Saya pasti semua sedia maklum mengenai hasil tinjauan yang dijalankan pada 1996 yang mendapati bahawa rakyat Malaysia hanya membaca dua (2) buah buku secara purata, setahun. Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia pada 2005 yang dijalankan Perpustakaan Negara Malaysia (PMN) mendapati hasil kajian tidak berubah walaupun hampir sedekad berlalu. Sampai ke hari ini, kita masih uar-uarkan angka dua yang menjadi taboo. Seolah-olah tiada peningkatan.
Teruk sangatkah kita?
Tapi, tunggu dulu. Laporan statistik Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 2010 pula mendapati, purata buku yang dibaca oleh seorang rakyat Malaysia antara dua (2) hingga lapan (8) buku setahun. Hmm, ada peningkatan bukan? Namun, mengikut Prof. Dr. Abdul Jalil Othman, pensyarah Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, mendapati sikap ‘memilih’ bahan bacaan atau membaca mengikut keperluan di kalangan orang muda (berumur 36 tahun ke bawah) yang menyumbang kepada peningkatan purata ini. Bahan bacaan yang bagaimana yang dipilih orang golongan muda ini?
Menurut Prof. Dr. Abdul Jalil lagi, ‘budaya memilih bahan bacaan tertentu tanpa berminat untuk membaca bahan ilmiah…’yang menyumbang kepada peningkatan jumlah. Sudah tentunya, peningkatan ini bersifat positif, kan? Tentang jenis bahan bacaan, belakang kira terlebih dahulu.
Nah, saya bawakan lagi kajian yang lebih terkini, iaitu kajian interim tahun 2014 oleh Perpustakaan Negara Malaysia telah mendapati bahawa tabiat membaca rakyat Malaysia sebenarnya telah meningkat ke secara puratanya sebanyak 15 buah buku setahun! Peningkatan mendadak sebanyak 750% berbanding kajian pada tahun 2005.
Wah, ini bermakna rakyat kita semakin celik ya.
Jom kita bandingkan pencapaian Negara kita dengan Negara-negara lain ya.
Mengikut kajian tahun 2016 oleh Pew Research Center mendapati secara puratanya rakyat Amerika Syarikat membaca 12 buah buku setahun! Kebanyakan mereka yang membaca merupakan wanita dan dalam lingkungan umur 18 ke 29 tahun!
Wah, nampaknya rakyat kita lebih banyak membaca berbanding mereka.
Persoalan pertama yang menyentuh kepada nombor atau jumlah, terbukti menunjukkan berlakunya peningkatan yang positif terhadap minat membaca di kalangan rakyat Malaysia, terutama generasi muda. Hal ini turut diakui Presiden Universiti Terbuka PTS, Puan Ainon Mohd., melalui peningkatan jumlah buku yang diterbitkan mereka iaitu sebanyak 6000 pada tahun 2003, judul ke 14,000 judul pada tahun 2007.
Antara faktor utama kepada peningkatan jumlah pembaca boleh dilihat melalui jualan buku besar-besaran yang dianjurkan saban tahun dengan harga yang murah!
Kejayaan penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) saban tahun, sebagai contohnya, melihat kepada jumlah pengunjung yang ramai (kemuncaknya) pada tahun 2010 iaitu sebanyak 1.5 juta pengunjung, suatu peningkatan yang membanggakan.
Atau penganjuran jualan besar-besaran Big Bad Wolf yang dimulakan sejak 2009 dan menjual buku-buku bahasa Inggeris (kebanyakannya) dengan harga serendah RM3 berjaya menarik minat ramai pembaca untuk membeli secara borong.
Sekarang, kita beralih pula kepada persoalan kedua, iaitu kualiti bahan bacaan.
Kita melihat buku-buku dalam kategori tertentu seperti cinta, kekeluargaan, travelog dan motivasi merupakan antara kategori buku yang popular; malah dikatakan novel-novel Melayu tertentu boleh mencapai jualan melebihi 20 ribu naskhah setahun.
Kajian Interim Tabiat Membaca Rakyat Malaysia, 2014 mendapati majoriti pembaca di Malaysia membaca majalah dan surat khabar, iaitu masing-masing seramai 63% dan 61% orang. Bagi para pelajar, 55% daripada mereka membaca buku akademik dan ilmiah.
Seperkara yang menarik ialah 46% responden mendedahkan bahawa mereka turut menganggap media baharu seperti Facebook, Blog dan Twitter sebagai bahan bacaan mereka. Trend baharu pembacaan ini seharusnya kita kaji bagi mendapatkan data yang lebih khusus mengenai tabiat membaca rakyat Malaysia.
Melalui kajian ini juga, didapati 80% responden membaca untuk menambah ilmu pengetahuan, manakala 64% responden pula menganggap aktiviti membaca adalah hobi masa lapang mereka. Rakyat Malaysia juga membaca kerana aktiviti ini merupakan sumber hiburan, motivasi, memenuhi tuntutan akademik, menenangkan fikiran dan bagi memajukan kerjaya mereka.
Bagi sesiapa yang rajin berkunjung di kedai-kedai buku MPH, anda akan mendapat perbezaan yang ketara antara buku-buku bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang tersenarai dalam Carta 10 buah buku bestseller / terlaris pada setiap bulan.
Perbezaan ini kita boleh lihat melalui genre-genre buku berkenaan, yang mana senarai buku bahasa Inggeris yang mengungguli carta biasanya buku-buku berbentuk pembangunan diri dan motivasi serta buku biografi bagi buku bukan fiksyen, dan bagi buku fiksyen pula, dari pelbagai genre; young adult, thriller, fantasy, poetry, horror, politics, dan sebagainya.
Bagi senarai buku bahasa Melayu yang mengungguli carta, bagi buku bukan fiksyen, kebanyakannya buku berbentuk bacaan umum yang ringan seperti travelog, inspirasi dan motivasi, manakala bagi senarai buku fiksyen pula, genre cinta hampir mendominasi carta, dengan sedikit celahan dari genre misteri, seram, kekeluargaan & Islamik.
Daripada genre bahan bacaan, kita boleh lihat jenis pembaca di kalangan rakyat Malaysia. Tidak perlu pergi jauh, pemenang buku bagi kategori Buku Popular di Anugerah Buku Negara 2017 sahaja telah membuktikan kecenderungan pembaca di negara kita. Rata-rata sukakan bahan bacaan yang santai, ringkas dan mudah.
Adakah salah untuk membaca bahan bacaan yang ringan?
Sudah tentu tidak. Membaca itu mempunyai tujuan yang berbeza bagi setiap individu. Ada yang membaca untuk menambah pengetahuan, untuk lulus peperiksaan, atau sekadar hobi dan santai semata-mata.
Namun, isu yang lebih besar di sini ialah apabila bahan bacaan bersifat santai dan mudah ini mendominasi masyarakat sehingga menjejaskan tahap pemikiran masyarakat. We are what we read. Mereka yang suka membaca surat khabar tabloid seperti Harian Metro berlainan cara dan tahap pemikirannya berbanding mereka yang membaca New Straits Times, sebagai contohnya.
Jika kita terlalu cenderung membaca dan mendapatkan ilmu daripada satu sumber sahaja, tahap pemikiran kita akan menjadi pasif, tidak berkembang dan kita tidak akan terdedah kepada corak pemikiran lain.
Justeru itu, sudah tentunya kepelbagaian bahan bacaan merupakan kaedah terbaik untuk ‘memandaikan’ diri. Baca buku cinta itu tidak salah, bacalah. Namun pada masa yang sama, usahakan membaca buku daripada genre lain seperti motivasi, travelog, agama, biografi dan juga, buku-buku dalam bahasa lain. Ada sesetengah pembaca cenderung membaca dalam satu bahasa sahaja hingga mennyebabkan mereka tidak terdedah kepada cara berfikir, budaya dan adat kaum lain.
Mesti ramai yang tertanya-tanya, penting ke membaca ni? Aku lepas SPM tak baca buku satu apa pun, hidup je. Lepas habis belajar di universiti, tak baca buku pun, survive je hidup berjawatan tinggi di syarikat.
Memang boleh survive, tapi cukup-cukup makan je la. Maksud penulis, hidup sekadar di tahap sedia ada, tidak berkembang jauh, tidak ke mana. Fizikal, mental, rohani dan emosi. Balik-balik layan hiburan dan komedi yang tidak membina di radio dan televisyen atau baca perkongsian yang membuka aib orang di portal-portal yang kurang bermanfaat isi kandungannya.
Banyak manfaatnya jika kita membaca, tak payah pergi jauh dengan membaca buku-lah. Baca artikel-artikel dalam The Patriots setiap hari pun sudah boleh membantu minda anda berkembang. Malah ia boleh dijadikan topik perbualan yang menarik apabila bertemu rakan-rakan dan saudara-mara. Takdelah asyik nak berbual tentang artis dan hiburan, kan.
Antara manfaat dan kebaikan membaca ialah aktiviti ini membantu anda fokus. Kajian mendapati dengan ledakan penggunaan telefon pintar pada masa kini, kebanyakan daripada kita (terutama yang kurang membaca), mengalami masalah sukar untuk fokus dalam tempoh yang lama. Haa, ini disebabkan oleh penggunaan media sosial melalui telefon pintar. Fokus ini penting contohnya, dalam aspek pekerjaan, bagi memudahkan urusan kerja, kerja cepat siap dsb. Fokus penting agar kita dapat berikan yang terbaik dalam pekerjaan. Jadi, tabiat membaca membantu anda fokus kerana anda perlu duduk di satu tempat dalam suatu tempoh dan fokus terhadap satu bahan bacaan, berbeza dengan membaca melalui media sosial yang mana bahan bacaannya pendek dan ringkas.
Tabiat membaca juga berguna dalam membantu kita menguatkan memori dan daya ingatan. Hal ini kerana apabila membaca, ada pelbagai elemen dalam cerita seperti watak, jalan cerita dan plot, latar belakang tempat dsb yang perlu kita ingat. Sama juga dengan membaca buku motivasi yang mana kita akan mengingati beberapa tip yang diberikan, atau buku kepimpinan yang mana kita akan ingat langkah-langkah tertentu.
Biasanya, orang yang membaca ini juga mempunyai kosa kata (vocabulary) yang lebih luas berbanding mereka yang tidak membaca. Mereka juga lebih yakin menyuarakan pendapat kerana mereka ada ilmu melalui pembacaan mereka, malah pendapat mereka biasanya lebih berfakta dan bukannya bersifat hearsay (orang kata). Mereka juga biasanya mempunyai skil menulis yang lebih baik.
Selain itu membaca dapat membantu mengurangkan stress dan depresi, mengelakkan Alzheimer, menginspirasikan arah tuju dan matlamat yang positif, menggalakkan daya empati dan emosi yang sihat, tidur dengan lebih lena, dan banyak lagi!
Sekarang kita pergi ke persoalan ketiga pula, bagaimana nak terapkan minat dan budaya membaca di kalangan masyarakat? Kita tidak boleh selesa dengan purata 15 buah buku setahun itu, kerana statistik ini sebenarnya kurang tepat bagi menggambarkan tahap pembacaan sebenar rakyat kita.
Ada banyak tip telah dikongsikan oleh pelbagai sumber, yang anda boleh cari sendiri di Internet. Penulis sendiri sering ditanya oleh rakan-rakan tentang cara untuk pupuk minat membaca dan cara untuk fokus apabila membaca. Di sini, penulis kongsikan tiga tip mudah yang penulis rasakan paling relevan, praktikal dan mudah untuk diamalkan.
Pertama, mulakan dengan buku yang nipis. Sebenarnya tak perlulah anda terus nak beli buku Salina setebal 371 muka surat. Anda boleh mulakan dengan buku yang nipis, terdapat banyak di pasaran. PTS Media Group Sdn. Bhd. merupakan antara jenama penerbit yang penulis sarankan untuk anda lihat untuk memulakan tabiat membaca. Mereka ada buku bahasa Melayu dalam pelbagai genre; fiksyen dan bukan fiksyen, agama, biografi, sejarah, keluarga, kesihatan, remaja, kanak-kanak dan malah, komik pun ada. Buku-buku mereka boleh didapati juga di kedai-kedai buku seperti MPH dan Popular. Manakala, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), merupakan antara penerbit buku yang penulis sarankan jika mahu memastikan bahan bacaan berkualiti yang tidak berkompromi dengan tatabahasa. Anda juga boleh mendapatkan bahan bacaan daripada penerbit-penerbit indie seperti Fixi, Lejen Press, Terfaktab Media, Dubook Press, Selut & SFP Press, dan Sindiket Soljah & Studio Anai-Anai. Bahan bacaan mereka biasanya, nipis, bersifat santai namun terdapat mesej dan perlu dibaca dengan minda yang terbuka. Kebanyakan buku-buku nipis dijual dalam julat harga mampu beli antara RM15 ke RM25 sahaja.
Tip kedua ialah dengan membaca buku yang anda minat. Jangan pula mula dengan membaca buku biografi Nelson Mendela atan Tun Dr Mahathir Mohamad, baru baca sehelai terus tutup buku. Baca genre yang anda suka. Jika anda suka genre cinta, perhubungan & kekeluargaan, maka mulakan dengan membaca buku-buku novel terbitan Jemari Seni. Jika anda suka seram dan misteri, maka baca buku-buku terbitan Buku Prima. Pendek kata, mulakan dengan minat anda bagi memastikan anda tidak mudah bosan dan mengalah. Jika anda tidak pasti dengan penerbit sedia ada, rajin-rajinlah singgah ke kedai buku terdekat dan luangkan masa meneliti buku satu persatu di sana. Banyak buku menarik dalam pelbagai genre yang santai-santai telah diterbitkan. Tinggal anda jumpa yang anda minat atau tidak.
Tip ketiga, tetapkan masa untuk membaca. Ramai yang beritahu bahawa mereka tiada masa untuk membaca kerana tuntutan kerja dan keluarga. Benar. Tapi penulis mengenali ramai pembaca yang berada dalam kalangan mereka yang berjawatan tinggi dan bekerja lebih sibuk daripada kita-kita yang biasa ni, dan ada antara mereka, ibu-ibu yang mempunyai anak-anak kecil namun masih boleh luangkan masa untuk membaca. Mudah saja, beri prioriti kepada diri untuk membaca. Tidak perlu luangkan masa terlalu lama, cukup 20 minit. Cari satu sudut di dalam bilik tidur, di meja makan, di ruang tamu, duduk dan baca buku. Setkan penentu waktu (timer) selama 20 minit dan jangan berhenti, atau tatap telefon sewaktu membaca. Mula-mula memang sukar (ditambah lagi dengan isu sukar fokus), namun lama-kelamaan, anda akan biasa dan tidak sedar masa berlalu sewaktu membaca. Sebaiknya anda cuba membaca setiap hari, agar kita tidak hilang tempo dan tidak lupa isi kandungan buku yang dibaca. Jika anda merasakan 20 minit terlalu lama, cuba renungi berapa lama anda melayari media sosial dan khidmat pesanan (messaging services seperti Whatsapp, Telegram, e-mel) pada telefon bimbit setiap hari? Mengikut kajian (terkini Mei 2017), masa yang diluangkan ialah sekurang-kurangnya dua jam sehari. Itu yang paling minimum. Jadi, apa salahnya waktu itu diperuntukkan sedikit untuk membaca, ya tak?
Baiklah, ada satu soalan ditanya kepada penulis. Ada antara mereka yang tidak membaca buku, namun membaca artikel dari surat khabar, majalah, laman web dan blog, seperti artikel The Patriot sebagai contohnya. Adakah itu dikira sebagai membaca buku?
Ia dikira sebagai membaca, namun bukanlah medium buku. Anda dikira sebagai membaca artikel. Tapi ada yang tidak puas hati, bolehkah dengan membaca artikel dikira sebagai membaca buku? Sudah tentu tidak, nama pun lain apatah lagi jenis mediumnya. Namun, sebagai tolak ansur, saya ada cadangkan begini (Kita ambil purata bagi tujuan pengiraan di sini ya. Jika anda benar-benar serius mahu mengira, saya cadangkan anda buat kiraan peribadi berdasarkan apa yang anda baca).
Purata bilangan patah perkataan bagi standard sebuah novel ialah 50,000. Bagi artikel pula, sukar untuk kita kira kerana ada banyak perbezaan dari segi bilangan patah perkataan. Bagi tujuan contoh, kita tetapkan secara puratanya 1,000 patah perkataan bagi satu artikel, justeru itu, bagi melengkapkan sebuah buku dibaca, anda perlu baca 50 artikel. Ini cara pengiraan yang mudah untuk mereka yang memang tidak dapat membaca buku. Kaedah menang-menang untuk semua.
Ada juga bertanya, betul ke baca buku bukan fiksyen tu lebih baik berbanding membaca buku fiksyen seperti novel?
Haa, ini penulis nak maklumkan, banyak sudah kajian dikeluarkan mengenai manfaat membaca buku fiksyen tau. Jadi, janganlah anda bimbang jika suka baca novel. Tak salah, cuma bergantung kepada genre dan mesej novel. Manfaat utama orang yang baca buku fiksyen ialah mereka mempunyai nilai empati yang tinggi. Empati ialah daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain. Orang yang mempunyai empati lebih mudah memahami orang lain, tidak mudah berprasangka buruk, lebih bertolak ansur dan bersifat terbuka. Kita memerlukan lebih ramai orang sebegini dalam dunia yang semakin judgemental. Jadi, bacalah buku fiksyen agar anda dapat menjadi manusia yang lebih baik.
Tapi, perkara lebih utama, kita mulakan dengan sedikit-sedikit. Mulakan dengan bahan bacaan mudah seperti artikel dan majalah, buku yang nipis, genre yang kita suka. Selepas mendapat tempo, baru beralih kepada buku dalam genre lain, bahasa lain, lebih tebal dan berat isi kandungannya. Yang penting, seharusnya membaca ini aktiviti yang menyeronokkan, dan anda bukannya berlumba dengan orang lain untuk membuktikan anda lebih pandai, lebih banyak membaca dan sebagainya. Anda membaca untuk pembangunan diri, ke arah menjadi manusia yang lebih baik.
Jika ada dalam kalangan pembaca ingin menjadi seorang yang berjaya dalam kehidupan, ketahuilah bahawa kajian mendapati orang yang berjaya ialah orang yang membaca. Warren Buffet, salah seorang pelabur dan ahli perniagaan terkemuka di Amerika Syarikat, membaca 500 ke 1000 helai muka surat setiap hari. Bill Gates, Oprah Winfrey, Mark Cuban dan Mark Zuckerberg membaca secara puratanya 50 buah buku setahun. CEO SpaceX, Elon Musk merupakan seorang usahawan, pelabur, jurutera dan pereka cipta hebat masa kini, membaca dua ke tiga buah buku dalam genre yang berbeza setiap sehari! Ramai lagi tokoh-tokoh ternama dan terkemuka yang merupakan pembaca tegar, ini hanya sekadar contoh sahaja.
Jadi, apa lagi, mulakan membaca. Balik berhari raya di kampung, jangan lupa bawa balik sebuah buku untuk dibaca sewaktu senggang seperti sebelum tidur. Jika kewangan agak terhad, tidak apa, baca saja artikel daripada The Patriots!
~ E. H. Nathasia
Sumber Rujukan & Bacaan Lanjut:
Baca 2 buku setahun, macam 1996,
http://www.malaysiakini.com/news/81988
Rakyat Malaysia ‘memilih’ dalam membaca, http://www.sinarharian.com.my/nasional/rakyat-malaysia-memilih-dalam-membaca-1.438156
Budaya Ilmu dalam Kalangan Rakyat Malaysia, http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=1254
Sindrom Malas Membaca di Kalangan Rakyat Malaysia, http://www.southern.edu.my/malay/lain/artikel02.html
Rakyat Malaysia baca 15 buku setahun: makin cerdik atau tidak? http://mukasurat.my/2017/05/03/rakyat-malaysia-baca-15-buku-setahun-makin-cerdik-atau-tidak/
Senario Budaya Membaca Di Malaysia: Isu dan Cabaran, http://prisma.uitm.edu.my/prisma/view/viewPdf.php?pid=36048
10 Benefits of Reading: Why You Should Read Every Day, http://www.lifehack.org/articles/lifestyle/10-benefits-reading-why-you-should-read-everyday.html
Benefits of Reading: Getting Smart, Thin, Healthy, Happy, http://www.rd.com/health/wellness/benefits-of-reading/
6 Science-Backed Reasons To Go Read A Book Right Now, http://www.huffingtonpost.com/2015/08/05/health-benefits-reading_n_4081258.html
Reading Fiction Improves Brain Connectivity and Function, https://www.psychologytoday.com/blog/the-athletes-way/201401/reading-fiction-improves-brain-connectivity-and-function
10 Reasons Nonreaders Don’t Read — And How to Change Their Minds, https://www.scholastic.com/teachers/articles/teaching-content/10-reasons-nonreaders-dont-read—and-how-change-their-minds/
14 Ways to Cultivate a Lifetime Reading Habit, http://www.lifehack.org/articles/featured/14-ways-to-cultivate-a-lifetime-reading-habit.html
The Reading Habits of Ultra-Successful People, http://www.huffingtonpost.com/andrew-merle/the-reading-habits-of-ult_b_9688130.html
Do You Read More Books Than The Average American? https://www.bustle.com/articles/182106-do-you-read-more-books-than-the-average-american
5 Bookish Facts About American Reading Habits, http://mentalfloss.com/article/70303/5-bookish-facts-about-american-reading-habits
Annual book sale Big Bad Wolf will offer 3.5 million books this year, http://www.therakyatpost.com/business/2015/12/03/annual-book-sale-big-bad-wolf-will-offer-3-5-million-books-this-year/
Beware, the Big Bad Wolf is back! http://www.themalaymailonline.com/read/article/beware-the-big-bad-wolf-is-back
Buku Kontroversi Fattah Amin Terima Anugerah Buku Negara 2017,
http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2017/05/03/fattah-anugerah-buku/#IBftsmTQc9bjOr9A.99
Mahu Ubah Selera Bacaan Anda? Mungkin Anda Perlu Mencuba Buku Terbitan Dari Penerbit Alternatif Ini,
https://www.thevocket.com/penerbitan-alternatif/
Daily time spent on social networks rises to over 2 hours, http://blog.globalwebindex.net/chart-of-the-day/daily-time-spent-on-social-networks/
MPH Online Bestsellers
http://www.mphonline.com/books/bestseller.aspx
PTS
ITBM
DBP
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih