Orang Islam sekarang ni pelik. Dan mereka sukakan benda-benda yang pelik. Asal sahaja seseorang itu mampu menarik perhatian manusia melalui retorik kata-kata indah Islamik, terus dipanggil sebagai pendakwah atau lebih parah dipanggil wali.
Tanpa kita tahu latar belakang fahaman penutur itu, kita terus menjulang nama orang itu. Makin aneh, ramai pula pentaksub yang mengikutinya secara trend. Sebelum berbicara tentang ’Islam Rastafari’, kita perlu fahami terlebih dahulu apa itu ‘Rastafari’.
Rastafari ini adalah satu agama yang Afro-sentrik. Namun, ianya bukanlah seperti agama pagan nenek moyang orang Afrika. Ianya adalah agama yang berunsurkan Judeo-Christian. Ada yang berpandangan ianya merupakan salah satu dari Gerakan Agama Baharu, atau sebuah pecahan aliran agama Kristian, atau sebuah kultus, atau ada juga yang mendakwa ianya sebuah gerakan Tajdid.
Bahkan, ada juga yang beranggapan ia sebenarnya lebih kepada gerakan politik berideologikan Nasionalis Afrika, atau politik keagamaan, atau gerakan sosial, atau hanyalah etnik kerana mereka berasal dari kelompok yang memiliki persamaan dari segi tradisi, bahasa dan kepercayaan.
Namun, masyarakat dunia lebih melihat mereka sebagai sebuah entiti keagamaan. Ini kerana jumlah penganutnya ramai dan penyebarannya agak pesat kepada masyarakat dunia. Sehingga kini, jumlah mereka adalah sekitar 1 juta penganut. Walaubagaimanapun, golongan Rastafari menganggap kumpulan mereka bukanlah sebuah agama, tetapi lebih kepada sebuah cara hidup secara spiritualnya.
Penganut Rastafari turut dikenali sebagai Rastafarian atau Rastas. Namun, mereka lebih suka digelar Rastas kerana menurut mereka istilah Rastafarian itu seolah-olah mendoktrinkan konotasi negatif terhadap kumpulan mereka.
Prinsip kepercayaan mereka dikenali sebagai Rastalogi yang terbuka dan dinamik untuk ditafsirkan oleh sesiapa sahaja. Induk fahaman agama mereka lebih condong kepada Kristian. Namun, ianya bersadur dengan unsur-unsur agama Yahudi. Mereka beriman dengan Bible tetapi dengan cara tafsiran tertentu bagi menggabungkan konsep agama Kristian dan Yahudi.
Mereka menyembah satu Tuhan yang bernama Jah iaitu bersempena nama panggilan Tuhan Yahudi, Jehovah. Mereka lebih cenderung untuk berkata bahawa mereka ‘mengenali’ Tuhan (Arif/Knowing) berbanding ‘mempercayai’ Tuhan (Iman/Believe).
Tuhan Jah ini boleh berinkarnasi serta menyerap masuk ke dalam jasad manusia. Mereka mendakwa Jesus itu adalah bentuk Inkarnasi Tuhan Jah atau Tuhan Jah menyerap masuk ke dalam jiwa Jesus (Hulul/Tanasikhul Arwah). Kesatuan Tuhan dengan Makhluk ini menjadikan mereka mengamalkan Mistik Kerohanian.
Mereka beriman dengan Jesus sebagai wakil Tuhan namun bukan dengan cara yang sama dengan tradisi orang Kristian fahami. Bagi mereka, Jesus itu berkulit gelap. Kata mereka, orang Barat sengaja menggambarkan Jesus berkulit putih secara doktrinisasi agar dapat menindas orang kulit hitam.
Perkataan ‘Rastafari’ berasal dari perkataan bahasa Geez, iaitu ‘Ras’ dan ‘Tafari’ bersempena nama seorang Maharaja Habsyah, Haile Selassie yang berkuasa pada 1930-1974. Ras bermaksud Lord (Tuan/Tuhan) dan Tafari adalah nama asal kepada Maharaja Haile Selassie. Haile Selassie ini adalah gelaran diraja rasmi setelah maharaja ini menaiki takhta. Ia membawa maksud “Kekuasaan Trinity”.
Maharaja ini sebenarnya penganut tegar agama Kristian mazhab Ortodoks Tawahedo. Mazhab ini hanya wujud di Habsyah (Ethiopia dan Eriteria). Mazhab ini tidak sama dengan mazhab ortodoks lain sama ada di Rusia mahupun di negara Arab. Di Habsyah, memang banyak percampuran tradisi Kristian dan Yahudi hasil kesan perjalanan sejarah.
Bahkan, Maharaja Haile Selassie ini merupakan keturunan Raja Sulaiman dari jalur Amharik yang berkahwin dengan Ratu Saba menurut tafsiran Kristian Ortodoks Tawahedo. Ini membuatkan sehingga Ratu Elizabeth II bertindak menundukkan diri kepada Maharaja Haile Selaissie tatkala menziarahinya di Habsyah. Sedangkan, Ratu Elizabeth II tidak sesekali pernah dan tidak boleh tunduk kepada sesiapa.
Apabila Ratu Elizabeth yang memiliki empayar seluruh dunia pun tunduk kepada Maharaja Haile Selassie, maka seluruh pemimpin dunia barat lain pun akan tunduk kepadanya ketika bertemu. Hal ini sangat signifikan sebagai lambang ‘Orang Putih Tunduk Kepada Orang Hitam’.
Menurut penganut Rastafari, Maharaja Haile Selaissie yang berketurunan Raja Daud dari jalur Raja Sulaiman ini merupakan kedatangan kedua Jesus sebagai al-Masih sekaligus reinkarnasi Tuhan Jah. Bahkan ada juga yang mendakwa Maharaja ini merupakan Nabi yang memiliki unsur Ketuhanan. Oleh itu, Maharaja ini sebahagian dari Triniti sehingga nama gelarannya dipanggil sebagai ‘Kekuasaan Triniti‘. Peristiwa Maharaja Haile Selaissie menaiki takhta ini menurut mereka adalah menepati ramalan akhir zaman yang terkandung dalam Bible.
Susuk tubuh Maharaja Haile Selaissie ini dijadikan panutan kepada masyarakat Afrika yang dibawa ke dunia Barat untuk dijadikan hamba. Dengan semangat inilah mereka bertahan dalam hidup yang penuh penindasan orang kulit putih (white supremacy). Mereka menggelar orang Barat sebagai ‘Babylonian’ kerana orang Yahudi dalam Bible dulu ditindas oleh orang Babylon.
Mereka beriktikad bahawa negara Habsyah itu sebagai ‘Zion’ iaitu Tanah Yang Dijanjikan bagi orang Afrika. Sememangnya Habsyah dahulu merupakan sebuah wilayah yang kaya raya dan penuh keagungan sebelum didatangi penjajah. Oleh itu, bendera Habsyah era Maharaja Haile Selassie yang bewarna Hijau Emas Merah itu dijadikan identiti mereka.
Cara hidup Rastafari dikenali sebagai Liviti. Mereka memiliki ritual tersendiri. Antara barang pentahbisan mereka adalah daun g4nja yang dianggap ‘Herba Suci’. Mereka sangat menghormati alam semula jadi. Mereka hanya makan perkara yang semula jadi sebagai dietic law. Mereka juga tidak makan makanan yang dimasak oleh wanita yang sedang haid.
Mereka dilarang minum arak dan mengambil dadah seperti h3roin dan k0kain. Mereka tidak menghisap rokok tembakau, melainkan hanya rokok g4nja. Bagi mereka g4nja bukanlah d4dah dan patut dihalalkan. Ini antara perjuangan mereka. Dan trademark mereka adalah mereka selalunya berambut dreadlocks.
Walaupun agama ini berlatar belakangkan Habsyah di benua Afrika, namun ia sebenarnya mula berputik di Jamaica, benua Amerika oleh Marcus Garvey sekitar tahun 1930an. Ketika itu komuniti Afrika ditindas oleh penjajah British berkulit putih yang membawa mereka ke sana. Ketika 1950an, komuniti Afrika di Jamaica yang terpengaruh dengan gerakan Rastafari ini kian kuat sehingga berlaku konflik dengan komuniti lain di sana. Ini menjadikan golongan Rastafarian makin teruk dilenyak.
Namun, sekitar tahun 1960an-1970an, budaya Rastafari mula diterima ramai apabila perjuangan mereka disebarkan secara aman dan popular. Antaranya adalah melalui lagu-lagu raggae Bob Marley. Ideologi berkisarkan keadilan, kebebasan, keharmonian, kasih sayang, kemanusiaan disebarkan melalui lagu. Semua bangsa sama, semua agama sama, Tuhan setiap agama juga sama kerana Tuhan itu Esa, cuma dikenali dengan nama berbeza bagi setiap manusia. Inilah cara mencapai keamanan dan ketenangan duniawi menurut mereka. Smoke weed bro! Hembus…
Tatkala populariti budaya ini memuncak naik, tiba-tiba Maharaja Haile Selassie di Habsyah digulingkan oleh golongan tentera pada 1974 sebelum mati pada tahun 1975. Hal ini membuatkan akidah Rastafari tergugat kerana ‘Tuhan’ mereka mati. Ramai yang mula meninggalkan ajaran ini. Oleh itu, muncullah golongan yang mendakwa maharaja itu sebenarnya tidak mati dan tidak akan mati, tetapi jasadnya hanya ghaib. Kerohanian maharaja masih berada di dunia ini. Oleh itu, gerakan Rastafari terus tetap wujud sehingga kini.
Budaya Rastafari juga menyerap masuk dalam komuniti Islam. Oleh itu, wujudlah kumpulan yang digelar sebagai Islam Rastafari. Bukanlah sepenuhnya akidah Rastafari ini dibawa masuk ke dalam Islam Rastafari, tetapi ideologi dan kebudayaan itu sangat tebal sehingga mereka memiliki tafsiran sendiri terhadap Islam. Mereka ini mengamalkan hidup sederhana (‘zuhud’). Mereka mengajarkan sikap menghormati orang lain. Agama itu adalah tentang Ketuhanan dalam jiwa manusia. Maka jangan dilihat pada zahir seseorang itu.
Ramai yang keliru sehingga menganggap mereka ini persis golongan Sufi. Kalam-kalam ‘hikmah’ mereka bak Hakikat-Makrifat. Untaian kata itu sangat menarik minat orang awam mendengarnya. Namun, sebenarnya mereka ini bukanlah Sufi tetapi ‘Sophist’ (Sufastaiyah). Dan fahaman mereka ini juga mirip dengan Murjiah.
Mereka meremehkan syariat. Kata mereka, “Islam itu Asing (Ghuraba’) dan akan kembali Asing pada akhir zaman. Maka beruntunglah golongan yang Ghuraba’”. Hakikatnya, Islam Rastafari itu bukanlah Ghuraba’, tetapi kelompok Syadz (aneh). Sebahagian mereka berbicara dengan bahasa penuh bunga, mendakwa bahawa Tuhan itu adalah cahaya yang gilang-gemilang berada di langit bersama-sama para Malaikat disekelilingNya. Hal ini persis dengan kepercayaan kaum pagan kuno.
Masyarakat kita cepat terpengaruh kerana hanya bertaqlid buta kepada trend. Mereka tak tahu pun apa yang mereka sebut. Logo apa yang mereka bawa. Yang mereka tahu ianya trend. Jual baju, topi, flavour vape dan sebagainya dengan menumpang trend Rastafari.
Bila tengok Rastafari menyanyikan ‘lagu ketuhanan’ dengan untaian kata yang indah, terus mereka anggap itu dakwah walaupun terkadang liriknya merosakkan akidah. Apabila Rastafari menjadi Imam Solat, mereka berkata, jangan menghukum zahir syariat orang itu. Sepatutnya, masyarakat kita perlu lebih peka. Tidak salah nak layan lagu raggae dan berpakaian Hijau Kuning Merah, tetapi konsep akidah kena jaga. Maka berwaspadalah !
* Sebarang soal jawab atay perkongsian, jemput follow penulis di : Oleh : https://instagram.com/khairiasyraf_17
RUJUKAN :
– Al-Milal wal Nihal, Imam Syahrastani
– What Is Rastafarianism? Who Was Bob Marley, Wayne Jackson
– Muslim Rastafarian? Islam VS the Teachings of His Majesty Intro, Melek Media House
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih