Umbok mayang ku umbok
Umbok dengan jala jemala
Pulih mayang ku pulih
Pulih balik sedia kala

Pada zaman dahulu, tujuh puteri tinggal di Kayangan. Yang paling bungsu di antara mereka adalah Mayang Sari, yang paling bersopan santun dan paling cantik di kalangan kesemua puteri. Setiap bulan purnama, ketujuh puteri akan turun ke bumi untuk meninjau keindahan dan kehijauan di bumi, menari dan bermandi-mandian di tasik berdekatan dengan rumah Nek Kebayan yang mengenali mereka sejak dari kecil lagi.

Tasik itu berhampiran sebuah perkampungan nelayan kecil di mana seorang pemuda bernama Awang, tinggal bersama ibunya yang dikenali orang kampung Mek Awang. Tidak ada anak muda yang lebih penyayang daripada Awang di kampung itu. Lautan biru adalah kegemaran Awang. Segala rezeki dan kesenangan yang dinikmati datang dari laut. Awang akan meninggalkan rumah awal pagi dan pulang dengan hasil tangkapan yang memadai, selebihnya akan dibuat keropok atau ikan masin oleh Mek Awang. 

Apabila musim tengkujuh tiba, Awang akan membaiki perahu yang diwarisi dari ayahnya yang telah tiada. Dia akan membaiki lunas dan linggi perahu, menampal papan pembalut perahu dengan gegala dari getah pokok damar supaya lebih bertahan dan menganyam layar baru. Awang juga akan membetulkan serampang ikan, jaring dan jala, membuat cangkuk baru buat persediaan untuk musim seterusnya. 

Begitu aman damai kehidupan Awang sehingga pada satu musim tengkujuh yang amat dasyat, Mek Awang jatuh sakit dan demamnya tidak reda. Puas Awang mengubat dengan pelbagai daun dan bunga diajar ibunya tetapi tidak sembuh. Hari demi hari, Mek Awang semakin lemah. 

Jadi Awang memanggil Tok Bomoh, yang cuba memulihkan  Mek Awang, yang akhirnya kelihatan lega sedikit, demamnya kebah dan nafasnya lebih tenang.

Tok Bomoh mengajak Awang ke serambi rumah. Mereka duduk seketika, dan kemudian Tok Bomoh berkata, “Awang, Mek Awang dah kurang sedikit demamnya. Tetapi ini hanya sementara. Awang mesti mencari ubat yang dapat memulihkan Mek sehingga baik pulih sediakala. Jika tidak, selepas dua minggu, akan melarat kembali penyakitnya.”

“Bagaimana caranya, Tok?” tanya Awang.

“Satu-satunya harapan untuknya adalah berubat dengan bunga Bakawali dari taman Kayangan. Hanya Puteri Tujuh, dapat membantu Awang. Mereka selalu turun ke rumah Nek Kebayan. Selama tujuh hari, Awang mesti menunggu di tepi tasik dihujung kampung kita. Tunggulah Puteri Tujuh.”

Awang pun menunggu, bersembunyi di celah pokok-pokok dan melihat bayangan dalam tasik.  Satu hari terlihat awan berbentuk pokok. Hari esoknya, layang-layang dari jauh. Kemudian, pada satu hari, Awang terlihat bayangan seperti burung helang terbang rendah.

Akhirnya Awang dapat melihat bahawa mereka itulah Puteri Tujuh! 

***

Ibu Awang adalah segala-galanya di hati Awang. Walaupun Awang tidak yakin dengan kehadiran Puteri Tujuh, tetapi dia akan melakukan apa sahaja untuk memastikan ibunya kembali sihat. Akhirnya, Awang berjaya mengesan ketujuh puteri. Tetapi, bagaimanakah ia ingin memujuk salah seorang membawanya ke Kayangan untuk mendapatkan bunga Bakawali?

Awang melihat Puteri Tujuh semua memakai baju layang dan menyidai baju layang di dahan pokok berhampiran dengan tasik itu. Awang pun turun dari pokok apabila puteri sedang bermain-main di tasik dan menyambil baju layang hijau yang digantung jauh sedikit dari pandangan puteri.

Pada waktu senja, puteri-puteri pun mengambil baju layang mereka untuk pulang ke Kayangan. Namun, Mayang Sari tidak dapat mencari baju layangnya. Kakak-kakaknya puas membantu mencari tetapi tidak berjumpa.

“Dinda, dinda mestilah ke rumah Nek Kebayan. Nanti hari esok, kakanda akan kembali membawa baju layang untuk Dinda,” kata Puteri Sulung.

“Benar, dinda,” kata Puteri Tengah. “Kakanda semua kena pulang, nanti dimarahi Ayanhanda.”

“Baiklah kekanda. Dinda akan ke rumah Nek Kebayan.”

Keenam Puteri pun terbang meninggalkan Mayang Sari kerana matahari hampir terbenam di kaki langit.

Ketika itu, barulah Awang menunjukkan dirinya kepada tuan puteri. Mayang Sari pada mulanya terkejut, tetapi Awang berkata-kata dengan amat lemah lembut dan penuh tertib. Tuan Puteri menjadi tenang. “Saudara ada melihat baju layang berwarna hijau di dahan ini?” tanya Tuan Puteri.

“Tuan Puteri, maafkan hamba. Benar, hamba yang mengambil baju layang tuan puteri.”

“Hamba amat memerlukan pertolongan tuan puteri. Ibu hamba begitu tenat sakit dan memerlukan bunga Bakawali dari taman Kayangan untuk menyelamatkannya.”

Mayang Sari, yang tidak pernah bertemu dengan seorang manusia sebelum ini, kagum melihat Awang begitu sayangkan ibunya dan begitu jujur, sanggup berbuat apa saja untuk menyelamatkan ibunya. Tiada manusia yang pernah sampai ke Kayangan setahunya. Sanggup manusia ini ke Kayangan?

“Apa nama Tuan Hamba?”

“Orang kampung memanggil saya, Awang.”

“Baiklah, Awang. Untuk kali ini, saya akan menolong tuan hamba. Saya akan menukar Awang menjadi kumbang kecil. Awang mestilah duduk diam-diam di dalam baju layang ini.”

Dalam sekelip mana, Awang pun hilang dari pandangan dan tuan puteri meletakkan kumbang ke dalam simpul pengikat baju layangnya. Awang dapat mendengar angin menderu dan sedarlah ia, Tuan Puteri telahpun terbang ke langit. Apabila mereka tiba di istana, Tuan Puteri pun terus membawanya ke kamar peraduannya dan menunggu sehingga dini hari apabila bunga Bakawali akan kembang sepenuhnya. 

Di saat itu, Mayang Sari menukar kumbang menjadi Awang semula untuk menyimpan bunga. Walau bagaimanapun, Raja Kayangan sedar serta-merta bahawa manusia telah menceroboh ke dalam taman larangan. 

Amarahnya bukan kepalang. Raja Kayangan melaungkan sumpahan dan Awang serta Mayang Sari muncul di depan Raja Kayangan. “Ampunkan anakanda, Ayahanda. Anakanda menolong manusia ini, namanya Awang kerana bondanya sakit tenat dan perlukan penawar bunga Bakawali, Ayahanda.”

“Bukankah kau tahu, umat manusia dan kaum Kayangan tidak boleh bergaul, Mayang Sari?

“Maafkan Anakanda. Bukankah ayahanda mengajar anakanda kita mesti saling membantu mereka yang memerlukan pertolongan?”

Raja Kayangan merenung wajah Mayang Sari. Keikhlasan bercahaya di raut mukanya. Awang pula kelihatan tenang.

“Ampunkan hamba. Keadaan ibu hamba yang sakit tenat di bumi menyebabkan saya bertindak meminta Tuan Puteri membantu hamba. Hukumlah hamba tapi hamba memohon, berilah bunga bakawali ini kepada ibu.”

Terdiam Raja Kayangan sebentar.

“Baiklah. Beta mengkagumi kesetiaan dan keberanian anda, wahai manusia,” kata raja, “Anak yang mementingkan ibunya adalah anak yang baik budi pekertinya. Buat kali ini, kamu boleh membawa pergi bunga Bakawali ini. Akan tetapi inilah kali terakhir dapat bertemu Mayang Sari!”

Seraya berkata demikian, tiba-tiba angin kuat menderu. Awang diselubungi awan sejuk. Akhirnya, dia mendapati dirinya kembali di pondoknya. Bunga Bakawali di tangannya. Dengan serta-merta, Awang membawa bunga supaya ibunya dapat menghidu bauan Bakawali. Mek Awang terus kelihatan segar. Kemudiannya Awang meletakkan debunga Bakawali dalam bubur dan menyuapkan ibunya dengan penuh kasih sayang.

Pada hari-hari berikutnya, Mek Awang pulih sepenuhnya. 

Malangnya, Awang tidak dapat melupakan Mayang Sari. Dia tidak sanggup melihat fajar atau matahari terbenam. Tentu teringat Mayang Sari yang membantunya, begitu cantik dan jelita, pandangan matanya menikam kalbu. Awang menyepi menyendiri dan bila musin tengkujuh berakhir, dia tidak ke laut.

Akhirnya, Awang pun jatuh sakit. Semakin hari semakin kurus Awang yang tidak lalu makan. Tidak lena tidur.

Awang asyik menunggu di tasik larangan. Menyanyikan lagu,

Umbok mayang ku umbok
Umbok dengan jala jemala
Pulih mayang ku pulih
Pulih balik sedia kala

Satu malam, Awang ternampak-nampak bayangan berkilauan di kaki langit. Puteri Tujuh telah datang untuk menyelamatkan Awang. Mayang Sari tidak tahan melihat Awang menderita kesakitan dan telah memohon kepada Raja Kayangan untuk turun ke bumi. Puteri Tujuh pun berikhtiar menyembuhkan Awang.  

Mayang Sari bernekad untuk tinggal di bumi dan berkahwin dengan Awang.

Dan mereka hidup bahagia selama-lamanya.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Penulis kelahiran Australia ini dibesarkan di Kg Chenor, Temerloh, Pahang. ninotaziz binti Abdul Aziz bin Tok Muda Salehuddin dari Chenor bin Tok Awang Pekan bin Tok Nit bin Tok Tunggal Bukit Segumpal bin Tok Ghaffur bin Tok Aji bin Tok Sabur Kampung Duri ini telah menghasilkan lapan buah buku bertemakan Hikayat Melayu dalam Bahasa Inggeris dan bakal menghasilkan antologi pertama bahasa ibunda Bahasa Melayu tahun 2020.

Comments are closed.