Sukarnya untukku berpisah denganmu
Kau kunci cintaku didalam hatimu
Meronta hatiku menangis kernamu
Kau kunci cintaku didalam hatimu
Begitulah bait-bait lirik lagu Ramlah Ram yang menjadi siulan ramai di era 80-an dan 90-an. Cinta yang dikunci menjadi satu metafora yang menggambarkan cinta yang kekal tersemat di dalam hati seseorang. Tetapi siapa sangka bahawa nyanyian lagu Ramlah Ram itu kini menjadi satu ritual yang sohor kini (trending) dikalangan anak-anak muda dan remaja di seluruh dunia. Tapi mereka tidak mengunci cinta di dalam hati. Sebaliknya mereka mengunci cinta di sisi jambatan sebagai satu tanda keabadian cinta.
Ritual yang diberi nama sebagai Love Locks ini, sangat popular di kalangan pelancong terutamanya pasangan kekasih muda yang sedang hangat bercinta. Ritual ini dilakukan di Paris, German, Amerika Syarikat, Itali, Republik Czech dan banyak lagi. Jambatan-jambatan yang ada tempat tersebut penuh dengan manga-mangga yang dikuncikan oleh pasangan yang terpengaruh dengan tradisi/ritual ini.
Ritual ini senang sahaja untuk difahami, dua pasangan yang bercinta akan menulis nama mereka pada sebuah mangga, dan mangga tersebut akan dikunci pada sisi jambatan. Kunci mangga tersebut akan dibuang ke dalam laut/gaung menandakan yang cinta mereka akan kekal sehingga hari Kiamat. Seterusnya mereka akan bercium (haram ye, saudara se-Islam ku semua), dan berlalu pergi meninggalkan jambatan dan juga mangga tersebut. Nampak seperti satu adegan dalam filem kan?
Ya, tradisi ini banyak dilakonkan di dalam filem dan juga drama televisyen seperti Now You See Me, Parks and Recreation dan juga (seperti namanya) Love Locks. Dan itulah sebabnya mengapa ritual ini menjadi sangat popular dan banyak ditiru oleh pasangan yang sedang bercinta. Ditambah pula ianya nampak romantis dan mempunyai mesej yang mendalam. Namun begitu, saya pasti ramai di kalangan pasangan ini (termasuk anda) yang tidak tahu kisah tragis yang menjadi asal-usul ritual ini.
Sejarah Di Sebalik
Ritual ini bukannya berasal dari Perancis ataupun mana-mana lokasi yang romantik. Sebaliknya ritual ini berasal dari Serbia, dari sebuah bandar Spa yang dinamakan sebagai Vrnjačka Banja. Dikatakan mengikut cerita orang tempatan, ketika perang dunia pertama, terdapat satu pasangan kekasih yang sedang dilamun cinta. Sang lelaki, Relja merupakan seorang tentera manakala yang perempuan pula, Nada adalah seorang cikgu sekolah.
Ketika bercinta, kedua-dua mereka ini selalu bertemu di sebuah jambatan di bandar itu. Hari demi hari mereka bertemu meluahkan perasaan yang terbuku dan berjanji akan sehidup semati. Di jambatan inilah mereka berjanji yang kisah cinta mereka akan kekal berterusan sehingga ke akhirnya. Namun,malang sekali, apabila perang meletus, Relja dipanggil untuk berkhidmat mempertahankan negaranya.
Nada takut perkara malang menimpa teman lelakinya itu dan meminta agar Relja bertunang dengannya bagi mengikat hubungan mereka dengan lebih erat. Nada berharap dengan pertunangan itu, Tuhan akan ketemukan jodoh mereka dan memakbulkan doanya agar Relja selamat pulang dari medan perang. Tapi, Nada terlupa akan sifat lelaki yang pada hakikatnya sukar untuk setia.
Diceritakan pula, apabila perang berakhir, Relja jatuh hati pula dengan seorang wanita di sana dan beliau memutuskan pertunangannya dengan Nada dan berkahwin dengan wanita itu. Patahlah hati Nada menerima perkhabaran tersebut. Tidak disangka lelaki yang disangka sebagai cinta hatinya berani mengkhianati cinta yang diberikan demi seorang wanita yang baru sahaja dikenali. Dan akhirnya beliau menghembuskan nafas terakhir kerana terlalu sedih hatinya dirobek sebegitu rupa.
Ramai gadis muda dari bandar itu yang mengetahui tentang kisah Nada dan Relja mula mengunci mangga di jambatan tempat Nada dan Relja selalu bertemu sebagai satu ritual supaya nasib malang yang menimpa Nada tidak menimpa mereka semua. Jambatan itu diberikan nama sebagai Most Ljubavi (ataupun Jambatan Cinta) bagi mengabadikan kisah cinta yang tragis itu.
Ritual ini diteruskan generasi demi generasi sehingga menjadi satu tradisi tapi malangnya dilupakan apabila kurun ke-21 menjelma. Ia mula mendapat perhatian semula apabila seorang penyajak Serbia, Desanka Maksimović mengadaptasi kisah tersebut dalam sajaknya, Prayer for Love. Sehingga kini, jika anda berkesempatan pergi ke bandar Vrnjačka Banja, anda masih dapat melihat mangga yang banyak dikunci di sisi jambatan.
Bukan itu sahaja tragisnya…
Ya, kisah Nada dan Relja sangat tragis, dan kisah yang tragis inilah menjadi asal usul kepada satu ritual/tradisi yang membawa tragis pula kepada Majlis Perbandaran di seluruh dunia. Berbagai masalah timbul dari ritual yang terlalu popular ini sehingga kebanyakan kerajaan tempatan mengharamkan ritual yang merosakkan ini.
Kisah tragis yang ini pula bermula di Paris. Di sana jambatan Pont des Arts menjadi mangsa kerakusan beribu-ribu pasangan kekasih yang menguncikan mangga mereka di sisi jambatan ini. Pada mulanya, ia nampak romantis dan menarik,sebagai satu lagi tempat tumpuan pelancong. Namun apabila tahun demi tahun ritual itu diteruskan, pada tahun 2014, sebahagian dari jambatan itu runtuh kerana tidak mampu menanggung berat mangga yang dikuncikan di sisi jambatan.
Dianggarkan terdapat lebih kurang 1 juta mangga pada ketika itu dengan berat lebih daripada 45 tan. Bayangkanlah betapa banyaknya mangga yang jambatan itu terpaksa tampung bagaikan menampung seekor gajah bergayut di sisi jambatan. Akhirnya pihak berkuasa tempatan Paris mengharamkan ritual ini daripada semua jambatan yang ada di Paris dan melabelkannya sebagai aktiviti vandalisme.
Pun begitu, ritual ini masih lagi diteruskan. Di Malaysia, ritual ini juga boleh dilakukan di Bukit Bendera. Dan ia aktiviti terkawal dengan mangga disediakan dan boleh dibeli dari pihak pengurusan. Love Locks adalah ritual romantis yang menarik minat ramai anak-anak muda untuk melakukan perkara yang sama kerana tarikan yang ada. Tetapi, saya harap dengan mengetahui serba sedikit latar belakang di sebalik tradisi/ritual ini, anda boleh melupakan ritual yang bukan sahaja asalnya tragis,tapi membawa tragis kepada yang lain.
RUJUKAN:
Bills, John (Februari 2018), “The Heartbreaking Origin of ‘Love Locks’” Culture Trip
Grinberg, Emanuelle (Jun, 2015), “Paris ends relationship with ‘love locks’” CNN Travel
Norwoord,Lisa (Februari, 2017), “The lock of love: how leaving padlocks became a modern-day romantic ritual” The Conversation
10MostToday (Jun, 2014), “10 Awesome Love Locks Locations Around The World” 10MostToday.com
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih