagaimanapun, bagi komuniti Muslim yang lebih tertumpu, populasi mereka terus mengalami perkembangan seperti di Saskatchewan, Alberta dan British Columbia. Populasi Muslim di Kanada pada awal 1930an dianggarkan berjumlah 645 orang, dengan Edmonton menempatkan komuniti Islam terbesar di negara berkenaan. Perkembangan Islam di Edmonton boleh dikreditkan kepada usaha kaum wanita Muslim, khususnya Hilwi Hamdon yang menjadi individu pertama yang berbincang dua hala dengan Datuk Bandar Edmonton, John Fry berkenaan pembelian tanah lot untuk didirikan masjid.

Kemudian, kutipan dana yang dijalankan dengan bantuan masyarakat setempat yang datang daripada pelbagai agama dan etnik berjaya membeli sebuah tanah lot bersebelahan dengan Hospital Diraja Alexandra. Berbekalkan khidmat seorang jurutera beretnik Ukraine-Kanada yang bernama Mike Dreworth, masjid pertama di Kanada yang dinamakan sebagai Masjid Al-Rashid pun dibina pada bulan Mei 1938.

Walau masih belum siap sepeuhnya, masjid ini melangsungkan perhimpunan keagamaannya pada bulan November tahun sama, melibatkan pengebumian Ali Tarrabain yang dikenali sebagai salah seorang perintis Islam awal di Kanada. Pembinaan Masjid al-Rashid siap sepenuhnya dan dibuka secara rasmi pada tanggal 12 Disember 1938. Masjlis pembukaan tersebut turut dihadiri oleh Datuk Bandar Edmonton dan Datuk Bandar Hanna dengan pembacaan doa diketuai oleh Abdullah Yusuf Ali, seorang ilmuwan Islam ulung dan penafsir al-Quran yang diperakui.

Komuniti Islam di Edmonton berkembang pesat berikutan pembinaan Masjid al-Rashid, sampaikan pada awal 1980an, populasi Muslim di bandar itu sahaja mencecah seramai 16 000 orang. Bilangan yang ramai ini mendorong kepada pembinaan Masjid al-Rashid yang baru, di mana masjid yang lama dipindahkan ke Fort Edmonton Park dan berdiri sebagai sebuah binaan bersejarah.

Masjid Al-Rashid lama yang dijadikan sebagai binaan bersejarah di Fort Edmonton Park

Merentas tahun, pelbagai program disediakan oleh Masjid al-Rashid yang baru itu sehinggakan terbentuk institusi tersendiri. Antara projek kelolaan masjid berkenaan yang paling mengagumkan adalah Akademi Islam Edmonton yang menawarkan pendidikan kepada lebih 1400 orang pelajar dan melahirkan sebanyak 130 pekerjaan buat Muslim di Edmonton. Pada hari ini, komuniti Islam di bandar berkenaan mencecah sebanyak 60 000 orang yang hadir daripada lebih 62 etnik berbeza.

Perkembangan komuniti Islam di tempat lain juga bertambah pesat selepas tertubuhnya masjid dan institusi pendidikan. Misalnya di Montreal, kadar pertumbuhan Muslim di sana meningkat pantas apabila program Pengajian Islam di Universiti McGill mula diperkenal dan dirasmikan pada tahun 1952.

Begitu juga dengan Ontario apabila pada tahun 1955, masjid pertamanya dibina di London, Di Toronto pula, komuniti Muslim di sana bertambah pesat semenjak Pusat Islam yang lengkap dengan menara gaya-Uthmaniyah dibuka pada tahun 1973.

Pusat Islam di Kanada

Sembilan tahun kemudian iaitu pada 1982, madrasah pertama di Kanada ditubuhkan di Cornwall, Ontario oleh Mazhar Alam atas perintah gurunya, Muhammad Zakariyya Kandahlawi. Madrasah ini berupaya menarik kehadiran pelajar dari seluruh Kanada dan Amerika Syarikat, dan antara graduannya yang paling ulng adalah Sheikh Muhammad Alshareef yang menamatkan pengajiannya pada tahun 1990 lalu menubuhkan Institusi Almaghrib.

Pada dekad tersebut, jumlah umat Islam di Kanada adalah seramai 100 000 dan meningkat sebanyak 5 kali ganda apabila memasuki tahun 2000. Hari ini, angka terus mencecah seramai 1.1 juta orang.

Sembilan tahun lalu, iaitu pada tanggal 10 November 2010, buat pertama kalinya umat Islam Kanada membina masjid di bahagian artik negara mereka. Masjid yang dibina di Inuvik itu berjarak kira-kira 1200 batu arah timur laur dari Edmonton, Alberta yang menempatkan masjid pertama Kanada, Masjid al-Rashid yang dibuka pada 74 tahun sebelumnya. Agama Islam berkembang dengan sangat pesat di Inuvik sampaikan Bahasa Arab menyusuli Bahasa Inggeris dan Perancis sebagai bahasa yang paling kerap dituturkan di Northwest Territories.

Di Nunavut yang terletak berhampiran pula, dilaporkan bahawa Islam semakin diterima di sana terutama apabila sebuah masjid dibina di Iaqluit, menjadikannya sebagai masjid pertama dibina di Nunavut. Walaupun populasi Muslim di sana masih lagi hanya sekitar 100 orang, angka tersebut dijangka bakal bertambah sebanyak empat kali ganda pada 20 tahun akan datang.

Kesimpulannya, dengan sejarah yang terbentang selama 165 tahun, Islam dan komuniti Muslim mempunyai pengaruh yang cukup besar di Kanada, negara kedua terbesar di dunia menyusuli Russia. Menurut bancian yang dilakukan pada tahun 2011, komuniti Muslim di Kanada membentuk sebanyak 3.2% daripada keseluruhan populasi negara berkenaan.

Petempatan Muslim ni Nunavut

RUJUKAN

Al Rashid Mosque – The First Mosque In Canada. A New Life.
http://www.anewlife.ca/alrashid

The History of Al Rashid Mosque. Al Rashid Mosque.
https://alrashidmosque.ca/our-story/

Nicole O’Reilly. (8 Oktober 2018). The long and forgotten history of Muslims in Canada. The Spec.
https://www.thespec.com/news-story/8951963-the-long-and-forgotten-history-of-muslims-in-canada/

Hassam Munir. (2015). An overview of the history of Islam in Canada. Ihistory.
http://www.ihistory.co/the-history-of-islam-in-canada-2/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.