Tidak dinafikan, Tulisan Jawi merupakan warisan turun temurun masyarakat Melayu serantau. Tulisan Jawi sangat rapat dan berkait dengan perkembangan Islam di seluruh Kepulauan Melayu.
Ia digunakan secara meluas dalam pelbagai bentuk penulisan, dokumen, aktiviti pengajaran dan pembelajaran agama mahupun konvensional serta menjadi medium perantaraan dalam urusan pentadbiran KerajaanMelayu yang dipercayai telah menerima Islam seawal Abad Ke-10.
Penemuan-penemuan awal huruf-huruf Arab yang disusun mewakili bunyi ejaan dan sebutan Rumi dijumpai diukir dan ditulis pada batu-batu nisan dan batu bersurat sekitar Kepulauan Melayu, dipercayai diguna seiring dengan kedatangan Islam pada ketika itu.
Walaupun belum benar-benar lengkap seperti ejaan Jawi yang kita kenal hari ini, Tulisan Jawi di peringkat awal perkembangannya menyaksikan ia telah ‘menakluk’ ruang lingkup Nusantara.
Batu Bersurat Terengganu adalah artifak bertulisan Jawi yang terawal ditemui di Malaysia. Ia bertulis tentang peraturan sosial serta perihal pentadbiran kerajaan Islam terawal yang wujud di Terengganu, sekaligus membuktikan tulisan Jawi telah wujud sejak itu jika tidakpun lebih lama sebelum itu.
Sejak awal penggunaan Tulisan Jawi, sehingga awal 1920an, Tulisan Jawi tidak pernah ditadbir secara sistematik dan berstruktur. Ejaan-ejaan perkataan, pembentukan suku kata dan bentuk huruf masih terlalu banyak dikuasai gaya tulisan Arab dengan pengaruh unsur-unsur Parsi. Ini menjelaskan tentang kewujudan aksara2 dari terbitan huruf Arab yang unik hanya untuk Tulisan Jawi sahaja seperti huruf “ۏ”, “ڠ”, “ݢ”, ڽ dan “چ”.
PENSTRUKTURAN SEMULA SISTEM TULISAN JAWI; SISTEM JAWI ZA’BA (1920an – 1960an)
Sistem Jawi Za’ba adalah sistem ejaan yang dibentuk dan disusun oleh Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendeta Za’ba.
Beliau yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Jabatan Pengajian Melayu di Sultan Idris Training College (kini UPSI) juga mengepalai operasi Pejabat Karang-Mengarang yang menjadi lidah rasmi SITC serta memartabatkan dan meninggikan bahasa ibunda menggunakan Tulisan Jawi.
Sistem Jawi Za’ba membantu mengurus secara sistematik, memperkemas bentuk huruf dan menyeragamkan penggunaan Tulisan Jawi bagi kegunaan seluruh Tanah Melayu ketika itu.
Sistem Jawi Za’ba digunakan secara meluas dalam semua bentuk penerbitan berbahasa Melayu ketika itu seawal 1940an hingga 1960an. Jawi sebelum Za’ba hanya terhad digunakan di Sekolah Agama dan Sekolah Melayu sahaja.
Jawi sebelum Za’ba tidak pernah disusun secara sistematik dan dikemaskini sebegini rupa. Ia asalnya memiliki banyak versi ejaan mengikut pengaruh dan nahu bahasa serta loghat tempatan. Usaha Pendeta Za’ba melalui Sistem Jawi Za’ba memperkukuh identiti dan peranan Bahasa Melayu yang turut menyaksikan letusan hebat dalam perkembangan sastera dan penerbitan berbahasa Melayu dengan Tulisan Jawi.
Karekteristik utama Sistem Jawi Za’ba ialah menekankan ejaan ringkas dan simplistik bagi memudahkan ejaan dan sebutan, selain menggunakan aksara ‘۲’ iaitu ‘2’ Arab bagi menggambarkan kata gandaan atau ulangan.
Walaubagaimanapun, semasa Sistem Jawi Za’ba digunakan, huruf “ۏ” bagi bunyi ‘V’ di dalam perkataan ‘video’ atau ‘volunteer’ misalnya masih belum wujud. Bunyi ‘V’ di tulis di dalam Jawi dengan menggunakan huruf “ب” yang dipinjam dari huruf dengan bunyi sama bagi bahasa Arab. Ini menjadikan ejaan ‘video’ (dalam sistem ini) sebagai “بيديو” dan bagi ‘volunteer’ pula dieja sebagai “بولنتيار”
Malah, keseluruhan Sistem Jawi Za’ba sebenarnya menggunakan sistem huruf yang sama seperti huruf bahasa Arab dengan pengaruh Parsi seperti menjelaskan kewujudan huruf2 yang tidak terdapat di dalam bahasa Arab seperti “ڠ”, “ݢ”, “ڽ” dan “چ”. Huruf-huruf ini kemudiannya di susun untuk mirip pada Rumi dengan bunyi Bahasa Melayu.
FASA KEMATANGAN TULISAN JAWI; SISTEM JAWI DIAN (1960an – 1980an)
Sekitar 1960an hingga 1980an selaras dengan perkembangan penulisan Jawi yang menyaksikan kewujudan penerbitan Melayu dengan penulisan-penulisan yang hebat, Sistem Jawi Dian pula diperkenalkan. Sistem ini dipelopori oleh En. Yusof Zaki, seorang penulis, pejuang dan penggiat Jawi yang memiliki sebuah syarikat percetakan iaitu Pustaka Dian di Kota Bharu.
Karekteristik utama Sistem Jawi Dian antaranya tidak lagi menggunakan nombor ‘2’ dalam aksara Arab bagi menggambarkan kata gandaan atau ulangan sebaliknya menggunakan sengkang diikuti ulangan perkataan yang sama bagi menggambarkan gandaan dan ulangan.
Contoh; “Berkali-kali”
Ejaan Sistem Za’ba: برکالي۲
Ejaan Sistem Dian: برکالي-کالي
Sistem Jawi Dian tampak lebih memodenkan dan mencambahkan lebih banyak ejaan baru jawi yang benar-benar memiliki identiti ejaan Melayu.
Ketika evolusi Sistem Jawi Dian ini jugalah telah dicipta huruf “ۏ” bagi mewakili huruf ‘V’ untuk ejaan atau sebutan pada perkataan ‘video’ menjadi “ۏيديو” dan ‘volunteer’ sebagai “ۏلنتيار”
FASA MODERNISASI TULISAN JAWI; SISTEM JAWI DBP (1980an – kini)
Sejak 1980an hinggalah hari ini, sistem Jawi yang digunakan ialah Sistem Jawi DBP, yang dibangun dan dikemaskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tokoh-tokoh yang bertanggungjawab dalam zaman modernisasi dan asimilasi jawi dalam Sistem DBP ini termasuklah Pn. Asmah Hj Omar dan Prof. Sufiah Abdul Karim.
Ciri utama sistem jawi ini yang paling ketara ialah ia menitikberatkan ejaan yang lebih spesifik untuk setiap bunyi sebutan huruf. Ia lebih mudah dibaca, dieja dan disebut kerana setiap huruf rumi dijawikan bagi lebih mirip ejaan rumi sebenar.
Asasnya ialah kerana DBP tidak mahu ada ejaan yang sama mewakili dua atau lebih maksud apaba dibaca dan disebut. Ini kerana ia seringkali mengelirukan lebih2 lagi apabila Bahasa Melayu sedang menelusuri arus drastik pemodenan linguistik.
Contoh; bagi perkataan “BALAI”
Ejaan Sistem Za’ba dan Dian: “بالي” (ia boleh menimbulkan kekeliruan kerana ia boleh disebut sebagai “BALAI” atau “BALI”)
Ejaan Sistem DBP: “بالاي” (setiap huruf Jawi mewakili huruf rumi dengan bunyi yang sama, mencegah kekeliruan, sekaligus membezakan ejaan “BALAI” atau “BALI”)
Contoh lain; perkataan “TUPAI”
Ejaan Sistem Za’ba dan Dian: “توڤي” (ia boleh menimbulkan kekeliruan kerana ia boleh disebut dan dieja sebagai “TUPAI” atau “TOPI”)
Ejaan Sistem DBP: “توڤاي” (setiap huruf Jawi mewakili huruf rumi dengan bunyi yang sama, mencegah kekeliruan, sekaligus membezakan ejaan “TUPAI” atau “TOPI”)
Sistem Jawi DBP terus mengalami perubahan dari masa ke semasa sesuai dengan pengayaan ejaan dan perkataan baru di dalam Bahasa Melayu.
Sesungguhnya, walaupun Tulisan Jawi kini seakan dipinggirkan dan dipandang sepi, selain ramai di antara kita yang merangkak malah ramai yang tidak tahu membaca, mengeja apatah lagi menulis Jawi, namun ingatlah, bahawa Bahasa Jiwa Bangsa.
Dan jangan dilupakan bahawa Tulisan Jawi adalah jiwa dan nadi sekalian Bani Jawi.
“JAWI JIWA JAWI”
p/s: Gambar-gambar berikut adalah ketika peristiwa Demonstrasi Keranda 152 pada 1967. Titik hitam Bahasa Melayu di Malaysia, juga memberi kesan kepada Tulisan Jawi.
-KAM-
Sumber:
1. Analisis perbandingan tulisan Melayu/Jawi, Wan Mohd Saghir Abdullah (2008)
2. Kajian Tentang Tahap Penggunaan Tulisan Jawi di Kalangan Masyarakat Melayu, Universiti Malaya
3. Perlaksanaan Tulisan Jawi Dalam Sistem Pendidikan Malaysia, Dato’ Mohd Mokhtar Shafii
4. Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Malaysia (PENJAWIM)
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih