Semasa Era Keemasan Islam, dunia Islam yang ditadbir oleh kerajaan Bani Abbasiyyah berada di kemuncak kekuasaannya. Ini kerana pada ketika itu, perkembangan ilmu dari Timur dan Barat bergerak pantas dan memberi sumbangan besar kepada pelbagai disiplin ilmu yang masih digunakan dunia hari ini.

Era ini turut menyaksikan kemunculan ramai ulama terkenal dari pelbagai disiplin ilmu seperti Imam as-Syafie rahimahullah (fiqah), al-Kindi (falsafah dan muzik) dan Hunayn bin Ishaq (matematik). Semua ini tidak akan berlaku tanpa sumbangan besar pemerintah paling terkenal dalam kerajaan Bani Abbasiyyah, Khalifah Harun ar-Rasyid.

Sebelum menaiki takhta pada tahun 786 Masihi, bakatnya sebagai pemimpin dan pentadbir sudah mula terserlah bila dilantik sebagai panglima tentera sebanyak dua kali iaitu pada 163 dan 165 Hijrah. Pada tahun 164 Hijrah, ayahandanya iaitu Khalifah al-Mahdi mengangkatnya sebagai gabenor jajahan barat Abbasiyyah dari wilayah Anbar hinggalah ke perbatasan Afrika Utara. Dan selepas dilantik sebagai khalifah, baginda memastikan mana-mana pemimpin yang diangkat berupaya mentadbir negara dengan baik.

Selain dikenali sebagai seorang pentadbir yang cekap, Harun juga amat mengambil berat soal ilmu terutama ilmu ukhrawi. Baginda kerap melakukan solat sunat 100 rakaat sehari sehingga ke akhir hayatnya kecuali pada masa baginda berada dalam keadaan gering.

Harun juga suka berdamping dengan para ulama dengan salah seorang teman rapatnya ialah Ibnu Abu Maryam al-Madani. Ibnu Abu Maryam menjadi rakan diskusi baginda dalam banyak perkara. Justeru tidak hairanlah salah satu pesanan baginda kepadanya ialah, “Takutlah kamu terhadap agama dan al-Quran, kamu boleh melakukan apa saja selain daripada kedua-duanya.”

Di samping sentiasa merujuk para ulama, Harun juga dikenali kerana menjaga soal agama dan menolak perdebatan yang bersifat sia-sia. Qadi al-Fadhil menulis dalam risalahnya, “Aku tidak pernah mengetahui sama sekali seorang raja yang mengikuti perjalanan ilmiah melainkan Harun ar-Rasyid. Baginda bersama dua puteranya, al-Ma’mun dan al-Amin pergi sendiri ke syarahan Imam Malik berkenaan kitab Muwathanya.” Tambah al-Fadhil, salinan kitab Muwatha dari perjalanan Harun kini berada di gudang simpanan penduduk Mesir.

Baginda juga berusaha memastikan kesejahteraan kehidupan para guru terjaga. Selepas mendirikan sekolah-sekolah, gaji dan bilangan para guru ditentukan oleh perbendaharaan negara (Baitulmal). Gaji-gaji ini disumbang oleh badan-badan wakaf yang digunakan untuk berinfak dalam soal sedemikian.

Penentuan gaji dibuat dengan mengambil kira kedudukan tenaga pengajar sesebuah sekolah dan bilangan wakaf yang diperuntukkan. Walaupun gaji yang diterima nampak sedikit tetapi ia masih membolehkan para guru menikmati kehidupan yang baik. Contohnya, seorang ulama bernama Az-Zajaj mendapat gaji sebanyak 200 dinar setiap bulan sementara Hakim al-Muqtadir bin Daraid mendapat gaji 50 dinar setiap bulan.

Selain membina sekolah-sekolah, Harun juga berusaha merancakkan perkembangan ilmu dengan membina perpustakaan di seluruh wilayah Abbasiyyah dan tidak sekadar di ibu kota kerajaan itu, Baghdad. Antara perpustakaan yang paling terkenal ialah Baitul Hikmah di mana ia bukan saja berperanan sebagai perpustakaan tetapi juga sebagai lembaga pendidikan Islam yang dibangunkan di Baghdad. Di sinilah, para ulama dan cendekiawan yang datang dari pelbagai latar belakang agama, fahaman dan disiplin ilmu yang berbeza-beza berkumpul, berdiskusi dan membuat penyelidikan dalam disiplin ilmu masing-masing.

Baitul Hikmah turut menjadi tempat operasi salah satu projek ilmu yang digerakkan Harun iaitu penterjemahan karya-karya bukan Arab ke Bahasa Arab. Menerusi projek ini, pelbagai karya-karya hebat dalam bahasa asing seperti Yunani, Latin, Suriani, Parsi dan Ibrani diterjemah ke Bahasa Arab bagi memudahkan usaha penyebaran ilmu dan penambahbaikan teori disiplin ilmu masing-masing.

Antara sebab ia dilaksanakan ialah ramainya orang Islam yang bukan berbangsa Arab berada di Baghdad pada ketika itu. Pengaruh peradaban lama ini dapat dilihat dalam banyak disiplin ilmu seperti Yunani (falsafah dan perubatan) dan Parsi (sastera dan siasah). Pengaruhnya terus dirasai walaupun selepas kemangkatan Harun pada tahun 809 Masihi di mana banyak karya cendekiawan seperti komentar berkenaan falsafah Plato, Aristotle dan Ptolemy dan komentar teori perubatan Galen. Contoh paling mudah ialah sebuah karya al-Khawarizmi bertajuk Surah al-Ardh yang bermaksud Peta Bumi sebagai komentar kepada karya Ptolemy bertajuk Geography.

Semasa era Abbasiyyah terutama era Harun, rakyat tanpa mengira umur dan bangsa berlumba-lumba menambah ilmu termasuk meninggalkan kampung halaman. Kepesatan perkembangan pendidikan ini ditandakan dengan kewujudan halaqah-halaqah di masjid-masjid. Sebelum wujudnya institusi pendidikan formal, aktiviti pendidikan dan pembelajaran banyak dibuat di masjid-masjid dari era Rasulullah s.a.w hinggalah era Abbasiyyah.

Di Masjid Baghdad, terdapat lebih 40 halaqah sebelum ia menjadi satu berikutan syarahan Imam as-Syafie yang dilakukan di situ. Al-Zajaj menceritakan, “Ketika Imam as-Syafie tiba di Baghdad, terdapat 40 hingga 50 halaqah dijalankan di masjid. Ketika beliau memasuki masjid, mereka duduk di halaqah-halaqah. Dalam halaqahnya, Imam as-Syafie berkata, ‘Allah berfirman, Nabi s.a.w bersabda’ sedangkan dalam halaqah lain, mereka mengatakan, ‘Sahabat kami berkata.’ Sejak itu, halaqahnya yang menjadi tumpuan orang ramai.”

Masjid pada era Abbasiyah merupakan lembaga pendidikan khas dan ia menjadi tumpuan bukan saja semasa era Harun tetapi juga khalifah-khalifah selepasnya. Selain berperanan sebagai pusat komuniti, pusat ibadat dan pendidikan, ia juga berperanan sebagai sebuah perpustakaan. Buku-buku ini diperoleh menerusi hasil hadiah daripada orang ramai terutama golongan berada dan pemerintah atau menerusi hasil pencarian dari pelbagai sumber. Justeru tidak hairanlah jika sesetengah ulama tidak berkesempatan berkunjung ke Baitul Hikmah, destinasi seterusnya ialah masjid-masjid sebagai pusat rujukan mereka.

Harun juga amat menitikberatkan soal pendidikan terutama dalam kalangan generasi muda. Semasa kecil, baginda sendiri mengajar puteranya al-Ma’mun menghafal al-Quran di mana penghafalan ini bukan saja merangsang kecintaannya terhadap ilmu tetapi juga menambah rasa ingin tahu terhadap ilmu. Baginda yang juga bakal khalifah yang ketujuh itu merupakan seorang pelajar yang rajin dan para gurunya diingatkan oleh Harun untuk memastikan puteranya yang cerdas pemikirannya itu sentiasa tekun dalam soal pembelajaran.

Dari segi pendidikan kanak-kanak, kurikulum sekolah telah ditetapkan dengan menjadikan al-Quran sebagai bahan bacaan utama dan kemahiran membaca dan menulis dengan menjadikan syair-syair Arab terdahulu sebagai rujukan. Hampir seluruh kurikulum pendidikan itu berasaskan kepada kaedah penghafalan. Impak daripada sistem pendidikan ini melahirkan ramai pemimpin dan cendekiawan hebat selepas kemangkatan Harun pada 809 Masihi.

RUJUKAN:

Tadjuddin, Nilawati & Maulana, Alif. (2018). Kebijakan Pendidikan Khalifah Harun Ar-Rasyid. Al-Tadzkiyyah: Jurnal Pendidikan Islam. 9. 325. 10.24042/atjpi.v9i2.3633.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.